 |
| Eh! Dia ajak main sembunyi-sembunyi.. |
Bismillahirrahmanirrahim...
Amaran
Artikel ini tidak sesuai untuk dibaca bagi mereka yang tak suka
Meow Meow


Selesai solat Isyak, seperti biasa aku luangkan sedikit masa untuk membaca beberapa artikel blog rakan-rakan blogger. Sengaja nak buat mata ini supaya lekas letih dek merenung monitor komputer riba di tengah malam.
Rubah, kucing paling senior dalam rumah aku awal-awal lagi dah pun mengambil tempat di katil. Seperti biasa selimut oren dan bantal hijau (ada gambar ikan Nemo) jadi pilihan untuk dia hempaskan badannya yang agak besar. (Ya, si Rubah kongsi katil dengan aku). Nyata malam ini dia berkeras tidak mahu lelapkan mata selagi lampu bilik tidak dipadamkan untuknya. Ada saja gelagat dibuat untuk cuba menarik perhatian aku. Aku malas untuk memandang. Hiraukan saja dia. Sampaikan sengaja dia berjalan selamba atas komputer riba tanda protes! Jadi, terpaksalah tutup lampu untuk biarkan si gemuk itu tidur dan tak ganggu aku.
 |
| Rubah (grooming dulu sebelum tidur) |
Al-maklumlah, bila lampu sudah padam, aku pun matikan komputer riba dan bergegas ke bilik mandi (cuci muka, whuduk). Malam ni terasa nak lelapkan mata lebih awal dari biasa. Haa.. Bila bilik dah gelap, Encik Rubah automatik mendapatkan kedudukan lebih selesa untuk mimpi indahnya (agaknya mimpi makan whiskas dengan limpahan sos ikan! hehe). Sementara aku tunggu nak lelap mata, sengaja aku ganggu Encik Rubah yang selesa dengan posisi mengiringnya. Ditepuk-tepuk perut si gemuk ini macam gendang. Walaupun agak cerewet kucing aku yang ini, tapi dia budak baik. Selalu faham aku. Macam biasa, setiap malam Encik Rubah akan sondol kepala di bahu aku minta diusap kepala. Layankan saja sebab selalunya time usap kepala dia ni, aku pun akan sama belayar dalam bahtera mimpi.
Jam 2.17 pagi
Terjaga. Encik Rubah bising lagaknya macam kucing gila. Geram sangat. Dipijaknya pula lengan kanan aku dengan kedua kaki depan dia. Seramlah jugak bila tengah-tengah malam macam ni mata Encik Rubah terbeliak bulat pandang aku bukan main lagi.
'nak apa budak sekor ni!'
Berulang kali Encik Rubah naik turun katil dan berlari ke pintu. Jadi waktu tu aku cuma fikir Rubah nak buang "poo poo" (buang air) dan minta buka kan pintu. Tapi selalunya time Subuh baru dia nak buang hajat pun. Ini awal sangat. Hmm.. Aku turutkan saja, risau nanti katil aku jadi toilet.
Bila buka saja pintu bilik, terus nampak pulak Lucy dan Louis baring tepat depan pintu dengan muka comel dan perut bulat kekenyangan. Nasiblah aku tak pijak. Encik Rubah tiba-tiba dengan penuh gaya jemput budak berdua tu masuk. Lah... aku ingatkan nak pergi 'tunaikan hajat' tadi. Rupanya minta aku buka pintu sebab nak ajak dua ekor ni masuk. Entahlah, malam ni aku rasa ketiga-tiganya berperangai pelik.
Lucy dan Louis selalunya tidur di tingkat bawah rumah (ruang tamu), Encik Rubah sekor ni saja yang sibuk nak tidur kat bilik. Lofa pula lebih selesa di luar rumah. Dia tu memang tak nak masuk rumah bila malam. Mungkin sebab terbiasa. Lofa tu stray cat yang Asyraf pernah cerita kudung kaki kanan. Lofa tak suka bergaul dengan kucing lain. Biasalah kucing jalanan, sementara nak biasakan diri sebagai kucing peliharaan. Hidup sebumbung dengan manusia. Jadi aku biarkan Lofa buat pilihan. Supaya dia tak takut.
