The Hearabouts: Personal

Hi hello, i'm Asyraf. This blog is where i pour my ideas, my thoughts. i scribble, i write and i express. Sorry in advance if there's any hiccups here and there. Enjoy reading. May peace be upon you, upon me, upon us all. Tabarakallah, Keep calm and rock on.
| I'M BACK! |
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَظْهَرَ الجَمِيْلَ وَسَتَرَ القَبِيْحَ
"Segala puji bagi Allah yang menampakkan yang baik dan menutupi yang buruk."
Showing posts with label Personal. Show all posts
Showing posts with label Personal. Show all posts

Thursday, 16 October 2014

Pemergianmu dirindui, Abah.

30 Komen



Khas buat Allahyarham ayahanda tercinta.
"ABAH, REHATLAH"

Al-Quran ku aku tutup. Aku letakkan disisi katil, bersebelah dengan satu susuk tubuh yang paling aku sayang – abah.

Aku renung wajah abah yang sedang tidur, dengan saluran bantuan pernafasan berselirat di dada abah. Hembusan nafas abah kuat, lebih dari hari-hari biasa. Aku jadi risau, Aku cuba memandang sekeliling meraih simpati jururawat atau doktor yang lalu lalang namun mereka hanya memandang, dan berlalu. Mungkin sudah biasa bagi mereka keadaan seperti ini.

Aku menghembus nafas perlahan. Pandangan aku masih pada wajah abah. Perlahan-lahan aku letakkan tapak tangan di dahi abah. Panas. Ku capai tuala basah yang sedia ada di kepala katil lalu aku lapkan dahi dan wajahnya dengan lembut. Inilah wajah tua yang penat membesarkan aku selama 20 tahun. Meskipun sudah terlantar hampir 4 hari, wajah abah masih segar. Tiada sebarang kesan atau bekas yang menunjukkan abah sedang sakit. sepertinya abah sedang tidur, tanpa diganggu oleh sesiapa. Seperti mana abah tidur dirumah. Cumanya, sudah beberapa hari abah tidak bangun-bangun.

Rindu.

Rindu dengan suara garau yang sering sahaja menjadi deringan yang mengejutkan tidurku, suara yang sering menyahut panggilan telefonku, dan suara yang sering menegurku tika aku khilaf.

Aku mengalih pandangan pada meter oksigen yang bersambung dengan alat bantuan pernafasan abah. Tidak seperti hari lain, hari ini lebih kadarnya. Aku makin risau. Mata sudah mahu berkaca. Aku tahan. Aku tak nak menangis disisi abah dalam ketika dia memerlukan kekuatan daripada anak-anaknya. Butir kaca tidak jadi berderai. ‘Ya Allah sesungguhnya kau sedang menguji abahku, dan kami sekeluarga, aku redha Ya Allah’ rintih aku dalam diam. Aku terus berada disisi abah. Sesekali aku lapkan badan abah. . Kesian abah demam. Usai itu aku kembali mencapai Quran; aku bacakan untuk kesekian kali.

ABAH

Datang seorang jururawat mahu beri abah susu melalui tiub. Dia cuba pasang alat yang mengesan nadi abah, tapi tak berfungsi. Dia mula memanggil rakan yang lain, memasang mesin mengesan nadi dan degupan jantung. Langsir katil abah ditutup; beberapa doktor mula masuk beserta jururawat. Aku kian cemas tapi hanya mampu menunggu penuh sabar. Seketika itu, dua orang doktor keluar daripada sisi katil abah, menuju ke kaunter ditengah-tengah wad. Kemudian kembali kepada kami. Memanggil aku beserta ahli keluarga yang lain. Doktor maklumkan, jantung abah sudah lemah, oksigen dalam darah juga sudah kurang. Aku memohon izin, untuk mendekati abah. Kami perlu berada disisinya saat ini. Aku, mak, kakak dan adik-adik terduduk di sisi katil abah. Ahli keluarga terdekat lain teresak menahan tangis. Aku kembali bangun, tidak senang duduk aku melihat keadaan abah. Lafaz syahadah ringkas aku bisikkan bersilih ganti dengan mak. Beberapa minit kemudian, tangan abah yang sekian lama kaku saat berada dalam koma bergerak perlahan qiam ke atas dada. Tersentak ketika jantung aku.

Nafas abah terhenti. Titisan air mata abah mengalir ke pipinya. Aku usap perlahan.

Doktor sahkan abah sudah pergi jam 7.15 malam.

Secepat itu dia pergi…

Tiada kata yang dapat gambarkan perasaan aku ketika itu. Insan yang paling aku sayang dunia akhirat, sudah pergi meninggalkan aku. “Ya Allah, aku redha dengan ujian Mu..”

Aku melangkah perlahan masuk melepasi langsir yang menutupi katil abah. Tangan aku hulur, aku capai kaki abah, aku usap perlahan-lahan. Seluruh tubuh abah aku sentuh. Aku lihat wajah abah. Tenangnya abah tidur. Wajah abah tersenyum. Ya Allah kuatkanlah aku..

Tika semua mula beredar daripada katil abah. Tinggal aku bersendirian dengan abah. Aku kucup dahi abah semahu-mahunya, aku cium badan abah, aku cium tangan abah. Seboleh-bolehnya aku mahu cium semua anggota badan abah. Inilah abah yang membesarkan aku. Inilah abah yang aku sayang dunia akhirat.
Aku tahan air mata daripada mengalir. Aku berkata dalam hati,”mesti abah ada dekat sekeliling ni kan, abah tengok la kita tak nangis, kita kuat, kita kan anak abah yang kuat. Maafkan angah abah. Sampai sini sahaja Allah izinkan kita bersama” rintih aku dalam hati. Namun, hati ini terlalu rapuh. Akhirnya berkaca juga. Aku tahan dan tidak tertumpah disisi abah.

