 |
'Allahumma hasibni hisaban yasira... Allahumma hasibni hisaban yasira. Astaghfirullah hal azhim...'
Ya Allah, hisablah diri hamba dengan seringan-ringan penghisaban.
Ya Allah, hisablah diri hamba dengan seringan-ringan penghisaban. Ampunkan hamba. |
Bismillahirrahmanirrahim...
Hari ini mari kita sama-sama muhasabah, bagaimana persediaan kita untuk berhadapan dengan satu interview paling besar yang mana bakal dilalui dan dirasai oleh semua orang tatkala kita dihimpunkan di suatu kawasan lapang yang sangat luas, iaitu Mahsyar.
Setelah Allah SWT mengabulkan permohonan sahibul wasilah, Muhammad Rasulullah SAW, untuk memulakan hisab, semua jantung manusia di Padang Mahsyar berdegup kencang. Satu persatu manusia dipanggil untuk menghadap Hakim Tertinggi, Yang Maha Adil lagi Maha Mengetahui, Allah SWT untuk dipertanggungjawabkan atas setiap perbuatannya selama di dunia.
Satu persatu nama disebutkan. Orang yang namanya disebut melangkah ke hadapan untuk menghadap Allah SWT sambil disaksikan oleh jutaan manusia yang lain.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Tidaklah salah seorang daripada kamu semua melainkan ia akan diajak berbicara secara langsung oleh Tuhan-Nya, tanpa ada di antara kedua-duanya seorang penterjemah. Ia memandang ke arah kanannya, namun tidak melihat apa-apa kecuali amal perbuatan yang pernah ia lakukan. Ia memandang ke arah kirinya, namun ia tidak melihat apa-apa kecuali amal perbuatan yang pernah ia lakukan. Ia memandang ke hadapannya, namun ia tidak melihat apa-apa melainkan api Neraka. Maka jagalah dirimu daripada api Neraka walau hanya dengan sebelah kurma." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hal ini sebagai penghormatan besar yang Allah SWT anugerahkan untuk Khatam al-Anbiya' Muhammad SAW dan umatnya. Ibn Majah meriwayatkan dengan sanad yang terdiri daripada perawi-perawi thiqat (terpercaya) daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Kita ialah umat yang terakhir, namun akan menjadi umat pertama yang dihisab. (Akan terdengar suara) yang memanggil: Di manakah umat yang ummi dan Nabinya? Kita (umat) yang terakhir juga yang terawal."
Apa yang Ditanya ?
Jauh dalam lubuk hati, setiap manusia sedar bahawa mereka tercipta untuk suatu tugasan tertentu. Islam lalu menjelaskan tujuan penciptaan itu, yakni untuk menzahirkan penghambaan sepenuhnya kepada Tuhan alam semesta (Rabbul 'Alamin) yang telah menciptakan dirinya dan semua makhluk, lalu menggariskan peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi bagi menjamin kebahagiaan semua makhluk di muka bumi ini.
Jadi, sedar ataupun tidak, setiap manusia lahir dengan membawa nikmat Allah SWT yang harus digunakan untuk melaksanakan perintah Illahi. Di Akhirat nanti, semua nikmat yang pernah Allah SWT berikan kepada seseorang akan dipersoalkan termasuklah usia, kesihatan, kekayaan, jawatan, populariti dan lain-lain. Apakah yang telah dilakukan dengan semua nikmat ini untuk Allah SWT dan agama-Nya?
Daripada Abu Barzah al-Aslami, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Tidak akan berpindah kaki seorang hamba (dari padang mahsyar) sebelum ia dipersoalkan tentang lima perkara; tentang usianya, untuk apa ia dihabiskan? Tentang masa mudanya, untuk apakah ia dilalui? Tentang tubuhnya, untuk apakah ia digunakan? Dan tentang hartanya, dari manakah ia diperoleh dan untuk apakah ia dibelanjakan? Dan apakah yang telah ia lakukan dengan ilmunya?"
Dalam hadis riwayat daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Akan didatangkan seorang hamba pada hari Kiamat lalu Allah berfirman kepadanya: 'Bukankah Aku telah memberimu penglihatan, pendengaran, harta dan anak; bukankah Aku juga yang menundukkan untukmu binatang ternak dan tumbuh-tumbuhan; dan bukankah aku juga yang menjadikanmu pemimpin yang berkuasa? Lalu apakah engkau pernah terfikir akan menemui hari (hisab) ini?' Orang itu menjawab: 'Tidak pernah.' Allah lalu berkata: 'Hari ini Aku melupakan dirimu sebagaimana engkau dahulu melupakan Aku.'"
