October 2014 | The Hearabouts

Hi hello, i'm Asyraf. This blog is where i pour my ideas, my thoughts. i scribble, i write and i express. Sorry in advance if there's any hiccups here and there. Enjoy reading. May peace be upon you, upon me, upon us all. Tabarakallah, Keep calm and rock on.
| I'M BACK! |
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَظْهَرَ الجَمِيْلَ وَسَتَرَ القَبِيْحَ
"Segala puji bagi Allah yang menampakkan yang baik dan menutupi yang buruk."

Wednesday 22 October 2014

Asyik, asyik cerita Palestin. Kenapa?

6 Komen

Jenayah kejam rejim Yahudi Zionis di Palestin dan di kawasan-kawasan sekitarnya bukanlah sesuatu yang baru di dalam sejarah peradaban dunia moden. Beberapa dekad pasca Deklarasi Balfour 1917 menyaksikan penghijrahan Yahudi Eropah dan Rusia secara pukal ke bumi istimewa ini yang kemudiannya diikuti oleh penjajahan yang sistematik sehingga hilanglah nama Palestin dari peta dunia moden. Peliknya, dunia antarabangsa terus menjadi saksi bisu terhadap rentetan kekejaman bangsa yang sungguh biadap lagi sombong ini.

sabra_shatila-1
Tragedi Sabra-Shatila 1982

Tragedi Deir Yassin, Nakbah 1948, Naksah 1967, Sabra Shatila 1982, Khalil, Jenin, Gaza  dan ratusan lagi siri keganasan rejim Zionis Israel ini bukanlah satu yang rahsia lagi. Masyarakat antarabangsa dan umat Islam hanya mampu menonton, mengutuk atau sekadar bersimpati dengan nasib malang rakyat Palestin. Selagi kuasa besar dunia menjadi boneka yang bersekongkol dengan Pertubuhan Zionis Sedunia, maka selagi itulah siri jenayah ini akan terus bermaharajalela.

Namun begitu masih ramai di kalangan umat Islam di seluruh dunia samada di negara-negara Arab atau di negara-negara Islam lainnya termasuk negara kita sendiri masih begitu naif terhadap permasalahan Palestin yang merupakan isu terbesar umat di abad ini.

Kenapa kita patut sibuk dengan isu Palestin?

Jerusalem

Isu Palestin adalah isu umat Islam sejagat. Kenapa tidak, di situlah letaknya Masjid al-Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat Islam dan tempat berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Masjid ini adalah masjid yang ke dua dibangunkan di muka bumi selepas Masjid al-Haram dan merupakan masjid yang ke tiga suci di sisi Allah SWT. Di bumi inilah telah dihantarnya para nabi secara berkesinambungan termasuklah Nabi Ibrahim, Nabi Sulaiman, Nabi Daud, Nabi Musa, Nabi Isa dan lain-lainnya untuk mengajak manusia agar beriman kepada Allah, Tuhan yang Esa.

Bumi ini telah dijajah silih berganti oleh bangsa Yahudi, Rom dan Parsi sehinggalah ianya dibuka kembali oleh Umar al Khattab yang telah mengisytiharkan bahawa bumi ini adalah tanah wakaf milik umat Islam sehingga ke akhir zaman. Selepas itu, Palestin terus dinaungi keamanan dan keadilan di bawah pemerintahan Islam untuk ribuan tahun kecuali di abad ke 12 Masihi apabila bumi ini dinodai dengan kekejaman tentera salib. Namun Palestin telah dibebaskan semula oleh Solahuddin al-Ayyubi yang berketurunan  Kurdi. Tidakkah semua ini menjadi bukti yang kuat bahawa isu Palestin bukan sekadar isu orang Palestin sahaja, bukan isu orang-orang Arab sahaja bahkan isu Palestin adalah isu kita, isu umat Islam sejagat?

Benarkah dakwaan Yahudi bahawa mereka adalah penduduk asal Palestin?

Dakwaan ini sebenarnya adalah fakta sejarah yang telah dipalsukan Yahudi. Rakyat Palestin hari ini adalah keturunan kaum Kan’an yang telah mengasaskan Palestin sejak 4500 tahun dulunya. Ketika Bani Israel mendatangi Palestin, telahpun wujud lebih 200 penempatan di bumi Palestin yang menunjukkan bahawa bukanlah mereka pengasas bumi istimewa ini.

Old Palestine

Tidak kita nafikan bahawa Bani Israel pernah memerintah Palestin selama kira-kira 4 abad di sekitar zaman Nabi Daud dan Nabi Sulaiman tetapi kerajaan mereka turut hancur sebagaimana yang telah berlaku kepada kerajaan Firaun, Greek dan Roman disebabkan kefasadan tangan dan kaki mereka sendiri sehingga  mereka semua disingkirkan dari bumi rebutan ini.

