January 2014 | The Hearabouts

Hi hello, i'm Asyraf. This blog is where i pour my ideas, my thoughts. i scribble, i write and i express. Sorry in advance if there's any hiccups here and there. Enjoy reading. May peace be upon you, upon me, upon us all. Tabarakallah, Keep calm and rock on.
| I'M BACK! |
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَظْهَرَ الجَمِيْلَ وَسَتَرَ القَبِيْحَ
"Segala puji bagi Allah yang menampakkan yang baik dan menutupi yang buruk."

Thursday 30 January 2014

Keputusan permohonan ke Program Sarjana Muda UiTM Sesi kemasukan Mac 2014 diumumkan hari ini!

6 Komen
"UiTM diHatiku"
Bismillahirrahmanirrahim...

Keputusan permohonan ke Program Sarjana Muda UiTM Sesi Kemasukan Mac 2014 (Sesi 2 2013/2014) akan diumumkan pada harini 30 Januari 2014. Semakan keputusan boleh mula dibuat oleh pemohon melalui laman web rasmi UiTM bermula jam 5.00 petang nanti.

Gambar : Berita yang dikemaskini dalam laman web UiTM
Saya doakan urusan semuanya dipermudahkan. Mudah-mudahan ada khabar gembira.

 Untuk membuat semakan keputusan permohonan. 
Langkah 1 : Klik  sini  untuk ke laman yang berkenaan.
Langkah 2 : Klik pada "Semakan Keputusan Permohonan Ke UiTM"
Langkah 3 : Pilih program yang berkaitan

Nota : Kalau anda sudah ke laman web UiTM, tetapi masih belum boleh klik untuk semakan keputusan. Tunggu dengan sabarlah ya. Barangkali belum buka lagi. Dan kalau ada masalah sewaktu semakan, sila cuba berulang kali. Kadang-kadang sistem bermasalah sebab banyak lawatan masuk ke website UiTM waktu keluar result macam ni.

Bagi pelajar yang berjaya menerima tawaran belajar ke UiTM, Tahniah. Anda perlulah mengesahkan sama ada anda setuju menerima tawaran atau anda menolak tawaran tersebut bermula hari ini hingga 9 Februari 2014. Jika anda tidak mengesahkan tawaran tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, anda dikira menolak tawaran secara automatik apabila tempoh tersebut tamat. Jadi saya nasihatkan supaya anda buat keputusan awal dan sahkan tawaran segera untuk memudahkan pihak UiTM mendaftarkan nama anda sebagai pelajar baru.


Berikut pula adalah Tarikh-Tarikh penting UiTM bagi sesi 2 2013/2014 yang telah dikemaskini oleh Bahagian Pengambilan Pelajar. 

Klik pada gambar untuk besarkan gambar.
(Kalau ada yang kurang faham, boleh tanya)
 Klik  di sini  untuk muat turun (download) Tarikh-Tarikh Penting UiTM Sesi 2 2013/2014 seperti di atas.


 MAKLUMAN PENTING  (LEPASAN DIPLOMA UiTM SAHAJA)

Bagi pelajar Diploma UiTM yang sudah berjaya menamatkan pengajian anda di peringkat Diploma, tahniah saya ucapkan. Jangan lupa untuk mengisi maklumat yang dikehendaki di laman web UiTM untuk melancarkan urusan anda pada Hari Konvokesyen nanti.

 PERHATIAN : Laman ini dibuka bermula 28 Januari 2014 hingga 10 Februari 2014 sahaja.

Anda perlulah menyelesaikan proses-proses berikut :

1. Sahkan Maklumat Peribadi
- Semak dan sahkan maklumat peribadi anda.

2. Semak saman dan denda Universiti
- Sekiranya ada, sila jelaskan saman dengan segera (Jika tidak, akan ada masalah sewaktu hari Istiadat Konvokesyen nanti)

3. Pengesahan Kehadiran dan Borang Jubah
- Cetak dan baca Panduan Istiadat Konvokesyen.
- Sahkan kehadiran anda, Cetak bil yuran konvokesyen dan Cetak Borang Pinjaman  jubah anda.
- Cetak Kajian Pengesanan Graduan 

Untuk menyelesaikan semua proses yang di atas, klik  di sini  untuk ke laman yang berkenaan. 

