Abah,
Ini anak abah, angah...
Abah tahu tak, angah dah ambil jubah konvokesyen,
Ingat lagi kan 26 April 2014 haritu, abah berulang kali cakap dalam panggilan telefon,
"Nanti angah pakaikan abah jubah konvo angah tu ya, mesti segak."
Lama kita berbual malam tu, abah happy sangat.
Tak macam selalu.
Tapi... maafkan angah abah,
Abah tak sempat pun nak pakai jubah yang angah pegang sekarang ni.
Sebab tu, angah tetap tunaikan hasrat abah. Angah pakaikan abah baju.
Angah yang mandikan abah, angah yang kafankan abah, dan angah juga yang masuk bersama ke liang lahad untuk kebumikan abah.
Angah harap abah suka.
Sumpah abah hensem masa dalam 'selimut putih' tu.
Ya. Angah rindu abah.
Waktu angah dijemput hadir untuk raptai dan dapatkan jubah konvokesyen 4 Mei hari tu.
Angah termenung lama di tangga dewan.
Angah biar kawan-kawan masuk dulu.
Kalau boleh angah tak nak masuk ambil pun.
Pertamanya sebab abah dah tak ada,
keduanya sebab malu. Angah nangis abah.
Ya. Jujur, angah rindu abah.
Rasanya dah 3 tahun angah tak sempat puasa dengan abah.
Semuanya sebab angah belajar jauh di Shah Alam.
Raya baru angah sempat balik.
Bila angah dah sambung ijazah, abah happy kan?
Sebab cuti puasa tahun ni angah janji nak balik,
abah cakap nak buka puasa sama-sama dengan angah.
Abah bertambah selera kalau semua anak-anak ada.
Tapi tak sempat juga.
Ya. Angah rindu abah.
Waktu abah tenat hari tu, angah balik tau abah.
Angah tinggal semua kuliah.
Angah jenguk dan jaga abah.
Tapi abah dah tak sedar masa tu.
Abah tak tahu anak abah ni balik.
Waktu doktor cakap abah kritikal,
angah duduk tepi katil abah,
angah merayu dengan Allah,
"Wahai Allah, aku belum bersedia"
Ya. Angah rindu abah.
Angah tak pernah bersedia.
Angah rasa terlalu awal.
Tapi angah tahu, Allah sayang abah.
Abah sangat baik. Abah baik dengan semua orang.
Allah sayang abah, Dia nak abah rehat.
Angah redha abah pergi.
Walaupun abah dah kembali dulu,
angah yakin abah dengar angah sekarang.
Selalu dalam doa angah kirim hadiah,
mudah-mudahan abah dengar anak abah ni.
Abah...
Angah rindu abah.
15 Mei nanti konvokesyen angah.
Abah janji nak datang,
tapi abah ada temu janji yang lebih utama dengan Allah Taa'la
Angah nak abah rehat,
Jumpa kat sana nanti ya,
Angah akan teruskan belajar.
Penuhi hasrat abah.
Jangan risau. Angah akan jaga mak dan adik-adik.
Ya. Angah rindu abah.
Sangat rindu.
Semoga tenang di sana.
Al-Fatihah buat arwah abah
Khalib Zakaria (1964-2014)
Kembali ke rahmatullah pada 28 April 2014.
"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"
No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...
Mudah-mudahan semua rakan pembaca sihat dan gembira dengan izinNya. Kesempatan ini Asyraf luangkan masa untuk menulis artikel buat ayahanda tercinta yang kini sedang bertarung nyawa melawan penyakitnya di Unit Rawatan Rapi (ICU), Putra Medical Centre (PMC), Alor Setar. Mudah-mudahan mana-mana rakan pembaca yang berkunjung ke sini, sudi luangkan sedikit masa untuk sedekahkan doa buat abah.
Memandangkan sepanjang minggu ini, Asyraf pula berhadapan dengan ujian pertengahan semester, jadi mak Asyraf tidak izinkan Asyraf pulang lagi. Katanya dalam panggilan telefon tadi,
"Tunggu panggilan dari mak, In Shaa Allah abah kuat. Dia nak sangat angah berjaya, berusahalah."
Ceritanya begini, beberapa hari yang lalu abah sendiri minta keluarga hantarnya ke hospital kerana badannya rasa sangat lemah. Tujuan pada mulanya hanya mahu memeriksa keadaan kesihatannya. Mak tidak pernah membantah, permintaan abah diturutkan. Memang sebelum ini berulang kali abah keluar masuk hospital. Tapi syukur Allah beri kesembuhan demi kesembuhan. Masih mampu menagih senyum anak-anak sebagai ubat.
Selepas sesi pemeriksaan, doktor sahkan penyakit abah semakin memburuk, jangkitan kuman pada paru-paru menular teruk, gula darah dalam darah naik mendadak dan sel darah putih mula merebak teruk membunuh sel darah merah. Abah ditahan di wad biasa untuk menerima rawatan susulan.
Doa dari anak-anak tidak henti dikirim, mudah-mudahan abah sihat seperti sedia kala. Abah yang dahulunya berat badannya lebih 80 kilogram (sangat sihat), tetapi kini kurus melampau. Aku dimaklumkan berat badan abah yang terkini ialah 42 kilogram. Kalau tengok keadaan abah, memang jatuh air mata.
Abah sangat hebat, seorang ayah yang tegas dan ceria. Sebagai seorang guru, perkhimatannya sentiasa dipuji. Sehinggakan lekas sahaja dinaikkan pangkat bergelar Penolong Kanan. Tapi apakan daya, nikmat dunia Allah tidak izinkan sepenuhnya. Abah sudah hampir setahun tidak makan. Hanya harapkan susu untuk alas perut.
Semalam di hospital, aku sempat berbual sekejap dengan abah melalui panggilan telefon. Suara abah lemah, tetapi jelas kedengaran dia gembira untuk berbual. Katanya dia makin sihat, sudah mula makan. Syukur pada Allah. Lega aku mendengarnya. Katanya lagi, tak sabar mahu tunggu 15 Mei. Tarikh konvokesyen aku. Apa yang menarik, abah siap minta aku booking homestay untuk keluarga yang datang dari Kedah untuk menginap di Shah Alam. Ya, pasti aku turutkan!
Semalam juga lena aku tidak seperti biasa, asyik terjaga. Mungkin terlalu gembira. Memandangkan hari ini di Fakulti APB ada aktiviti bersama pensyarah, aku paksa tidur untuk dapatkan rehat yang cukup.