Mana-mana bangsa dan tamadun yang celik tentang sejarah peradaban mengakui bahawa Islam adalah pemerintah Palestin yang paling lama dan paling adil sehinggalah berlakunya penjajahan Palestin oleh bangsa Yahudi Zionis yang sombong lagi kejam sejak awal abad ke 20 Masihi.

Jadi, adakah umat Islam memusuhi Yahudi?

naturae karte
Neturei Karta menolak Zionism dan penjajahan Palestin

Sesungguhnya kita tidak memusuhi atau memerangi mereka kerana semata-mata mereka berbangsa atau beragama Yahudi. Sejarah peradaban kemusiaan yang panjang telah membuktikan keadilan Islam kepada semua umat manusia termasuk Yahudi dan bangsa-bangsa serta agama yang lain.

Mereka pernah hidup bersama orang-orang Islam di dalam tempoh yang berabad-abad lamanya dengan menikmati perlindungan dan keadilan daripada pemerintah Islam. Namun mereka kerap diusir oleh semua bangsa di dunia disebabkan kejahatan dan makar yang menjiwai kehidupan mereka seperti yang pernah berlaku di Rusia, Sepanyol, Jerman dan lain-lainnya.

Namun umat Islam kini tidak punyai pilihan dalam berhadapan dengan kezaliman, keganasan dan kerakusan Yahudi Zionis hari ini yang bertindak menjajah bumi Palestin, mengusir penduduk asalnya yang sah, menodai kesucian tempat-tempat yang mulia, melakukan pembunuhan dan penderaan serta ribuan tindakan yang bersifat kebinatangan oleh bangsa yang sombong ini.

Oleh itu, umat Islam mesti bangkit berjuang dan mempertahankan hak-hak asasi mereka daripada dibaham dan diperkosa oleh Zionis Israel ini.

Bukankah Islam agama yang mengajar kepada perdamaian?

Sesungguhnya Islam mengajar umatnya untuk berbuat baik terhadap orang-orang bukan Islam sebagaimana perkara ini telah dinukilkan banyak kali di dalam al Quran dan juga hadith Rasulullah SAW.

Namun isu perjuangan pembebasan Palestin sebenarnya mempunyai dimensi yang lebih luas. Ia adalah pertarungan bersejarah antara umat Muhammad dan kaum Yahudi. Mereka pernah cuba membunuh Rasulullah SAW beberapa kali dengan menjatuhkan batu besar ke atas baginda dan cubaan untuk meracuni makanan yang dihidangkan kepada baginda. Mereka juga pernah bersekutu dengan orang-orang musyrikin untuk memerangi Rasulullah SAW di dalam peperangan Khandaq.

Selepas itu mereka melakukan berbagai konspirasi untuk menjatuhkan Khilafah Islamiah dan memecah-belahkan umat Islam di dalam sejarah peradaban dunia yang panjang.

Penjajahan Palestin

Di Palestin sendiri, mereka telah menjajah dengan menduduki lebih daripada 90 peratus tanah milik umat Islam. Lebih daripada 6.45 juta daripada 9.6 juta rakyat Palestin menjadi pelarian yang merempat di negara-negara jiran dan juga di negara mereka sendiri. Perjanjian damai demi perjanjian damai dilakukan tetapi Yahudi Zionis terus melakukan penjajahan demi penjajahan, penangkapan dan penderaan, penindasan dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa. Bagaimanakah dengan nasib malang mereka yang telah berlarutan untuk sekian lama ini? Adakah wajar umat yang dizalimi ini memohon dan menagih perdamaian daripada penjajah yang sombong lagi bongkak di dalam konflik yang tertua di dunia ini?

Habis tu, bukankah orang-orang Arab sepatutnya menolong mereka? Apa kaitan dengan kita?

Arab-League

Isu Palestin bukanlah sekadar isu rakyat Palestin atau orang-orang Arab sahaja. Namun isu ini adalah permasalahan sejagat umat Islam. Rasulullah SAW sendiri yang telah mengatur strategi untuk pembukaan Palestin bukanlah sekadar seorang rasul untuk orang-orang Arab sahaja bahkan untuk umat manusia di seluruh dunia.

Masjid al-Aqsa adalah merupakan kiblat pertama kepada seluruh umat Islam dan tidaklah dikhususkan untuk bangsa Arab semata-mata. Masjid yang merupakan destinasi Isra dan Mi’raj Rasulullah kini berada di dalam keadaan yang bahaya disebabkan rancangan jahat Yahudi Zionis.

