Pemergianmu dirindui, Abah. | The Hearabouts

Hi hello, i'm Asyraf. This blog is where i pour my ideas, my thoughts. i scribble, i write and i express. Sorry in advance if there's any hiccups here and there. Enjoy reading. May peace be upon you, upon me, upon us all. Tabarakallah, Keep calm and rock on.
| WELCOME |
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَظْهَرَ الجَمِيْلَ وَسَتَرَ القَبِيْحَ
"Segala puji bagi Allah yang menampakkan yang baik dan menutupi yang buruk."

Thursday, 16 October 2014

Pemergianmu dirindui, Abah.

12 Komen



Khas buat Allahyarham ayahanda tercinta.
"ABAH, REHATLAH"

Al-Quran ku aku tutup. Aku letakkan disisi katil, bersebelah dengan satu susuk tubuh yang paling aku sayang – abah.

Aku renung wajah abah yang sedang tidur, dengan saluran bantuan pernafasan berselirat di dada abah. Hembusan nafas abah kuat, lebih dari hari-hari biasa. Aku jadi risau, Aku cuba memandang sekeliling meraih simpati jururawat atau doktor yang lalu lalang namun mereka hanya memandang, dan berlalu. Mungkin sudah biasa bagi mereka keadaan seperti ini.

Aku menghembus nafas perlahan. Pandangan aku masih pada wajah abah. Perlahan-lahan aku letakkan tapak tangan di dahi abah. Panas. Ku capai tuala basah yang sedia ada di kepala katil lalu aku lapkan dahi dan wajahnya dengan lembut. Inilah wajah tua yang penat membesarkan aku selama 20 tahun. Meskipun sudah terlantar hampir 4 hari, wajah abah masih segar. Tiada sebarang kesan atau bekas yang menunjukkan abah sedang sakit. sepertinya abah sedang tidur, tanpa diganggu oleh sesiapa. Seperti mana abah tidur dirumah. Cumanya, sudah beberapa hari abah tidak bangun-bangun.

Rindu.

Rindu dengan suara garau yang sering sahaja menjadi deringan yang mengejutkan tidurku, suara yang sering menyahut panggilan telefonku, dan suara yang sering menegurku tika aku khilaf.

Aku mengalih pandangan pada meter oksigen yang bersambung dengan alat bantuan pernafasan abah. Tidak seperti hari lain, hari ini lebih kadarnya. Aku makin risau. Mata sudah mahu berkaca. Aku tahan. Aku tak nak menangis disisi abah dalam ketika dia memerlukan kekuatan daripada anak-anaknya. Butir kaca tidak jadi berderai. ‘Ya Allah sesungguhnya kau sedang menguji abahku, dan kami sekeluarga, aku redha Ya Allah’ rintih aku dalam diam. Aku terus berada disisi abah. Sesekali aku lapkan badan abah. . Kesian abah demam. Usai itu aku kembali mencapai Quran; aku bacakan untuk kesekian kali.

ABAH

Datang seorang jururawat mahu beri abah susu melalui tiub. Dia cuba pasang alat yang mengesan nadi abah, tapi tak berfungsi. Dia mula memanggil rakan yang lain, memasang mesin mengesan nadi dan degupan jantung. Langsir katil abah ditutup; beberapa doktor mula masuk beserta jururawat. Aku kian cemas tapi hanya mampu menunggu penuh sabar. Seketika itu, dua orang doktor keluar daripada sisi katil abah, menuju ke kaunter ditengah-tengah wad. Kemudian kembali kepada kami. Memanggil aku beserta ahli keluarga yang lain. Doktor maklumkan, jantung abah sudah lemah, oksigen dalam darah juga sudah kurang. Aku memohon izin, untuk mendekati abah. Kami perlu berada disisinya saat ini. Aku, mak, kakak dan adik-adik terduduk di sisi katil abah. Ahli keluarga terdekat lain teresak menahan tangis. Aku kembali bangun, tidak senang duduk aku melihat keadaan abah. Lafaz syahadah ringkas aku bisikkan bersilih ganti dengan mak. Beberapa minit kemudian, tangan abah yang sekian lama kaku saat berada dalam koma bergerak perlahan qiam ke atas dada. Tersentak ketika jantung aku.