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi. Beliau lalu berkata, "Makna ucapannya, 'Pada hari ini Aku melupakan dirimu adalah 'pada hari ini aku meninggalkanmu di dalam azab.'"
Solat dan Kewajipan Lain
Allah SWT juga akan mengajukan pelbagai soalan tentang kewajipan yang Allah SWT amanahkan kepada manusia. Soalan pertama berkaitan dengan hak Allah SWT sebagai Tuhan. Adakah hamba tersebut menjalankan kewajipannya untuk tunduk dan sujud kepada Allah SWT?
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
"Sesungguhnya perkara pertama yang akan Allah tanyakan kepada seorang hamba nanti adalah solatnya. Jika baik solatnya itu, maka ia akan berjaya dan selamat. Namun jika rosak solatnya itu, maka ia akan kecewa dan menyesal."
Setelah itu, soalan-soalan lain yang berkaitan dengan perilaku seseorang kepada makhluk Allah SWT akan mengikuti.
Kejahatan yang sekecil mana pun yang dilakukan kepada orang tua, suami atau isteri, adik atau kakak, teman, guru, murid, pelanggan, pesaing, sama ada dalam bentuk ucapan ataupun perbuatan, bahkan perlakuannya kepada binatang, semuanya akan dipersoalkan.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Barang siapa yang pernah menzalimi saudaranya, maka mintalah agar dihalalkan sekarang, kerana pada hari itu tidak ada (wang) dirham dan dinar, maka akan diambil pahala kebaikannya untuk orang (yang dizalimi itu). Jika ia tidak memiliki pahala kebaikan, maka akan dibebankan kepadanya dosa-dosa orang tersebut." (Riwayat al-Bukhari)
Keadilan yang selama ini selalu ternoda, pada hari itu akan menampakkan wajahnya dengan jernih. Hari itu merupakan masa orang lemah yang haknya selalu dirampas dapat memperoleh keadilan dengan sempurna. Pada hari itu, tidak ada lagi orang yang ketawa angkuh kerana berasa lebih tinggi daripada keadilan. Semuanya tunduk dan hina di hadapan keadilan Allah Yang Maha Adil.
Malik bin Dinar seorang ulama tabiin yang sangat soleh meriwayatkan hadis daripada Hasan al-Basri bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Tidaklah seorang hamba yang menyampaikan sebuah khutbah (ceramah atau syarahan) melainkan Allah SWT akan bertanya kepadanya, 'Apakah yang engkau niatkan dengan khutbah ini?'"
Hadis ini memang mursal (terputus) kerana Hasan al-Basri tidak pernah berjumpa dengan Nabi SAW. Namun kerana kebersihan hati Malik bin Dinar, setiap kali meriwayatkan hadis ini beliau selalu menangis. Beliau berkata, "Kamu menyangka aku menyukai memberi syarahan padahal aku yakin bahawa suatu hari Allah SWT akan menyoal niatku dalam syarahan tersebut?"
Ketakutan Ulama
Proses hisab ini berlangsung sangat lama dan melalui pelbagai kejadian besar yang insya-Allah akan kita sebutkan pada kesempatan berikutnya. Orang yang beruntung ialah orang yang selalu membayangkan dirinya berada di hadapan Allah SWT dan selalu mempersiapkan diri agar dapat menjawab setiap pertanyaan yang akan diajukan kepadanya dengan baik. Begitulah keadaan semua tokoh salaf kita yang terdahulu.
Ibn al-Jauzi dalam kitab tarikhnya al-Muntazam, bercerita mengenai Sayidina Umar bin al-Khattab yang sedang dalam perjalanan pulang dari Syam ke Madinah. Apabila melalui sebuah padang pasir, beliau melihat sebuah khemah yang dihuni oleh seorang wanita tua. Wanita tua itu tidak mengetahui bahawa dia sedang berbicara dengan Umar, Amirul Mukminin. Dia bertanya, "Wahai pemuda, apa khabar Umar bin al-Khattab?"
Umar menjawab, "Dia sedang dalam perjalanan dari Syam ke Madinah."
Perempuan itu berkata, "Semoga Allah tidak memberikan kebaikan kepadanya."