Hari baru sudah tiba, azan Subuh kedengaran jelas dari Pusat Islam UiTM. Selesai solat, aku bersiap dan turun dari asrama untuk ke lokasi yang dimaklumkan akan berlangsungnya aktiviti. Langit masih gelap, aku terima panggilan telefon. Panggilan dari bonda tercinta. Aku jawab panggilan dengan tenang. Terdengar suara mak teresak-esak menangis. Aku faham, jadi biarkan mak nangis seketika. Setelah mak tenang, mak mula berbicara
"Angah, mak nak bagitau ni. Janganlah sedih ya, belajar rajin-rajin. Abah harini tak sedar dah. Mak kejut solat Subuh pagi tadi abah senyap. Mak panggil nurse, doktor pun masuk sekali. Masing-masing kata abah kena tukar ke ICU. Dia tenat"
Suara mak kemudian tenggelam dalam esak tangis. Aku tersedu-sedu menanti sambungan. Lama menanti, mak masih lagi menangis. Aku minta mak tenangkan diri dan cerita peristiwa malam sebelum abah tidak sedarkan diri.
Katanya, semalam abah tiba-tiba minta mahu makan bihun goreng, mak minta kakak belikan. Selepas makan sesuap dua. Abah cakap dia sudah kenyang. Mak cakap mimpi indah bila tengok abah jamah sesuap dua bihun goreng sebab sebelum ni memang abah tak makan langsung.
Beberapa jam kemudian, abah asyik minta air dan dalam masa yang sama mengadu sejuk pada badan. Mak selimut abah dengan selimut tebal. Tapi masih sejuk. Berulang kali abah minta ke tandas. Kali ketiga ke tandas, abah mula tunjuk perubahan aneh. Waktu tu, mak cakap sudah hampir waktu Subuh, abah minta air lagi dan lagi. Abah gigit straw tetapi tak sedut air seperti selalu. Abah kemudiannya minta nak rehat. Mak izinkan. Saat azan Subuh berkumandang, mak kejutkan abah.
"Bangunlah, dah subuh. Air whuduk sudah siap."
Mak seperti kebiasaannya, setiap kali masuk waktu solat. Mak akan bantu abah berwhuduk di katil. Tapi pagi itu abah kaku. Mak kejut berulang kali, mak sentuh nadi. Masih ada denyut-denyut perlahan. Mak lekas panggil nurse dan doktor. Ya, abah tidak sedarkan diri. Hingga saat ini aku masih menanti panggilan. Mahu pulang, melawat ayahanda tercinta.
Mohon doa dari semua buat abah. Moga abah Asyraf kembali sedar seperti sedia kala dan kuat melawan penyakitnya. Hanya Allah dapat balas jasa anda semua.
Doa angah buat abah.
27 April 2014
Sahabat semua :
Abah Asyraf sudah dijemput kembali ke rahmatullah pada 28 April 2014.
Sedekahkan doa buat arwah
Al-Fatihah
KHALIB ZAKARIA
1964-2014
"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"
No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...
 |
"Mereka telah mendahului kalian!" |
Masa kita semakin suntuk. Sedang manusia masih lagi sibuk dengan urusan keduniaan mereka. Kisahnya sudah lama, kita semua digemparkan dengan berita-berita tentang tragedi berdarah di Mesir. Baru-baru ini, hukuman gantung pula dijatuhkan ke atas 529 Ikhwanul Muslimin. Apa dosa mereka? Hmm... sekarang ni Asyraf masuk kuliah pun tidak tenang. Ligat saja otak berfikir. Banyak perkara yang membuatkan Asyraf terfikir tentang kejadian-kejadian sebegini. Kadang pernah tertanya sendiri,
'Wahai Allah, peringatan apakah ini?'
Kejadian-kejadian ini sebenarnya secara tidak langsung membuatkan setiap dari kita sedih. Ya, sedih. Melihatkan saudara-saudara kita di sana menahan keperitan dibunuh oleh tentera-tentera jahiliyyah. Err.. Kalau tak sedih tu tipu lah kan. Tak pun kena cek iman semula. Something wrong mungkin?
Namun, pada Asyraf secara peribadi, segala kesedihan kita itu tidak akan menjadikan penjahat As-Sisi itu menyerah kalah bukan? Sedikitpun tidak. Kita hanya bersedih, merintih, tanpa melakukan apa-apa, hanya angin yang mampu berlalu. Bawa khabar duka, lagi dan lagi. Sampai bila?
Jadi, sebalik semua ini, Asyraf tertarik untuk berkongsi antara perkara yang kita boleh dapat dari kejadian yang telah ditetapkan oleh Allah ini. Yakin, setiap kejadian di atas muka bumi ini ada ibrahnya. Mesti ada perkara yang Allah ingin kita pelajari dari setiap perkara yang telah ditetapkan olehNya. Indah bukan?. Bak kata satu kuot ini,
"Carilah hikmah disebalik setiap ujian, pasti Allah tunjukkan jalan"
Maka dengan itu, mari kita cari! Weekend yang lalu, Asyraf pun lebihkan ruang waktu untuk selak tafsir al-Quran, helaian demi helaian diteliti. Bacaan akhirnya terhenti pada satu nota cinta dari Allah Taa'la yang bermaksud,
"Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tak ada yang dapat menolak kurniaNya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (10:107)
Sedih atau tidak, marah atau suka, nak atau tak nak, kita kena terima hakikat bahawa yang memberikan segalanya untuk kita adalah Dia. Dia yang telah menentukan segalanya. Ya, mungkin, kejadian berdarah di Mesir ini boleh dikira sebagai musibah untuk kita sebagai umat islam terutamanya. Kerana, ia begitu menyedarkan kita bahawa mungkin juga disebabkan kelalaian serta kejahilan kita sendiri, mereka diuji sebegitu rupa. Sila nanges.
Kita kena yakin, bahawa isu Mesir ini sudah tertulis di sisiNya.
Jom kita lihat nota cinta lagi.
"Ingatlah, sesungguhnya kepunyaan Allah semua yang ada di langit dan semua yang ada di bumi. Dan orang-orang yang menyeru sekutu-sekutu selain Allah, tidaklah mengikuti (suatu keyakinan). Mereka tidak mengikuti kecuali prasangka belaka, dan mereka hanyalah menduga-duga." (10:66)
Dan tidak boleh dinafikan lagi lah, apa yang ada di muka bumi ini segalanya milik Dia. Walaupun mereka ni kejam tahap yang paling maksima sekalipun, mereka tetap milik Allah jua. Mereka ini adalah jenis manusia yang suka menduga-duga, mereka tidak yakin akan agama ini. Jadi, berlakulah pertumpahan darah dan kerosakan di atas muka bumi ini.
Untuk kita, insan yang bergelar muslim, sepatutnya kita cemburu dengan mereka, yang telah pergi di jalan yang diredhaiNya. Allah sudah bayar cash atas usaha mereka mempertahankan agamaNya ni. Best bukan? Nanges lagi.