Nafas abah terhenti. Titisan air mata abah mengalir ke pipinya. Aku usap perlahan.

Doktor sahkan abah sudah pergi jam 7.15 malam.

Secepat itu dia pergi…

Tiada kata yang dapat gambarkan perasaan aku ketika itu. Insan yang paling aku sayang dunia akhirat, sudah pergi meninggalkan aku. “Ya Allah, aku redha dengan ujian Mu..”

Aku melangkah perlahan masuk melepasi langsir yang menutupi katil abah. Tangan aku hulur, aku capai kaki abah, aku usap perlahan-lahan. Seluruh tubuh abah aku sentuh. Aku lihat wajah abah. Tenangnya abah tidur. Wajah abah tersenyum. Ya Allah kuatkanlah aku..

Tika semua mula beredar daripada katil abah. Tinggal aku bersendirian dengan abah. Aku kucup dahi abah semahu-mahunya, aku cium badan abah, aku cium tangan abah. Seboleh-bolehnya aku mahu cium semua anggota badan abah. Inilah abah yang membesarkan aku. Inilah abah yang aku sayang dunia akhirat.
Aku tahan air mata daripada mengalir. Aku berkata dalam hati,”mesti abah ada dekat sekeliling ni kan, abah tengok la kita tak nangis, kita kuat, kita kan anak abah yang kuat. Maafkan angah abah. Sampai sini sahaja Allah izinkan kita bersama” rintih aku dalam hati. Namun, hati ini terlalu rapuh. Akhirnya berkaca juga. Aku tahan dan tidak tertumpah disisi abah.

Aku uruskan segala dokumen untuk membawa pulang jenazah. Sebagai anak lelaki sulung, aku bertanggungjawab ke atasnya. Aku mengiringi abah ke dalam van jenazah untuk pulang ke rumah. Namun aku tidak ikut serta. Aku biar adik-adik dan mak berada sama dekat dengan abah sepanjang perjalanan pulang. Sempat aku bisikkan pada abah, “Abah, sekarang kita nak balik rumah ni, nak jumpa nenek dengan semua, abah mesti tak sabarkan nak balik rumah, dah empat hari abah tak balik rumah, semua orang rindu abah”, aku ucap perlahan disisi abah.

Sampai dirumah, ramai yang sudah menunggu. Abah dibaringkan disudut ruang rumah. Ramai orang mengelilinya. Malam berlalu pergi. Aku temankan abah semalaman diiringi bacaan yassin tanpa henti sementara menunggu hari pengebumian esok.

Keesokannya, aku turut serta dalam urusan memandikan dan mengafankan abah. Tika memandikan abah, terasa tidak puas rasanya aku lapkan badan abah. Setiap genap aku gosok supaya abah bersih dan wangi. Dengan perlahan aku jiruskan air pada badan abah.

Aku kemaskan rambut abah. Aku pakaikan abah dengan kain putih serta wangi-wangian. Aku tunaikan juga hasrat abah yang ingin aku sarungkan jubah konvokesyen aku pada tubuhnya minggu hadapan. Namun , jubah konvokesyen aku gantikan dengan yang lebih baik, yakni kain putih. Wangi sungguh abah ku. Kemudian, untuk terakhir kali wajah abah ditatap, aku memandang penuh sayu. Itulah untuk terakhir kali aku melihat wajah abah. Wajah kesayangan aku dunia akhirat. Aku cium dahinya. Terasa tidak mahu ku lepaskan ciuman itu.