Okay sambung, alang-alang Rubah dah kejutkan aku bangun tengah malam. Aku bentangkan sejadah dan turun ke bilik mandi untuk segarkan badan dengan whuduk. (Terima Kasih Rubah). Dan seolah faham, ketiga-tiganya melompat naik ke katil untuk beri ruang pada aku tunaikan solat sunat. Alhamdulillah. Selesai saja doa, dush! budak-budak bertiga ni berguling di sejadah. Tiba-tiba saja mata hilang mengantuk. Layankan saja budak-budak ni. Nak nanges pun ada tengok gelagat kucing-kucing aku malam ni. Entahlah, mungkin sebab rasa macam kucing-kucing ni teman baik yang lebih faham aku. Walau tak dapat berkomunikasi dengan satu bahasa. Kami ada cara masing-masing untuk berinteraksi.
Sebenarnya terfikir, bila aku balik ke UiTM semula nanti, dah habis cuti. Tak semua ahli keluarga ada masa yang cukup untuk rawat budak-budak ni. Lagipun tak semua rajin untuk layan perangai cerewet 'anak-anak' aku ni. Siapa nak mandikan kucing, nak beri makan ubat, bawa ke klinik, cuci selimut dan bersihkan tempat 'poo-poo' budak-budak ni. Dan yang pasti aku akan rindu dengan gelagat si gebu ni semua. Rubah, kalau aku dah balik UiTM, mak cakap dia akan tidur dekat luar. Kadang-kadang jelah masuk rumah.
So, kat bawah ni ada gambar-gambar my lovely pets yang masih disimpan.
 |
Bergusti : Rubah (Calico), Louis (Orange) & Lucy (Grey)
'Sorry gambar Lucy nampak bontot jee. haha.' |
 |
Baru balik klinik : Stray Cats
(Kucing liar yang pernah suatu ketika diselamatkan)
Selepas cukup montel dan sihat, aku hadiahkan pada orang yang nak jaga.
Sekarang semuanya selamat di rumah keluarga baru.
Rindu! |
 |
Urgh jangan jeles, (2012) Aidilfitri. Tidur dengan Rubah.  |
 |
| Ini Marble, dah hadiahkan untuk kawan. Comel kan ? |
 |
| Lucy dan Louis teruja tengok bird. Sampai macam ni jadinya. |
 |
| Lucy sudah debab! |
 |
Lofa posing okeh! makcik ni lebih selesa tidur diluar.
Tapi tempat tidur first class Inche' Asyraf dah siapkan untuk dia |
 |
"Lofa"
(Gambar ni waktu minggu pertama jaga dia)
Sombong lagi time ni! Garang gilaaa..  |
 |
Inilah Lucy, Louis dan Lassie time baby.
Lassie (putih) dah tak ada. Kena culik dua bulan lepas :(
Makhluk mana entah culik.
Arghh! Tak nak ingat. Sedih.
 |
 |
Louis sibuk nak tangkap burung lagi |
Jadi kalau ada yang tanya, kenapa Asyraf suka sangat dengan kucing? Erm.. kenangan yang ada dalam gambar-gambar ini semua mungkin boleh jadi salah satu jawapannya.
Sebenarnya banyak lagi gambar, tapi tak larat Asyraf nak masukkan banyak-banyak. hehe. Asyraf ada bela arnab, kura-kura, burung, ikan dan lain-lain. Macam zoo okeh. In Shaa Allah, akan update lagi nanti. Semoga kita semua terus sayang dengan kucing dan haiwan-haiwan yang lain.
Ada juga yang tanya, "betul tak bela kucing ni murah rezeki kita?"
