July 2013 | The Hearabouts

Hi hello, i'm Asyraf. This blog is where i pour my ideas, my thoughts. i scribble, i write and i express. Sorry in advance if there's any hiccups here and there. Enjoy reading. May peace be upon you, upon me, upon us all. Tabarakallah, Keep calm and rock on.
| I'M BACK! |
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَظْهَرَ الجَمِيْلَ وَسَتَرَ القَبِيْحَ
"Segala puji bagi Allah yang menampakkan yang baik dan menutupi yang buruk."

Friday 12 July 2013

Pesan Roh kepada Manusia

4 Komen
PESANAN ROH KEPADA MANUSIA
Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : 

"Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirehat daripada seretan malaikat maut".

Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu : 

"Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh".

Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu : 

"Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh". 

Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.

Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan : 
"Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meniggalkan isteriku menjadi Balu. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya".

Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.
Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: 

"Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku". "Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku". "Adapun didunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku".

Ada satu riwayat daripada Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu. Maka mayat itu menjawab: "Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk daripada anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku".

Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya.
Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur dimukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.

Baginda Rasullullah saw bersabda:
"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah saw lagi:
"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail as akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di Syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail as "Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail as akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah swt menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah swt " Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah swt dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu.

Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud:
"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah swt maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan." Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: Tidak ada jalan bagimu dari arah ini Kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu." Apabila gagal malaikat maut mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah." Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah swt.

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud:
"Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu. "

Sebaik saja mendapat perintah Allah swt maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah swt. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah swt maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar ra telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar ra:
"Roh itu menuju ketujuh tempat:-
1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5.Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7.Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah saw: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-
1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.


Sekian untuk ingatan kita bersama.
Mudah-mudahan diredhaiNya
Copyright Muslim Writer © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012-
--> indexs12
Read More...

Monday 8 July 2013

Kisah Sedekah - "Tisu Yang Berharga"

5 Komen
6 Julai 2013, sekitar jam 12.00 tengahari. Cuaca sangat baik, panas terik hari itu membuatkan bahang hangat matahari terasa sehingga ke dalam kereta. Walau penghawa dingin kereta berfungsi baik, masih pedih kulit ini, Allahurabbi. Aku di tempat duduk sebelah pemandu dan yang memandu kereta ialah sepupu aku, Malek namanya. Kami berbual lancar, berselang gelak ketawa. Masing-masing punya cerita menarik. 

Sampai di suatu simpang susur keluar dari Federal Highway, Malek memberhentikan keretanya kerana lampu Isyarat merah. Sambil menanti giliran lampu isyarat hijau, tiba-tiba muncul seorang wanita tua di tengah-tengah jalanraya yang sesak. Dia berjalan di celah-celah kereta yang lain. Langkah perlahan wanita itu diatur, tangan kanannya nampak lemah mengangkat beberapa bungkus tisu muka. Melambai-lambai ke arah setiap pemandu kereta. Mana tahu ada yang ingin membeli tisu yang dijualnya itu. Namun tak ada seorang pun yang membuka cermin kereta untuk membantu.

"Allah Malek, ada makcik minta sedekah" 

Ayat itu yang pertama keluar dari bibirku dan tangan ini tak henti-henti menepuk bahu sepupu sambil jari lekas menunjuk ke arah makcik tadi. Malek sabar melayan karenah aku. 

"Mana, mana?" 

Tanya Malek dengan nada perlahan sambil matanya mencari-cari makcik yang aku maksudkan. 

Kebiasaannya, peminta sedekah akan membawa tisu bersama mereka. Mengharap ada yang ikhlas menghulur bantuan dan dibalas dengan beberapa bungkusan tisu muka. Samalah dengan makcik yang aku temui hari ini. Makcik tua itu kemudian berjalan perlahan ke arah kereta kami. Tangan kirinya kemas mengenggam dada menahan sakit, bibirnya kering pucat, mukanya gelap terbakar terik panas, kaki kirinya diheret-heret. Barangkali kaki kiri sakit dan cedera. Dahinya berkerut-kerut, jelas menahan sakit. Malek lekas menurunkan cermin kereta. 

Makcik itu mula memandang muka kami. Allahurabbi, Walau tadi muka makcik tua tu berkerut menahan sakit, tapi sekarang dia masih lagi mampu ukirkan senyuman untuk kami berdua. Aku hulurkan wang kertas yang ada dari poket kiri. Alhamdulillah rezeki makcik. Bibir ini hanya mampu senyum membalas senyuman makcik tua itu. Entah kenapa lidah aku kaku tiba-tiba. Hati ini membuak-buak nak bersuara, tapi lidah diam dan bibir bisu. Beri salam untuk makcik itu pun tidak, lambai tangan untuk makcik itu pun tidak. 