Saat jenazah abah diusung keluar dari rumah, aku mengetuai kumpulan usungan keranda. Imam memberi isyarat untuk aku mula berbicara,
"Assalamualaikum semua, saya... anak kepada arwah, jika arwah abah ada melakukan apa-apa kesalahan dengan tuan-tuan sepanjang hayatnya, maafkanlah. Dan jika arwah abah ada berhutang dengan sesiapa sekalipun, datanglah berjumpa dengan saya atau ahli keluarga yang lain. Semoga abah tenang di sana nanti. In shaa Allah."

Ucapan aku terhenti, semua yang hadir mengangguk faham dan mengaminkannya. Keranda abah terus diusung menuju ke van jenazah. Kali ini jenazah abah di bawa ke masjid. Ketika solat jenazah, aku sembahyang dihadapan sekali, sambil mata aku pandang tepat di keranda pada bahagian wajah abah. Selepas doa dibacakan aku terus duduk dan mencium keranda abah. Air mataku mengalir. Aku seka perlahan. Sekali lagi Imam memberi isyarat untuk aku memulakan bicara kepada jemaah yang hadir. Aku mengangguk perlahan dan memandang sekeliling. Kali ini jemaah yang turut serta sembahyangkan jenazah abah cukup ramai. Wajah sahabat-sahabat abah dan anak-anak muridnya penuh mengisi ruang masjid. Suasana cukup suram. Selepas selesai aku berbicara mewakilkan abah, keranda diusung ke tanah perkuburan.

Disinilah tempat yang memisahkan kami. Aku bersama-sama adik membantu menurunkan keranda abah ke liang lahad. Aku masuk bersama ke liang lahad untuk urusan pengebumian. Hanya iringan doa bersama abah saat itu. Namun sedikitpun air mata aku tidak mengalir. Aku yakin Allah sebaik-baik penjaga. Sebaik mana pun kami menjaga abah di dunia ini, penjagaan Allah adalah yang terbaik. Sebab itu Allah jemput abah pulang.

Abah. Dialah tempat aku mengisi lompangnya hidup sebagai anak. Dialah pelindung yang membesarkan aku menjadi dewasa. Dialah pemberi semangat saat jiwa aku gelora. Ya Allah, kau ampunkanlah dosa abah, kau tempatkanlah abah dalam kalangan yang beriman, dalam kalangan mereka yang kau beri rahmat, kau peliharalah abah sebagaimana abah memelihara aku sejak daripada kecil lagi. Amin Ya Rabbal Alamin..

Abah, berehatlah.. Kami menyusul abah nanti.. Aku sayang abah..



Khas buat Allahyarham ayahanda tercinta,
Pemergianmu dirindui.

Al-Fatihah.
Khalib Zakaria 
(1964-2014)

"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you

12 comments:

  1. Al-Fatihah buat arwah abah. Semoga kekal tabah ya Asyraf. Masih jauh perjalanan. :')

    ReplyDelete
  2. Teringatkan arwah Wan... Yang Aku Rindu :')



    Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi ...

    ReplyDelete
  3. Al Fatihah,teringat arwah abah yg meninggal di Hospital Ampang 2 thn lps...La Tahzan, innalllah hamaana - sabar dan redha.

    ReplyDelete
  4. La tahzan asyraf. Sebak sye dgar. Hrap asyraf kuat yea,. anak abah kan kuat :)

    ReplyDelete
  5. Al fatihah .. moga tabah asyraf

    ReplyDelete
  6. شركة رش مبيدات بالاحساء
    اتود الوصول لافضل عمليات التنظيف مع الحصول علي ضمان لاطول فترة خصومات وعروض رائعه لعمليات التنظيف يمكنك الاستمتاع بالخدمة عن طريق زيارة الرابط التالي

    شركة تنظيف فلل بالاحساء

    شركة تنظيف شقق بالدمام

    ReplyDelete

Jangan lupa tinggalkan sebarang komen atau pendapat anda untuk rujukan penulis. Dahulukan akhlak. Terima Kasih.