Entahlah, pada Asyraf, rezeki itu Allah yang tentukan, kalau niat kita ikhlas, pasti ada. Bukannya bela kucing sebab nak rezeki murah semata. Rezeki tak semestinya datang dalam bentuk wang. Rezeki tu boleh jadi ada orang selalu belanja kita makan. Ada jemputan kenduri yang banyak. Dan duit gaji yang sedikit selalu mencukupi. Sebenarnya nikmat rezeki yang berkat itu lebih perlu difikirkan.
Jaga diri, jaga iman. Sekian.
AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
Read More...

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, "saya diuji lagi". Sebelum itu,
Saya ada satu soalan,
Cuba berikan satu sahaja nama hamba Allah yang tidak pernah diuji? Satu sahaja.
Tiada bukan?
Setiap hamba Allah pasti diuji. Mengapa? Kerana Allah terlalu sayang kepadanya. Allah tersangatlah rindu kepada hambanya itu. Allah mahukan si hamba pulang kepada Allah dalam sujudnya. Allah mahukan si hamba menitiskan butiran manik jernih berupa air mata kerana Allah ingin menghapuskan dosa-dosanya. Allah mahu sediakan sebuah "surprise" yang besar buat si hamba di syurga kelak. Kerana Allah adalah sebaik-baik kekasih, maka Dia jua lah yang tahu apa yang terbaik buat kita semua.
Eh, senyumlah!
Redha dengan ujian yang menimpa, kerana ia akan membuatkan kita kaya di dunia, dan kelak kaya di akhirat In Shaa Allah. Jangan bersedih, kerana Allah itu Maha Pengampun dan rahmatnya Maha Luas. Mungkin ada suara kecil dalam diri anda yang berbisik "kenapa orang lain tidak diuji sepertiku?".
Uishh, itu kerana "kau.... terlalu istimewa" (nyanyi ala-ala Adibah Nor, heh). Anggaplah ujian ini sebagai satu anugerah. Allah beri anugerah ini hanya untuk anda seorang sahaja. Tidak boleh dikongsi-kongsi. Tidakkah terasa diri istimewa? Allah memuliakan diri kita dengan anugerah berbentuk ujian. Allah yakin kita boleh menghadapinya. Sedangkan yang menciptakan kita sendiri yakin dengan keupayaan kita, mengapa tidakkah diri kita? Ingatkah anda kepada SMS cinta daripadaNya yang berbunyi:
"Allah tidak menimpa sesuatu ujian kepada hambanya melebihi kesanggupan hamba tersebut."
If Allah brings you to it, He will help you go through it as long as you remember Him in every single step. (rojak lah pulak ngee)
Kalam Allah yang indah dalam surah Al-Insyirah turut menyebut:
"Fainnama al usri yusra"
Sesungguhnya dalam setiap kesusahan ada kemudahan
Malahan, kekasih Allah Nabi Muhammad SAW pun diuji dengan ujian yang jauh lebih besar daripada yang menimpa diri kita. Apalah sangat ujian yang kita terima ini? Adakah ujian kepada insan yang mulia itu tanda Allah tidak adil. Atau adakah ia bermaksud Allah tidak menyayangi baginda Rasulullah? Tidak sama sekali. Malah Allah hadiahkan baginda dengan raudhatul jannah yang kekal abadi. Rasulullah SAW meninggalkan penawar buat diri kita yang menimpa musibah:
“ Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup
kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri
atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah
akan meningkatkan darjatnya satu darjat dan menghapuskan
satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan
kesusahan tersebut”
[riwayat al-Hakim]
Percayalah Allah melihat setiap pengorbanan kita. Allah tidak pernah mensia-siakan diri kita. Allah tidak pernah menghentikan degupan jantung kita. Di saat kita tidur semalam, adakah Allah menghentikan aliran darah kita? Adakah Allah menyekat pernafasan kita? Tidak! Kerana Allah masih sayangkan diri kita. Usahlah lihat kepada segala bencana atau dugaan sebagai sesuatu yang membuat diri kita lemah, tetapi pandanglah segala nikmat yang tidak terkira banyaknya. Tidak ada seorang kekasih pun yang boleh memberi nikmat setanding Allah SWT. Sekali lagi saya ajukan persoalan yang sama, mengapa Allah berbuat begitu?