Mereka ini sebenarnya hanya diseksa sementara sahaja. Mungkin seminit dua sahaja yang mereka perlu pertahankan untuk menghadapi mati itu. Namun, kehidupan selepas mati itulah yang menjadi motivasi mereka, para mujahideen.
Syurga.
Ya. Itulah satu perkataan yang sentiasa menjadi pegangan mereka. Syurga Allah. Sepatutnya rasa cemburu itu kita terjemahkan melalui amal kita la. Ye dak? Ye lah, dah kita cemburu dengan kemenangan mereka di dunia ni, sepatutnya kita juga mempersiapkan diri kita untuk menghadapi saat itu jua.
Asyraf tertarik dengan satu dialog antara akak Heliza Helmi dengan seorang wanita Mesir tatkala beliau berkunjung ke sana dalam misi menghantar bantuan. Dialognya begini,
"Saya bersimpati dengan anda atas semua kejadian ini." kata Heliza
"Janganlah begitu, sebenarnya saya yang patut bersimpati dengan saudari dan rakyat Malaysia. Anda semua diuji dengan keamanan dan hiburan. Berat, sungguh berat. Tetapi kami disini diuji dengan peperangan. Ganjarannya syahid dan Syurga. Itu pasti." Balas wanita Mesir itu.
Pedih. Kan?
Baiklah, walau bagaimanapun jika dilihat dari perspektif lain, seperti yang telah ditafsirkan dalam surah Yusuf, ada menceritakan tentang keegoan Firaun dalam menentang dakwah Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS. Tetapi akhirnya Allah memberikan kemenangan juga ke atas Nabi Musa apabila tongkatnya itu memusnahkan Firaun dan bala tenteranya. Senyum.
Apa-apa pun, janji Allah itu pasti akan tiba. Kemenangan akan muncul jua.
Yang hanya menjadi persoalan di sini adalah adakah kita akan menyertai kemenangan islam kelak atau hanya berpeluk tubuh di rumah sahaja tanpa berbuat apa-apa? Tepuk dada, tanya iman. Erm.
Apa yang pasti, mereka telah mendahului kita. Mereka ini sudah terlepas dari ujian dunia yang fana ini. Walaupun diseksa buat sementara waktu. Yang tinggal hanyalah kita. Dan usaha serta amal kita jua yang akan menjadi penentuannya.
Buat mereka yang sedang berjuang di bumi Mesir sana, ini adalah ketetapan yang terbaik buat kalian. Bagi kita, teruskan berdoa buat mereka. In shaa Allah.
Sebelum Asyraf tamatkan artikel kali ini. Ini nota cinta terakhir daripada Allah Ta'aala yang barangkali akan menjadi motivasi hebat buat saya dan anda. Mudah-mudahan kita sama-sama kuat untuk terus tegak berdiri di atas jalanNya.
"Dan janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, tetapi mereka itu hidup di sisi Tuhannya mendapat rezeki." (3:169)
Jaga diri, jaga Iman
Sekian
"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"
No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...
Bismillahirrahmanirrahim..
Pernah atau tidak anda terfikir dan berasa pelik kenapa bila anda dah solat, tapi masih rasa solat tak sempurna (ada macam tak kena), anda sudah solat cukup 5 waktu tapi masih lagi melakukan dosa yang berterusan, dan ada waktu hati anda masih rasa tidak tenang? Sedangkan solat itu mencegah kita dari melakukan dosa dan sentiasa membuat hati kita tenang. Dimana silapnya? Mungkin topik dalam artikel kali ini antara sebabnya mengapa semua perkara tadi masih lagi berlaku.
Tahukah anda, semasa solat, wajib kita membaca Al-Fatihah dengan sebutan makhraj yang betul, tajwid yang betul, tartil yang betul, agar solat itu sah. Jika tidak, solat itu tidak sah. Selain rukun qauli yang wajib dipenuhi, iaitu wajib membaca Al-Fatihah secara berlafaz, tidak sah solat jika dibaca berbisik, suara angin, atau dalam hati, sekurang-kurangnya bacaan itu didengari oleh telinga sendiri, baru sah solat.
Haa... selama ini ada yang ambil berat tak soal kesempurnaan solat seperti kesalahan-kesalahan bacaan Al-Fatihah yang mengundang kepada tidak sah solat? Jadi kali ini mari sama-sama kita rujuk semula samada bacaan Al-Fatihah kita betul atau salah.
Baiklah, antara kebiasaan kesalahan yang dilakukan orang ramai:
1. Huruf Ba ﺐ pada Bismillah tidak berbunyi. Nak sebut slow punya pasal, sehingga disebut "...Ismillah hirrohma nirrohim". Sebutan ini salah.
2. Huruf Hha pedas ح pada "rahman" dan "rahim" tidak disebut Hha pedas, hanya sebut haa biasa (haa simpul) (ه).
3. Tertukar sebutan pada BismilLAH, "LAH" itu dibaca Lam bertemu Hha pedas (ح), sedangkan Lam bertemu Haa simpul (ـه).
* Ingat tau.. eja Allah ialah "alif lam lam ha"
4. Salah menyebut huruf Ro baris atas dengan sebutan Raa yang sangat jelas "aaaa" nya. Sedangkan sebutannya "Rohman", bukan rahman, rahman ini cuma ejaan rumi sahaja sebagai tanda ro tu baris di atas.
5. Huruf Alif tidak disebut semasa membaca ayat kedua. Sebab nak cepat, ada yang salah menyebut "...Lhamdulillah...". Pastikan sebut dengan jelas "Al ham du lillah.."
6. Sebutan "Alhamdulillah..." pada ayat kedua juga selalu ada yang salah sebut begini "ALLE HAM DU LILLAH". Sebutan "Alle.." itu salah. Berhati-hati yaa.. Matikan huruf Lam tersebut. Sebutan betulnya "AL ham du lillah"
7. Huruf Hha pedas ح pada "al HAM du" hanya dibaca "haa" biasa/simpul (ه).
8. Sebutan "..duLILLAH", tidak disabdukan "LIL" dengan "LAH", hanya baca "Li-lah" sedangkan patutnya sabdu.
9. Sebutan "robbil 'AAlamin", huruf ain ( ع ) disitu ada yang salah sebut dibaca dengan huruf alif, 'aa jadi aa ( ا ). Ingat, disitu huruf ain bukannya alif.
10. Huruf ro tidak disabdukan pada sebutan "aRRohmaaniRRohim". Ramai orang baca "...a-rohmaani-rohim.." ini salah sangat-sangat, sebab itu nama-nama Allah. Sepatutnya ia dibaca ARROHman dan ARROHim. Dan ramai tak baca huruf Hha pedas (ح) tu betul2 pada Ro mati bertemu Hha, cuma baca macam Haa biasa/simpul. ROHH tu macam Ro pedas. Rohhhhhh, pekatkan "hhhh" tu.