Aku uruskan segala dokumen untuk membawa pulang jenazah. Sebagai anak lelaki sulung, aku bertanggungjawab ke atasnya. Aku mengiringi abah ke dalam van jenazah untuk pulang ke rumah. Namun aku tidak ikut serta. Aku biar adik-adik dan mak berada sama dekat dengan abah sepanjang perjalanan pulang. Sempat aku bisikkan pada abah, “Abah, sekarang kita nak balik rumah ni, nak jumpa nenek dengan semua, abah mesti tak sabarkan nak balik rumah, dah empat hari abah tak balik rumah, semua orang rindu abah”, aku ucap perlahan disisi abah.

Sampai dirumah, ramai yang sudah menunggu. Abah dibaringkan disudut ruang rumah. Ramai orang mengelilinya. Malam berlalu pergi. Aku temankan abah semalaman diiringi bacaan yassin tanpa henti sementara menunggu hari pengebumian esok.

Keesokannya, aku turut serta dalam urusan memandikan dan mengafankan abah. Tika memandikan abah, terasa tidak puas rasanya aku lapkan badan abah. Setiap genap aku gosok supaya abah bersih dan wangi. Dengan perlahan aku jiruskan air pada badan abah.

Aku kemaskan rambut abah. Aku pakaikan abah dengan kain putih serta wangi-wangian. Aku tunaikan juga hasrat abah yang ingin aku sarungkan jubah konvokesyen aku pada tubuhnya minggu hadapan. Namun , jubah konvokesyen aku gantikan dengan yang lebih baik, yakni kain putih. Wangi sungguh abah ku. Kemudian, untuk terakhir kali wajah abah ditatap, aku memandang penuh sayu. Itulah untuk terakhir kali aku melihat wajah abah. Wajah kesayangan aku dunia akhirat. Aku cium dahinya. Terasa tidak mahu ku lepaskan ciuman itu.

Saat jenazah abah diusung keluar dari rumah, aku mengetuai kumpulan usungan keranda. Imam memberi isyarat untuk aku mula berbicara,
"Assalamualaikum semua, saya... anak kepada arwah, jika arwah abah ada melakukan apa-apa kesalahan dengan tuan-tuan sepanjang hayatnya, maafkanlah. Dan jika arwah abah ada berhutang dengan sesiapa sekalipun, datanglah berjumpa dengan saya atau ahli keluarga yang lain. Semoga abah tenang di sana nanti. In shaa Allah."

Ucapan aku terhenti, semua yang hadir mengangguk faham dan mengaminkannya. Keranda abah terus diusung menuju ke van jenazah. Kali ini jenazah abah di bawa ke masjid. Ketika solat jenazah, aku sembahyang dihadapan sekali, sambil mata aku pandang tepat di keranda pada bahagian wajah abah. Selepas doa dibacakan aku terus duduk dan mencium keranda abah. Air mataku mengalir. Aku seka perlahan. Sekali lagi Imam memberi isyarat untuk aku memulakan bicara kepada jemaah yang hadir. Aku mengangguk perlahan dan memandang sekeliling. Kali ini jemaah yang turut serta sembahyangkan jenazah abah cukup ramai. Wajah sahabat-sahabat abah dan anak-anak muridnya penuh mengisi ruang masjid. Suasana cukup suram. Selepas selesai aku berbicara mewakilkan abah, keranda diusung ke tanah perkuburan.

Disinilah tempat yang memisahkan kami. Aku bersama-sama adik membantu menurunkan keranda abah ke liang lahad. Aku masuk bersama ke liang lahad untuk urusan pengebumian. Hanya iringan doa bersama abah saat itu. Namun sedikitpun air mata aku tidak mengalir. Aku yakin Allah sebaik-baik penjaga. Sebaik mana pun kami menjaga abah di dunia ini, penjagaan Allah adalah yang terbaik. Sebab itu Allah jemput abah pulang.

Abah. Dialah tempat aku mengisi lompangnya hidup sebagai anak. Dialah pelindung yang membesarkan aku menjadi dewasa. Dialah pemberi semangat saat jiwa aku gelora. Ya Allah, kau ampunkanlah dosa abah, kau tempatkanlah abah dalam kalangan yang beriman, dalam kalangan mereka yang kau beri rahmat, kau peliharalah abah sebagaimana abah memelihara aku sejak daripada kecil lagi. Amin Ya Rabbal Alamin..

Abah, berehatlah.. Kami menyusul abah nanti.. Aku sayang abah..



Khas buat Allahyarham ayahanda tercinta,
Pemergianmu dirindui.

Al-Fatihah.
Khalib Zakaria 
(1964-2014)

"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...

Friday, 5 September 2014

Sebab Freshie Benci Minggu Haluan Siswa

10 Komen

Bismillahirrahmanirrahim

Minggu haluan siswa atau minggu orientasi atau nama program lain yang berkenaan adalah salah satu minggu di mana pelajar baru yang melangkah masuk ke universiti diwajibkan mengikuti program dikendalikan oleh pelajar senior dengan tujuan memberi pendedahan kepada pelajar baru (freshie) akan kehidupan yang lebih osem dan sedikit berbeza di kampus berbanding sekolah.

Namun, sejauh mana program yang diberi nama "Minggu Haluan Siswa" ini memberi pulangan baik kepada pelajar baru tersebut? Itu yang harus sama-sama kita fikirkan. Ini kerana, akhir ini pelajar lebih mudah untuk menyuarakan pendapat mereka melalui laman sosial. Dan nampaknya lebih banyak respons balas yang negatif diterima. Maka, kemungkinan besar Minggu Haluan Siswa tersebut sudah boleh dikategorikan sebagai program yang GAGAL.

Justeru itu, artikel kali ini akan membincangkan serba sedikit tentang punca utama freshie benci snagat dengan penganjuran Minggu Haluan Siswa. Berdasarkan pengalaman saya sebagai mahasiswa di Universiti selama lebih kurang 3 tahun, berikut adalah beberapa sebab yang dapat saya senaraikan.