Jawapannya ada pada diri kita sendiri.
Biar KEPAHITAN itu pergi
Agar KEMANISAN mengisi
Biar KEKECEWAAN berlalu
Agar KEGEMBIRAAN mewarnai
Biar PENDERITAAN itu menyapa
Agar KEKUATAN kita dijana semula
Biar diriku DERITA
Agarku tahu KEPAHITAN itu DERITA
Agarku sedar KESENGSARAAN ini tidak sama
Bahkan hanya CEBISAN dari penderitaan Rasulullah saw
ALLAH sekali-kali tidak menzalimi hamba-NyaTapi MANUSIA-lah yang menzalimi diri sendiri.
(Aisyah Syakirah)
Ujian dari Allah + Senyuman dari kita = Syukur
Semoga kuat menghadapi segala ujian.
La Tahzan,
Allah sebaik-baik penghibur.
AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
Read More...
Bismillahirrahmanirrahim.
Asyraf terbaca satu artikel di facebook, tertarik pula dengan statement begitu islamik lagi bergaya tentang trend segelintir remaja kita hari ini yang mana suka menggabung nama kekasih dengan nama mereka di laman sosial. Saya pun tidak tahu apa keperluan sebenarnya mereka berbuat demikian. Tak kurang dengan itu, perbuatan menggabung nama suami dan isteri juga turut dibahaskan dalam artikel yang sama. Setahu saya, artikel tersebut juga sudah pun tersebar melalui beberapa aplikasi di telefon bimbit seperti wechat. Cepat betul penyebarannya. Mungkin ada diantara anda sudah pernah membacanya bukan? Topik yang dibincangkan dalam artikel tersebut pada saya sudah cukup menarik, tetapi malang pula kerana isi dalam artikel tersebut agak mengelirukan malah ada kenyataan yang seolah sengaja direka-reka. Jadi melalui artikel dalam belog saya kali ini, saya akan ulaskan supaya lebih jelas tentang isu berikut berpandukan beberapa rujukan daripada mereka yang lebih arif.
Perbuatan menggabung nama kekasih dengan nama sendiri?
Kalau anda rujuk artikel mengelirukan di laman sosial yang saya maksudkan di atas tadi, penulis sewenang menyatakan perbuatan menggabung nama kekasih atau nama suami isteri dengan nama sendiri adalah haram dan perbuatan itu seperti berzina (bagi yang belum kahwin). Jadi, kalau haram makanya sudah berdosa besarlah kan? Katanya perbuatan tersebut haram kerana ia sama seperti pelaku telah menukar nama bapa mereka dibelakang dan menggantikan pula dengan nama teman lelaki. Nama dibelakang itu nama keturunan. Jadi katanya mereka tak mengaku ayah sendiri. Gituu..
Contoh yang diberikan penulis artikel tersebut ialah nama si pelaku tersebut "Afikah" dan nama teman lelakinya "Aiman". Digabung menjadi "Afikah Aiman". Tup, tup terus haram. err??
Eheh, bukan begitu, sebenarnya perbuatan menggabung nama kekasih dengan nama sendiri tidaklah sampai jatuhnya hukum haram yang membawa dosa besar seperti berzina macam yang disebut di atas tadi. Perbuatan gabung nama kekasih ini cuma tidak dituntut syarak. Dan apa-apa perkara yang tidak dituntut dalam Islam, tidak perlulah kita buat. Ada baiknya elakkan perbuatan menggabung nama ini sebab tak elok orang tengok. Lagi-lagi perempuan. Belum berkahwin pula. Romantik? ermm.. saya tak nampak pula gabung nama tu romantik dan sweet. Nampak terhegeh-hegeh ada lah.
Gabung nama suami isteri macam mana pula?