Nota : Proses 2 dan Proses 3 masih belum berfungsi (tak boleh klik lagi kan?), barangkali sistem sedang kemaskini maklumat. Jadi, sabar ya. Rajin-rajinkan diri untuk buat semakan berulang kali pada hari berikutnya sama ada sudah boleh dibuka atau tidak. 

Tahniah semua, selamat bergraduasi dan selamat melanjutkan pelajaran!


Sebarang pertanyaan atau ada yang nak kongsi rasa gembira anda dengan Asyraf tentang nama fakulti juga kampus mana anda akan belajar di UiTM nanti, sila tinggalkan semua itu dalam ruangan komen di bawah.

Terima Kasih 
UiTM diHatiku




AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
Read More...

"Hari ini kita berpenat, esok-esok kita berehat"

12 Komen
“Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau bahkan seperti orang yang sekadar melintas (musafir).”
(Hadith Riwayat Al-Bukhari)

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini kita berpenat, esok-esok kita berehat. Janganlah mencari keadilan yang mutlak di dunia ini. Terimalah hidup seadanya. Jadilah diri sendiri. Kita ubah yang mampu diubah, yang tidak mampu serahkan kepada Allah. Jika bahagia yang dicari, tetapi derita yang diberi… terimalah. Bahagialah dengan derita itu.

Manusia akan terseksa oleh jangkaan dan harapannya. Allah ciptakan putaran hidup ini seumpama kitaran cuaca dan musim. Ada yang menikmati empat musim seperti Eropah. Ada yang kontang sepanjang masa umpama Sahara. Ada yang dingin memanjang seperti di  Antartika. Kita hamba… setelah berusaha sehabis daya, pasrah dan menyerahlah. Carilah R&R dalam kembara hidup ini, di sanalah tempat kita berehat seketika… sebelum berehat selama-lamanya! 

Jika ditakdirkan tidak kita temui sesuatu yang dicari di dunia ini, terimalah hakikat ia memang tidak ada. Di akhirat sana tempat ‘ada’ dan sempurna segala. Jika ‘langit’ hendak runtuh, masakan jari yang kecil ini mampu menahannya. Dalam setiap yang kita miliki, pasti ada jemu dan letihnya. Dalam setiap yang kita tidak miliki, pasti ada kesal dan sayunya. Jangan terlalu dalam segalanya. Jangan terlalu cinta, jangan terlalu benci. Jangan terlalu suka, jangan terlalu duka. Sederhana itulah yang selalu menyelamatkan ‘hati’ kita.   

Tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Semakin kita terima hakikat ini, hidup kita akan menjadi semakin tenang. Jika tidak, kita akan sentiasa rasa marah, kecewa, dipersenda, mahu salah menyalahkan dan rasa ditipu oleh manusia lain serta rasa ditipu oleh keadaan. Sebaliknya, apabila kita mula menerima hakikat dunia memang tidak adil, maka hidup kita kan menjadi lebih tenang dan harmoni.

Mengapa di dunia ini tidak ada keadilan yang mutlak? Yang baik, tidak semestinya mendapat ganjaran dan balasan yang baik. Manakala yang jahat, acap kali terlepas dan bebas? Ya, inilah kaedah Allah menguji manusia, agar terserlah siapa yang benar-benar ikhlas berbuat kepadaNya dan siapa pula yang benar-benar meninggalkan kejahatan kerana-Nya jua. Inilah ujian iman.

Menerusi pengajian tauhid, yakni dalam mengenal sifat-sifat Allah, memang kita telah sedia maklum bahawa Allah swt akan memberi dan menunjukkan sifat keadilan-Nya secara mutlak dan tuntas di akhirat nanti. Manakala, di dunia ini Allah tidak menunjukkan sifat keadilanNya secara sepenuh dan menyeluruh sebagai ujian kepada orang-orang yang beriman kepadaNya.


Lihat bagaimana Nabi Zakaria AS, Nabi Yahya AS dan beberapa nabi yang lain telah dibunuh oleh musuh-musuh kebenaran. Sekiranya kita sebagai suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak, pemimpin, pengikut… menerima layanan atau balasan yang tidak adil, biasalah. Inilah hakikat dan lumrah hidup yang mesti ditempuh. Jangan mencari yang ‘serba kena’ kerana hidup dipenuhi oleh resam yang ‘serba tidak kena’.