1. Tidak Islamik

Bagi pelajar Muslim, pasti alasan ini antara sebab utama mereka tidak selesa malah tidak berpuas hati dengan penganjuran Minggu Haluan Siswa. Pelajar lelaki dan wanita bukan mahram diarahkan berada dalam satu kumpulan tanpa mengenal batas pergaulan. Malah ada aktiviti berkumpulan yang memerlukan mereka bersentuhan dengan alasan klise wonder pets "kerjasama". Justeru itu, saranan 20 sen daripada saya, program ini haruslah dikaji semula oleh pihak universiti khususnya supaya aktiviti yang dicadangkan dalam Minggu Haluan Siswa memberi faedah baik di universiti dunia, juga di universiti akhirat kelak. Ingat, kalau Allah tak redha dengan apa kita buat, pasti hasilnya tidak baik.

2. Terlalu ramai fasilitator berleter/bertempik/menjerit/melolong bagai kena sampuk. Ini bukan kem Tentera.

Apa pun alasannya, saya pasti pelajar yang diterima masuk ke Universiti adalah antara yang terpilih. Fasi/senior yang bertanggungjawab menguruskan program sebaiknya belajar berkomunikasi dengan lebih baik. Kadang ada perkara yang saya rasa tak perlu menjerit pun, disampaikan dalam nada yang tinggi. Tindakan sebegini pastinya mengundang sedikit sebanyak pandangan negatif pada pelajar baru tentang akhlak senior. Mungkin di mulut masing-masing berkata suka. Namun, di hati siapa yang tahu. 
Saya tidak bermaksud untuk mengatakan cara menjerit/melolong itu beri kesan buruk yang melampau kepada si penerima maklumat. Saya akui, ada baiknya juga. Namun, ia dilihat kurang sesuai. Malahan, bila ada fasi perempuan yang menjerit-jerit, bukankah ia sesuatu yang memalukan dan tidak masuk akal. 

3. Ceramah/slot/pengisian motivasi dalam satu-satu program membosankan. 

Selama mengikuti Minggu Haluan Siswa, saya dapati terlalu banyak ceramah yang tidak membina jiwa pun. Bukan semua, tetapi beberapa sahaja. Pengisian itu ada, namun hasilnya kosong. Pelajar yang keletihan selepas mengikuti aktiviti lain sebelum ini pastinya akan bertambah mengantuk. Bagai disorong bantal. Dengar ceramah pun sudah ibarat dengar lagu yang mendayu-dayu. Bukankah sepatutnya masa yang ada dengan berhimpunnya pelajar baru dalam satu majlis ilmu itu digunakan sebaiknya? Membazir kalau ceramah 2,3 jam tapi pelajar tak dapat apa. Rugi. Pilihlah topik yang dekat dengan pelajar, kemudian baru selitkan dengan pendekatan agama. Misalnya ajak mahasiswa berbincang tentang isu couple haram, kaedah belajar berkumpulan yang betul dan isu kahwin! haha (itu contoh). Banyak lagi sebenarnya, kreatiflah sikit. Risau motivasi bertukar menjadi roti basi.

4. Aktiviti riadah yang bercampur lelaki perempuan.

Sudahlah pakaian sukan tu jarang, dicampur pula lelaki perempuan. Senior pula ikut sama. Langgar sana sini, gesel-gesel. Awal-awal masuk universiti pun sudah dapat pendedahan yang buruk. Lepastu nanti baru nak sibuk complain junior berdating lah apa.

5. Fasilitator bercakap macam nak bertanding pilihan raya.

Bagai pemimpin politik di pentas, penuh bangga fasilitator/senior mula bicara. Minggu haluan siswa tujuan utamanya nak tunjukkan haluan yang betul tentang kehidupan di kampus kepada pelajar baru. Maka, janganlah rosakkannya, kadang ada perkara yang tak perlu dibicarakan pun dipanjang-panjang. 

6. Buli/Lagak Gangster

Dulu waktu zaman diploma saya dulu, ada lah sekumpulan senior spesis ini. Pernah diterajang perut sewaktu minggu orientasi. Tapi sekarang saya rasa tak ada. Namun jika ada, ini antara satu sebab pelajar benci orientasi.

7. Senior ambil kesempatan mengorat junior comel

Agak memalukan jika mahu jadi fasilitator sebab nak cuci mata atau nak cari jodoh dengan adik-adik muda remaja. Banyak sebenarnya senior yang sebegini rupa, kalau depan pelajar wanita, fuh bergaya tunjuk kehebatannya. Bukan nak jeles atau apa. Awak tu senior universiti, bukan senior di wad pesakit jiwa. Maaf cakap, kadang biro kerohanian pun 2 x 5 gatalnya. Dia dulu lah yang sibuk nak cari tulang rusuk kiri, tulang pinggul, bakal imam, zauj zaujah. Ini bukan masa yang sesuai. Betulkan niat. Jaga akhlak.

8. Waktu Solat Selalu Dilewatkan, Kadang tu..  Harussss terlepas.

Jadual program memang diedarkan awal kepada pelajar, bangun pagi bukan main nak 4 pagi dah kena terpacak. Pagi buta itu jugalah ada ceramah, ada aktiviti burung hantu dan sebagainya. Waktu solat sering dilengah-lengahkan. Kadang punya bijak buat jadual, waktu makan tu jugalah pelajar kena solat. Kadang ada yang tak sempat makan pun, terpaksa berlari tunaikan solat. Bukan apa, takut ditengking biro disiplin, adik-adik ini pun turut arahan. Sayangnya senior pun tak masuk berjemaah bersama. Malu bukan? Bila dipersoalkan tentang pengurusan masa, waktu solat dan sebagainya. Jenis senior pantang tegur nak melenting. Dia sahaja betul, tapi inilah haikat yang kita kena terima.

Kalau hanya dengan alasan dulu waktu kita jadi junior pun kena lalui perkara sama, maka bila jadi senior, ini terus bermakna kita kena buat benda sama? Jika jawapannya, ya. Memang sampai kiamat pun tiada perubahan dan penambahbaikan dalam program ini. Ada waktu kita kena mula buat perubahan dan akui kesalahan. Kaji semula apa yang dirancang. Gelaran zaman jahiliyah moden bukan suatu gelaran biasa. Zaman kian berubah, biar kita pun perlu berubah ke arah yang sepatutnya.