Perbuatan menggabung nama suami isteri pun sama juga, tidak haram dan dibolehkan. Lagipun masing-masing sudah punya ikatan yang sah. Yang kita risau bagi yang couple tadi. Boleh bawa fitnah juga umpatan. Baiklah, berbalik pada gabung nama suami isteri. Contoh nama isterinya "Azwa" dan nama si suami pula "Kamarul". Bila digabungkan ia menjadi "Azwa Kamarul". Tak ada masalah pun.
Kadang-kadang di kampung, bila pergi kenduri, kalau tanya orang kampung dengan menyebut nama "Azwa" mereka tidak kenal, tetapi kalau sebut "Azwa Kamarul" baru mereka kenal siapa. Ini kerana barangkali orang kampung lebih rapat dengan suami si Azwa tadi iaitu Kamarul. Jadi orang kampung sinonim dengan nama yang digabung suami isteri. Maka dengan itu, tak adalah perbuatan gabung nama untuk suami isteri ini terus jatuh hukum haram selagi mana tidak melanggar aturan syarak. Jangan senang-senang menghukum itu dan ini. Kesian orang. Islam tidaklah serigid yang disangka yaa..
"Eh Asyraf! ada orang cakap bila letak nama lelaki lain di belakang nama sendiri walaupun nama suami dia jeee, automatik dia tu telah mengaku anak kepada orang lain. So, jadi haram la sebab ada hadis sahih sebut tentang tak boleh mengaku anak kepada orang lain kan?!!".
Tak juga, penjelasannya tentang hadis tu ada kat bawah nanti.
Habis tu, haramnya bila?
Haramnya bila mana anda menggabungkan nama suami isteri atau kekasih anda dengan meletak perkataan "BIN" atau "BINTI" sebagai penyambung nama tersebut. Contoh nama girlfriend "Afikah" dan nama boyfriend "Aiman". Digabung dengan segaja atau sekadar bergurau menjadi "Afikah Binti Aiman".
Begitu juga dengan suami isteri, contohnya nama isteri "Azwa" dan nama suaminya "Kamarul". Digabungkan menjadi "Azwa Binti Kamarul". Maka perbuatan ini sama ada dilakukan dengan sengaja atau sekadar untuk bergurau, ianya dilarang kerana kita tidak boleh sewenang menukar nama bapa di belakang dan menggantikannya dengan nama orang lain. Hanya nama ayahnya sahaja khas disitu. Walaupun ia nampak remeh, tetapi Islam memandang hal penamaan nama ini suatu yang penting dan tidak boleh dibuat main.
Sebagaimana yang disebut dalam hadis sahih, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Barang siapa yang mengaku sebagai anak kepada selain bapanya atau menisbatkan dirinya kepada yang bukan walinya, maka baginya laknat ALLAH, malaikat, dan segenap manusia. Pada hari Kiamat nanti, ALLAH tidak akan menerima darinya ibadah yang wajib maupun yang sunnah” (HR. Muslim dlm al-Hajj (3327) dan Tirmidzi)
Takut kan? jadi, berhati-hatilah. Kalau nama anda digabung dengan BIN atau BINTI. Itu sekaligus membawa makna anda telah "mengaku anak kepada" atau "telah mengaku keturunan kepada" nama yang di belakang.
