Tips : Jangan stress dulu, Jom usaha ! | The Hearabouts

Hi hello, i'm Asyraf. This blog is where i pour my ideas, my thoughts. i scribble, i write and i express. Sorry in advance if there's any hiccups here and there. Enjoy reading. May peace be upon you, upon me, upon us all. Tabarakallah, Keep calm and rock on.
| I'M BACK! |
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَظْهَرَ الجَمِيْلَ وَسَتَرَ القَبِيْحَ
"Segala puji bagi Allah yang menampakkan yang baik dan menutupi yang buruk."

Wednesday 11 September 2013

Tips : Jangan stress dulu, Jom usaha !

7 Komen


"Mengharapkan yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang” pengharapan yang sepatutnya sudah tidak ada dalam kamus kehidupan seorang individu Muslim. Peribahasa Melayu ada mengatakan “Kalau tidak dipecahkan ruyong manakan dapat sagunya”, begitu juga dengan kejayaan , tidak mungkin akan dapat diperolehi dan dikecapi tanpa adanya usaha dan pengorbanan. Bak kata pepatah Arab “Mengharapkan kejayaan tanpa adanya usaha ibarat mengharapkan kapal belayar di daratan”. Satu perkara yang boleh dikatakan mustahil akan berlaku.



Dalam Islam , kita dapati banyak ayat Al Quran dan  hadis yang menyarankan umatnya agar sentiasa berusaha untuk mencapai  kejayaan sama ada di dunia dan juga di akhirat. Usaha dan amalanlah yang menjadi perkara yang  dinilai oleh Allah s.w.t sebagaimana firmanNya dalam surah At Taubah ayat 105 yang bermaksud :

Dan katakanlah wahai Muhammad “Hendaklah kamu semua berusaha (beramal) kerana Allah akan melihat dan menilai apa yang kamu usahakan .” 

Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang bermaksud : "Maka bertebarlah di muka bumi serta carilah rezeki daripada kurniaan Allah" Surah Al-Jumuah ayat 10 .

Rasulullah s.a.w. ada menyatakan dalam satu hadis yang pencari kayu api lebih baik dan lebih mulia daripada peminta sedekah. Baginda juga mengatakan dalam hadis yang lain, orang yang berusaha untuk menyara diri dan keluarganya seperti orang yang berjuang di jalan Allah.

Dalam menentukan usaha yng dilakukan membuahkan kejayaan yang diharapkan , beberapa perkara perlu diperhati dan dilaksanakan. Antaranya :



Doa 

Doa mungkin dianggap perkara yang remeh bagi sesetengah orang, tetapi bagi orang yang mengaku dirinya Islam, doa merupakan antara medium yang paling berkesan dalam menentukan arah tuju kehidupan. Boleh dikatakan setiap detik kehidupan seharian kita, ada doa-doa yang tertentu. 

Sabda Rasulullah yang bermaksud “Doa itu merupakan ibu segala ibadat” , “ Doa itu senjata orang yang beriman”, “Qadha’yang ditentukan Allah tidak boleh diubah melainkan dengan doa”

Berdoa juga merupakan simbol keakraban hubungan seseorang hamba dengan Penciptanya dan tanda memohon pertolongan daripada yang Maha Kuasa.



DOA PILIHANEh apa pun Asyraf ada nak kongsi doa !
Mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan kita InsyaAllah.




Tambahan : Nak himpunan doa-doa ringkas sebagai persediaan untuk hadapi peperiksaan? (klik sini)



Tidak Mudah Berputus Asa 

Sekali gagal tidak bermakna gagal untuk selama-lamanya, sebaliknya kita hendaklah menjadikan kegagalan itu sebagai pedoman dan iktibar untuk memperbaiki kelemahan yang ada seterusnya mencapai kejayaan yang diingini. Andaikata kita membaca riwayat hidup tokoh-tokoh terkenal dunia kita akan dapati mereka juga menghadapi kegagalan pada permulaan usaha mereka, namun dengan usaha yang tidak mengenal erti putus asa mereka akhirnya berjaya sepertimana yang berlaku kepada adik beradik Albur dan Wilbur dalam usaha mereka mencipta kapal terbang.

Firman Allah dalam surah Yusuf ayat 87 yang bermaksud "Jangan kamu berputus asa dalam mencacri nikmat dan rahmat Allah kerana hanya orang kafir sahajalah yang akan berputus asa daripada rahmat Allah"


Istiqamah

Salah satu faktor yang juga penting untuk menjayakan sesuatu usaha ialah istiqamah. Istiqamah membawa maksud tetap dan berterusan dalam melakukan sesuatu perkara. Orang yang istiqamah akan mempunyai disiplin diri yang tinggi yang juga merupakan faktor yang penting bagi sesuatu kejayaan. Sebab itu Allah telah memerintahkan  RasulNya agar  beristiqamah dalam  menyampaikan dakwah. Sebagaimana firmanNya dalam Surah As Syura ayat 15 yang bermaksud “ Maka serulah ( mereka kepada agama Allah ) dan tetaplah ( Istiqamah ) sebagaimana yang  diperintahkan kepadamu”

p/s : Ada ramai orang tanya saya bagaimana nak istiqamah, jawabnya susah sangat nak istiqamah. Kena belajar disiplinkan diri, mulakan dengan jaga solat fardhu. Jangan tinggal satu waktu pun. Kemudian perbetulkan bacaan Al-Quran. Cuba biasakan lidah dengan Al-Quran satu atau dua muka surat seminggu paling kurang. InsyaAllah lama kelamaan hati yang keras bertompok hitam dek sekian lama tak dibersihkan akan lembut dan kita akan kekal istiqamah.