11. Huruf mim pada sebutan "MAAlikiyau" tidak dibaca dua harakat, ramai yg baca 1 harakat "...malikiyau...". Ini salah.
12.Tidak mensabdukan huruf Dal pada sebutan "miDDiin", sedangkan ia sepatutnya bersabdu.
13. Haa... yang ini pun ramai selalu sangat salah, tidak mensabdukan huruf Yaa pada "iYYAkanaq buduwaiYYaa". Sebutan yang betul ialah IY-YA, bukan "I-YA" atau "EE-YA". Kena tekan sikit kat IY dan panjangnya dua harakat, bukan satu harakat.
14. Huruf ain pada "iyyakanAQ" hanya disebut KANAK. Ini pun salah. Disitu nun mati bertemu ain ya, bukan bertemu kaf.
15. Selalu salah baca huruf dal dan wau pada "buDUWA" dengan 2 harakat, sedangkan ia mesti dibaca dengan 1 harakat sahaja. Sebutan yang betul ialah "...buduwaiyyaa...", bukan "...buDUU waiyya..." atau "....budu WAA iyya..."
16. Huruf ain tak disebut dengan betul masa "kanasta'IN". Ramai yang sebut sebagai alif, "ka nas ta in", ini salah. Tekankan sedikit sehingga sebutan itu betul huruf ain.
17. Pada "IHdinaussiro..." ada yang terlebih-lebih tekankan huruf Hha sehingga sebutan melampau menjadi "EHhhh.." "Eiih.." dan sebagainya. Sebutan yang betul ialah sebut Hha biasa sahaja. "Ihdinaussiro."
18. Pada "Ihdinaussiro..." juga, ramai baca nun mati bertemu sin, padahal disitu nun mati bertemu sod. "auss" pada sebutan "NAUS" tu kena tekan sikit. Kalau kitab rumi lama, pengarang eja ia sebagai "Ihdinaush-shiro". Bukan suruh baca "naush" mati dengan syin, tapi supaya ditekankan sod tu. Faham tak? Maksud Asyraf, muncungkan mulut anda bila menyebut "Nauss".
19. "Sirootolmustaqim.." ramai baca huruf Ro tu hanya satu harakat, sepatutnya dua harakat.
20. "...Mustaqim", sebutan patutnya QIM, bukan KIM, sebab huruf tu huruf Qof bukan Kaf.
21. "Sirootollazi..." ramai sebut "SI" itu sebagai huruf sin, bukan huruf sod, padahal "SSI" tu patut ditekankan sikit sebab ia huruf sod. Huruf "Ro" pula patut panjang 2 harakat, tapi ramai yang baca dengan 1 harakat. "laZI", huruf tu huruf dzai, bukan zzai, huruf dzai lembut bunyinya, di hujung lidah kita di belakang gigi.
22. "Na-an'am..." ramai sebut AN tu dengan sebutan huruf AIN, padahal ianya huruf alif, manakala ada juga sebut 'AM tu pula dengan huruf alif, padahal ianya huruf ain. Tak kurang, ada juga yang sebut "ANA'AM". Sebutan begini salah. Jika hadapi kesulitan, dah usaha betulkan masih tak dapat juga, jangan begitu jelas sangat bunyinya.
23. Kesalah seterusnya ialah, suka berhenti pada "Ghairilmaghduu bi'alaihim". Tak boleh berhenti situ. Kalau nak berhenti, henti pada sebutan "Na an'am ta'alaihim". Kemudian sambung nafas baru pada "Ghairil maghdu...". Okay?
24. Pada sebutan yang sama tadi, kita tak sebut huruf "Gha" tau, apabila mim mati bertemu Gha, sepatutnya maghdu, disebut "makdu" atau "maqdu" sahaja.
25. "bi'A laihim", ain disebut alif sedangkan disitu huruf ain.
26. "Waladdoollin". Pada sebutan "Ladd" itu ada yang selalu sebut Lam mati bertemu dal, sedangkan ia bertemu dod. Kena tekan dalam sikit pada dod tu. Lebih kurang begini ruminya, "Walaudd" (lidah melekat pada depan rahang/lelangit). Kemudian, sebutan "DOOOLlin" selalu ramai yang baca tak sampai 6 harakat, sedangkan ia wajib dibaca dengan 6 harakat pada huruf dal bertemu sabdu Lam.
27. Kesalahan seterusnya ialah pada setiap hujung-hujung ayat, harakatnya mestilah dibaca sama dari permulaan hingga habis. Boleh pilih ikut keselesaan anda, ia boleh dibaca pada dua, empat atau enam harakat. Sebagai contoh ia dibaca 4 harakat, "BismillahirrohmanirroHIIMMMM..", Alhamdulillahhirrobbil 'alaMIINNNN" "ArrohmanirroHIIMMMM". Faham tak? Ini macam syair atau pantun lah, rima akhir kena sama panjang dan sebagainya. Tak boleh baca ikut sedap saja, ayat pertama dua harakat di penghujung, ayat kedua enam harakat di penghujung. Ini salah. Nak sempurnakan bacaan. Pastikan penghujung ayat itu habis dengan harakat yang sama, teratur dan berirama.
Semua ini kesalahan-kesalahan biasa yang selalu berlaku dalam bacaan Al-Fatihah. Sebenarnya banyak lagi kesalahan lain. Boleh rujuk dengan yang lebih arif. Nak belajar Al-Quran sebenarnya ada adab, kita kena duduk berhadapan dengan guru. Supaya apa yang kita sebut, dan apa yang diajar oleh guru lebih jelas. Bukan belajar di internet semata.
Buat sementara waktu, anda boleh rujuk video yang lebih jelas diterangkan oleh Ustaz Don Daniyal di sini. Sangat bagus, sebab dapat lihat pergerakan mulut dan dapat dengar sebutan sebenar yang perlu kita baiki.
Apa pun, harap anda dan saya, kita sama-sama ambil iktibar, perbaiki bacaan Al-fatihah agar betul dan agar solat sah. Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Jika tak dapat mencegah kita dari melakukan semua itu, there must be something wrong dengan solat kita. Kan? Lagi satu, kalau lelaki nak kahwin nanti pun, tak boleh failed tajwid Al-Fatihah ni tau. Nak jadi Imam nanti. Jadi, bolehlah perbaiki mulai sekarang. In Shaa Allah, masih belum terlambat.