Palestin yang pernah dijajah selama 88 tahun di antara 1099 sehingga 1187M oleh tentera salib yang zalim telah bermandian darah apabila lebih 70 ribu umat Islam di Palestin telah dibunuh dengan kejam oleh mereka semasa penjajahan tersebut. Namun maruah umat telah dikembalikan semula oleh generasi pejuang di bawah pimpinan Solahuddin al-Ayyubi. Perjuangan beliau, yang berketurunan Kurdi ini juga menunjukkan bahawa perjuangan untuk mengembalikan maruah umat terutamanya di Palestin bukanlah sekadar tugas dan tanggungjawab orang-orang Arab sahaja bahkan ini adalah isu sejagat buat umat Islam di seluruh dunia.

Ramai lagi rakyat Malaysia yang susah, kenapa pula sibuk bantu Palestin?

Tidak kita nafikan bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang susah serta memerlukan bantuan dan kita semua bertanggungjawab untuk membantu mereka. Namun dengan suasana yang aman serta peluang sampainya bantuan yang agak baik menyebabkan ramai di kalangan mereka ini mendapat sumbangan yang sepatutnya. Amalan kebaikan seumpama ini seharusnya disuburkan di kalangan rakyat Malaysia sehingga ianya menjadi sinonim bahawa kepedulian adalah di antara ciri istimewa kita semua.

Bendera Palestine-Malaysia

Suasana di Palestin amat berbeza sekali. Negara mereka dijajah untuk tempoh yang panjang, penduduk mereka dizalimi dan dihalau keluar dari tanah air mereka, pembunuhan dan penderaan berlaku setiap hari, penodaan tempat-tempat suci dilakukan secara berterusan, hak-hak kemanusiaan mereka dinafikan bahkan bantuan asasi juga turut disekat sejak sekian lama.

Apa yang berlaku di Palestin adalah perancangan jahat Yahudi Zionis yang telah disokong secara terang-terangan oleh kuasa-kuasa besar barat dan PBB yang telah dikuasai mereka.

Adalah menjadi tanggungjawab kita semua di Malaysia sebagai manusia yang prihatin untuk membantu isu kemanusiaan yang telah berpanjangan ini. Apatah lagi sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab terhadap kesucian Baitul Maqdis dan Masid al-Aqsa yang telah diancam bahaya yang telah menjadikan permasalahan ini sebagai masalah induk umat di abad ini.

Hmm.. Kalau begitu saya ingin membantu Palestin, tetapi bagaimana?

Berbagai cara dan kaedah boleh dilakukan bagi membantu perjuangan pembebasan Palestin atau sekurang-kurangnya meringankan bebanan yang dihadapi oleh saudara kita di sana. Diantaranya ialah :

1. Memahamkan diri dan umat bahawa isu ini adalah isu kita bersama dan kita semua bertanggungjawab untuk turut mengerah keringat untuk kejayaannya.
Meningkatkan kesedaran dan pengamalan Islam pada diri kita sendiri, keluarga, masyarakat dan negara kita sendiri.
2. Memberikan sumbangan dana untuk Palestin demi pembebasannya atau meringankan bebanan mereka setidak-tidaknya.
3. Mendidik anak-anak dan generasi muda terhadap kecintaan terhadap pembinaan jati diri dan perjuangan membela Islam dan umatnya.
4. Menyebarkan maklumat mengenai permasalahan ini di kalangan masyarakat samada dengan paparan informasi di kaca televisyen, di dada-dada akhbar, di dalam media elektronik dan ceramah-ceramah serta pameran yang berkaitan dengannya.
5. Melibatkan diri dengan apa jua aktiviti dan sumbangan yang akan membantu ke arah pembebasan masjid al-Aqsa dan Palestin.
6. Menyokong seruan pemboikotan ekonomi ke atas barangan musuh (Zionis) dan juga pendokong mereka.
7. Melibatkan masyarakat Islam dan non-Muslim dalam isu ini di atas asas persefahaman bersama dan menyerlahkan dimensi kemanusiaan. Persefahaman ini adalah bertitik tolak daripada kefahaman yang benar, adil dan berdasarkan kemanusiaan.
8. Melonjakkan isu ini ke persada nasional dan antarabangsa kerana perjuangan pembebasan al-Aqsa dan Palestin adalah isu yang menyatukan cita-cita dan hasrat umat Islam sejagat.
9. Berdoa agar Allah swt memberikan kemenangan kepada umat yang berjuang untuk mencari redhaNya.

