Tanda Putera
Kesudahannya, sebuah filem yang menjadi kontroversi hebat setahun lalu kini ditayangkan juga di Malaysia. Filem terbitan Pesona Pictures dengan kerjasama FINAS memaparkan kisah perjuangan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman untuk memulihkan negara, susulan peristiwa 13 mei 1969. Filem yang diterbitkan pada 2011 dan dilulus tayangannya oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) sepatutnya menemui penonton mulai 15 November tahun lalu. Namun begitu, atas desakan daripada beberapa pihak terutamanya dari pihak pembangkang, akhirnya jemaah menteri telah membuat keputusan untuk menangguhkan filem itu berikutan ada perdebatan kononnya terdapat babak yang tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik dalam masyarakat.
29 Ogos 2013, tarikh yang dinanti-nanti dan kiranya cukup mendebarkan buat rakyat Malaysia. Filem yang sudah berkali-kali ditangguhkan tayangannya sebelum ini bakal muncul di pawagam seluruh Malaysia. Berikutan kuliah di universiti terlalu padat, saya tidak berpeluang untuk menonton filem tersebut pada hari pertama tayangan. Agak kecewa sebab pada hari pertama tayangan, ada pelbagai aktiviti dijalankan sekitar Mid Valley, Kuala Lumpur antaranya ialah kempen Pakai Songkok.
Alhamdulillah, 1 September 2013, saya berkesempatan untuk menonton filem tersebut buat kali pertama bersama sepupu saya di GSC Alamanda, Putrajaya. Hebat filemnya, memang agak sedih apabila ada babak-babak yang mengisahkan tentang pemergian Allahyarham Tun Dr. Ismail dan juga Tun Abdul Razak. Dewan pawagam yang penuh dengan penonton tiba-tiba bertukar suram dan sebak, tak kurang ramai yang menangis termasuk saya sendiri. Tak tipu. Bagi yang belum menonton silakan ke pawagam.
2 September 2013, saya menonton filem tersebut buat kali kedua di MBO, Space U8, Shah Alam. Kali ini ditemani rakan-rakan sekuliah di Universiti. Tamat sahaja kuliah pagi, kami berempat terus ke sana. Alhamdulillah, maklum balas rakan-rakan saya juga hampir sama dengan pendapat saya.
Walaupun begitu, ada babak-babak dalam filem ini dilihat agak tergantung ceritanya, contohnya babak Dr. Mahathir menghantar surat kepada Tunku Abdul Rahman supaya meletakkan jawatan, babak tersebut tergantung begitu sahaja tanpa penjelasan kenapa Dr. Mahathir berbuat demikian. Selepas itu Dr. Mahathir terus dipecat daripada UMNO, kemudian tiba-tiba sahaja muncul pula babak baru yang terus menunjukkan Dr. Mahathir sudah berbaik-baik dengan Tun Abdul Razak walaupun sebelum ini Tun Abdul Razak sendiri turut tidak bersetuju dengan tindakan Dr. Mahathir menghantar surat kepada Tunku Abdul Rahman. Jadi babak itu masih lagi menjadi tanda tanya kepada saya dan rakan-rakan.
Tetapi sebagai pelajar filem, kami faham bahawa filem-filem sejarah tidak selalu penuh dan padat ceritanya. Lagi pula filem ini hanya fokus kepada perjuangan dua tokoh hebat negara dan bukannya filem sejarah Malaysia yang secara umum membincangkan keseluruhan isu-isu negara. Babak-babak dalam filem ini hanya diselitkan berdasarkan isu yang berlaku pada ketika itu. Bagaimana ianya bermula dan apa peristiwa-peristiwa penting yang berkait dengan perjuangan dua tokoh negara ini.

Apa pun Tahniah saya ucapkan kepada Datin Paduka Shuhaimi Baba, Pesona Pictures, dan pihak FINAS sendiri yang berjaya menghasilkan filem ini. Sudah hampir seminggu tayangan, desas desus sebelum ini yang mengatakan kononnya filem ini akan menyebabkan rosak perpaduan, rusuhan dan sebagainya tidak langsung terjadi. Saya sendiri sudah dua kali menonton, tiada pun kandungan dalam filem tersebut yang menggugat perpaduan negara. Filem Tanda Putera mengkritik kedua-dua belah pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang, atau masyarakat negara ini sendiri. Pemimpin harusnya menenangkan rakyat, bukannya saling menyalahkan pihak lawan dan mengapi-apikan rakyat dengan menggunakan isu-isu perkauman sebagai modal.
Ya, Rakyat Malaysia memang matang, tetapi pengaruh daripada pemimpin sangat besar. Bila mana akhlak kedua-dua belah pihak dan pemimpin terjaga, InsyaAllah rakyat yang dibawah tidaklah melatah sebegini rupa. Filem Tanda Putera jelas menceritakan tentang perjuangan pemimpin negara untuk menjadikan Malaysia harini.