Sekiranya kita berbuat baik kerana mengharapkan ganjaran, penghargaan, pembalasan dan ucapan terima kasih daripada manusia, tentu kita akan kecewa kerana umumnya manusia memang tidak pandai berterima kasih apalagi untuk membalas budi. Memang, buat baik dibalas baik, tetapi bukan semua kebaikan dibalas di sini (dunia), ada yang Allah simpan di sana (akhirat).

Justeru, apabila Allah menyuruh manusia melakukan kebaikan atau meninggalkan kejahatan, Allah akan menyeru kepada manusia yang beriman dengan lafaz “Ya ayyuhal lazi na amanu – wahai orang yang beriman.” Begitu juga apabila Rasulullah saw menyeru untuk umatnya melakukan kebaikan, baginda sering memulakannya dengan berkata, “barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah…” Betul kan??

Banyak hikmahnya mengapa Allah dan RasulNya berbuat demikian, salah satunya ialah untuk menunjukkan bahawa mereka yang mahu dan mampu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dengan ikhlas, sabar dan istqamah hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yakni, mereka yang yakin bahawa Allah Maha melihat akan perbuatan itu dan membalasnya dengan ganjaran atau seksa yang setimpal.

 Allah swt memujuk, Nabi Muhammad saw dan orang-orang beriman dengan firmanNya: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).”

Impak daripada itu, manusia yang beriman akan menghadapi hidup ini dengan lebih tenang. Tidak banyak merungut, merengus dan marah-marah. Jika madu dibalas tuba, mereka mampu sabar dan redha. Apabila mendapat ‘limau masam’, mereka akan segera membuat ‘air limau’. Makna, sekiranya apa yang mereka terima sebagai balasan, tidak seperti yang diharapkan dan dijangkakan, mereka tidak ‘memberontak’, sebaliknya mereka mengubah hati, fikiran dan perasaan mereka untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan baik.

Apabila inginkan kejayaan, tetapi sebaliknya kegagalan yang berlaku… mereka akan berkata, “Tidak mengapa, kegagalan adalah yuran kepada kejayaan, kegagalan adalah ‘kejayaan’ yang ditangguhkan. Orang berjaya lebih banyak merasai kegagalan daripada orang yang gagal.”

Mereka tidak mengutuk orang lain, keadaan, diri mereka sendiri apalagi mempersalahkan Tuhan. Mereka tidak akan menyesal dan kesal terhadap apa yang berlaku sebaliknya mencari tapak dan semangat baru untuk berusaha dengan lebih baik. Lalu dalam kamus orang berjaya sering tertera pengukuhan kata-kata ini: "Kegagalan adalah peluang untuk memulakan semua dengan lebih baik!"

Orang yang telah menerima hakikat dunia ini tidak adil, tidak akan bemusuh dengan dirinya sendiri. Dia tidak mendera dirinya dengan kejam. "Mengapa aku bodoh sangat? Mengapa aku lurus bendul? Mengapa aku boleh tertipu?" Ini bukan langkah muhasabah yang membangunkan jiwa yang proaktif, tetapi satu ‘self sabotaging habit’ yang menyebabkan dirinya menjadi pasif, pesimis atau murung. Kemudian keburukan dari dalam diri itu akan meletus keluar menjadikan dirinya sebagai ‘toxic people’ yang bersifat aggresif, bersangka buruk dan marah-marah kepada orang lain.

Dalam surah Al Fatihah, Allah menegaskan bahawa Dialah Raja pada Hari Akhirat. Kalimat ini kita ulang-ulang baca pada setiap hari tidak kurang 17 kali. Semoga makna atau kehendak daripada kalimat ini meresap dalam minda sedar dan separa sedar kita, bahawa Allah akan menunjukkan kebesaran sifat Malik-Nya di akhirat, yang pada waktu itu tidak akan ada siapa yang berani mengangkat muka atau berkata-kata.

Di dunia ini, penjahat atau pelaku kemungkaran masih boleh mendabik dada dan meninggikan suara, kerana kuasa yang sementara. Dengan kuasa itu mereka menipu, menindas dan menzalimi dengan pelbagai taktik dan cara. Namun di akhirat nanti, mereka akan kaku, kelu dan membisu apabila Allah menunjukkan kebesaran dan keadilanNya. Di sana nanti barulah kebaikan akan mendapat ganjaran… bukan setimpal tetapi digandakan. Di sana jualah nanti kejahatan akan mendapat balasan… yang pedih, perit dan berganda.