Jika artikel ini bermanfaat untuk anda, tinggalkan komen untuk rujukan saya dan sila kongsi dengan rakan-rakan yang lain. Boleh klik button share di bahagian kiri bawah artikel ini. Moga Allah ganjarkan pahala kebaikan buat kita semua. Mudah-mudahan Allah redha dengan ilmu yang dikongsi ini.
Jaga diri, jaga iman.
Sekian, Wallahualam Bissawab
Kredit Ilmu :
1. Ustaz Azhar Idrus
2. Ustaz Don Daniyal
3. Ustaz Ahmad Adnan Fadzil
4. Fatih Seferagic
"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"
No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...
Bismillahirrahmanirrahim...
Dalam artikel sebelum ini Asyraf ada kongsikan petua jaga kulit muka cara Islam, amalan-amalan yang baik untuk penjagaan wajah dan tak kurang ada tutorial bagaimana nak hasilkan pencuci muka sendiri tanpa guna produk di pasaran. Pencuci muka yang kita hasilkan sendiri nyata lebih selesa, jimat, yakin dan selamat untuk digunakan. Bagi yang terlepas semua itu, bolehlah baca artikel tersebut di sini.
Baiklah, memandangkan artikel lalu tentang penjagaan muka semua tu dapat sambutan dan ramai sangat yang request supaya Asyraf lanjutkan dalam artikel yang baru dengan petua pelbagai. Jadi, kali ini Asyraf kongsikan pula petua yang menarik untuk jaga kulit muka cara sendiri.
Kalau dah nama petua cara sendiri, tentulah Asyraf dah cuba. Alhamdulillah berkesan. Tiba-tiba rasa macam blogger perempuan pula beriya kongsi tips jaga muka. haha. Sebenarnya keperluan menjaga kulit muka bukan lagi khusus pada wanita sahaja, tapi sudah menyeluruh dengan melibatkan golongan lelaki terutamanya bagi jejaka yang aktif bersukan, masih belajar dan sibuk bekerja. Kulit muka yang sihat sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan diri untuk berhadapan dengan semua orang.
Suka Asyraf ingatkan, segala usaha kuat kita untuk amalkan pelbagai petua ini cuma ikhtiar sahaja, kerja memulihkan dan kuasa memberi nikmat kesembuhan itu segalanya terletak pada Allah SWT.
Sebelum itu, mungkin ada pembaca di sini punyai masalah yang sama dengan Asyraf iaitu kulit sensitif dengan produk-produk di pasaran. Bila Asyraf cuba guna pencuci muka yang dibeli, makin teruk kulit muka. Jerawat dan bintik-bintik merah yang menyakitkan. Hampir semua produk dah cuba. Duit pun dah banyak habis. Langsung tak ada kesan. Zaman sekolah dulu kulit muka serius memang tak terjaga. Tapi sekarang Alhamdulillah, Asyraf jaga muka guna cara sendiri. Dengan izinNya, berhasil dan puas hati. Jadi, nasihat Asyraf, pada yang ada masalah kulit sensitif, jangan paksa kulit untuk terima produk-produk tersebut. Nanti bertambah teruk jadinya.
Sememangnya amalan berwhuduk dan ibadah solat sering disebut-sebut orang mampu menyerikan wajah. Tetapi, selain whuduk dan solat, kita juga ada usaha tambahan. Berikut ada beberapa petua penjagaan kulit muka cara Asyraf.
Petua Kurangkan Masalah Jerawat
Pertamanya, sebelum anda terus amalkan apa-apa petua, kita perlu ambil berat dan cari tahu punca utama yang menyebabkan jerawat muncul pada wajah kita selama ini disebabkan apa? Ini untuk memastikan anda tidak membazir masa mencuba pelbagai petua semberono saja sedangkan petua tersebut langsung tidak serasi dengan masalah jerawat anda. Jerawat muncul disebabkan beberapa faktor utama seperti kulit muka berminyak, debu juga hama dari persekitaran, dan perubahan hormon badan.
Masalah kemunculan jerawat sewaktu haid.
Jika jerawat itu berpunca dari perubahan hormon badan, sebagai contoh ada wanita yang berhadapan masalah jerawat tumbuh pada wajah secara bermusim sewaktu datang haid. Anda boleh cuba amalkan makan vitamin c atau makanan tambahan (supplements) yang sesuai. Ini kerana sewaktu proses kitaran haid, badan anda tidak menerima nutrisi yang cukup. Emosi tidak stabil, mudah stress, cepat marah dan tertekan. Jadi, anda memang perlu usaha cegah masalah ini. Makanlah makanan yang berkhasiat, lebihkan buah-buahan seperti epal atau buah delima yang sangat baik untuk kulit muka. Dan cuba sehabis baik untuk selalu tenang. - Ini petua dari mak Asyraf yang sebelum ini berhadapan masalah sama. Sengaja tanya mak sebab mak dah lawa sangat. haha.
Kulit berminyak
1. Kurangkan mencuci muka dengan pencuci
Bagi pembaca yang ada masalah kulit berminyak pula, nasihat saya, elakkan cuci muka terlalu kerap dengan produk pencuci muka (oil control bagai tuuu..) sebab ia sebenarnya menghilangkan minyak pada wajah anda dalam tempoh yang sekejap saja. Selepas satu jam, kulit anda selalunya akan kembali berminyak. Kenapa? Pencuci muka oil control tu sebenarnya merangsang kulit untuk terus hasilkan minyak dengan lebih banyak. Maka dengan itu kulit muka akan bertambah teruk. Bila anda terlalu kerap biasakan cuci muka 4,5 kali sehari dengan pencuci muka, sampai bila-bila pun anda terpaksa beli produk pencuci muka tersebut seumur hidup sebab kulit muka dah tak terkawal. Kalau dah guna satu-satu produk pencuci muka tu, ikutlah aturan penggunaan yang disyorkan. Jangan salah faham, ramai yang fikir bila kulit muka berminyak saja, anda mesti cuci guna produk yang anda beli tu. Sebenarnya salah. Cukuplah dua kali sehari. Kesian muka anda.
2. Jangan campur produk kecantikan sesuka hati
Dan ingat, jangan rajin buat eksperimen dengan mencampur dan kerap kali tukar pelbagai jenama produk pencuci. Sekejap Garnier, esok Nivea, Lusa Safi. Jahanam muka anda nanti.
3. Teh dan madu sebagai pencuci muka?
Baiklah, disebabkan saya dah tak guna pencuci muka yang jual kat pasaraya semua tu. Bila kulit berminyak saya bersihkan muka dengan serbuk teh. Nak lebih berkesan, anda boleh campur serbuk teh tersebut dengan madu. Gosok di muka ala-ala scrub. Selebihnya sapu pada leher, lengan atau badan. Untuk permulaan, amalkan dua kali sehari (pagi dan malam). Dan rajinlah berdoa. Mudah-mudahan muka tak berminyak lagi. Setakat ini, dah 3 tahun saya buat benda ni. Alhamdulillah. Kulit tak berminyak macam dulu.