Takutlah dengan Allah. Memang, Minggu Haluan Siswa akan memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pelajar baru. Ya, memang. Tapi pengalaman itu isi baiknya kurang, yang busuknya banyak. Sebagai senior, gunakanlah peluang ini untuk raih redha Allah. Walaupun nama universiti tak Islamik, biarlah sekecil-kecil program di dalamnya penuh pengisian yang mendekatkan kita dengan Allah. Ingat, sudah lengkap tanda-tanda Kiamat Kecil. Maka, peliharalah apa yang sepatutnya.

Jangan seksa jiwa orang yang beriman, ketahuilah dalam kalangan junior baru itu pasti ada yang datang dari keluarga yang didikan agamanya baik. Maka, jangan rosakkannya. Jiwa orang beriman jika diusik dengan perkara yang tidak elok walau sedikit. Dia pasti tidak tenang.

Akhir kalam, saya menyokong terus Minggu Haluan Siswa dilanjutkan sehingga bila-bila, namun lebih tenang jika program ini benar-benar mencapai matlamatnya, bukan habis begitu sahaja.

Wallahualam Bissawab. Maaf segala salah.

"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...

Friday, 20 June 2014

Terima Kasih Cik Nurris

4 Komen
“,….kesenangan dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa, dan kamu tidak akan di aniaya sedikitpun” An Nisaa':77
         "Sebenarnya saya ada benda nak bagi pada Asyraf." 

Cik Nurris bersuara sambil tangannya sibuk mencari sesuatu di dalam beg. Aku dan rakan yang lain saling berpandangan. Pelik.

Sangkaan buruk aku tentang pertemuan kami pagi itu di fakulti bersama Cik Nurris nyata berbeza. Ceritanya, semalam. Selepas aku terima SMS daripada rakan sekelas yang maklumkan tentang hasrat Cik Nurris mahu bertemu aku di fakulti pagi keesokannya sedikit sebanyak telah membuatkan aku resah. Tidak lena jugalah memikirkan apa salah aku sehinggakan Cik Nurris mahu berjumpa. Pelbagai teori aku cuba cipta semata mahu mendapat jawapan. Namun sedikit pun tidak berhasil untuk tenangkan hati. Doa tu tak tahu nak cakaplah, setiap minit minta dipermudahkan segala. Siap telefon mak lagi. haha.

Namun, setibanya di fakulti pagi itu. Aku nampak wajah Cik Nurris sangat menenangkan. Ada satu rasa yang lain. Tidak seperti selalu. 
       "Ramadhan pun sudah dekat, saya faham kamu."
       "Nah... ambil ni.."

Perlahan tangan Cik Nurris menghulurkan satu bungkusan tebal dalam sampul UiTM. Entah apa isinya. Ya. tebal, macam buku. 

      "Erm... Ada apa ini cik?" Perlahan aku bersuara sambil membelek-belek bungkusan tersebut. Nyata tidak faham.

Cik Nurris menarik nafas panjang. Aku dan lain-lain hanya memerhati. Menanti penjelasan. Mahu buka bungkusan tersebut terus pun nampak kurang beradab pula. Memang berdebar-debar. 

      "Duit ya cik Nurris???" Hurraini tiba-tiba mencelah.

Situasi ketika itu gamat seketika dengan gurau senda. Cik Nurris sendiri pun tidak dapat menahan tawa. Hurraini sentiasa menceriakan keadaan.

     "Saya bukan orang kaya nak bagi duit. hehe. Tapi adalah sikit." Balas Cik Nurris ringkas sambil ketawa. 

     "Asyraf... kamu baru kehilangan ayah kan? maaf saya tak sempat luangkan masa untuk berbual dengan kamu sebelum ini. Saya dapat rasa apa yang kamu rasa sekarang ni. Saya faham." Sambung Cik Nurris.

    "...dalam bungkusan itu ada sedikit hadiah daripada saya. Ambillah. Tak banyak saya boleh bagi. Anggap ini hadiah ikhlas sempena Ramadhan yang akan datang tak lama lagi."

Saat itu aku hanya mampu tunduk mendengar penjelasan Cik Nurris satu persatu. Nyata sejak pemergian arwah abah, aku tidak pernah keseorangan. Setiap hari Allah hantar orang yang baik-baik bersamaku. Alhamdulillah.

     "Saya doakan kamu jadi anak lelaki yang baik. Anak yang soleh. Ingat, Asyraf. Tanggungjawab kamu besar. Mana-mana anak yang berkeinginan untuk masuk ke Syurga, mestilah anak yang mendoakan ibu bapanya masuk Syurga juga." Suara Cik Nurris makin perlahan. Sebak.

Suasana ceria tadi bertukar lain. Sedih. Intan, Hurraini, Syahira turut diam. Tujuan utama mereka ikut serta untuk bertemu Cik Nurris adalah semata mahu bertanya tentang tugasan berkumpulan. Namun, pertemuan itu beri makna yang berbeza buat kami.

       "Saya tahu kamu sedih, jadikan semua ini semangat untuk kamu lebih berjaya. Sentiasa doakan arwah tenang di sana. Doakan kedua ibu ayah kamu ditempatkan ke Syurga."

"Ya Allah, dengan rahmatMu, Engkau izinkanlah, Engkau tempatkanlah ayahku, dan ibuku di SyurgaMu. Mudah-mudahan kami semua dapat bersama kelak di sana." Cik Nurris mengajarkan doa ringkas.

Bagai diragut jantung, air mata tiba-tiba sahaja bergenang di kelopak mata. Wajah Cik Nurris aku pandang penuh penghargaan. Mulianya dia. Terima kasih Allah. Hari Jumaat yang sangat indah. Pasti aku hargai dan kenang pemberian ini sampai bila-bila pun.

Lama kami berbual. Cik Nurris terus memberi kata semangat. Timbul rasa terharu. Benar kata arwah abah,

"Angah... kalau angah susah macam mana pun. Angah mesti sabar dan tenang. Jangan aniaya orang. Jadi hamba Allah yang baik. Pasti satu hari nanti, dalam tak sedar, Allah akan gerakkan hati-hati manusia di sekeliling angah, untuk gembirakan angah dan ada juga yang akan mudahkan urusan angah. Yakin." 