Umar bertanya hairan, "Mengapa?"
Dia menjawab, "Kerana sejak dia menjadi pemimpin, aku belum pernah menerima bantuan satu apa pun daripadanya."
Umar berkata, "Mungkin itu kerana Umar tidak tahu rumahmu yang terpencil di tengah padang pasir seperti ini."
Wanita itu berkata, "Subhanallah. Aku tidak pernah menyangka ada seseorang yang menjadi pemimpin suatu negara namun dia tidak mengetahui semua rumah rakyatnya."
Umar menangis dan meratap, "Duhai celakanya Umar. Bagaimanakah engkau akan menjawab ucapan wanita ini di Akhirat nanti?"
Abu Darda, seorang sahabat Nabi SAW berkata, "Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti adalah aku berdiri untuk dihisab nanti adalah jika dipersoalkan, 'Engkau telah memiliki ilmu, lalu apa yang telah engkau lakukan untuk ilmumu itu?'"
Seorang sahabat Nabi SAW yang lain bernama Ka'ab bin Malik dia berkata, "Andai seseorang memiliki amalan ibadah 70 orang nabi, nescaya pada hari itupun dia tetap khuatir tidak akan selamat." Hasan al-Basri berkata, "Aku pernah menemui sekumpulan manusia yang meskipun mereka telah menginfakkan sebilangan pasir ini (di jalan Allah SWT), mereka tetap takut tidak dapat selamat daripada kengerian hari itu."
Ibn al-Jauzi menghikayatkan dalam kitab Mawai'z, berkata suatu hari seorang ulama tabiin yang bernama Taubah bin al-Muallim sedang memuhasabah dirinya. Dia menghitung lama hidupnya di dunia, ternyata usia telah mencapai 59 tahun. Dia lalu menghitung dalam bilangan hari, ternyata ia telah melalui 21, 500 hari. Dia lalu menjerit sambil berkata, "Duhai celakanya diriku! Aku akan menemui Allah SWT dengan membawa 21, 500 dosa (jika satu hari berdosa satu kali). Bagaimana jika ternyata aku berdosa setiap hari sebanyak 20, 000 dosa?!" Dia lalu pengsan dan tidak lama kemudian meninggal dunia. Lalu ada suara berkata, "Duhai, itu adalah satu lompatan ke Syurga Firdaus!"
Hisab Diri Sebelum Dihisab
Jadi, marilah kita merenung dan mengaju sebuah pertanyaan, mengapa kita tidak pernah berasa ketakutan seperti yang mereka rasakan? Jawapannya tidak lain adalah kerana kita belum benar-benar meyakini kebenaran hisab. Akidah yang wajib kita yakini ini belum masuk ke dalam hati dengan hati dengan sempurna sehingga tidak melahirkan hasil yang sewajarnya.
Jika kita meninggal dunia pada hari ini dan saat ini, kita akan menghadap Allah SWT dengan akidah yang belum sempurna.
Bersyukurlah kepada Allah SWT yang masih memberikan kita kesempatan untuk muhasabah diri kita sendiri sebelum Dia menghisab kita. Setiap titis air mata yang terbit dari hati yang penuh penyesalan pada hari ini sangat tinggi harganya di sisi Allah SWT. Sementara pada hari itu, walaupun mata mengeluarkan darah sebagai gantinya, Allah SWT tidak akan pedulikannya sama sekali.
Hasan al-Basri berkata, "Seorang Mukmin ialah orang yang selalu meluruskan diri dan selalu menghisab dirinya kerana Allah SWT. Hisab pada hari esok akan menjadi ringan bagi orang yang selalu bermuhasabah diri di dunia, dan hisab itu akan menjadi berat bagi orang yang melalui proses ini tanpa persiapan."
Jaga diri, jaga Iman,
Sekian.
AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
Read More...
Islam sangat menitikberatkan tentang kebersihan dan kekemasan diri. Jadinya sudah pasti ianya merangkumi hal kecantikan umat Islam sendiri. Cantik yang kita maksudkan disini ialah bukan cantik dengan make up dan memperagakan pelbagai pakaian mahal, tetapi ianya tentang kecantikan dan kebersihan kulit wajah. Setiap dari kita mesti inginkan kulit muka yang bersih, bebas jerawat dan berseri. Kulit muka yang cantik akan menjadikan seseorang individu itu lebih yakin untuk berhadapan dengan seseorang. Kadang-kadang ada yang merungut,
"Kenapa la aku tak dapat kulit muka cantik macam dia?"