Banyak lagi cara yang boleh kita lakukan untuk membantu Palestin. Persoalannya kini, adakah kita telah berbuat sesuatu untuk membuktikan bahawa saudara-saudara kita di sana adalah sebahagian daripada kita?

Sekian, Wallahualam Bissawab.

"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...

Monday 20 October 2014

Saya mahu pegang Anjing. Anjingkah saya?

8 Komen

anjing_jilat


Memang benar, siapalah kita untuk jadi hakim. Siapalah kita untuk tentukan halal haram dan siapalah kita mahu mempertikaikan perkara yang dilaung-laungkan ramai orang sebagai 'amalan baik' dan mesra dengan binatang.

Namun, sebagai seorang Islam, sebagai hamba yang beriman, yakin dan taat pada Tuhannya yakni Allah SWT. Bila mana wujud perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang sesuatu isu itu. Maka, kita yang telah menerima tempias 'was-was' perlulah mengambil pendekatan yang baik dalam membuat keputusan. Bukannya berbalah bagai orang kurang waras.

Secara peribadi, meneliti tentang isu kempen memegang anjing ini, pertamanya masyarakat kita perlu sedar bahawa kempen sebegini sebenarnya telah mengoncang suatu sudut pandang sensitif dalam konteks agama. Sedia maklum, majoriti penduduk yang menghuni Malaysia ialah umat Islam. Sekian lama umat Islam di negara kita dimomokkan dengan hukum memegang anjing adalah haram, walaupun dalam Islam ada syarat yang masih membenarkannya dalam beberapa keadaan tertentu. 

Saya cuba berada di tempat mereka yang sudah sekian lama faham bahawa menyentuh anjing itu adalah haram. Pastinya kempen ini sedikit mengejutkan mereka. Yalah, semua ini membuatkan mereka bertambah keliru. Tiada siapakah yang mahu menjelaskannya? Justeru, ada pendekatan yang lebih baik perlu difikirkan sebelum kempen ini dilaksanakan.

Hukum Memegang Anjing

Menyentuh anjing yang kering mendapat sepakat ulama bahawa ia tidak najis. Namun, perlu diingat bahawa kering itu dalam konteks yang bagaimana. Yakinkah kita tangan kita tanpa butiran peluh-peluh kecil? atau yakinkah kita bulu anjing kering tanpa liurnya?
Memang wujud khilaf dalam kalangan ulama mazhab-mazhab dalam bab tubuh anjing itu najis mughallazah atau tidak. Secara ringkasnya, dalam mazhab syafie menyatakan seluruh tubuh anjing adalah najis mughallazah yakni najis berat (Imam nawawi, Mughni Al-Muhtaj, Khatib Syarbini), selain mazhab syafie (yakni mazhab hanbali, maliki, hanafi) menyatakan hanya air liurnya sahaja najis. Ini berdasarkan hadis:

“Sucinya bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.” 
[Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad]

Jadi, hukum menyentuh anjing memang ada khilaf. Yang pasti, adalah haram jika dengan SENGAJA menyentuh sesuatu yang akan menyebabkan perpindahan najis ke atas tubuh kita. Maka, menyentuh anjing dalam keadaan anjing itu atau tubuh kita sendiri yang basah/lembap/berair, maka haramlah menurut mazhab Syafie kerana najis boleh berpindah.
Kenapa seluruh tubuhnya dianggap najis berat menurut mazhab syafie? Kerana pastinya anjing membersihkan dirinya dengan menjilat. Maka kemungkinan besar air liurnya ada di tubuhnya.
Dalam program kempen menyentuh anjing yang tersebut, adakah peserta dan trainer yakin sepenuh jiwa anjing tersebut tidak menjilat tubuhnya? Dan adakah semua mereka yakin benar anjing atau tangan mereka dalam keadaan kering? Jika terlalu yakin, maaf saya cakap, kurang cerdik namanya. Jika berpegang pada "alaaa.. lepas pegang boleh sertu (samak ikut sesetengah pemahaman orang)", ikut hukum fiqh, sengaja meletakkan diri dalam keadaan menyusahkan juga dibenci agama.
Imam Al-Ramli menyatakan (maksudnya): "Meletakkan (atau menyentuh) najis pada anggota badan adalah ianya haram."

                                          Hukum Memelihara Anjing?