Menyentuh soal perkauman yang selalu dipersoalkan beberapa pihak, saya rasa filem itu tidak pun menyalahkan kaum Cina sepenuhnya. Dalam peristiwa 13 Mei itu sendiri, tidak semua orang cina mahukan rusuhan tersebut. Cuma ketegangan yang berlaku ketika itu menyebabkan pergaduhan dan akhirnya kaum Melayu dan Kaum Cina bertelagah dan bermandi darah. Ada banyak babak yang menunjukkan keburukan kaum Melayu sendiri yang sama juga bersikap kurang baik terhadap kaum Cina. Filem ini mengkritik kedua-dua kaum, jadi usahlah bertelagah. Ambil sebagai muhasabah, sejarah lalu mematangkan kita. Filem ini pun ada masukkan babak dimana orang Melayu dan Cina kembali bersatu padu dan berbaik-baik. Ambil pengajaran, jangan kita ulang peristiwa pahit itu. Dalam hal ini, peranan pemimpin sangat penting, kalau ada pemimpin yang cuba mengapi-apikan rakyat dengan modal perkauman. Abaikan sahaja.
Usahlah menghina, jangan takut dengan bayang-bayang kita. Kalaupun ada peristiwa hitam dulu, itu tidak melambangkan kita harini. Jaga akhlak kita, moga Allah terus berkati Malaysia.
Tabarakallah, Keep Calm and Love Malaysia
Copyright Muslim Writer © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012- indexs12
Read More...

Sahabat pembaca, terima kasih berkunjung ke sini lagi. Nak tanya, pernah tak tonton filem pendek berjudul "Sebelah Sayap (Broken Wings)" karya dan arahan Mat Luthfi di You Tube? Kalau belum tonton, awak boleh klik sini : Sebelah Sayap.
Sebagai salah seorang pelajar yang kini belajar dalam jurusan perfileman (kat mana saya belajar itu lain cerita), pastinya ada sahaja komen yang ingin diutarakan. Saya tak lah tahu sangat pasal filem, bahasa-bahasa filem pun saya tahu la sikit-sikit. Tapi untuk filem pendek Sebelah Sayap ni, saya lebih tertarik nak bercerita tentang mesej ilmiah terkandung di dalamnya.
Bagai kena penampar ayah saya, memang agak terpukul bila tonton filem pendek ni. Ya, saya selalu luangkan masa untuk tonton video-video karya Mat Luthfi di You Tube. Hebat, sebab tegurannya kena batang hidung sendiri dan mampu buka mata ramai orang.
Berbalik kepada filem pendek "Sebelah Sayap", tajuknya pun sudah ada makna tersirat. Hanya ada sebelah sayap, mana mungkin mampu terbang tinggi. Waktu tu kita hanya mampu fikir untuk putus asa, tunggu sahaja di bawah sana dan menanti waktu untuk dibaham binatang buas. Namun kalau punya sokongan dari sekeliling, tak mustahil untuk terbang tinggi dan tinggi lagi.
Tak mahu ulas panjang, saya yakin kita pasti sependapat. Ayat-ayat yang diutarakan Mat Luthfi seolah buka harapan baru buat kita yang masih merangkak dalam hijrah.
"Jika agama gagal menawarkan harapan, ia bukan dari Tuhan" - Mat Luthfi
"At least, kalau hang tak dapat pahala sebab berhenti buat dosa, hang dapat pahala cuba berhenti pun jadilah" - Mat Luthfi
Kita pandai agama, belum tentu kita selalu betul dan tak boleh ditegur, sekurang-kurangnya dengarlah nasihat. Memang kita hidup atas bumi Allah ini dengan satu matlamat, Syurga Allah. Matlamat kita sama, yang membezakan kita cuma amalan masing-masing. Usah menilai, serahkan segalanya pada Allah. Kita tak boleh tersekat dengan satu perkataan "agama", dan tiba-tiba berkuasa melabel orang lain ikut suka hati. Islam indah, ajar berkasih sayang dan bukannya membenci.
Tak semua orang sama, ada orang boleh berubah hanya dengan dengar satu dua ceramah. Kalau orang tu membesar dalam environtment Islamik, orang tu bolehlah kalau nak tarbiyah dia dengan dalil-dalil. Tapi kalau bagi sesetengah orang, didikan agama dalam keluarga sendiri dah kurang. Tiba-tiba kita pergi ceramah agama yang dia sendiri tak pernah rela nak dengar, silap haribulan dia cakap kita gila.
Pergi usrah, pergi ceramah sana sini, belum tentu kita hebat. Jangan selesa sangat, beri peluang untuk orang lain berubah. Dakwah bukan setakat ceramah, post Islamik kat twitter, facebook, atau blog. Tapi ada banyak lagi cabang dakwah. Kita kena tunjukkan cara. Islam bukan soal "aku lebih baik, kau hina, so aku tak boleh berkawan dengan kau" tapi Islam soal "mari saya tunjukkan jalan terbaik".
Asal kita semua dari Syurga, jadi sepatutnya kita sama tolong menolong untuk kembali ke sana. Kalau asyik jatuhkan semangat orang. Itu salah. Belajar bagi harapan, peluang, cuba dan cuba lagi InsyaAllah berjaya.
Jangan lupa tonton Sebelah Sayap di YouTube!
Keep praying. Keep hoping. Keep believing. Allah has a plan.
Copyright Muslim Writer © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012-
-->
indexs12
Read More...