Nota tambahan : Nak mudah, cari bekas kaca yang ada penutup (balang kaca kecil). Masukkan madu dan serbuk teh dalam bekas tersebut. Gaul supaya sekata, tutup rapat dan simpan dalam peti sejuk. So, tak adalah setiap kali nak cuci muka baru nak sibuk cari serbuk teh, cari madu bagai. Kalau simpan dalam peti sejuk, acuan tersebut tahan lebih lama. Kalau letak diluar saja (suhu bilik) acuan teh dan madu tadi tahan lebih kurang dua minggu. Jangan guna serbuk teh uncang pula, serbuk teh dalam uncang tu agak kasar dan tak sesuai untuk kulit.

le owner |
Cari serbuk teh yang halus macam ni. Campur dengan madu. |
4. Wap panas untuk kecutkan jerawat
Seterusnya, bagi yang ada masalah kulit berminyak sampaikan jerawat tak henti muncul, boleh cuba buat ala-ala spa wap panas guna daun bunga tahi ayam. Petua ni agak kelakar sikit, Asyraf dapat dari nenek sebelah mak. Tapi best. Dulu, waktu jerawat teruk, petua ni menjadilah. Kalau jerawat cuma ada satu dua tu, tak perlulah. hehe. Tapi tak salah pun kalau ada yang nak cuba. Caranya ialah, dapatkan daun pokok bunga tahi ayam yang daunnya masih hijau dan sihat (Kuantiti : kalau banyak lagi bagus hehe..). Basuh daun tersebut hingga bersih. Masukkan dalam periuk, isi air separuh penuh dan didihkan atas dapur. Selepas air mendidih, angkat periuk tadi dan letak di tempat yang selesa dan luas (contoh: lantai ruang tamu). Kemudian, ambil sehelai selimut atau kain yang besar dan tebal. Anda perlu masuk bawah selimut tersebut (ala.. macam tengah main sembunyi-sembunyi tuuu..). Bawa masuk periuk yang air masih panas tadi ke dalam selimut tersebut juga. Letak berhadapan anda dan halakan muka anda pada wap air yang panas naik dari periuk tersebut. Duduklah dalam selimut tu dalam 15-30 minit. Kena banyak sabar, waktu duduk dalam selimut tu, panas betul rasa (berpeluh). Tapi selepas proses ni selesai. Jerawat yang merah-merah di muka sebelum ini dah mula kecut dan ada yang hilang. In shaa Allah. Saya rasa bagi yang jenis ada jerawat yang banyak, merah-merah, jerawat batu yang menyakitkan semua tu, patut cuba petua ini.
Nota tambahan : Air rebusan daun tadi boleh diguna semula dua kali sahaja. Lepas itu, sila buang, cuci bekas dan tukar dengan daun yang baru. Petua ini boleh diamalkan dua kali dalam seminggu. Dan tengoklah perubahan pada wajah.

le owner |
Haa. dapatkan daun bunga tahi ayam yang cenggini.. hijau dan sihat. Bunga tu tak perlu lah. |
5. Buat mask sendiri untuk malam hari
Selain itu, ada juga amalan penjagaan kulit muka pada malam hari yang Asyraf selalu buat seperti pakai mask buatan sendiri. Paling mudah, gunakan bedak sejuk, campurkan dengan dua sudu madu, gaul rata dan sapukan pada muka. Boleh kalau anda nak pakai semasa tidur hingga keesokannya. Tapi sebaiknya elakkan sebab lelehan madu akan kotorkan tempat tidur anda. Cukuplah pakai 30 minit sebelum tidur, kemudian cuci dan berwhuduk (tidur ikut sunnah). Masker bedak sejuk dan madu ini kalau diamalkan boleh buat kulit anda tegang dan liang roma pada muka mengecil.
6. Rehatkan muka di hujung minggu dengan masker timun atau putih telur.
Kalau rajin, setiap kali hujung minggu, anda boleh cuba hasilkan mask dari timun. Tak perlu campur apa-apa. Hanya perlu kisar timun sehingga halus dan sapu pati tersebut pada muka. Biarkan sehingga kering dan cuci. Kalau tak ada timun, dapatkan telur ayam, ambil putih telur sahaja, sapu pada muka. Biarkan kering.
Suka Asyraf ingatkan, apa-apa pun petua dan proses yang anda lalui, rajin-rajinlah berselawat, baca surah-surah lazim, sekurangnya ada pengisian yang baik untuk diri. Berserah pada Allah dengan segala usaha ini.
Penting 

1. Kurangkan menyentuh wajah
Kebiasaan kita, bila jerawat tumbuh, kita suka pegang muka. Tak kurang ada yang rajin tangan memicit jerawat. Asyraf dulu pun macam tu. Nasihat saya, sila elakkan sebab amalan ini cuma menyakitkan muka dan mengundang jerawat semakin teruk. Lelehan darah kotor atau nanah selepas anda memicit jerawat akan merangsang kulit untuk hasilkan jerawat baru. Jerawat yang dipicit juga akan meninggalkan kesan parut hitam yang luar biasa. Kalau tangan anda tu pula baru saja lepas pegang telefon bimbit, tolong jangan sentuh muka. Kulit muka sangat sensitif.
Kalau ada jerawat yang memang perlu dipicit (sebab ada mengumpul nanah yang banyak), alaskan tangan anda guna kain bersih sewaktu proses mengeluarkan nanah dan segera cuci muka dengan air bersih berulang kali. Tak perlu guna pencuci kerana akan menyebabkan keradangan pada bahagian jerawat yang luka.
Nota tambahan : Elakkan guna tisu biasa pada muka untuk lap kotoran sebab tisu biasa tu tak sesuai dengan kulit. Kalau tisu basah yang khas untuk muka itu bolehlah. Dan selalu bersihkan tangan guna sabun cuci tangan atau sanitizing gel yang boleh letak dalam poket juga boleh bawa ke merata tempat. Haa... Kain bersih untuk muka tu mesti guna untuk muka je tau, jangan guna untuk lap benda lain. Lepas guna kain tersebut, rendam dalam air panas terlebih dahulu dan cuci macam biasa.