Tiada khilaf dan telah ijmak (sepakat) antara semua ulama-ulama muktabar muttaqaddimin dan mutaakhirin bahawa, tidak dibenarkan seorang Islam untuk membela anjing menjadi haiwan belaan, sebagaimana kita bela kucing, yang kita peluk, cium, belai dan sebagainya, KECUALI membela atas 5 sebab yang dibenarkan, iaitu:

i. Untuk menjaga harta
ii. untuk menjaga tanaman
iii. untuk menjaga ternakan
iv. sebagai anjing untuk memburu
v. menjaga keselamatan keluarga

"Nabi SAW bersabda: Barang siapa memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternak, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirath." 
[Hadis Muttafaq 'Alaih]

Daripada Abdullah bin Umar dia berkata: "Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya." 
[Riwayat Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940]

Juga daripada Ibnu Umar berkata: "Rasulullah SAW memerintahkan supaya membunuh anjing kecuali anjing untuk berburu atau anjing untuk menjaga kambing atau menjaga haiwan ternak."
[riwayat Muslim no. 1571]

"Barangsiapa memelihara anjing tidak untuk keperluan berburu atau penjagaan (harta/keluarga/diri/ternakan/ternakan), maka pahalanya akan berkurang sebanyak satu qirath bagi setiap hari" 
[Hadis Muttafaq 'Alaih]

Daripada Aisyah r.a beliau berkata: “Telah berjanji Jibril dengan Rasulullah akan datang dalam suatu waktu, pada ketika janji itu telah tiba waktunya, Jibril tidak datang. Di tangan Nabi ada sebatang tongkat, maka baginda buang tongkat itu sambil berkata: “Tuhan dan RasulNya tidak akan menyalahi janji”. Kemudian Nabi melihat ke sebelahnya, maka baginda melihat ada anak anjing di bawah tempat tidurnya. Maka baginda bertanya: “Bila masuknya anjing ini?” Siti Aisyah menjawab: “Saya tidak tahu”. Lalu disuruh usir keluar anjing itu. Setelah anjing itu keluar datanglah Jibril dan Nabi terus bertanya: “Engkau berjanji denganku akan datang dan aku menunggu tetapi engkau tidak datang”. Jawab Jibril: “anjing yang berada di rumahmu yg menghalangi aku, kerana Kami (Malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar"
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Syaratnya:
1) HARAM memelihara anjing di dalam rumah
2) WAJIB memberi makan minumnya
3) HARAM mendera atau mencederakannya
4) HANYA atas 5 sebab di atas sahaja

Peserta-peserta program sudah peluk, sentuh, cium dan belai anjing dengan penuh riangnya. Adakah ia dibenarkan? Tidak sama sekali.

Pendek kata, menyentuh atau memegang anjing tidaklah berdosa atau menyalahi hukum Islam dalam beberapa keadaan sahaja dan kita tidak digalakkan memeliharanya sebagai haiwan peliharaan (pets) di dalam rumah.

Saya Tidak Menyokong Kempen Tersebut

Sejujurnya saya menegah kempen memegang anjing yang dianjurkan oleh pihak penganjur dengan beberapa sebab tertentu. 

Pertamanya, pihak penganjur tidak memberi penjelasan dengan baik kepada seluruh masyarakat khususnya umat Islam tentang hukum menyentuh anjing sedangkan penganjur sendiri sedia maklum bahawa masyarakat Malaysia majoritinya adalah umat Islam dan ramai yang berpegang dengan mazhab Imam As Syafie. Ini sedikit sebanyak telah menimbulkan perbalahan besar sesama umat Islam terutamanya di media sosial kerana telah menganggu sensitiviti agama.

Keduanya, kita tidaklah boleh bertukar mazhab sesuka hati, walaupun amalan berpindah-berpindah mazhab diharuskan oleh ulama. Isu berpindah mazhab dibenarkan dengan syarat tidak berlaku talfiq yang diharamkan (berlaku perkara yang tidak diiktiraf oleh ulama Islam). Apakah yang dimaksudkan dengan talfiq? Talfiq di sini bermaksud diharamkan mengumpulkan atau menghimpunkan pendapat ulama di dalam satu masalah. Jika dihimpunkan dua atau tiga pandangan ulama dalam satu masalah, para pelopor mazhab tidak membenarkan dan tidak diakui oleh mazhab tersebut. Contoh, menghimpunkan cara mengambil wuduk mengikut Mazhab Syafie, Hanbali dan Maliki dalam satu ketika adalah tidak dibenarkan. Contoh lain yang lebih mudah difahami. Bolehkah dalam satu waktu seseorang itu memakai tiga jenis pakaian tradisional iaitu Cina, Melayu dan pakaian Panjabi. Ketiga-tiga pelopor pakaian tradisional tersebut tidak mengiktiraf cara pemakaian baju
tradisional tersebut.