Aku berpegang pada pesan arwah sehingga sekarang. Terlalu banyak bukti kasih sayang Allah. Mak sendiri ada berpesan,

"Siapa pun kita, ingat Allah itu selalu ada. Kadang-kadang kita rasa kita tak mampu untuk hadapi satu-satu waktu yang penuh dengan dugaan berat daripadaNya. Tapi Allah Maha Mengetahui. Dia hantar ujian, sebab Dia tahu kita mampu."

Selesai berbual, Cik Nurris mohon izin untuk berlalu pergi. Katanya banyak lagi urusan yang perlu diselesaikan. Saat dia bangun meninggalkan aku dan rakan-rakan di kerusi. Hanya doa dan rasa syukur pada Allah mampu dibisikkan dalam hati. Mudah-mudahan Cik Nurris berada di bawah perlindunganNya sentiasa. Aamiin.

Aku buka bungkusan hadiah daripada cik Nurris. Isinya sebuah Al-Quran baru dan wang kertas RM100 diselitkan bersama. Ya Allah, hadiah berharga untuk Ramadhan ini. Terima Kasih Cik Nurris. Tak terbalas jasa. Semoga dimurahkan rezeki dan diberkati Allah hendakNya.


Terima Kasih Cik Nurris


Abah...
Walaupun Allah sudah jemput abah pulang,
Tinggalkan anak-anak dan isteri,
Tapi.. abah jangan risau ya,
Allah hantar ramai orang untuk jaga anak-anak abah,
Angah tak lupa untuk kirimkan abah hadiah.
Ramadhan ini pasti berbeza.
Angah sudah redha dengan ketentuanNya.
Tapi masih perlu waktu untuk belajar biasakan diri.

Al-Fatihah buat abah.

Semoga tenang di sana.
 
Al-Fatihah
Khalib Zakaria
(1964-2014)
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah di sempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan kedalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan” (Ali Imraan:185)




"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...

Sunday, 15 June 2014

Ya, Selamat Hari Bapa

5 Komen

"...dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya" (53:39) 


Abah,
Selamat Hari Bapa, 
Mungkin tahun ini, sedikit berbeza.
Sebabnya, abah dah kembali terlebih dahulu menghadap Pencipta.

Bagi angah, pemergian abah tahun ini peristiwa luka,
Tak pernah pun angah duga seawal ini angah akan hilang seorang bapa,
Namun sebagai anak yang dibesarkan dengan didikan agama,
Angah redha dengan janji dan ketentuanNya.

Tiada lagi hadiah berbentuk material dunia,
Hanya doa kami anak-anak kirimkan bersama,
Moga lapang abah di sana.

Sebagaimana sabda Nabi SAW, 
"Apabila mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Muslim) 

Abah,
Ramadhan pun kian hampir,
Setiap hari angah terima panggilan dari kampung,

"Baliklah segera, mak sunyi puasa ni, kita boleh tarawikh sama-sama.."

Nampaknya isteri kesayangan abah antara yang paling terasa hilangnya,
Yalah, kalau dulu makan bersuap penuh mesra,
Solat berjemaah bersama,
Tapi tahun ini ceritanya pasti berbeza.
Hiba...

Namun, angah yakin dengan cinta yang ada,
Mak antara wanita yang setia hadiahkan abah doa,
Sehingga tidur pun butiran tasbih masih kemas di jarinya.
Semoga dipertemukan jua di Syurga sana.

Abah,
Rasa rindu ini memang tak akan hilang,
Angah doakan abah tenang,
Jangan khuatir, kami selalu sayang.



"Wahai Tuhan kami! berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan" (14:41)

Bagi yang masih punya ayah, hargailah. Saat ini mungkin hati masih degil. Berkata tidak. Dek kerana ada kelemahan ayah yang tidak dapat diterima. Namun, itulah manusia. Pasti ada kurang. Maafkanlah ayah. 

Jangan bila hilang, baru sibuk mencari. Cerita-cerita di blog ini tentang pemergian ayahanda akan Asyraf lanjutkan. Tidak sekali artikel-artikel ini untuk raih simpati. Berlapang dadalah, anggap ia sebagai medan untuk beri teladan. Yang baik ambil, yang buruk buang jauh.

Semoga hari bapa ini didik kita anak-anak untuk lebih menghargai. Artikel-artikel ilmiah seperti sebelum ini In shaa Allah akan kembali ditulis apabila bermulanya Ramadhan nanti. Sekarang tak sempat sebab sudah hampir final exam. Doakan yang terbaik. Terima Kasih.


Al-Fatihah
Khalib Zakaria
(1964-2014)


"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...

Thursday, 8 May 2014

Abah, angah dah nak konvo.

22 Komen

Abah,
Ini anak abah, angah...

Abah tahu tak, angah dah ambil jubah konvokesyen,
Ingat lagi kan 26 April 2014 haritu, abah berulang kali cakap dalam panggilan telefon,

"Nanti angah pakaikan abah jubah konvo angah tu ya, mesti segak."

Lama kita berbual malam tu, abah happy sangat. 
Tak macam selalu.

Tapi... maafkan angah abah, 
Abah tak sempat pun nak pakai jubah yang angah pegang sekarang ni.
Sebab tu, angah tetap tunaikan hasrat abah. Angah pakaikan abah baju. 
Angah yang mandikan abah, angah yang kafankan abah, dan angah juga yang masuk bersama ke liang lahad untuk kebumikan abah. 
Angah harap abah suka.

Sumpah abah hensem masa dalam 'selimut putih' tu. 
Ya. Angah rindu abah.
Waktu angah dijemput hadir untuk raptai dan dapatkan jubah konvokesyen 4 Mei hari tu.
Angah termenung lama di tangga dewan.
Angah biar kawan-kawan masuk dulu. 
Kalau boleh angah tak nak masuk ambil pun.

Pertamanya sebab abah dah tak ada,
keduanya sebab malu. Angah nangis abah.
Ya. Jujur, angah rindu abah.