2. Cuci Cadar Tilam dan Sarung Bantal Anda
Untuk memastikan kulit muka anda cepat pulih, rajin-rajinkanlah diri untuk bersihkan dan kemas tempat tidur. Jangan jadi macam sarang tikus. Lelaki atau perempuan. Wajib bersihkan. Kadang-kadang ada yang mengomel pakai produk itu tak berkesan, cuba petua ini tak berkesan, sebenarnya anda kena lebih prihatin dengan persekitaran. Bayangkan setiap malam anda tidur di katil bersama debu hama yang terlalu seni. Anda tak nampak, tapi mengundang masalah pada kulit anda. Buka tingkap bilik setiap hari, pastikan pengudaraan dalam bilik tidur baik dan selesa. Cuci cadar dan sarung bantal sekurangnya dua minggu sekali. Asyraf selalu rendam semua kain-kain ini dalam air panas terlebih dahulu, kemudian baru cuci seperti biasa.
Buatlah jadual untuk jadi tukang dobi yaa.. Jangan bawa makanan atau minuman atas katil. Memang perangai luar biasa, tapi masih ada yang buat. Nampak macam tak ada kaitan dengan masalah muka. Tapi sebenarnya ada.
3. Jangan sembur Perfume pada wajah atau leher.
Ada orang nak wangi, disemburnya Perfume habis seluruh badan termasuk muka dan bahagian leher yang hampir dengan muka. Kurang-kurangkan tabiat ini sebab kandungan dalam pewangi menyebabkan kulit muka mengalami iritasi dan tidak sihat.
4. Jangan malas dengan rutin
Jangan cepat putus asa bila pelbagai usaha anda buat untuk jaga muka tidak menjadi. Teruskan menjaga rutin harian dengan membersihkan muka dua kali sehari. Jangan risau, bagi yang Muslim, anda automatik bersihkan muka 5 kali sehari dek kerana whuduk. Kerap cuci muka dengan air bersih sahaja tak ada masalah malah ia amalan yang sangat bagus sebab amalan mencuci muka dengan air bersih menggalakkan kulit bernafas. Cuma yang bermasalah kalau anda kerap cuci muka dengan produk pencuci yang ada kandungan kimia. Boleh menipiskan kulit. Tak pasal-pasal keradangan nanti.
5. Kurangkan berjemur
Kurangkan berjemur terlalu lama di bawah panas terik matahari selepas jam 2 petang kerana sinar UV yang sepatutnya baik untuk mengawal bakteria pada kulit akan bertukar fungsi menyebabkan kulit anda kering dan cepat berminyak.
Cahaya matahari yang baik ialah pada waktu pagi. Jadi, jangan selalu bangun lewat. Hehe.
Haa.. cukuplah kot petua untuk artikel kali ini. Cuba dahulu yang mana mampu. Apa yang pasti selalu ingat Allah Taa'la sahaja yang berkuasa menyembuhkan. Untuk doa-doa amalan menjaga muka, rujuk artikel Asyraf yang lama. Asyraf kongsi tips ini tak kena bayar pun. Kalau ia berkesan, kongsilah dengan yang lain. Asyraf cuma bantu rakan-rakan pembaca yang ada masalah yang sama macam Asyraf alami suatu ketika dulu. Sekarang Alhamdulillah, banyak perubahan. Tulis artikel ini pun sebab ramai gilaaa request. Kalau tak, tak rajin Asyraf nak update. hehe.
Semoga berjaya, dan jangan tinggal solat.
Jaga diri, jaga Iman.
Tinggalkan komen di bawah jika anda suka artikel ini.
Sekian.
Send me sum prayers.
Artikel lalu : Cara Islam : Amalan baik untuk miliki wajah berseri
"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"
No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...
 |
"Allah sebaik-baik penghibur.." |
Bismillahirrahmanirrahim
***
"Alhamdulillah, sekarang saya sambung belajar di Giatmara cikgu." Jawab Mubarak dengan penuh yakin dan bersemangat.
"Oh ya? Alhamdulillah. Tapi sebelum ini, kamu tak cuba mohon politeknik atau kolej-kolej lain dulu ke Mubarak? Giatmara tu bagi cikgu boleh la... Tak apalah, sambunglah di mana pun. Asalkan kamu dapat belajar. Cuma rugilah kamu tak macam kawan yang lain..."
Mubarak terdiam tatkala mendengar jawapan balas daripada Puan Sapilah. Nyata Puan Sapilah seolah tidak suka mendengar anak muridnya di sekolah menengah dahulu kini cuma mampu melanjutkan di institut kemahiran sahaja.
"Erm.. Terima Kasih cikgu. Saya minta diri dulu."
Senyuman Mubarak tawar. Dia terus tunduk dan beredar dari kaki lima pejabat sekolah.
***
Okay, stop. Pernah alami situasi yang lebih kurang macam yang dialami Mubarak kat atas ni?
Baiklah, cuba sekarang pula kita ubah situasi, (dengan izin Allah Taa'la) kita dapat sambung belajar ke Universiti Malaya atau Universiti Sains Malaysia. Maka, automatik keliling pinggang orang datang ucap tahniah dengan kita.
"MasyaAllah, Subhanallah, hebatnya kamu. Tahniah sebab dapat sambung ke USM. Cerah masa depan! Nanti jangan lupa cikgu lah bila dah berjaya. Cikgu bangga dengan kamu. Tahniah sekali lagi."
Fuh, berkali-kali ucapan tahniah diterima. Berbeza pula dengan mereka yang dapat sambung belajar di tempat-tempat pengajian yang biasa-biasa sahaja, maka ucapan yang diterima pun biasa-biasa juga. Macam nak tak nak je ucapan tu, kan?
Pertamanya, berlapang dada bila anda berhadapan dengan situasi sebegini. Anggap mereka ini sakit tekak atau ada masalah lain pada ketika itu. Pura-pura faham, walaupun alasan berlapang dada anda tu tak berapa nak logik untuk diterima oleh akal sihat anda. Hehe.
Kenapa perlunya kita sebagai manusia kepada kata-kata penghargaan? Sebelum kita teruskan, saya rasa perkataan "penghargaan" tu elok kita ubah kepada "motivasi". Kata-kata yang "memotivasikan" diri. Sebab apa saya ubah? sebab saya tak nak ada yang salah faham sampaikan nanti ada yang berhujah dengan kuot-kuot yang berbunyi...
"Jangan mengharapkan penghargaan manusia, cari redha Allah Taa'la sudah cukup!"
"Kalau buat sesuatu sebab nak pujian dari manusia, itu tak ikhlas namanya, nak menunjuk!"
Kan? Sebenarnya bukan penghargaan yang itu yang saya nak bualkan. Dalam mendepani dunia yang makin mencabar sekarang ini, manusia perlukan kata-kata motivasi untuk terus membakar semangat diri. Kata-kata motivasi ini bukannya bermaksud pujian yang membawa kepada bangga diri seseorang individu. Tetapi sekadar ucapan-ucapan baik yang menyenangkan hati kita.