Menjawab pula soalan yang di atas tadi,
"Eh Asyraf! ada orang cakap bila letak nama lelaki lain di belakang nama sendiri walaupun nama suami dia jeee, automatik dia tu telah mengaku anak kepada orang lain. So, jadi haram la sebab ada hadis sahih sebut tentang tak boleh mengaku anak kepada orang lain kan?!!". - Soalan
Pada saya jikalau seseorang individu atau seorang isteri itu sekadar menggabung namanya dan suami seperti "Azwa Kamarul" sahaja kerana mereka sudah sinonim dikenali dengan nama tersebut oleh orang sekeliling, maka itu tidak mengapa dan tak ada salahnya. Lagipun macam sekarang, cuba kita gabung nama seperti "Aisyah Amirruddin", nama yang digabung ini tidak terus membawa makna "Aisyah" telah mengaku anak kepada "Amirruddin" macam yang dinyatakan kat atas. Nama itu boleh sahaja jadi "Aisyah dan Amirruddin" atau "Aisyah isteri kepada Amirruddin". Sebenarnya yang penting sekali ialah, saya rasa tidak pernah terlintas bagi seorang isteri tersebut untuk dia mengaku anak kepada suaminya sendiri. Jadi dah jelas kan untuk pertanyaan yang di atas tadi? Boleh kalau nak gabung nama isteri dan suami asalkan tak hegeh-hegeh mengaku suami itu ayahnya pula. Salah dan sangat ditegah. Perkara ini pun telah dijelaskan sendiri oleh Ustaz Azhar Idrus yang penggabungan nama ini dibolehkan. Part yang ini, saya bincang untuk suami isteri yeah, bukan untuk couple, couple.
Kesimpulannya, walaupun tidak haram bagi perbuatan menggabung nama kekasih anda dan perbuatan meletak nama seperti itu di laman sosial pula nampak sweet katanya... janganlah seronok pula ya. Ingat, ia tidak dituntut syarak. Lagipun couple kan haram. Jadi tolonglah malu dan jangan berbangga sebab telah buat perkara yang dilarang agama ni.
Apa-apa perbuatan yang tidak dituntut syarak pasti ada sebab yang tidak elok untuk kita. Jadi sila hentikan dan yang mana dah buat tu, cepat-cepatlah tukar. Letak nama ayah sendiri kan lagi bagus. Biarlah tak best macam mana pun nama tu. Tetap juga nama ayah kita. Paling kurang pun, letak nama penuh sendiri sudah cukup. Kan nama itu doa.
Wallahualam Bissawab
Sila tinggalkan komen untuk rujukan saya, Terima Kasih
Kredit rujukan & ilmu :
Ustaz Azhar Idrus
Anda mungkin juga meminati artikel berikut :
1. Kerana Engkau Perempuan, dan Aku Lelaki
2. Kenapa Couple Haram?
3. Couple itu Cinta?
4. Kalau tak couple macam mana nak kenal hati budi dia?
AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
Read More...
 |
| eheh.. comelnya! |
Artikel kali ini Asyraf tulis untuk penuhi permintaan dari seorang adik ni di wechat. Dia tanya pendapat Asyraf tentang persahabatan antara lelaki dan perempuan. Mudah-mudahan bermanfaat, selamat membaca!
Bismillahirrahmanirrahim...
LELAKI
“Saya mempunyai seorang sahabat baik, dan dia seorang perempuan”
PEREMPUAN
“Saya lebih suka bersahabat baik dengan lelaki, kerana lelaki lebih memahami, dan juga kool!”
“Kami bukan bercinta, kami hanya bersahabat baik”
“Saya dan dia sudah bersahabat sejak kecil, sudah hilang rasa malu”
Dialog-dialog diatas sering kali terbit dari bibir-bibir kita termasuk saya. Ya, memang tidak dapat dinafikan, sesetengah dari kita, lebih gemar bersahabat dengan mereka yang berlawanan jantina, terutamanya rakan sekelas, atau rakan yang sejak dari kecil sudah biasa bersama. Bagi yang perempuan, bersahabat dengan lelaki dikatakan lebih mudah memahami, cepat mesra, tidak mudah tersinggung dan tidak melecehkan. Dan persahabatan dengan rakan perempuan pula dikatakan sukar kerana gemar merajuk, cepat melenting dan suka iri hati dengan kelebihan sahabat sendiri. Begitulah sebaliknya bagi lelaki yang mana suka pula bersahabat dengan perempuan. Masing-masing punya persepsi sendiri. Justeru, dimanakah pula islam meletakkan kedudukan situasi ini, adakah dibenarkan, ataupun terdapat tembok besar menghalang hal ini dari terus berlaku?
Tujuan Allah menciptakan lelaki dan perempuan diantaranya adalah untuk kita manusia berkerjasama, saling membantu dan tolong menolong dalam melakukan perkara kebaikan.