Rasanya dah 3 tahun angah tak sempat puasa dengan abah.
Semuanya sebab angah belajar jauh di Shah Alam.
Raya baru angah sempat balik.

Bila angah dah sambung ijazah, abah happy kan?
Sebab cuti puasa tahun ni angah janji nak balik,
abah cakap nak buka puasa sama-sama dengan angah.
Abah bertambah selera kalau semua anak-anak ada.
Tapi tak sempat juga.

Ya. Angah rindu abah.
Waktu abah tenat hari tu, angah balik tau abah.
Angah tinggal semua kuliah.
Angah jenguk dan jaga abah.
Tapi abah dah tak sedar masa tu.
Abah tak tahu anak abah ni balik.

Waktu doktor cakap abah kritikal, 
angah duduk tepi katil abah,
angah merayu dengan Allah, 

"Wahai Allah, aku belum bersedia"

Ya. Angah rindu abah.
Angah tak pernah bersedia.
Angah rasa terlalu awal.

Tapi angah tahu, Allah sayang abah.
Abah sangat baik. Abah baik dengan semua orang.
Allah sayang abah, Dia nak abah rehat.
Angah redha abah pergi.

Walaupun abah dah kembali dulu,
angah yakin abah dengar angah sekarang.
Selalu dalam doa angah kirim hadiah,
mudah-mudahan abah dengar anak abah ni.

Abah...
Angah rindu abah.
15 Mei nanti konvokesyen angah.
Abah janji nak datang, 
tapi abah ada temu janji yang lebih utama dengan Allah Taa'la

Angah nak abah rehat,
Jumpa kat sana nanti ya,
Angah akan teruskan belajar.
Penuhi hasrat abah.
Jangan risau. Angah akan jaga mak dan adik-adik.

Ya. Angah rindu abah.
Sangat rindu.
Semoga tenang di sana.

Al-Fatihah buat arwah abah


Khalib Zakaria (1964-2014)
Kembali ke rahmatullah pada 28 April 2014.

"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...

Wednesday, 19 February 2014

Jaga Kulit Muka Cara Sendiri

62 Komen
Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam artikel sebelum ini Asyraf ada kongsikan petua jaga kulit muka cara Islam, amalan-amalan yang baik untuk penjagaan wajah dan tak kurang ada tutorial bagaimana nak hasilkan pencuci muka sendiri tanpa guna produk di pasaran. Pencuci muka yang kita hasilkan sendiri nyata lebih selesa, jimat, yakin dan selamat untuk digunakan. Bagi yang terlepas semua itu, bolehlah baca artikel tersebut di sini.

Baiklah, memandangkan artikel lalu tentang penjagaan muka semua tu dapat sambutan dan ramai sangat yang request supaya Asyraf lanjutkan dalam artikel yang baru dengan petua pelbagai. Jadi, kali ini Asyraf kongsikan pula petua yang menarik untuk jaga kulit muka cara sendiri. 

Kalau dah nama petua cara sendiri, tentulah Asyraf dah cuba. Alhamdulillah berkesan. Tiba-tiba rasa macam blogger perempuan pula beriya kongsi tips jaga muka. haha. Sebenarnya keperluan menjaga kulit muka bukan lagi khusus pada wanita sahaja, tapi sudah menyeluruh dengan melibatkan golongan lelaki terutamanya bagi jejaka yang aktif bersukan, masih belajar dan sibuk bekerja. Kulit muka yang sihat sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan diri untuk berhadapan dengan semua orang.

Suka Asyraf ingatkan, segala usaha kuat kita untuk amalkan pelbagai petua ini cuma ikhtiar sahaja, kerja memulihkan dan kuasa memberi nikmat kesembuhan itu segalanya terletak pada Allah SWT. 

Sebelum itu, mungkin ada pembaca di sini punyai masalah yang sama dengan Asyraf iaitu kulit sensitif dengan produk-produk di pasaran. Bila Asyraf cuba guna pencuci muka yang dibeli, makin teruk kulit muka. Jerawat dan bintik-bintik merah yang menyakitkan. Hampir semua produk dah cuba. Duit pun dah banyak habis. Langsung tak ada kesan. Zaman sekolah dulu kulit muka serius memang tak terjaga. Tapi sekarang Alhamdulillah, Asyraf jaga muka guna cara sendiri. Dengan izinNya, berhasil dan puas hati. Jadi, nasihat Asyraf, pada yang ada masalah kulit sensitif, jangan paksa kulit untuk terima produk-produk tersebut. Nanti bertambah teruk jadinya.

Sememangnya amalan berwhuduk dan ibadah solat sering disebut-sebut orang mampu menyerikan wajah. Tetapi, selain whuduk dan solat, kita juga ada usaha tambahan. Berikut ada beberapa petua penjagaan kulit muka cara Asyraf.

 Petua Kurangkan Masalah Jerawat

Pertamanya, sebelum anda terus amalkan apa-apa petua, kita perlu ambil berat dan cari tahu punca utama yang menyebabkan jerawat muncul pada wajah kita selama ini disebabkan apa? Ini untuk memastikan anda tidak membazir masa mencuba pelbagai petua semberono saja sedangkan petua tersebut langsung tidak serasi dengan masalah jerawat anda. Jerawat muncul disebabkan beberapa faktor utama seperti kulit muka berminyak, debu juga hama dari persekitaran, dan perubahan hormon badan.

 Masalah kemunculan jerawat sewaktu haid.

Jika jerawat itu berpunca dari perubahan hormon badan, sebagai contoh ada wanita yang berhadapan masalah jerawat tumbuh pada wajah secara bermusim sewaktu datang haid. Anda boleh cuba amalkan makan vitamin c atau makanan tambahan (supplements) yang sesuai. Ini kerana sewaktu proses kitaran haid, badan anda tidak menerima nutrisi yang cukup. Emosi tidak stabil, mudah stress, cepat marah dan tertekan. Jadi, anda memang perlu usaha cegah masalah ini. Makanlah makanan yang berkhasiat, lebihkan buah-buahan seperti epal atau buah delima yang sangat baik untuk kulit muka. Dan cuba sehabis baik untuk selalu tenang. - Ini petua dari mak Asyraf yang sebelum ini berhadapan masalah sama. Sengaja tanya mak sebab mak dah lawa sangat. haha.