Memahami Mazhab Syafie secara umum adalah suatu kewajipan bagi yang berpegang dengan mazhab tersebut. Adapun isu yang timbul dalam masyarakat Islam masa kini ialah kita tidak mendalami serta memahami sesuatu mazhab itu. Sehingga apabila timbul sesuatu kesulitan, kita terus berpindah ke sesuatu mazhab (Hanafi) contohnya, tanpa memahami dengan lebih mendalam. Akibatnya kita terperangkap dalam kekeliruan dan kejahilan di antara dua mazhab tersebut. Situasi ini tidak dibolehkan sama sekali dalam konteks bermazhab.

Syeikh Abd al-Karim al-Khudayr mengatakan bahawa seseorang itu tidak boleh menukar pendapatnya semata-mata kerana sesuatu pandangan itu menyenangkannya atau memilih sesuatu pandangan kerana rukhsahnya (keringanan) semata-mata. Sebaliknya umat Islam boleh memilih sesuatu pandangan berdasarkan dalilnya yang terbaik di kalangan yang lain atau pandangan yang lebih benar. (Lihat Majmu’ Fatawa, halaman 23).

Ketiganya, tiada keperluan penting pelaksanaan kempen tersebut. Banyak lagi perkara dan isu yang perlu dititikberatkan oleh kita sebagai Muslim tetapi kenapa kempen sebegini pula yang diketengahkan? Saya tidak menolak hukum yang membenarkan kita menyentuh anjing, apa yang saya tolak ialah kempen ini. Tak perlulah sampai dipromosikan ia sebagai suatu festival. Jika tujuan kempen adalah untuk mengurangkan rasa takut Umat Islam pada anjing, adakanlah aktiviti amal seperti program beri makan anjing liar atau yang tengah sakit dan sebagainya. Ia lebih menjurus kepada matlamat sebenar. Ini anjing cantik yang memang disayang-sayang, grooming dipeluk cium. Apa sebenarnya yang mahu dikempenkan?



Tidak Menyokong Kempen Adakah Bermakna Saya dan Islam Membenci Anjing?

Tidak, Islam meraikan anjing dan melarang sama sekali kita menzalimi anjing. Malah, dalam al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiringi para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka. Firman Allah: 

“dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).

Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.


Kesimpulan


Kesimpulannya, anjing tetap bukanlah haiwan yang wajar dicaci, dihina, dibelasah, dibunuh sewenangnya, dipukul, diseksa atau apa sahaja salah laku. Anjing tetap haiwan yang wajar diberi kasih sayang dan belas ihsan, kerana ia tetap makhluk Allah. Telah ada hadis panjang mengisahkan tentang seorang yang banyak dosa, yang memberi anjing minum, dimasukkan ke syurga kerana pahalanya memberi minum kepada anjing itu. Namun dalam hadis tu tak ada pun kata si pemberi minum tu peluk cium belai anjing tu. Cukup sekadar memberi keperluan kepada anjing kita dah dapat pahala.

Dalam isu ini, analogi mudah yang saya boleh beri beginilah, kita tahu aurat seorang ibu dengan anak lelakinya ialah pusat hingga lutut. Namun ini bukan bermakna seorang ibu itu boleh berlenggang hadapan anak lelakinya di dalam rumah tanpa baju. 

Suami dihalalkan mencium tubuh isterinya tetapi bukan bermakna ia boleh dibuat di pentas keramaian.

Aurat lelaki di dalam solat ialah pusat hingga lutut, tetapi ini bukan bermakna imam boleh sesuka hati ikat kain pelikat dan mengimamkan solat berjemaah tanpa baju.

Hidup bukan semata hukum boleh tak boleh, haram tak haram, tetapi ada namanya maslahat, kaedah, adab, adat resam, mazhab amalan setempat, budaya, sensitiviti, tatasusila dan banyak lagi yang diambil dihitung kira.

Sekian, Wallahualam Bissawab.



"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...

Thursday 16 October 2014

Pemergianmu dirindui, Abah.

23 Komen



Khas buat Allahyarham ayahanda tercinta.
"ABAH, REHATLAH"

Al-Quran ku aku tutup. Aku letakkan disisi katil, bersebelah dengan satu susuk tubuh yang paling aku sayang – abah.

Aku renung wajah abah yang sedang tidur, dengan saluran bantuan pernafasan berselirat di dada abah. Hembusan nafas abah kuat, lebih dari hari-hari biasa. Aku jadi risau, Aku cuba memandang sekeliling meraih simpati jururawat atau doktor yang lalu lalang namun mereka hanya memandang, dan berlalu. Mungkin sudah biasa bagi mereka keadaan seperti ini.

