Harga Sebuah Kalimah : Allah | The Hearabouts

Hi hello, i'm Asyraf. This blog is where i pour my ideas, my thoughts. i scribble, i write and i express. Sorry in advance if there's any hiccups here and there. Enjoy reading. May peace be upon you, upon me, upon us all. Tabarakallah, Keep calm and rock on.
LIKE!
| THANK YOU |
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَظْهَرَ الجَمِيْلَ وَسَتَرَ القَبِيْحَ
"Segala puji bagi Allah yang menampakkan yang baik dan menutupi yang buruk."

Follow

Saturday, 19 October 2013

Harga Sebuah Kalimah : Allah

5 Komen
Allah.. Allah.. Allah..
Akhir-akhir ini, berlaku perbalahan juga perdebatan antara beberapa pihak di Malaysia tentang suatu isu yang saya fikir bukanlah untuk dibuat bahan mainan, bukan juga untuk ditendang ke sana ke mari ibarat sebiji bola. Isu penting, dan semua perlu ambil tahu iaitu sebuah Kalimah suci, Allah! 

Adakah perlu dipertahankan atau dibenarkan penggunaan? Pejam mata? Tepuk tangan? Buat tak tahu? atau apa? Dimana silapnya? Pihak mana betul? 
Saya dan anda bagaimana?





Gambar Atas:  
Antara keratan akhbar dan beberapa artikel isu Kalimah Allah 
yang sempat saya himpunkan
(Klik pada gambar untuk besarkan gambar)



Harga Sebuah Kalimah



Baiklah, abaikan perdebatan tadi. Selepas membuat rujukan dan bertanyakan pandangan beberapa pihak yang lebih arif. Jadi, artikel kali ini saya pilih untuk selitkan pandangan daripada Datuk Zulkifli Noordin sebagai renungan dan rujukan bersama. Selamat Membaca.


Begini kata beliau :

Rupanya masih ada lagi dikalangan mereka yang mengaku Islam diluar sana yang menjadi keliru dan beku dalam isu kalimah ALLAH. Pelbagai persoalan dilontarkan sehingga ada yang melakukan syirik tanpa menyedarinya. Lebih parah ada yang menjadi kufur tanpa sedar.

Semuanya akibat mempolitikkan isu ini. Ada yang terlalu ghairah nak mencari populariti, walau bergelar agamawan dan ilmuwan dengan ijazah berjela sampai PhD pun ada; tetapi tenggelam dalam kesyirikan dan kekufuran. Mereka bukan sahaja syirik dan kufur, malah mensyirikkan dan mengkufurkan pengikut dan penyokong mereka, na'uzubillah.

Antara isu dan persoalan yang mereka bangkitkan untuk menghalalkan kristian menggunapakai kalimah ALLAH adalah seperti berikut:


1. 'Arab kristian dah lama pakai!


Tiba-tiba semua orang jadi pakar bahasa 'arab! Siap dengan segala analisa dan kupasan, tanpa sedikit pun menyedari bahawa bahasa 'arab dan bahasa Melayu sangat berbeza.


Dalam bahasa 'arab, terjemahan bagi perkataan 'god' ialah 'allah'. Ini kerana sejak Adam a.s lagi, perkataan god yang diketahui mereka ialah allah.

Kalimah ALLAH dalam bahasa arab ditulis seperti berikut: الله


Dalam bahasa arab, mereka tidak membezakan antara nama am (common noun) dengan nama khas (proper noun) melalui tulisan, berbeza dengan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.


Bagi kita orang Melayu, kita boleh membezakan antara nama am dengan nama khas melalui tulisan, walaupun ejaan dan bunyinya sama. Contohnya:
Perkataan 'bush' dengan 'Bush'.

Apa perbezaan antara kedua perkataan ini?

Ejaan dan bunyi sama sahaja. Tetapi bila melihat tulisan perkataan 'bush', kita orang Melayu terus faham itu adalah 'nama am' bermaksud semak.

Tetapi bila melihat tulisan 'Bush', kita tahu itu nama khas, nama orang, nama bekas Presiden Amerika!

Bahasa Melayu membezakan 'nama am' dengan 'nama khas' melalui penggunaan huruf kecil dan huruf besar.

Tetapi dalam bahasa arab, tidak ada perbezaan penulisan perkataan.