Dalam surah At-Taubah, ayat ke 71, Allah berfirman “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari perkara yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul- Nya..”
Segala bentuk perhubungan di antara manusia, adalah dengan tujuan untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah. Dan dasar kehidupan sosial dalam masyarakat ialah untuk menghindarkan kerosakan terhadap sesiapa didalam masyarakat sama ada dari segi pegangan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta benda.
Pertembungan diantara jantina lelaki dan perempuan yang bukan dalam melaksanakan hal- hal ketaatan mudah untuk terjerumus ke lembah kemurkaan Tuhan. Daya tarikan terhadap jantina yang berbeza ini bermula sejak awal usia remaja, apabila perempuan dan lelaki aqil baligh, mereka mengalami perubahan dari segi fizikal, hormon, emosi, dan psikologi, jadi perubahan inilah yang amat perlu difahami. Persahabatan sejak kecil, ‘sudah terbiasa’ dan ‘tidak ada perasaan’ lagi pada rakan lelaki atau perempuan bukanlah suatu pengecualian yang dibenarkan syarak. Bahkan sekalipun tidak ada, perasaan yang aneh, yang sering menjadi penyakit bagi para remaja iaitu daya tarikan diantara lelaki dan perempuan, ianya bakal ada, dan akan datang sekalipun dikawal dengan segenap bala tentera ditubuh sekalipun, kerana ianya fitrah manusia, fitrah yang tidak dipandu dengan syarak, maka ianya bakal menjadi fitnah.
Persahabatan lelaki dan perempuan juga tidak akan sama dengan persahabatan yang halal diantara teman sejenis, adegan sentuh- menyentuh, tampar menampar, sesi luahan perasaan dan tekanan, perkongsian kegembiraan yang sering menghiasi hubungan persahabatan bukanlah selayaknya diberikan pada sahabat yang berlainan jantina kerana garisan yang luas diletakan islam didalam hubungan diantara lelaki dan perempuan.
Allah memerintahkan saya dan seluruh kaum lelaki untuk menundukkan pandangan kami, sebagaimana didalam surah An- Nur ayat ke 30, Allah menyatakan “ katakanlah kepada lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya”.
Dan perintah Allah kepada anda seluruh kaum wanita menerusi surah An- Nur ayat 31 pula, dengan Allah menyatakan “katakanlah kepada wanita beriman, hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya”
Didalam hal pandang memandangpun islam sudah memberikan panduan yang sangat mengangkat martabat manusia kepada yang lebih tinggi, supaya menjaga manusia dari masalah yang akan datang, kerana dari pandangan, ia mengundang tarikan dan perasaan yang mengundang syahwat, dan sudah tentu jika diawal peringkat sudah tidak dipertahankan, mudarat yang lebih besar bakal menyusul.
Menerusi sebuah Hadith yang direkodkan oleh At-Thabrani dan Al-Hakim, Rasulullah SAW menyatakan “ Pandangan itu anak panah beracun dari anak panah iblis. Barangsiapa yang menghindarinya kerana takut kepada-Ku, Aku akan menggantikannya dengan iman yang ia akan dapatkan manisnya keimanan itu didalam hatinya”
Di zaman ini, pergaulan lelaki dan perempuan terlalu jauh berbeza dengan beberapa zaman terdahulu yang amat menjaga pergaulan diantara lelaki dan perempuan, anak- anak gadis diasuh dan dididik dalam menjaga tingkahlaku dan begitu taat pada Allah dan Rasul, begitu mendengar kata kedua ibu dan bapa, bertepatan dengan ajaran islam yang begitu menjaga dan mengangkat kaum wanita keperingkat yang mulia.