Sedangkan ratusan ringgit wang dihabiskan untuk produk-produk kulit yang berjenama dan sangat mahal. Tak kurang rawatan kulit muka di pusat kecantikan wajah berulang kali dilakukan namun hasilnya tetap mengecewakan. Lepastu bila orang lain dengar, orang cakap kita tak bersyukur dengan apa yang ada. Sebenarnya jaga kebersihan muka ni penting, dengan dunia sekarang ni muka memang jadi aset utama. Wajah kita mencerminkan siapa kita.
"Perempuan je kena jaga kulit, Lelaki tak jaga kulit muka pun takpa"
NO, Lelaki dan perempuan kedua-duanya harus menjaga kebersihan wajah.
Harini Asyraf bukan nak jual produk kecantikan, tapi ada sedikit tips dan perkongsian yang boleh diamalkan untuk miliki kulit wajah yang lebih berseri. Sebelum ini Asyraf pun malas nak jaga kulit muka, tapi bila dah besar, baru sedar penting untuk miliki wajah yang bersih. Kalau tak mampu beli produk muka yang mahal, InsyaAllah petua-petua ini dapat membantu.

PETUA 1
Amalkan membaca "Ya Qawiyyu"
Maksudnya "Wahai Yang Maha Kuat"
Dibaca selepas salam kedua selesai solat.
PETUA 2
Jangan cuci muka dengan "Cleanser" atau sabun pembersih muka pada waktu pagi kerana amalan ini akan menghilangkan seri pada wajah.
Cukuplah dengan air biasa (whuduk). Kalau kulit berminyak selepas bangun dari tidur, boleh guna "serbuk teh" sebagai ganti pencuci muka (Ada Asyraf terangkan kat bawah nanti).
Kita boleh guna Cleanser sebelum tidur (malam hari) untuk rehatkan kulit muka.
PETUA 3
Gunakan 3 jari tengah untuk menggosok muka sewaktu mencuci muka atau sewaktu menyapu "Moisturizer".
PETUA 4
Berselawat 3 kali dan tiup perlahan ke atas bedak muka setiap kali sebelum berbedak dan diikuti dengan doa. Kalau yang tak pakai bedak, cuma perlu selawat, tiup atas telapak tangan dan usap pada muka diikuti doa.
"Ya Allah serikanlah wajahku, agar yang memandang berasa senang denganku"
PETUA 5
Membaca doa ketika melihat cermin
"Ya Allah sebagaimana Engkau cantikkan wajahku, maka perelokkanlah pekertiku"
PETUA 6
Solat Fardhu 5 waktu dan rajin berwhuduk. Rajin solat, rajin whuduk, Allah anugerahkan cahaya pada wajah. InsyaAllah. Kalau boleh sebelum pakai make up berwhuduk terlebih dahulu.
p/s : kalau whuduk untuk solat fardhu kita buat 5 kali sehari, bermakna sudah 5 kali kita cuci muka kita dalam satu hari. Itu dah lebih dari cukup untuk pastikan kulit muka bersih.
PETUA 7
Lelaki atau perempuan wajib "TUTUP AURAT SEMPURNA". InsyaAllah belajar sayang diri.
PETUA TAMBAHAN : JOM BUAT PENCUCI MUKA SENDIRI!

Selain gunakan produk pencuci muka (cleanser) yang mengandungi bahan kimia. Kita juga boleh hasilkan pencuci muka sendiri yang lebih selamat. Berikut ada beberapa bahan yang biasa Asyraf sendiri guna untuk bersihkan muka tanpa perlu gunakan produk di pasaran. Cara ini lebih selesa, dan Alhamdulillah kulit makin sihat. Tetapi ingat, sebelum mencuba pastikan awak tak membazir. Yang masih sekolah, dapatkan kebenaran mak ayah dulu. Jangan curi buah tomato yang mak simpan dalam peti sejuk pulak yeee..