 Kulit berminyak

1. Kurangkan mencuci muka dengan pencuci

Bagi pembaca yang ada masalah kulit berminyak pula, nasihat saya, elakkan cuci muka terlalu kerap dengan produk pencuci muka (oil control bagai tuuu..) sebab ia sebenarnya menghilangkan minyak pada wajah anda dalam tempoh yang sekejap saja. Selepas satu jam, kulit anda selalunya akan kembali berminyak. Kenapa? Pencuci muka oil control tu sebenarnya merangsang kulit untuk terus hasilkan minyak dengan lebih banyak. Maka dengan itu kulit muka akan bertambah teruk. Bila anda terlalu kerap biasakan cuci muka 4,5 kali sehari dengan pencuci muka, sampai bila-bila pun anda terpaksa beli produk pencuci muka tersebut seumur hidup sebab kulit muka dah tak terkawal. Kalau dah guna satu-satu produk pencuci muka tu, ikutlah aturan penggunaan yang disyorkan. Jangan salah faham, ramai yang fikir bila kulit muka berminyak saja, anda mesti cuci guna produk yang anda beli tu. Sebenarnya salah. Cukuplah dua kali sehari. Kesian muka anda. 

2. Jangan campur produk kecantikan sesuka hati

Dan ingat, jangan rajin buat eksperimen dengan mencampur dan kerap kali tukar pelbagai jenama produk pencuci. Sekejap Garnier, esok Nivea, Lusa Safi. Jahanam muka anda nanti.

3. Teh dan madu sebagai pencuci muka?

Baiklah, disebabkan saya dah tak guna pencuci muka yang jual kat pasaraya semua tu. Bila kulit berminyak saya bersihkan muka dengan serbuk teh. Nak lebih berkesan, anda boleh campur serbuk teh tersebut dengan madu. Gosok di muka ala-ala scrub. Selebihnya sapu pada leher, lengan atau badan. Untuk permulaan, amalkan dua kali sehari (pagi dan malam). Dan rajinlah berdoa. Mudah-mudahan muka tak berminyak lagi. Setakat ini, dah 3 tahun saya buat benda ni. Alhamdulillah. Kulit tak berminyak macam dulu.

Nota tambahan : Nak mudah, cari bekas kaca yang ada penutup (balang kaca kecil). Masukkan madu dan serbuk teh dalam bekas tersebut. Gaul supaya sekata, tutup rapat dan simpan dalam peti sejuk. So, tak adalah setiap kali nak cuci muka baru nak sibuk cari serbuk teh, cari madu bagai. Kalau simpan dalam peti sejuk, acuan tersebut tahan lebih lama. Kalau letak diluar saja (suhu bilik) acuan teh dan madu tadi tahan lebih kurang dua minggu. Jangan guna serbuk teh uncang pula, serbuk teh dalam uncang tu agak kasar dan tak sesuai untuk kulit.


le owner
Cari serbuk teh yang halus macam ni. Campur dengan madu. 


4. Wap panas untuk kecutkan jerawat

Seterusnya, bagi yang ada masalah kulit berminyak sampaikan jerawat tak henti muncul, boleh cuba buat ala-ala spa wap panas guna daun bunga tahi ayam. Petua ni agak kelakar sikit, Asyraf dapat dari nenek sebelah mak. Tapi best. Dulu, waktu jerawat teruk, petua ni menjadilah. Kalau jerawat cuma ada satu dua tu, tak perlulah. hehe. Tapi tak salah pun kalau ada yang nak cuba. Caranya ialah, dapatkan daun pokok bunga tahi ayam yang daunnya masih hijau dan sihat (Kuantiti : kalau banyak lagi bagus hehe..). Basuh daun tersebut hingga bersih. Masukkan dalam periuk, isi air separuh penuh dan didihkan atas dapur. Selepas air mendidih, angkat periuk tadi dan letak di tempat yang selesa dan luas (contoh: lantai ruang tamu). Kemudian, ambil sehelai selimut atau kain yang besar dan tebal. Anda perlu masuk bawah selimut tersebut (ala.. macam tengah main sembunyi-sembunyi tuuu..). Bawa masuk periuk yang air masih panas tadi ke dalam selimut tersebut juga. Letak berhadapan anda dan halakan muka anda pada wap air yang panas naik dari periuk tersebut. Duduklah dalam selimut tu dalam 15-30 minit. Kena banyak sabar, waktu duduk dalam selimut tu, panas betul rasa (berpeluh). Tapi selepas proses ni selesai. Jerawat yang merah-merah di muka sebelum ini dah mula kecut dan ada yang hilang. In shaa Allah. Saya rasa bagi yang jenis ada jerawat yang banyak, merah-merah, jerawat batu yang menyakitkan semua tu, patut cuba petua ini.

Nota tambahan : Air rebusan daun tadi boleh diguna semula dua kali sahaja. Lepas itu, sila buang, cuci bekas dan tukar dengan daun yang baru. Petua ini boleh diamalkan dua kali dalam seminggu. Dan tengoklah perubahan pada wajah.


le owner
Haa. dapatkan daun bunga tahi ayam yang cenggini.. hijau dan sihat. Bunga  tu tak perlu lah.
5. Buat mask sendiri untuk malam hari

Selain itu, ada juga amalan penjagaan kulit muka pada malam hari yang Asyraf selalu buat seperti pakai mask buatan sendiri. Paling mudah, gunakan bedak sejuk, campurkan dengan dua sudu madu, gaul rata dan sapukan pada muka. Boleh kalau anda nak pakai semasa tidur hingga keesokannya. Tapi sebaiknya elakkan sebab lelehan madu akan kotorkan tempat tidur anda. Cukuplah pakai 30 minit sebelum tidur, kemudian cuci dan berwhuduk (tidur ikut sunnah). Masker bedak sejuk dan madu ini kalau diamalkan boleh buat kulit anda tegang dan liang roma pada muka mengecil. 