Perkataan nama khas 'Allah' dan nama am 'allah' ditulis sama sahaja iaitu: الله


Orang arab bila melihat tulisan itu mereka faham. jika yang menyebutnya bukan Islam, mereka faham itu terjemahan nama am bagi perkataan 'god'. Atau dalam tulisan rumi, mereka faham 'allah' itu ialah ganti nama am perkataan 'god'.

Tetapi bila yang menyebutnya Muslim, orang Islam, mereka faham itu nama khas bagi God; atau lebih tepat dalam tulisan rumi bahasa Melayu 'ALLAH'.


Itulah perbezaannya. Ini namanya 'uruf al-balad. Kefahaman setempat. Apa yang difahami di Arab tidak sama dengan apa yang difahami di Malaysia. Walaupun perkataan itu sama. Bila orang arab sebut haram, itu mereka faham sebagai Mekah atau Masjid Nabawi. Tetapi orang Melayu faham lain.


Bila orang Indonesia sebut 'Bapak Ayam membutuhkan Pak Itik', orang Indonesia faham Bapak Ayam memerlukan Pak Itik. Tetapi bagi Melayu Malaysia, itu maksudnya Bapak Ayam meliwat Pak Itik (perumpaan sahaja tidak ada kena mengena dengan sesiapa samada yang hidup apatah lagi yang dah padam)!

Lain padang, lain belalang. Lain tempat, lain kefahamannya. Itulah 'uruf al-balad.

Sebab itu kita tidak boleh kata memandangkan kristian arab pakai kalimah 'allah', maka kristian Malaysia sini pun boleh pakai. Bagi orang arab, ini persoalan bahasa. Bagi kita ini soal aqidah, nama ketuhanan.


2. Jadi apa nama tuhan yang digunakan oleh Arab Kristian?

Sebab itu bila kita tanya orang kristian arab apa nama tuhan dia, mereka tidak akan sebut 'ALLAH'. Sebaliknya mereka akan sebut seperti berikut:


بِاسْمِ الآبِ وَالاِبْنِ وَالرُّوحِ الْقُدُسِ


Atau dalam tulisan rumi ditulis seperti berikut: 

"Bismil-Ābi wal-Ibni war-Rūḥil-Qudus"

Maksudnya: 
Dengan nama Tuhan Bapak, Tuhan Anak dan Ruh Kudus; 
In the name of The Father, The Son and The Holy Spirit!


Dan orang arab kristian tidak menggunakan nama 'Jesus' sebaliknya mereka menggunakan perkataan Al-Masīḥ atau أَلْمَسِيح atau Yasu - iaitu terjemahan perkataan  atau Yeshuadalam bahasa Hebrew.


Jadi kita orang Melayu tidak sepatutnya keliru atau dikelirukan dengan hujah sesat menyatakan memandangkan kristian 'arab boleh pakai kalimah allah, maka kristian Malaysia pun boleh guna! Itu adalah pendapat yang sesat lagi menyesatkan!


3. Kenapa kristian tidak terjemah ganti nama 'god' dengan perkataan lain?

Itulah yang menjadi persoalannya sekarang. Perkataan 'god' dalam Bahasa Inggeris sepatutnya dan betulnya bila diterjemahkan ke Bahasa Melayu ialah dengan menggunakan perkataan 'tuhan', bukan 'allah'.


Kita orang Melayu tidak terjemah perkataan 'God The Father, God The Son & God The Holy Spirit' dengan 'Allah Bapak, Allah Putra & Allah Roh Kudus'.


Kita tahu itu tidak betul. Sepatutnya diterjemahkan dengan betul ke Bahasa Melayu dengan perkataan 'Tuhan Bapak, Tuhan Anak & Tuhan Roh Kudus'. Itu baru betul!


Atau mereka boleh terjemah menggunakan perkataan Hebrew iaitu Eli atau Eloi atau Elohim (semuanya bermakna 'god' dalam bahasa Hebrew dan memang digunakan dalam Kitab Perjanjian Lama sehingga sekarang). Maka ia akan jadi 'Eli Bapak, Eli Putra & Eli Roh Kudus'.


Kenapa mereka berdegil mahu terjemah perkataan 'god' dengan menggunakan kalimah ALLAH saya pun tidak tahu! Adakah mereka mempunyai agenda tersirat?