A. Serbuk Teh yang sudah diguna :
Ini Paling Mudah! Ambil sisa serbuk teh yang sudah diguna, sapukan pada kulit muka dan leher. Gosok pada muka dan leher sebagai pencuci dan scrub. Sel kulit mati yang ada pada muka dan leher akan turut tertanggal. Bilas dengan air bersih.
p/s : Serbuk teh yang belum diguna lagi pula boleh dijadikan mask muka. Basahkan serbuk teh baru yang masih kering dengan air suam. Sapukan ke seluruh wajah dan biarkan selama 20-30 minit atau sehingga air pada serbuk teh tadi kering. Selepas itu gosokkan muka dengan serbuk teh tersebut dan bilas dengan air bersih.
Khasiat : Serbuk teh berfungsi sebagai scrub untuk menghilangkan sel kulit mati pada muka, manakala air teh membantu mengecutkan liang roma terbuka dan jerawat dan parut.
B. Serbuk Kopi Dan Madu
Serbuk kopi yang belum diguna harus digaulkan bersama madu, apabila campuran kopi dan madu sudah sekata, sapukan pada muka, leher, lengan atau pada badan dan boleh dijadikan mask muka. Biarkan selama 20-30 minit dan bilas dengan air bersih. Jerawat hilang dan kulit muka rasa sedikit tegang selepas memakainya.
p/s : hati-hati nanti baju kotor dengan lelehan kopi yang dicampur madu
C. Tomato dan Bedak Sejuk atau Susu Tepung
1/2 Tomato dihancurkan lalu dicampurkan bersama bedak sejuk atau susu tepung (Saya selalu gunakan susu tepung, tapi guna bedak sejuk pun boleh). Kalau rajin tambahankan satu atau dua sudu madu. Kalau tak ada madu, abaikan. Gaulkan bahan-bahan ini bersama dengan baik kemudian sapu pada kulit muka, biarkan sebagai mask selama 20 hingga 30 minit. Kemudian bilas dengan air bersih.
p/s : tiba-tiba rasa macam mengajar memasak pulak yee..
D. Kulit Kayu Manis Untuk Hilangkan Parut Jerawat
Kulit kayu manis perlulah ditumbuk halus terlebih dahulu (kalau Asyraf selalunya asah kulit kayu manis tu pada batu pengasah khas). Petua ini mak dan nenek yang ajarkan. Selepas tumbuk, campurkan serbuk kayu manis tadi dengan sedikit air. Air jangan banyak, lagi pekat acuan, lagi cepat berkesan. Sapukan bancuhan tadi pada kulit muka atau bahagian berparut dan berjerawat.
p/s : PEDIH! : Hati-hati, sebenarnya kalau pakai bancuhan ini, kulit muka agak pedih masa awal pakai tu. Rasa terbakar je muka dan merah jugak lah. Tapi bila amalkan selalu, betul jerawat mula mengecut dan parut mula pudar. Kalau nak kurangkan pedih, bancuh serbuk tadi dengan bedak sejuk. Kalau tak tahan, dengan rasa pedih tu, cepat cuci dan berhenti pakai. Jangan paksa lah.
Itu sahaja petua yang ada, sebenarnya banyak lagi, tapi ini antara yang berkesan Asyraf pernah cuba. Eh eh, jangan ketawa, lelaki pun jaga kebersihan muka tau. Tak salah pun. Cuaca dan udara sekarang kurang sihat, jadi bantu kulit kita bernafas. Yang penting mulakan petua-petua tadi dengan Basmallah.
Selamat Mencuba, Terima Kasih.
Copyright Muslim Writer © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012- indexs12
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
Read More...
Sebelum ini sudah ada Entri Bittaufiq Wannajah (Dengan Petunjuk dan Kejayaan) dalam blog ini yang kongsikan beberapa doa untuk menghadapi peperiksaan. Namun Entri terbaru ini InsyaAllah himpunan doa yang lebih lengkap. Boleh diamalkan tak kira apa jua peperiksaan atau temuduga. Semoga berjaya InsyaAllah. Lebihkan usaha. Selamat Beramal.
بِسْــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ
Doa penerang hati
أَللهُمَّ افْتَحْ عَلَيْنَا حِكْمَتَكَ وَانْشُرْ عَلَيْنَا مِنْ خَزَائِنِ
رَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Ya Allah bukakanlah hikmahMu, dan turunkanlah rahmat dari khazanahMu kepada kami, Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Doa Memohon Kefahaman yang baik
"Allahummar zuqna, fahom nabiyyiina, wa hifzaal mursaliin, wa 'ilhaamal malaikatiil muqarrabbin, fii 'aafiyaati, ya Arhamar raahimiin"
"Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami fahaman nabi-nabi dan hafalan para rasul serta mendapat ilham dari para malaikat yang hampir denganMu, juga kurniakanlah kami kesihatan Wahai Tuhan Yang Amat Pengasih"
Doa mendapat petunjuk
رَبَّنَا لا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْهَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا
مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
Wahai Tuhan kami , janganlah Engkau sesatkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk dan berikanlah rahmatMu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi
Doa untuk mengulangkaji
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ فَهْمَ النَّبِيِّيْنَ
وَحِفْظَ الْمُرْسَلِيْنَ وَالْمَلاَئِكَةِ الْمُقَرَّبِيْنَ
اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِسَانِيْ عَامِرًا بِذِكْرِكَ
وَقَلْبِيْ مَلِيْئًا بِخَشْيَتِكَ، إِنَّكَ عَلَى مَا تَشَاءُ قَدِيْرٌ
“Ya Allah! Aku memohon daripadaMu kefahaman para nabi, ingatan para rasul dan malaikat terhampir.
Ya Allah! Jadikanlah lidahku basah dengan zikir kepadaMu, hatiku dipenuhi dengan takut kepadaMu.
Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala apa yang Engkau kehendaki.”
Doa ketika masuk bilik peperiksaan
وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ
وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ
وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا
“Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”
ATAU
Doa Ringkas
"Wa hai yi' lanaa min amrinaa rashadaa"
Ya Allah, persiapkan kami mengenai dengan urusan kami dengan petunjukMu
Ketika menerima kertas soalan
قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي. وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي. وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي. يَفْقَهُوا قَوْلِي.
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku.”
Doa ketika terlupa jawapan
اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لاَ رَيْبَ فِيْهِ
اجْمَعْ عَلىَ ضَالَّتِيْ مَعْلُوْمَاتِيْ.
“Ya Allah! Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya. Himpunkan barangan dan maklumat yang hilang daripadaku"
ATAU
Doa Ringkas
Subhaa na man laa ya naa mu wa laa yas huu Allahumma zakkirnii maa nasiit
(3 kali)
Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lalai, Wahai Tuhanku, ingatkanlah aku apa-apa yang aku lupa.
Doa mudahkan hafalan
آللهُمَّ ارْزُقْنَا يَا رَبِّ فَهْمَ النَّبِيْيِنَ وَحِفْظَ آلْمُرْسَلِيْنَ
وَإِلْهَامَ آلْمَلائِكَةَ آلْمُقًرَّبِيْنَ فِى عَافِيَةِ يَااَرْحَنَ آلرٌّاحِمِينِ
Ya Allah, kurniakanlah kami kefahaman para Nabi dan hafazan para Rasul dan ilham dari para Malaikat yang menghampiri denganMu kurniakanlah kesihatan wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Doa memohon dilepaskan dari kesusahan menjawab soalan
ياَ حَيُّ يَا قَيُّوْمُ، بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ
“Wahai Tuhan yang maha hidup lagi maha berdiri dengan sendirinya. Dengan rahmatMu aku bermohon pertolongan.”
اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ الصَّعْبَ إِنْ شِئْتَ سَهْلاً.
Maksudnya: “Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.”
Doa Memohon Kejayaan yang Cemerlang
llahumma inni as-alukal fauza 'indal qadhaii wa manaazilasy syuhada wa 'ai syas su 'a da' wan nasra alaal a'daa'
"Ya Allah Kami memohon kejayaan dalam setiap ketentuan, tempat para syuhada' dan kehidupan orang-orang bahagia serta kemenangan mengatasi musuh".
Dan untuk doa kuatkan ingatan agar tak mudah lupa, rakan-rakan boleh amalkan
surah Al Israa' ayat 70. Masa Baca ayat tersebut letakkan tangan atas kepala.
Yang penting sebenarnya ialah, jangan tinggal solat fardhu 5 waktu. Kalau rajin dan berkesempatan, puasa sunat Isnin dan Khamis. Selalu luangkan masa hujung minggu untuk bacaan Yassin dan usaha untuk mengulangkaji pelajaran tanpa henti. InsyaAllah berjaya.
Kalau inginkan salinan doa ini, e-mail asyraf (asyrafkhalib@yahoo.com) InsyaAllah asyraf akan balas dan hantar salinan doa ini kepada rakan-rakan.