Aku menghembus nafas perlahan. Pandangan aku masih pada wajah abah. Perlahan-lahan aku letakkan tapak tangan di dahi abah. Panas. Ku capai tuala basah yang sedia ada di kepala katil lalu aku lapkan dahi dan wajahnya dengan lembut. Inilah wajah tua yang penat membesarkan aku selama 20 tahun. Meskipun sudah terlantar hampir 4 hari, wajah abah masih segar. Tiada sebarang kesan atau bekas yang menunjukkan abah sedang sakit. sepertinya abah sedang tidur, tanpa diganggu oleh sesiapa. Seperti mana abah tidur dirumah. Cumanya, sudah beberapa hari abah tidak bangun-bangun.

Rindu.

Rindu dengan suara garau yang sering sahaja menjadi deringan yang mengejutkan tidurku, suara yang sering menyahut panggilan telefonku, dan suara yang sering menegurku tika aku khilaf.

Aku mengalih pandangan pada meter oksigen yang bersambung dengan alat bantuan pernafasan abah. Tidak seperti hari lain, hari ini lebih kadarnya. Aku makin risau. Mata sudah mahu berkaca. Aku tahan. Aku tak nak menangis disisi abah dalam ketika dia memerlukan kekuatan daripada anak-anaknya. Butir kaca tidak jadi berderai. ‘Ya Allah sesungguhnya kau sedang menguji abahku, dan kami sekeluarga, aku redha Ya Allah’ rintih aku dalam diam. Aku terus berada disisi abah. Sesekali aku lapkan badan abah. . Kesian abah demam. Usai itu aku kembali mencapai Quran; aku bacakan untuk kesekian kali.

ABAH

Datang seorang jururawat mahu beri abah susu melalui tiub. Dia cuba pasang alat yang mengesan nadi abah, tapi tak berfungsi. Dia mula memanggil rakan yang lain, memasang mesin mengesan nadi dan degupan jantung. Langsir katil abah ditutup; beberapa doktor mula masuk beserta jururawat. Aku kian cemas tapi hanya mampu menunggu penuh sabar. Seketika itu, dua orang doktor keluar daripada sisi katil abah, menuju ke kaunter ditengah-tengah wad. Kemudian kembali kepada kami. Memanggil aku beserta ahli keluarga yang lain. Doktor maklumkan, jantung abah sudah lemah, oksigen dalam darah juga sudah kurang. Aku memohon izin, untuk mendekati abah. Kami perlu berada disisinya saat ini. Aku, mak, kakak dan adik-adik terduduk di sisi katil abah. Ahli keluarga terdekat lain teresak menahan tangis. Aku kembali bangun, tidak senang duduk aku melihat keadaan abah. Lafaz syahadah ringkas aku bisikkan bersilih ganti dengan mak. Beberapa minit kemudian, tangan abah yang sekian lama kaku saat berada dalam koma bergerak perlahan qiam ke atas dada. Tersentak ketika jantung aku.

Nafas abah terhenti. Titisan air mata abah mengalir ke pipinya. Aku usap perlahan.

Doktor sahkan abah sudah pergi jam 7.15 malam.

Secepat itu dia pergi…

Tiada kata yang dapat gambarkan perasaan aku ketika itu. Insan yang paling aku sayang dunia akhirat, sudah pergi meninggalkan aku. “Ya Allah, aku redha dengan ujian Mu..”

Aku melangkah perlahan masuk melepasi langsir yang menutupi katil abah. Tangan aku hulur, aku capai kaki abah, aku usap perlahan-lahan. Seluruh tubuh abah aku sentuh. Aku lihat wajah abah. Tenangnya abah tidur. Wajah abah tersenyum. Ya Allah kuatkanlah aku..

Tika semua mula beredar daripada katil abah. Tinggal aku bersendirian dengan abah. Aku kucup dahi abah semahu-mahunya, aku cium badan abah, aku cium tangan abah. Seboleh-bolehnya aku mahu cium semua anggota badan abah. Inilah abah yang membesarkan aku. Inilah abah yang aku sayang dunia akhirat.
Aku tahan air mata daripada mengalir. Aku berkata dalam hati,”mesti abah ada dekat sekeliling ni kan, abah tengok la kita tak nangis, kita kuat, kita kan anak abah yang kuat. Maafkan angah abah. Sampai sini sahaja Allah izinkan kita bersama” rintih aku dalam hati. Namun, hati ini terlalu rapuh. Akhirnya berkaca juga. Aku tahan dan tidak tertumpah disisi abah.