Tetapi kalau ikut pendedahan majalah mereka sendiri Christianity Today (dikeluarkan di Chicago, Amerika Syarikat terbitan bulan Julai 2009) yang dengan jelas menyatakan “penggunaan kalimah Allah (dalam terjemahan versi Melayu-Indonesia) adalah suatu usaha strategik kalau bertujuan untuk membuatkan mereka meemahami siapa Christ! Jika kalimah ALLAH tidak digunakan akan menyebabkan umat Islam tidak akan membaca Bible!”.
(sila rujuk SINI di mukasurat 2).


4. Habis macam mana kristian nak nyanyi lagu Negeri Kedah?

Ada yang lebih teruk berhujah, 

"kalau macam tu kristian dan non-muslim lain tidak boleh lah menyanyikan lagu negeri Kedah!"

Lirik Lagu Kebesaran Negeri Kedah

Allah Selamat Sultan Mahkota
Berpanjangan Usia Di Atas Takhta
Memelihara Agama Nabi Kita
Negeri Kedah Serata-rata


Saya sampai menggelengkan kepala...Hmmm..


Jawapannya, dalam konteks lirik lagu Negeri Kedah diatas, kalimah ALLAH dalam lirik ALLAH selamat Sultan Mahkota itu membawa maksud ALLAH Hu-Ahad, ALLAH Maha Esa, ALLAH Yang Satu.


Sesiapa pun yang menyanyi lirik lagu itu faham, atau kena faham ianya membawa maksud ALLAH-Hu-Ahad, ALLAH Maha Esa, ALLAH Yang Satu! Ia tidak pernah bermaksud, dan tidak diniatkan sebagai Allah-Hus-Salis, Allah Tiga Dalam Satu, Allah Triniti, Allah Bapak, Allah Putra & Allah Ruh Suci!


Bukan...bukan... dan bukan!!!


5. Lencana Polis, Askar macam mana?

Ada juga memberi hujah, 

"habis polis bukan Islam pakai lambang atau lencana ada kalimah 'ALLAH' macam mana?"


Sekali lagi, seperti soalan lagu Negeri Kedah, kalimah ALLAH yang tertera di lencana polis, tentera atau mana-mana di Malaysia ini membawa maksud ALLAH-Hu-Ahad, ALLAH Maha Esa, ALLAH Yang Satu. Ia tidak pernah bermaksud, atau diniatkan sebagai Allah-Hus-Salis, Allah Triniti, Allah Tiga Dalam Satu, atau Allah Bapak, Allah Putra & Allah Ruh Kudus!!!


Samada yang memakai lencana tertera kalimah ALLAH itu bangsa Melayu, Cina, India, Punjabi, atau beragama Islam, Kristian, Hindu, Budha, Sikh atau Tao; maksud kalimah ALLAH dilencana atau lambang polis, tentera dan lain-lain itu ialah ALLAH-Hu-Ahad, ALLAH Maha Esa, ALLAH Yang Satu!


6. Dalam Al-Quran kafir sebut kalimah ALLAH!

Ini hujah yang cukup popular dikalangan peliwat democrazy dan para parasit pelesit dan yang sewaktu dengannya!

Mereka akan mencemek bibir sambil berkata, Allah sendiri berfirman dalam Al-Quran seperti berikut:


'Dan sesungguhnya jika engkau (Muhammad) bertanya kepada mereka (kafir dan musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan(untuk faedah makhluknya)?. Sudah tentu mereka akan menjawab ALLAH. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan ALLAH dan mematuhi perintahNya?'.
Al-Ankabut: 29-61 (rujuk juga Al-Ankabut: 29:63-66)


Maka bertempiklah para peliwat democrazy dan parasit pelesit dengan penuh ketakburan! Tengok, ALLAH sendiri kata kafir guna kalimah ALLAH dalam menjawab soalan yang ditanya!


Begini, dalam ayat-ayat seperti ini, kalimah ALLAH digunakan dalam bentuk rubbubiyah; dalam bentuk sifat. Sifat ALLAH sebagai pencipta langit, sifat ALLAH sebagai pencipta bumi, sifat ALLAH sebagai penurun hujan, sifat ALLAH sebagai pemberi nyawa, sifat ALLAH sebagai pencipta matahari, bulan, bintang, cakrawala, lembu, unta, dan macam-macam lagi sifat ALLAH.