Istiqamah 
macam belon, 
mudah pecah jika tidak berhati-hati, 
mudah terlepas jika tidak diikat kuat.


Tawakal

Tawakal boleh didefinisikan sebagai berserah kepada Allah dalam menentukan sesuatu perkara setelah dilakukan segala usaha dan ikhtiar.Tawakal melambangkan penyerahan diri seorang hamba yang lemah kepada Penciptanya yang maha mengetahui dan Maha Berkuasa.

Sifat tawakal perlu dan penting kerana ianya akan menjadikan seseorang itu tenang dalam menghadapi dugaan dan cabaran disamping menjadikannya lebih tabah dan kental.

Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 23 yang bermaksud “Hendakalah kamu bertawakal kepada Allah sekiranya kamu orang yang beriman”, Dalam Ali Imran ayat 159 yang bermaksud “ Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepada Nya.



Ihsan

Ihsan sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasululah dalam Hadis Jibril iaitu beribadat kepada Allah seolah-olah kita melihatnya dan sekiranya kita tidak melihatNya, sesungguhnya Allah sentiasa melihat dan memerhatikan kita. Dalam erti kata yang lain kita melakukan usaha yang terbaik yang dapat dilakukan untuk mendapat keredaan Allah. Malangnya kita selalu mengabaikan sikap ihsan sedangkan kita perhatikan orang bukan Islam ada mengamalkan sifat ini dalam kehidupan mereka contohnya orang Jepun yang mana mereka mengamalkan “Kaizen” satu sikap yang membawa maksud yang hampir sama dengan ihsan yang dianjurkan oleh Islam.



Sabar

Sabar juga aspek yang tidak kurang penting dalam membantu untuk mencapai kejayaan. Ini kerana kejayaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi sebaliknya untuk mendapat kejayaan pelbagai halangan dan dugaan harus ditempuhi. Halangan dan dugaan ini dapat diatasi dengan adanya sifat sabar.

Dalam Al-quran terdapat lebih 70 tempat yang menceritakan tentang sabar, antaranya firman Allah dalam surah Al-Qasas ayat 54 yang bermaksud 
“Mereka itu diberi pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka”. Dalam Surah Az-Zumar Ayat 10 yang bermaksud “sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batasan”.  Firman Allah juga dalam surah Al-Anfaal ayat 46 yang bermaksud “ Bersabarlah kerana Allah bersama orang yang bersabar”. Tidak syak lagi orang yang sabar Allah berada bersama dengannya dan akan mendapat kejayaan.


Tidak bertangguh/ Menjaga masa

Melakukan usaha dengan perancangan yang rapi tanpa membazirkan masa, tenaga dan wang ringgit adalah satu jaminan untuk mengecapi sesuatu kejayaan. Pepatah juga ada mengatakan masa itu emas. Ini menunjukkan bahawa masa itu sangat berharga dan perlu dirancang untuk perkara –perkara yang terbaik.

Firman Allah dalam surah yang selalu kita dengar, ayat famous yakni dalam surah al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh, dan nasihat menasihati dalam perkara kebenaran dan nasihat menasihati dalam kesabaran"


Menjaga kesihatan

Kesihatan mental dan fizikal sangat penting kepada seseorang. Tanpa kesihatan fizikal dan mental, kejayaan tidak akan dapat dicapai. Pepatah mengatakan "Akal yang cerdas datangnya daripada  badan yang sihat". Ibadat dalam  Islam seperti solat , puasa ,haji merupakan satu bentuk riadah untuk menyihatkan jasmani dan rohani.

Selain jaga kesihatan fizikal dan mental, penting juga jaga kesihatan roh. Bila roh kita sihat, iman kita pun ikut sihat. Antara cara nak jaga kesihatan roh ialah kita perlu selalu beri makan roh kita. Makanannya ialah zikir, bacaan-bacaan Al-Quran dan banyak lagi amal yang mendekatkan kita kepada Allah Taa'la. Itu makanan roh. Kalau tak sempat sangat nak baca Al-Quran, pasang audio surah-surah yang ada. Hati pun jadi tenang InsyaAllah.  



Akhir celoteh, setiap kejayaan memerlukan usaha yang gigih dan tekun untuk mencapainya. Kejayaan tidak akan menjelma dengan sendiri. Oleh itu kita perlulah melakukan usaha yang dapat melepasi halangan untuk sampai kepada kejayaan yang diinginkan. Sebarang pendapat, idea untuk entri baru, teguran atau komen boleh tinggalkan di ruangan komen dan boleh menjerit sahaja di ShoutBox. Asyraf selalu baca. Terima Kasih. 



Copyright Muslim Writer © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012- indexs12

7 comments:

Jangan lupa tinggalkan sebarang komen atau pendapat anda untuk rujukan penulis. Dahulukan akhlak. Terima Kasih.