Makcik itu masih tersenyum, dia hulurkan dua bungkus tisu muka sebagai balasan, ucapan terima kasih tak henti-heti keluar dari bibirnya. Tiba-tiba saja mata ini berair. Entah apa yang aku fikirkan. Barangkali terlalu kesian. Memikirkan aku yang selesa sejuk didalam kereta. Tapi masih merungut panas dan panas, sedangkan ada insan lain yang tak bernasib baik di luar sana. Bagaimana rasanya jika makcik itu adalah aku atau dia ibu aku. Tak mungkin kami sesabar dan sekuat dia. 

Aku pandang Malek. Malek tersenyum tenang. Dia baik orangnya, apabila lampu isyarat bertukar hijau, kami meneruskan perjalanan seperti biasa. Tangan aku masih genggam bungkusan tisu muka yang diberi makcik tua tadi. Marah pada diri sendiri sebab tak bercakap dengan makcik tadi. Masa cepat sangat berlalu, dalam beberapa minit, makcik tua tadi hilang dari pandangan. Aku tertunduk dan mula mendiamkan diri. Tak puas hati dengan diri sendiri.

Malek mula bersuara, dia menjelaskan tentang kebaikan bersedekah. Bagaimana mahu ikhlas dalam bersedekah. Sesekali dia soal aku tentang orang yang berkira wang ringgit untuk bersedekah. Alasan kita kadang-kadang seolah tak boleh diterima, katanya takut peminta sedekah itu sindiket la, pura-pura sakit dan menipu untuk dapat duit kan? Sedangkan kita silap, kita suka melatah awal, belum membantu tapi sudah buruk sangka. Walau hakikatnya kadang-kadang alasan sangkaan kita itu betul. Tapi perbuatan dan amal sedekah kita itu sudah dikira. Pahala amalan tetap kita peroleh. Soal peminta sedekah itu tipu. Itu urusan mereka dengan Allah Taa'la. Yang penting kita sudah bersedekah. Sebenarnya mudah, tanya diri sendiri "Aku nak bersedekah atau nak jadi hakim dunia? Menilai manusia ikut suka dengan buruk sangka"

Kata Malek lagi, tugas orang kaya adalah berfungsi sebagai pemberi rasa kepada orang yang tidak bernasib baik. Maksudnya, apa yang kita makan, itu jugalah yang selayaknya kita beri orang miskin makan. Sama kongsi rezeki Allah SWT. Katanya lagi, dunia ini jadi baik sebab kita, bukannya kita jadi baik sebab dunia.

Semua orang inginkan redha Allah, usah banyak alasan kalau ingin membantu. Kita manusia banyak buruk sangka, banyak rungutan, banyak alasan daripada 'sedekah'. Sedekah dua ringgit, tapi merungut dan mengungkit tentang wang sedekah itu berbulan-bulan lamanya. Macam mana Allah nak terima amalan kita sayang?. Hilang sudah ikhlas. Mari muhasabah. Kalau terjumpa peminta sedekah, bantulah. Sedikit yang kita hulur, lebih banyak yang Allah balas. Belum ada hamba Allah yang jatuh miskin kerana hartanya digunakan untuk bersedekah. Kalau kita sedar, Allah selalu sangat beri kita peringatan, harini kita lupa nak bersedekah, kemudian Allah sengaja temukan kita dengan kucing liar minta makanan sebagai wakil. Esok kita lupa lagi, kemudian Allah sengaja pertemukan kita dengan tabung derma dan begitulah seterusnya. Tapi pernah tak kita hulur? 

Mana tahu kucing kecil yang datang merayu minta makanan sebenarnya bersuara sebaliknya 

"Wahai Tuan, aku ini wakil daripada Allah Taa'la untuk mengujimu. Apa kamu terlupa untuk berkongsi secebis rezekimu denganku harini?"

Semoga cerita ini mampu dijadikan muhasabah diri. Tanya diri kita, apa matlamat sebenar hidup. InsyaAllah. Ringan-ringankanlah tangan untuk membantu. Yang penting, IKHLAS.

Apa pun, dua bungkus tisu yang makcik tua itu beri, saya masih simpan. Sayang nak guna. Tisu yang Berharga.

Dari Abu Hurairah , ia berkata : Rasulullah SAW bersabda 
“ Barangsiapa meringankan seseorang yang berada dalam kesulitan di dunia ini , nescaya kelak Allah akan meringankan dirinya di dunia mahupun di akhirat ,” 
( HR Muslim )

Selamat Beramal Sahabat, Barakallah.



Copyright Muslim Writer © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012-
--> indexs12
Read More...