Aku uruskan segala dokumen untuk membawa pulang jenazah. Sebagai anak lelaki sulung, aku bertanggungjawab ke atasnya. Aku mengiringi abah ke dalam van jenazah untuk pulang ke rumah. Namun aku tidak ikut serta. Aku biar adik-adik dan mak berada sama dekat dengan abah sepanjang perjalanan pulang. Sempat aku bisikkan pada abah, “Abah, sekarang kita nak balik rumah ni, nak jumpa nenek dengan semua, abah mesti tak sabarkan nak balik rumah, dah empat hari abah tak balik rumah, semua orang rindu abah”, aku ucap perlahan disisi abah.

Sampai dirumah, ramai yang sudah menunggu. Abah dibaringkan disudut ruang rumah. Ramai orang mengelilinya. Malam berlalu pergi. Aku temankan abah semalaman diiringi bacaan yassin tanpa henti sementara menunggu hari pengebumian esok.

Keesokannya, aku turut serta dalam urusan memandikan dan mengafankan abah. Tika memandikan abah, terasa tidak puas rasanya aku lapkan badan abah. Setiap genap aku gosok supaya abah bersih dan wangi. Dengan perlahan aku jiruskan air pada badan abah.

Aku kemaskan rambut abah. Aku pakaikan abah dengan kain putih serta wangi-wangian. Aku tunaikan juga hasrat abah yang ingin aku sarungkan jubah konvokesyen aku pada tubuhnya minggu hadapan. Namun , jubah konvokesyen aku gantikan dengan yang lebih baik, yakni kain putih. Wangi sungguh abah ku. Kemudian, untuk terakhir kali wajah abah ditatap, aku memandang penuh sayu. Itulah untuk terakhir kali aku melihat wajah abah. Wajah kesayangan aku dunia akhirat. Aku cium dahinya. Terasa tidak mahu ku lepaskan ciuman itu.

Saat jenazah abah diusung keluar dari rumah, aku mengetuai kumpulan usungan keranda. Imam memberi isyarat untuk aku mula berbicara,
"Assalamualaikum semua, saya... anak kepada arwah, jika arwah abah ada melakukan apa-apa kesalahan dengan tuan-tuan sepanjang hayatnya, maafkanlah. Dan jika arwah abah ada berhutang dengan sesiapa sekalipun, datanglah berjumpa dengan saya atau ahli keluarga yang lain. Semoga abah tenang di sana nanti. In shaa Allah."

Ucapan aku terhenti, semua yang hadir mengangguk faham dan mengaminkannya. Keranda abah terus diusung menuju ke van jenazah. Kali ini jenazah abah di bawa ke masjid. Ketika solat jenazah, aku sembahyang dihadapan sekali, sambil mata aku pandang tepat di keranda pada bahagian wajah abah. Selepas doa dibacakan aku terus duduk dan mencium keranda abah. Air mataku mengalir. Aku seka perlahan. Sekali lagi Imam memberi isyarat untuk aku memulakan bicara kepada jemaah yang hadir. Aku mengangguk perlahan dan memandang sekeliling. Kali ini jemaah yang turut serta sembahyangkan jenazah abah cukup ramai. Wajah sahabat-sahabat abah dan anak-anak muridnya penuh mengisi ruang masjid. Suasana cukup suram. Selepas selesai aku berbicara mewakilkan abah, keranda diusung ke tanah perkuburan.

Disinilah tempat yang memisahkan kami. Aku bersama-sama adik membantu menurunkan keranda abah ke liang lahad. Aku masuk bersama ke liang lahad untuk urusan pengebumian. Hanya iringan doa bersama abah saat itu. Namun sedikitpun air mata aku tidak mengalir. Aku yakin Allah sebaik-baik penjaga. Sebaik mana pun kami menjaga abah di dunia ini, penjagaan Allah adalah yang terbaik. Sebab itu Allah jemput abah pulang.

Abah. Dialah tempat aku mengisi lompangnya hidup sebagai anak. Dialah pelindung yang membesarkan aku menjadi dewasa. Dialah pemberi semangat saat jiwa aku gelora. Ya Allah, kau ampunkanlah dosa abah, kau tempatkanlah abah dalam kalangan yang beriman, dalam kalangan mereka yang kau beri rahmat, kau peliharalah abah sebagaimana abah memelihara aku sejak daripada kecil lagi. Amin Ya Rabbal Alamin..

Abah, berehatlah.. Kami menyusul abah nanti.. Aku sayang abah..



Khas buat Allahyarham ayahanda tercinta,
Pemergianmu dirindui.

Al-Fatihah.
Khalib Zakaria 
(1964-2014)

"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...