6. Rehatkan muka di hujung minggu dengan masker timun atau putih telur.

Kalau rajin, setiap kali hujung minggu, anda boleh cuba hasilkan mask dari timun. Tak perlu campur apa-apa. Hanya perlu kisar timun sehingga halus dan sapu pati tersebut pada muka. Biarkan sehingga kering dan cuci. Kalau tak ada timun, dapatkan telur ayam, ambil putih telur sahaja, sapu pada muka. Biarkan kering. 

Suka Asyraf ingatkan, apa-apa pun petua dan proses yang anda lalui, rajin-rajinlah berselawat, baca surah-surah lazim, sekurangnya ada pengisian yang baik untuk diri. Berserah pada Allah dengan segala usaha ini. 


 Penting :119::119::119:

1. Kurangkan menyentuh wajah

Kebiasaan kita, bila jerawat tumbuh, kita suka pegang muka. Tak kurang ada yang rajin tangan memicit jerawat. Asyraf dulu pun macam tu. Nasihat saya, sila elakkan sebab amalan ini cuma menyakitkan muka dan mengundang jerawat semakin teruk. Lelehan darah kotor atau nanah selepas anda memicit jerawat akan merangsang kulit untuk hasilkan jerawat baru. Jerawat yang dipicit juga akan meninggalkan kesan parut hitam yang luar biasa. Kalau tangan anda tu pula baru saja lepas pegang telefon bimbit, tolong jangan sentuh muka. Kulit muka sangat sensitif. 

Kalau ada jerawat yang memang perlu dipicit (sebab ada mengumpul nanah yang banyak), alaskan tangan anda guna kain bersih sewaktu proses mengeluarkan nanah dan segera cuci muka dengan air bersih berulang kali. Tak perlu guna pencuci kerana akan menyebabkan keradangan pada bahagian jerawat yang luka. 

Nota tambahan : Elakkan guna tisu biasa pada muka untuk lap kotoran sebab tisu biasa tu tak sesuai dengan kulit. Kalau tisu basah yang khas untuk muka itu bolehlah. Dan selalu bersihkan tangan guna sabun cuci tangan atau sanitizing gel yang boleh letak dalam poket juga boleh bawa ke merata tempat. Haa... Kain bersih untuk muka tu mesti guna untuk muka je tau, jangan guna untuk lap benda lain. Lepas guna kain tersebut, rendam dalam air panas terlebih dahulu dan cuci macam biasa.


2. Cuci Cadar Tilam dan Sarung Bantal Anda

Untuk memastikan kulit muka anda cepat pulih, rajin-rajinkanlah diri untuk bersihkan dan kemas tempat tidur. Jangan jadi macam sarang tikus. Lelaki atau perempuan. Wajib bersihkan. Kadang-kadang ada yang mengomel pakai produk itu tak berkesan, cuba petua ini tak berkesan, sebenarnya anda kena lebih prihatin dengan persekitaran. Bayangkan setiap malam anda tidur di katil bersama debu hama yang terlalu seni. Anda tak nampak, tapi mengundang masalah pada kulit anda. Buka tingkap bilik setiap hari, pastikan pengudaraan dalam bilik tidur baik dan selesa. Cuci cadar dan sarung bantal sekurangnya dua minggu sekali. Asyraf selalu rendam semua kain-kain ini dalam air panas terlebih dahulu, kemudian baru cuci seperti biasa. 

Buatlah jadual untuk jadi tukang dobi yaa.. Jangan bawa makanan atau minuman atas katil. Memang perangai luar biasa, tapi masih ada yang buat. Nampak macam tak ada kaitan dengan masalah muka. Tapi sebenarnya ada.

3. Jangan sembur Perfume pada wajah atau leher.

Ada orang nak wangi, disemburnya Perfume habis seluruh badan termasuk muka dan bahagian leher yang hampir dengan muka. Kurang-kurangkan tabiat ini sebab kandungan dalam pewangi menyebabkan kulit muka mengalami iritasi dan tidak sihat.

4. Jangan malas dengan rutin

Jangan cepat putus asa bila pelbagai usaha anda buat untuk jaga muka tidak menjadi. Teruskan menjaga rutin harian dengan membersihkan muka dua kali sehari. Jangan risau, bagi yang Muslim, anda automatik bersihkan muka 5 kali sehari dek kerana whuduk. Kerap cuci muka dengan air bersih sahaja tak ada masalah malah ia amalan yang sangat bagus sebab amalan mencuci muka dengan air bersih menggalakkan kulit bernafas. Cuma yang bermasalah kalau anda kerap cuci muka dengan produk pencuci yang ada kandungan kimia. Boleh menipiskan kulit. Tak pasal-pasal keradangan nanti.

5. Kurangkan berjemur

Kurangkan berjemur terlalu lama di bawah panas terik matahari selepas jam 2 petang kerana sinar UV yang sepatutnya baik untuk mengawal bakteria pada kulit akan bertukar fungsi menyebabkan kulit anda kering dan cepat berminyak. 

Cahaya matahari yang baik ialah pada waktu pagi. Jadi, jangan selalu bangun lewat. Hehe.


Haa.. cukuplah kot petua untuk artikel kali ini. Cuba dahulu yang mana mampu. Apa yang pasti selalu ingat Allah Taa'la sahaja yang berkuasa menyembuhkan. Untuk doa-doa amalan menjaga muka, rujuk artikel Asyraf yang lama. Asyraf kongsi tips ini tak kena bayar pun. Kalau ia berkesan, kongsilah dengan yang lain. Asyraf cuma bantu rakan-rakan pembaca yang ada masalah yang sama macam Asyraf alami suatu ketika dulu. Sekarang Alhamdulillah, banyak perubahan. Tulis artikel ini pun sebab ramai gilaaa request. Kalau tak, tak rajin Asyraf nak update. hehe.

Semoga berjaya, dan jangan tinggal solat.
Jaga diri, jaga Iman.
Tinggalkan komen di bawah jika anda suka artikel ini.
Sekian.

Send me sum prayers.

  blogger-emoticon.blogspot.com

Artikel lalu : Cara Islam : Amalan baik untuk miliki wajah berseri



"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...