Kalau non-Muslim hendak menggunakan kalimah ALLAH dalam bentuk rubbubiyah, pakailah. Kita tidak ada masalah. Cuma jaga adab dan syarat penggunaan. Seperti jangan pakai dalam toilet, jangan pakai sambil nak beli nombor ekor, jangan guna masa nak berliwat atau berzina, jangan pakai masa nak makan babi, dan lain-lain syarat seperti yang ditetapkan syara'.

 
7. Habis tu, kenapa kita larang kristian gunakan kalimah ALLAH?

Kita menentang kristian di Malaysia ini guna kalimah ALLAH kerana mereka mahu memakainya dalam bentuk uluhiyyah, iaitu dalam bentuk i'tiqad atau aqidah.yang syirik dan kufur!

Iaitu mereka mengatakan ALLAH itu Allah-Hus-Salis, Allah Triniti, Allah Tiga-Dalam-Satu, Allah Bapak, Allah Anak & Allah Ruh Kudus.


Mereka telah, samada dengan sengaja atau tidak, telah menyalahgunakan kalimah ALLAH!


Mari kita lihat bagaimana contoh-contoh kalimah ALLAH yang telah disalahgunakan untuk membawa maksud yang mensyirikkan, bahawa kalimah ALLAH itu adalah Allah-Hus-Salis, Allah Triniti – Tuhan Tiga Dalam Satu iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Tuhan Ruh Kudus.

1. Disebut dalam terjemahan Al Kitab (ms 197 ayat 25-27) “Akulah yang memberi hidup dan membangkitkan orang mati”, kata Yesus kepada Marta. “Orang yang percaya kepada Ku akan hidup, walaupun ia sudah mati. Dan orang hidup yang percaya pada Ku, selama-lamanya tidak akan mati. Percayakah engkau akan hal itu. “Tuhan,” jawab Marta, “saya percaya Tuhan Anak Allah, Raja Penyelamat yang akan datang kedunia ini”.
2. Disebut alam terjemahan Al Kitab (ms 379 ayat 9) “jika Peti Perjanjian itu dibawa kearah negerinya sendiri, iaitu Bet-Semes, itu bererti bahawa Allah orang Israellah yang telah mendatangkan celaka yang hebat itu kepada kita. Tetapi jika pedati itu tidak menuju kesana, kita akan tahu bahwa musibah itu bukan dari Allah Israel, melainkan kebetulan saja”;
3. Disebut dalam terjemahan Al Kitab (ms 246 ayat 13) “hormatilah TUHAN, Allahmu, dan berbaktilah kepada Dia sahaja, dan bila kamu bersumpah, lakukanlah demi nama Nya saja”;
4. Lafaz dalam upacara baptis berbunyi “saya membaptiskan kamu dengan atas nama Allah Bapa, dengan atas nama Allah Putera dan dengan atas nama Allah Ruh Kudus”;
5. Risalah menyebut “Rencana Allah Untuk Menyelamatkan Kita Dari Dosa Ialah Dengan Mengutus Anaknya Yang Tunggal”;
6. Risalah menyebut “Yesus Adalah Allah Dalam Bentuk Manusia”;
7. Risalah bertajuk “Allah Pilih Pemimpin” menceritakan ketuhanan triniti;
8. Risalah bertajuk “Firman Allah Hidup” menceritakan tentang bible;
9. Risalah bertajuk “Jalan Kepada Allah” menceritakan tentang pengutusan Jesus;
10. Nama sebuah gereja iaitu Gereja Katolik Santa Maria Bonda Allah;
11. Nama sebuah gereja iaitu Gereja Kristus Domba Allah;
12. Nama sebuah gereja iaitu Gereja Sidang Jemaat Allah;
13. Nama sebuah gereja iaitu Gereja Allah Itu Kasih;

14. Tajuk lagu “Allah Peduli” dengan lirik menyebut “Allah mengerti, Allah peduli, Segala persoalan yang kita hadapi, Tak akan pernah dibiarkannya, ku bergumul sendiri, SebabAllah Yesus ku mengerti” nyanyian Agnes Monica;

15. Tajuk lagu “Harapan Bangsa” dengan lirik menyebut “Bapa engkaulah harapan negara ini, Kaulah satu-satunya harapan di bumi Malaysia, Yesus engkaulah harapan segala bangsa, Nyatakanlah kebenaran mu” nyanyian Jaclyn Victor


Sedangkan ALLAH telah berfirman dengan cukup jelas didalam Al-Quran:

"Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata 'Sesungguhnya ALLAH ialah Isa Al-Masih ibnu Maryam'. Pada Isa Al-Masih sendiri berkata,'Wahai Bani Israel, sembahlah ALLAH, Tuhanku dan Tuhanmu, bahawa sesiapa yang menyengutukan ALLAH dengan sesuatu yang lain, maka ALLAH pasti mengharamkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka. Sesungguhnya tiada seorang pun penolong bagi kaum yang zalim.

Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata,'Bahawasanya ALLAH ialah satu daripada tiga tuhan.' Padahal tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH Yang Maha Esa. Jika mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang yang kafir antara mereka akan dikenakan azab yang pedih".

Surah Al-Maidah:72-73


Jadi bagi kita umat Islam ini adalah soal aqidah! Ini soal keimanan! Ini soal kepercayaan! Ini soal perintah ALLAH!

Atas sebab itulah kita menentang! Itu sebabnya kita melarang! Dan kita tidak akan berkompromi walau sebesar habuk pun dalam isu ini!

8. Kalimah ALLAH bukan hak milik mutlak orang Islam!

Memang benar kalimah ALLAH bukan milik umat Islam. Kalimah ALLAH bukan milik Nabi Muhammad saw. Bukan milik mana-mana parti politik, Kalimah ALLAH bukan milik Mahkamah!

Betul...betul...betul!!!

Jadi siapa pemilik kalimah ALLAH?

Jawapannya mudah.

Pemilik kalimah ALLAH ialah ALLAH sendiri!

Dialah Pemilik mutlak kalimah itu. Dan hanya Dia yang berhak mutlak memberi kebenaran siapa yang boleh menggunakannya. Dan hanya Dia yang berhak mutlak memberi syarat penggunaannya. Hanya Dia yang berhak mutlak menentukan cara penggunaaannya. Hanya Dia yang berhak mutlak menentukan deskripsi kalimah itu! Hanya Dia - ALLAH SWT

Dan Dia telah menegaskannya dengan cukup jelas tanpa sebarang keraguan sedikit pun didalam Al-Quran:

Katakanlah bahawa (kalimah) ALLAH itu (bermaksud) Maha Esa (Yang Satu);

(Dan sifatnya ialah) kepada ALLAH tempat segala sesuatu bergantung;

Dia ALLAH tidak beranak, atau diperanakkan;

Dan tidak ada sesuatu apapun yang setara atau sekutu dengan ALLAH! 

(Al-Ikhlas: 112:1-4)


Jadi Pemilik Mutlak kalimah ALLAH telah menegaskan bahawa kalau mahu mengguna kalimah ALLAH persilakan tetapi mesti merujuk kepada empat syarat iaitu Dia hanya Satu; Dia tempat bergantung segala makhluk; Dia tidak ada anak; Dia tidak ada sekutu!

Sebaliknya bila kristian mahu mengguna kalimah ALLAH ia berubah menjadi bentuk syirik dan kufur seperti berikut:

Katakanlah bahawa ALLAH itu Tiga-Dalam-Satu;

Kami bergantung kepada Jesus (untuk penebus dosa dan lain-lain);

Bahawa ALLAH ada anak bernama Jesus;

Bahawa Ruh Suci (malaikat) itu sekutu dan setara dengan ALLAH;

Maka jelas sejelas-jelasnya bahawa maksud yang dibawa oleh kristian dalam penggunaan kalimah ALLAH adalah bercanggah sama sekali dengan maksud yang Pemilik kalimah ALLAH itu sendiri nyatakan!

Rumusan: jadi apa pendirian kita?

Pendirian kita umat Islam ialah berpegang semula kepada Al-Quran. Dan jelas didalam Al-Quran ALLAH menyebut:


Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam agama mu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap ALLAH kecuali yang benar. Sungguh, Al Masih 'Isa putra Maryam itu adalah utusan ALLAH dan (yang diciptakan dengan) kalimah Nya yang disampaikan Nya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh dari Nya. Maka berimanlah kepada ALLAH dan Rasul Nya dan janganlah kamu mengatakan "(ALLAH itu) Tiga (triniti)". Berhentilah (dari berkata sedemikian). Itu lebih baik bagimu. Sesungguhnya ALLAH Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci dia dari (tohmahan) mempunyai anak. Milik Nya apa yang ada di langit, dan apa yang ada di bumi. Dan cukuplah ALLAH sebagai Pelindung 
(An-Nisaa' 4: 171).