Dihimpunkan semula oleh :
Copyright Muslim Writer © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012- indexs12
Read More...
Apa Khabar sahabat ? Alhamdulillah andai masih sihat. Bagi yang kurang sihat, sabar dan harap lekas sembuh. Tambahan pula sekarang musim jerebu. Ramai yang kurang selesa dan sensitif tubuhnya dengan masalah jerebu ini. Termasuk saya sendiri yang dah mula sakit tekak dan sesak nafas. Walaupun begitu, Alhamdulillah kerana Allah masih beri izin dan kekuatan tubuh badan untuk saya belajar juga ke kuliah seperti biasa.
Entri kali ini saya akan kongsikan sedikit doa yang pada saya boleh diamalkan bersama-sama oleh seluruh Umat Islam di Malaysia, Singapura juga Indonesia dalam mengatasi masalah jerebu ini InsyaAllah. Ianya doa Minta Hujan agar masalah jerebu yang kian kritikal ini akan pulih segera dengan turunnya hujan. Cuaca panas menyebabkan masalah jerebu meningkat dengan begitu cepat dan membahayakan kesihatan kita. Jadi mari sama-sama berdoa pada Allah SWT minta diturunkan hujan di bumi kita. Usahlah merungut marahkan jerebu, tetapi mintalah pada Allah agar dipulihkan semua ini seperti sedia kala. Anggap saja ini ujian dari Allah untuk menguji kesabaran hambaNya. Selalu tenang, istighfar, selawat, jaga solat, InsyaAllah segalanya akan baik-baik sahaja. Jadilah Muslim yang bijak. Berhentilah menyalahkan mana-mana pihak. Kita hanya menambah masalah jika asyik menimbulkan isu yang tiada kesudahan. Elakkan dari melakukan perkara yang menyakitkan hati sendiri juga pihak lain. Allah Maha Mengetahui atas setiap sesuatu. Sabar, doa dan terus berdoa. Yang penting jaga solat kita.

(KLIK PADA GAMBAR JIKA INGIN BESARKAN GAMBAR)
Selain berdoa, usaha daripada kita sendiri tuan punya badan juga harus dilakukan. Jaga tubuh badan yang sudah diamanahkan Allah SWT kepada kita. Berikut adalah nasihat daripada Dr. Norleen Mohamed daripada MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia
Apa itu jerebu?
Jerebu adalah keadaan di mana kualiti udara yang tidak baik dengan kehadiran partikel (opalescent) di atmosfera yang akan mengurangkan jarak penglihatan.
Ia disebabkan oleh pencampuran konsentrasi bahan pencemar udara yang tinggi yang dilepaskan merata-rata dan menyerap sinaran matahari di atmosfera.
Apakah bahan pencemaran udara yang bertanggungjawab kepada kesan kesihatan semasa jerebu?
Bahan utama pencemar udara semasa jerebu termasuk:
1. Bahan partikel yang berukuran kurang dari 10mm/m3 diameter
2. Ozon
3. Gas karbon monoksida
4. Gas nitrogen dioksida
5. Sulfur dioksida
Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan Kesan Kesihatan
Apakah Indeks Pencemaran Udara?
IPU ialah indeks yang dibentuk berdasarkan kepada lima bahan pencemar udara seperti yang di atas untuk menunjukkan status kualiti udara dan hubungannya kepada kesihatan dalam pemahaman yang mudah untuk mengambil tindakan seterusnya.
Nilai IPU dan Status :
0 hingga 50 = Baik
51 hingga 100 = Sederhana
101 hingga 200 = Tidak sihat (Kumpulan berisiko mungkin akan terjejas)
201 hingga 300 = Sangat tidak sihat (Orang ramai terjejas)
Lebih daripada 300 = Bahaya (Orang ramai terjejas)
Apakah kemungkinan kesan jerebu ke atas kesihatan?
Kesan jerebu ke atas kesihatan dikaitkan dengan tahap keterukan status kualiti udara. Semakin tinggi tahap IPU, semakin bertambah kesannya kepada kesihatan.
Faktor-faktor lain seperti jangka masa dan intensiti aktiviti luar, tabiat merokok, umur, dan status kesihatan seseorang individu memainkan peranan penting dalam memberi kesan kepada kesihatan.