Allah yang Maha Adil tidak mencipta dunia ini dengan serba adil untuk menguji manusia sejauh mana iman mereka kepada sifat keadilanNya! Agar dengan itu orang yang beriman rela ‘disusahkan’ kerana Allah dalam usahanya melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Agar dengan itu, orang beriman akan berkata pada hatinya, “wahai Tuhan, aku rela menerima kesusahan yang sementara dan sedikit di dunia yang serba tidak adil ini demi mendapat kesenangan yang abadi dan lebih baik di akhirat nanti!”

Sampai ke takah ini, sekiranya hati masih bertanya, “mengapa dunia ini tidak adil?” Jawabnya, “kerana Allah yang Maha Adil ingin menunjukkan keadilanNya di akhirat.” Ya, keyakinan kepada Hari akhirat sangat penting semasa hidup di dunia. Meletakkan sesuatu itu pada tempatnya, itulah erti keadilan. Hati orang beriman ialah hati yang adil. Dalam hati itu terpahat satu hakikat: Dunia tempat berpenat, di akhirat tempat berehat!

Ya, hidup selepas mati adalah tempat rehat daripada kepenatan daripada ujian hidup sebelum mati. Justeru, Rasulullah saw sendiri berdoa: "Ya Allah, jadikanlah kematian tempat istirehat daripada segala keburukan dan kejahatan…"

Justeru itu, Asyraf harap artikel yang dikongsi kali ini sedikit sebanyak menyuntik semangat untuk kita terus bangkit dan sentiasa tenang menghadapi cabaran mendatang. Usah terlalu beremosi, kadang-kadang dalam tak sedar kita sibuk mencari dan menegakkan yang adil, kita lupa yang kita pula sudah tidak adil pada diri sendiri dan Pencipta.

Jaga diri, jaga Iman
Wallahualam Bissawab.

"Kesenangan di dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa,
dan kamu tidak akan dianiaya sedikitpun."
An Nisaa’ [4:77]

Kredit ilmu :
Ustaz Pahrol Juoi

AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
Read More...

Wednesday 29 January 2014

Ejaan In Shaa Allah, InsyaAllah atau Insha Allah dalam rumi?

15 Komen
Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, masih berpeluang menulis.


Sebelum ini laman sosial begitu hangat tentang isu penyalahgunaan perkataan "Salam". Ramai di antara kita mula beri maksud pelbagai. Waktu itu saya teruja sangat sebab tiba-tiba muncul jutaan guru bahasa Arab mula mengajar ilmu baru. Ada yang katanya rujuk kitab injil dalam bahasa Hebrew la, ada yang cakap bawa maksud tak baik. Macam-macamlah saya jumpa. Siap ramai gilaaa copy paste hantar sana sini. Akhirnya, mendapat sepakat ulama bahawa ia cuma rekaan sahaja. 

Sekarang timbul pula isu ejaan perkataan "In Shaa Allah". Isu ini saya rasa dah lama pun berlaku. 2012 dulu pun dah disebut-sebut kan? Tapi tak sangka ia berlarutan hingga sekarang. Sampai semalam pun masih ada yang tanya saya soalan tentang isu ini. 

Jadi, artikel kali ini saya akan cuba menjawab dan menjelaskan secara ringkas tentang isu ejaan bagi perkataan "In Shaa Allah" dalam rumi. Sebenarnya saya pun sampai pening baca fakta yang berbeza-beza akhir-akhir ini. Tak kurang ada yang sengaja mengada-adakan fatwa itu dan ini sehingga memberat-beratkan satu-satu amalan. Suka saya ingatkan, kalau anda nak sangat ribuan orang share, like, retweet dan komen satu-satu status anda di laman sosial, tolonglah jangan putar belit hal-hal agama dan jangan sesekali kongsi kenyataan yang anda sendiri tak yakin ia sahih atau tidak. Bahaya, boleh kelirukan ramai orang. Sebaiknya tanya orang lain dulu sebelum kongsi. Minta pendapat ustaz, ustazah yang berdekatan dengan kita. Jangan rujuk blog saya semata. Saya pun tanya-tanya orang juga sebelum menulis. Jadi kalau saya salah, sekurangnya anda dapat betulkan.