Tugas dan tanggunjawab kita umat Islam ialah bukan dengan bersekongkol atau bersetuju atau meredhai perbuatan mensyirikkan ALLAH yang boleh membawa kepada kekufuran ini. Jangan kita beriya-iya punya nak sokongan dan undi mereka sampai sanggup menggadai aqidah dan keimanan, konon bertaqqiyah untuk mendapatkan kuasa.

Tak boleh. Kita bukan syiah yang sanggup dan boleh bertaqqiyyah, walau dalam soal aqidah!

Kita ahli sunnah wal jamaah patutnya cukup jelas pendirian dan pegangan kita. Tidak perlu kita bersorok-sorok, main aci-aci bukak pintu semata-mata kerana gila undi, gila kerusi! Sampai bangga dipanggil Mat Gereja?

Tugas dan tanggunjawab kita pertama ialah dengan mencegah kekufuran, kesyirikan dan kemungkaran besar ini. Kerja kita ialah memperbetulkan penyalahgunaan kalimah ALLAH ini. Maknanya kita kena turun padang. Pergi jumpa dengan mereka, terutama penganut kristian. Malah ini merupakan satu peluang untuk kita melaksanakan tugas Rasulullah SAW - DAKWAH!

Beritahu mereka dengan jelas; kalimah ALLAH yang kamu gunakan itu sebenarnya dan sepatutnya membawa maksud ALLAH Tuhan Yang Satu, ALLAH yang kita bergantung sepenuhnya kepada dia (bukan makhluk atau patung atau haiwan dan lain-lain); bahawa ALLAH itu tidak ada anak dan tidak ada bapak; dan ALLAH itu tidak ada yang sama setaraf dan sekufu dengan dia!

Nah, itulah kerja dan tugas kita. Jangan cakap sahaja, keluar dan laksanakannya. Kata Nabi SAW, 

"baalighul anni walau aayah"
sampaikan daripada ku walau sepotong ayat!

Semoga ALLAH SWT memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita, memelihara keimanan dan aqidah kita, dan memberikan kita kekuatan istiqomah mengharungi zaman fitan ini insya ALLAH! 

Sumber Artikel
TAMAT


Saya selaku pemilik blog memohon maaf dan tidak berniat untuk melaga-lagakan mana pihak. Pendapat ini dimasukkan sebagai rujukan dan pada saya ia antara pendapat yang sangat jelas selepas meneliti beberapa hujah lain yang masih mengelirukan saya.

Saya bersetuju dengan pandangan Datuk Zulkifli Nordin. Pendapat saya juga sama tentang kalimah Allah ini. Hal ini jelas sekali diterangkan dalam Al-Quran berulangkali sebagaimana firman Allah yang bermaksud :

Katakanlah (wahai Muhammad): 
"Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". 
(Al-Quran, Surah Ali-Imran ayat 64)



Cuba fahamkan dari ayat pertama hingga ayat akhir di atas. Saya yakin rakan pembaca dapat memahaminya dengan baik! Untuk pengetahuan semua, selain Datuk Zulkifli Nordin, saya juga ada membuat rujukan melalui Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, Dr. Harun Din, Dr. MAZA, dan Ustaz Kazim Elias.


Maaf untuk gambar ini


Sebarang pendapat atau komen, mohon tinggalkan diruangan bawah. Adapun sebarang jenis komen yang dikaitkan dengan hujah gila politik, penggunaan bahasa kurang sopan, menyinggung mana-mana pihak dan sewaktu dengannya akan dikeluarkan segera oleh saya kerana ini bukan medan bebas untuk hujah kurang sihat anda. Maaf!

Saya akhiri artikel ini dengan permohonan maaf. Yang baik itu datangnya dari Allah Taa'la, dan segala buruk cela itu dari saya sendiri. Tabarakallah, keep calm and BELIEVE in Allah... 




Sekian.

Credit Artikel rujukan sebelum ini: 
1. Datuk Zulkifli Noordin
2. Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat
3. Dr. Harun Din
4. Dr. MAZA
5. Ustaz Kazim Elias



AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.

5 comments:

  1. besar sungguh fitnah akhir zaman.

    ReplyDelete

Jangan lupa tinggalkan sebarang komen atau pendapat anda untuk rujukan penulis. Dahulukan akhlak. Terima Kasih.