Ya, mungkin ada antara pembaca disini yang memang "hati kering" tak pernah ambil kisah tentang penilaian orang sekeliling dengan pencapaian anda. Yalah, bila orang rendah-rendahkan anda sekalipun anda masih mampu bersuka ria dengan layanan mereka. Tetapi tidak bagi sesetengah orang. Bukan saya maksudkan mereka ini orang yang sensitif dan 'emo' tak kena masa, tetapi ini fitrah sebagai manusia yang mana masing-masing dikurniakan perasaan. Manusia perlu dihargai. Faham ya, "dihargai" jauh beza dengan istilah "dipuji".
Ya, semua orang pandai. Senyumlah
Jangan berkecil hati jika ada yang memandang rendah pada diri, sebab hari ini saya pujuk anda dengan satu kuot.
"Semua orang pandai, cuma Allah kurniakan kepandaian itu berbeza-beza."
Faham? Sebenarnya macam ni, cuba anda duduk dan fikirkan sekejap. Saya beri contoh, ada seorang doktor pakar. Beliau mendapat kelulusan dari universiti terkemuka dunia. Doktor ini sangat pandai. Semua orang suka dengannya. Suatu hari, ketika doktor tersebut keluar bercuti, kereta BMW miliknya rosak. Soalan saya, adakah doktor yang pandai itu boleh membaiki keretanya sendiri? Jawapannya tidak. Doktor pakar tersebut tetap akan menghantar keretanya ke bengkel untuk dibaiki oleh mekanik. Maka dengan ini, doktor tersebut pandai, dan mekanik yang membaiki kereta doktor itu pun pandai. Cuma kepandaian kedua-dua individu tadi berbeza. Betul kan?
Allah Taa'la Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Tak siapa duga, segala aturan kejadian yang berlaku atas muka bumi ini tersusun dengan indah sekali. Siapa kita hari ini pun sudah ditentukan sebaiknya oleh Allah SWT. Ada orang yang pandai, lalu dia diizinkan Allah untuk menjadi petani, ada orang yang pandai, diizinkan Allah dia menjadi cikgu, ada orang yang pandai, lalu diizinkan Allah dia menjadi pemandu lori dan begitulah seterusnya.
Setelah Allah SWT menyempurnakan kejadian langit dan bumi, manusia masing-masing ditugaskan sebagai khalifah untuk mentadbir bumi. Walau kita manusia telah dijadikan sebaik-baik ciptaan pun, kita masih lagi memerlukan antara satu dengan yang lain. Saling melengkapi sesama makhluk.
Sebab itu kita selalu dengar orang cakap, "cukuplah Allah sebaik-baik pemerhati dan sebaik-baik penolong." Sebabnya, manusia tak mahu berbalah dek saling mengejar "penghargaan".
Walaupun begitu, tugas kita sebagai manusia adalah untuk sama-sama menghormati hak dan kebolehan orang lain. Kerana apa? kerana walau bekerja sebagai tukang sapu sekalipun, kudrat dan pengetahuan yang dimiliki oleh tukang sapu itu milik Allah jua sebenar-benarnya. Kita tidak punya hak untuk mengatakan dia itu dan ini.
Sebab itu, bila mana ada individu yang berpeluang belajar ke institut pengajian tinggi, mereka ini sedikitpun tidak berhak merendah-rendahkan orang yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran. Tak kiralah sama ada dalam nada bergurau atau tidak, keperluan untuk menjaga hati orang sekeliling lebih perlu diutamakan.
Yalah, kalau sudah hebat belajar pandai hingga menara gading, tak kan lah secebis akal untuk berfikir bagaimana mahu menjaga adab dengan orang sekeliling sudah tiada. Barangkali belajar terlalu tinggi, gayat sangat agaknya. Sampai terlupa hal yang 'remeh' (kecil). Tak gitu?
Pada saya, manusia ni memang tak harap pun pada ucapan penghargaan atau pujian semua tu, cukuplah berkata yang baik-baik untuk menyenangkan hati. Kalau rasa tak mampu bercakap yang baik-baik. Lebih elok diam. Rasanya itu lebih baik.
Rahsia Allah SWT tak siapa tahu, tak siapa mampu jangka apa yang akan terjadi akan datang. Bukan kita tahu masa depan kita nanti bagaimana. Mungkin boleh jadi dia yang cuma belajar di Giatmara tadi sudah jadi usahawan berjaya. Dan mana tahu, kawan sekolah kita yang dulunya tak berpeluang ke universiti sudah ada syarikat kuih terkemuka. Dan kita pula yang dulunya meletup-letup canang sijil tebal ke merata desa kini masih ke huluke hilir mencari kerja.
Nah, sekarang mari kita muhasabah. Siapa kita hari ini dan selayaknya apa yang kita perlu buat untuk cari redha Ilahi. Usahlah fikirkan sangat kejayaan hari ini. Mungkin ya, semua atas usaha gigih sendiri. Tapi, ada waktu kita perlu duduk dan renung ke dalam diri, dan hayati kuot ringkas ini...
"Dunia ini diciptakan untuk orang yang tiada rumah di akhirat.."
Ringkas, pedih dan padat. Seribu makna kalau kita hayati. Hari ini andai kata kita seorang menteri, esok di akhirat siapa kita disisi Ilahi? Harini andai kata kita seorang pelajar universiti, apa esok ilmu-ilmu yang kita pelajari atas dunia ini mendapat redhaNya ilahi atau ilmu ini akan humban kita ke dalam api? Apa yang sudah kita kongsi? Apa yang sudah kita beri? Siapa yang sudah kita sakiti. Makin berjaya, makin berkuasa dan makin hebat kita atas dunia, maka makin banyaklah perkara yang dipertanggungjawabkan pada kita. Segalanya bakal disoal kelak.
Apa pun ini bukan bermakna kita cuma perlu duduk, bermalasan, tak perlu belajar, dan sekadar bersyukur dengan apa yang ada sahaja. Kena lah usaha, bukankah Allah Taa'la perintahkan kita untuk bekerja dan menuntut ilmu. Jadi tak ada alasan untuk kata,
"Sudahlah, aku redha dengan ketentuan Allah untuk aku setakat ini."
Heh, itu cari bala namanya, biarlah stabil dunia dan akhirat. Bak kata seorang alim, "Dan sebaik-baik manusia itu, dia kaya di dunia dan kaya juga di akhirat."
Ingat, semua orang pandai, cuma kepandaian itu dikurniakan berbeza-beza. Kerana itu kita perlu saling melengkapi. Semoga artikel ini memotivasikan diri dan mampu pujuk hati. Tinggalkan komen dibawah untuk rujukan saya.
Jaga diri, jaga Iman
Sekian.
 |
le owner : qadimul quran |
"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"
No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...