Berbalik pada permasalahan ejaan "In Shaa Allah", saya tidaklah pandai bahasa Arab. Tetapi akan cuba jelaskan berdasarkan rujukan dan bantuan dari mereka yang lebih arif. Pun begitu penjelasan ini tidak bermakna saya menolak keterangan atau pendapat-pendapat kalian sekiranya berbeza.

Maksud sebenar "In Shaa Allah" 

 إن شاء الله  jika dikehendaki/diizinkan Allah. 
 إن   jika/sekiranya 
 شاء   dikehendaki/ diizinkan 
 الله  Allah 


 Sebenarnya, ejaan yang macam mana pun anda tulis, selagi mana bacaannya dan sebutannya masih sama. Ia tetap akan membawa maksud yang asal. Maka, tidak salah untuk tulis perkataan In Shaa Allah, InsyaAllah, Insha Allah, atau Insya Allah. Kerana sebutannya sama dan masih merujuk pada maksud yang asal iaitu "jika dikehendaki Allah"

Baiklah, ada beberapa sebab saya katakan, tidak kira apa pun perkataan jawi ini jika dirumikan, sama bacaannya walaupun beza ejaannya, adalah TIDAK MENGAPA. Berikut adalah sebabnya,

 1. Jika anda katakan ianya mesti 3 perkataan.

Kita kiaskan dengan perkataan السلام عليكم, perkataan ini jika kita rumikan akan menjadi Assalamualaikum, betul? jadi bila dirumikan ia menjadi berapa perkataan? satu kan? Sedangkan dalam tulisan jawi pula ada dua perkataan. Kenapa jika perkataan Assalamualaikum dibenarkan pula? Jadi, sebenarnya tidak mengapa perkataan jika dirumikan menjadi 1 perkataan, selagi mana bacaannya tetap sama.

 2. Jika anda katakan maksudnya akan jadi berbeza.

Jawapan saya, tidak jika kehendak bacaan kita memang maksudnya adalah membawa maksud (jika dikehendaki Allah ) dan tidak membawa maksud yang lain. Perkara ini tidak dinyatakan dalam mana-mana nas Al-Quran dan as-Sunnah, namun kita boleh gunakan kaedah fiqh yang dihimpunkan ulama' terdahulu kepada kita hari ini untuk merujuk hukumnya.

kaedah pertama iaitu "setiap perkara bergantung pada NIAT", jadi, pendapat saya, tidak kira ejaan macam mana pun, yang penting niat kita tidak mengubah daripada maksud yang asal. Hukumnya, tiada masalah. Jika ia mengubah maksud yang asal seperti jika Allah diciptakan atau sebagainya, maka barulah hukumnya jatuh haram.

 3. Ada yang kata semua ejaan dibenarkan kecuali "insyaAllah" dan "insya Allah".

Kita tengok perkataan di atas persamaannya adalah, huruf "a" dibesarkan.. Betul??

Jawapan saya, kemungkinan ia di bacakan waqaf pada "insya" (jika dikehedaki) sebab itu dibesarkan huruf A untuk mengagungkan Allah SWT. Jadi, maksudnya ia masih tidak lari dari makna yang asal. betul tak? Merujuk kepada kaedah pertama yang kita belajar tadi kan. Kita juga boleh kiaskan dengan perkataan السلام عليكم jika diwaqafkan perkataan  السلام maka akan menjadi sebutannya (assalam) maka ia akan menjadi (assalam alaikum). Adakah maksudnya akan berubah? Tidak..

Jadi secara kesimpulannya, selagi ia tidak membawa maksud yang berbeza dari maksud yang asal. TIDAK MENGAPA. Allahua'lam. Dan yang pastinya, sentiasa basahi lidah kita dengan nama Allah.

Selesai, hal ini perkara yang kecil, usahlah berat-beratkan sehingga mengelirukan ramai pihak. Mari kita lihat perkara yang lebih besar yang berlaku di hadapan mata kita sendiri. Masalah AQIDAH dan masalah-masalah besar yang lain. Ini kerana title KHILAFAH masih tidak hilang dan tidak akan hilang dalam HATI kita.. Allahu musta'an..