Kemungkinan kesan kesihatan termasuk;
1. Kesukaran untuk bernafas
2. Serangan jantung
3. Gatal–gatal pada tekak
4. Gatal–gatal pada mata
5. Jangkitan pada bahagian atas saluran pernafasan
6. Gatal–gatal pada kulit
7. Batuk
8. Selsema
Kumpulan yang berisiko
Siapakah yang berisiko mendapat kesan kesihatan?
Kebanyakan orang adalah berisiko mendapat kesan kesihatan. Walau bagaimanapun, sesetengah kumpulan adalah lebih tinggi risikonya untuk mendapat kesan kesihatan ini. Kumpulan ini termasuk;
1. Kanak–kanak
2. Warga emas
3. Pesakit yang mempunyai masalah pernafasan seperti asma dan radang pada saluran pernafasan (bronchitis).
4. Pesakit yang menghidapi penyakit jantung dan alahan.
5. Perokok
Langkah Pencegahan
Bagaimanakah saya dapat mencegah atau mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu?
Tip–tip kesihatan untuk mengurangkan kesan jerebu kepada kesihatan.
1. Kurangkan aktiviti luar.
2. Jangan merokok.
3. Banyakkan minum air sekurang-kurangnya 2 liter sehari.
4. Selalu membasuh tangan dan muka selepas melakukan aktiviti luar.
5. Dapatkan nasihat perubatan.
6. Gunakan topeng pernafasan apabila tahap kualiti udara tidak sihat.
7. Pastikan persekitaran dalam rumah adalah bersih.
Jika anda menghidapi asma atau penyakit jantung, sila pastikan anda
1. Mempunyai bekalan ubat-ubatan yang cukup.
2. Mengambil ubat-ubatan seperti yang diarahkan.
3. Berjumpa doktor dengan segera jika keadaan menjadi semakin teruk.
Siapakah yang perlu saya rujuk?
Keterangan lanjut boleh diperolehi daripada doktor anda di:
Unit Kesihatan Persekitaran
Bahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan
Malaysia
JAGA DIRI & KESIHATAN ANDA
Terima Kasih
Copyright Muslim Writer © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012-
-->
indexs12
Read More...

Sedikit perkongsian buat rakan-rakan yang bakal menghadapi peperiksaan
بِسْــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ
"Bittaufiq Wannajah"(dengan petunjuk dan kejayaan)
Doa memulakan ulangkaji :
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ فَهْمَ النَّبِيِّيْنَ وَحِفْظَ الْمُرْسَلِيْنَ وَالْمَلاَئِكَةِ الْمُقَرَّبِيْنَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِسَانِيْ عَامِرًا بِذِكْرِكَ وَقَلْبِيْ مَلِيْئًا بِخَشْيَتِكَ، إِنَّكَ عَلَى مَا تَشَاءُ قَدِيْرٌ.
Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon daripadaMu kefahaman para nabi, ingatan para rasul dan malaikat terhampir. Ya Allah! Jadikanlah lidahku basah dengan zikir kepadaMu, hatiku dipenuhi dengan takut kepadaMu. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala apa yang Engkau kehendaki.”
Doa selepas mengulangkaji :
اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَوْدِعُكَ مَا قَرَأْتُ وَمَا فَهِمْتُ وَمَا حَفِظْتُ فَرُدَّهُ إِلَيَّ عِنْدَ حَاجَتِيْ إِلَيْهِ، إِنَّكَ عَلىَ كُلِّ شَيْء
Ketika memasuki dewan peperiksaan :
وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا
Maksudnya:“Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”
Ketika menerima kertas soalan :
قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي. وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي. وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي. يَفْقَهُوا قَوْلِي.
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku.”
Ketika sukar menjawab :
ياَ حَيُّ يَا قَيُّوْمُ، بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang maha hidup lagi maha berdiri dengan sendirinya. Dengan rahmatMu aku bermohon pertolongan.”
اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ الصَّعْبَ إِنْ شِئْتَ سَهْلاً.
Maksudnya: “Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.”
Jika kita terlupa jawapan :
اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لاَ رَيْبَ فِيْهِ اجْمَعْ عَلىَ ضَالَّتِيْ مَعْلُوْمَاتِيْ.
Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya. Himpunkan barangan dan maklumat yang hilang daripadaku".
BarakallahUsaha + Doa + Tawakkal = InsyaAllah Berjaya
Copyright Muslim Writer © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012-
-->
indexs12
Read More...