Sebarang pertanyaan, perkongsian pendapat, tinggalkan komen di bawah
Terima Kasih

Kredit Ilmu :
1. Syifa Qistina
2. Ustaz Azhar Idrus

AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
Read More...

Tuesday 28 January 2014

Sayang Encik Meow

16 Komen




Eh! Dia ajak main sembunyi-sembunyi..
Bismillahirrahmanirrahim...

Amaran  Artikel ini tidak sesuai untuk dibaca bagi mereka yang tak suka 
Meow Meow 


Selesai solat Isyak, seperti biasa aku luangkan sedikit masa untuk membaca beberapa artikel blog rakan-rakan blogger. Sengaja nak buat mata ini supaya lekas letih dek merenung monitor komputer riba di tengah malam.

Rubah, kucing paling senior dalam rumah aku awal-awal lagi dah pun mengambil tempat di katil. Seperti biasa selimut oren dan bantal hijau (ada gambar ikan Nemo) jadi pilihan untuk dia hempaskan badannya yang agak besar. (Ya, si Rubah kongsi katil dengan aku). Nyata malam ini dia berkeras tidak mahu lelapkan mata selagi lampu bilik tidak dipadamkan untuknya. Ada saja gelagat dibuat untuk cuba menarik perhatian aku. Aku malas untuk memandang. Hiraukan saja dia. Sampaikan sengaja dia berjalan selamba atas komputer riba tanda protes! Jadi, terpaksalah tutup lampu untuk biarkan si gemuk itu tidur dan tak ganggu aku.

Rubah (grooming dulu sebelum tidur)
Al-maklumlah, bila lampu sudah padam, aku pun matikan komputer riba dan bergegas ke bilik mandi (cuci muka, whuduk). Malam ni terasa nak lelapkan mata lebih awal dari biasa. Haa.. Bila bilik dah gelap, Encik Rubah automatik mendapatkan kedudukan lebih selesa untuk mimpi indahnya (agaknya mimpi makan whiskas dengan limpahan sos ikan! hehe). Sementara aku tunggu nak lelap mata, sengaja aku ganggu Encik Rubah yang selesa dengan posisi mengiringnya. Ditepuk-tepuk perut si gemuk ini macam gendang. Walaupun agak cerewet kucing aku yang ini, tapi dia budak baik. Selalu faham aku. Macam biasa, setiap malam Encik Rubah akan sondol kepala di bahu aku minta diusap kepala. Layankan saja sebab selalunya time usap kepala dia ni, aku pun akan sama belayar dalam bahtera mimpi.

Jam 2.17 pagi

Terjaga. Encik Rubah bising lagaknya macam kucing gila. Geram sangat. Dipijaknya pula lengan kanan aku dengan kedua kaki depan dia. Seramlah jugak bila tengah-tengah malam macam ni mata Encik Rubah terbeliak bulat pandang aku bukan main lagi. 

       'nak apa budak sekor ni!' 

Berulang kali Encik Rubah naik turun katil dan berlari ke pintu. Jadi waktu tu aku cuma fikir Rubah nak buang "poo poo" (buang air) dan minta buka kan pintu. Tapi selalunya time Subuh baru dia nak buang hajat pun. Ini awal sangat. Hmm.. Aku turutkan saja, risau nanti katil aku jadi toilet.

Bila buka saja pintu bilik, terus nampak pulak Lucy dan Louis baring tepat depan pintu dengan muka comel dan perut bulat kekenyangan. Nasiblah aku tak pijak. Encik Rubah tiba-tiba dengan penuh gaya jemput budak berdua tu masuk. Lah... aku ingatkan nak pergi 'tunaikan hajat' tadi. Rupanya minta aku buka pintu sebab nak ajak dua ekor ni masuk. Entahlah, malam ni aku rasa ketiga-tiganya berperangai pelik.

 

Lucy dan Louis selalunya tidur di tingkat bawah rumah (ruang tamu), Encik Rubah sekor ni saja yang sibuk nak tidur kat bilik. Lofa pula lebih selesa di luar rumah. Dia tu memang tak nak masuk rumah bila malam. Mungkin sebab terbiasa. Lofa tu stray cat yang Asyraf pernah cerita kudung kaki kanan. Lofa tak suka bergaul dengan kucing lain. Biasalah kucing jalanan, sementara nak biasakan diri sebagai kucing peliharaan. Hidup sebumbung dengan manusia. Jadi aku biarkan Lofa buat pilihan. Supaya dia tak takut.

Okay sambung, alang-alang Rubah dah kejutkan aku bangun tengah malam. Aku bentangkan sejadah dan turun ke bilik mandi untuk segarkan badan dengan whuduk. (Terima Kasih Rubah). Dan seolah faham, ketiga-tiganya melompat naik ke katil untuk beri ruang pada aku tunaikan solat sunat. Alhamdulillah. Selesai saja doa, dush! budak-budak bertiga ni berguling di sejadah. Tiba-tiba saja mata hilang mengantuk. Layankan saja budak-budak ni. Nak nanges pun ada tengok gelagat kucing-kucing aku malam ni. Entahlah, mungkin sebab rasa macam kucing-kucing ni teman baik yang lebih faham aku. Walau tak dapat berkomunikasi dengan satu bahasa. Kami ada cara masing-masing untuk berinteraksi.

Sebenarnya terfikir, bila aku balik ke UiTM semula nanti, dah habis cuti. Tak semua ahli keluarga ada masa yang cukup untuk rawat budak-budak ni. Lagipun tak semua rajin untuk layan perangai cerewet 'anak-anak' aku ni. Siapa nak mandikan kucing, nak beri makan ubat, bawa ke klinik, cuci selimut dan bersihkan tempat 'poo-poo' budak-budak ni. Dan yang pasti aku akan rindu dengan gelagat si gebu ni semua. Rubah, kalau aku dah balik UiTM, mak cakap dia akan tidur dekat luar. Kadang-kadang jelah masuk rumah.

So, kat bawah ni ada gambar-gambar my lovely pets yang masih disimpan. 


Bergusti : Rubah (Calico), Louis (Orange) & Lucy (Grey)
'Sorry gambar Lucy nampak bontot jee. haha.'
Baru balik klinik : Stray Cats
(Kucing liar yang pernah suatu ketika diselamatkan)
Selepas cukup montel dan sihat, aku hadiahkan pada orang yang nak jaga.
Sekarang semuanya selamat di rumah keluarga baru.
Rindu!
Urgh jangan jeles, (2012) Aidilfitri. Tidur dengan Rubah. 
Ini Marble, dah hadiahkan untuk kawan. Comel kan ?
Lucy dan Louis teruja tengok bird. Sampai macam ni jadinya.
Lucy sudah debab!

Lofa posing okeh! makcik ni lebih selesa tidur diluar.
Tapi tempat tidur first class Inche' Asyraf dah siapkan untuk dia
"Lofa"
(Gambar ni waktu minggu pertama jaga dia)
Sombong lagi time ni! Garang gilaaa.. 
Inilah Lucy, Louis dan Lassie time baby.
Lassie (putih) dah tak ada. Kena culik dua bulan lepas :(
Makhluk mana entah culik.
Arghh! Tak nak ingat. Sedih.
Louis sibuk nak tangkap burung lagi
Jadi kalau ada yang tanya, kenapa Asyraf suka sangat dengan kucing? Erm.. kenangan yang ada dalam gambar-gambar ini semua mungkin boleh jadi salah satu jawapannya. 


Sebenarnya banyak lagi gambar, tapi tak larat Asyraf nak masukkan banyak-banyak. hehe. Asyraf ada bela arnab, kura-kura, burung, ikan dan lain-lain. Macam zoo okeh. In Shaa Allah, akan update lagi nanti. Semoga kita semua terus sayang dengan kucing dan haiwan-haiwan yang lain. 

Ada juga yang tanya, "betul tak bela kucing ni murah rezeki kita?"

Entahlah, pada Asyraf, rezeki itu Allah yang tentukan, kalau niat kita ikhlas, pasti ada. Bukannya bela kucing sebab nak rezeki murah semata. Rezeki tak semestinya datang dalam bentuk wang. Rezeki tu boleh jadi ada orang selalu belanja kita makan. Ada jemputan kenduri yang banyak. Dan duit gaji yang sedikit selalu mencukupi. Sebenarnya nikmat rezeki yang berkat itu lebih perlu difikirkan. 

Jaga diri, jaga iman. Sekian. 

AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
Read More...