Menerusi sebuah Hadith yang direkodkan oleh Ahmad, Ibnu Hudzaimah, dan Ibn Hibban dalam kitab sahihnya, Dari Ummu Humaid, Isteri Abu Humaid As- Sai’dy bahawasanya ia datang kepada Rasulullah dan berkata, “ wahai Rasululullah, sesungguhnya aku suka sekali solat bersama engkau”, Rasulullah bersabda, “ aku tahu engkau suka solat denganku, namun solatmu dibilikmu itu lebih baik dari solatmu di kamarmu, solatmu di kamarmu itu lebih baik daripada solatmu di rumahmu, solatmu di rumahmu lebih baik dari solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu, lebih baik dari solatmu di masjidku”. Maka ia diperintahkan (untuk melakukan solat seperti itu), lalu dibangunkan baginya sebuah masjid di tempat yang terjauh dari rumahnya, dan paling gelap, ia solat disana sehingga bertemu Rabb-nya.”
Dengan berleluasanya percampuran di kelas, pejabat dan tempat- tempat keramaian, sering mengundang keburukan jika tidak dikawal dengan keimanan yang diserapkan didalam diri. Pergaulan bebas, bahkan perbuatan zina sudah dianggap kebiasaan, hanya iman yang teguh didadalah menjadi benteng di dalam diri.
Didalam Al- Quran, surah al- Israa’ ayat yang ke 32, Allah menyatakan kepada kita “Janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya itu adalah perbuatan yang keji, dan itu adalah perbuatan yang buruk”.
Allah mengarahkan kita untuk tidak mendekati zina, bermaksud, segenap perbuatan, seperti bertepuk tampar dengan sahabat lelaki, sesi luahan perasaan, dan pelbagai lagi yang menjurus kepada zina adalah dilarang sama sekali.
Seorang wanita sebagai contoh yang bebas bercampur dan bersahabat dengan lelaki akan terdorong mempamerkan perhiasannya, ia akan terdetik membuat lelaki itu kagum kepadanya, maka hal inilah akan mengundang kesan negatif yang lebih besar, seperti boros dalam perhiasan, tabarruj, dan mengundang kefakiran.
Islam membenarkan wanita untuk mengikuti solat hari raya dan solat jemaah, dan melakukan perkara ketaatan, dengan islam meletakkan ketentuan tertentu seperti menjauhi tabarruj (berhiasan berlebihan), melonggarkan pakaian, tidak nipis, dan tidak duduk berkhalwat dengan lelaki yang bukan mahramnya dalam situasi dan keadaan yang bagaimanapun, jelaslah persahabatan diantara lelaki dan perempuan mengundang pergaulan yang berlebihan dari batas yang dibenarkan syarak, kerana kata persahabatan itu sendiri menuntut perhatian dari sahabat, jadi ia hanya berbesuaian dengan sesama jantina sahaja.
Islam melihat percampuran diantara lelaki dan wanita itu berbahaya, islam memisahkan keduanya kecuali dengan cara menikah. Islam mengangkat martabat wanita dan menjadikan wanita sebagai pasangan lelaki dalam melaksanakan hak dan kewajipan, islam meninggikan taraf wanita dan mengangkat nilai kemanusiaannya, islam mengakui hak-hak peribadi, hak- hak peradaban dan hak- hak politik wanita secara secara utuh dan sempurna. Sekalipun ada yang menyatakan islam membezakan antara lelaki dan wanita dalam banyak situasi dan kondisi, serta tidak memberikan persamaan yang setaraf diantara keduanya. Pernyataaan itu benar, namun harus dilihat dalam suatu sudut yang lain, jika terdapat hak wanita dikurangi dalam sudut yang lain, maka islam pasti mengantikannya dengan yang lebih baik pada sisi yang lain. Atau boleh jadi pengurangan itu demi kebaikan wanita itu sendiri.
Diantara wanita dan lelaki itu sememangnya ada fitrah ketertarikan yang kuat diantara satu sama lain, namun begitu, islam telah mengisyaratkan adanya kecenderungan jiwa ini, menyucikannya, dan mengendalikan fitrah ini jauh dari makna kebinatangan, iaitu dengan menyalurkannya kearah yang suci dan terpelihara iaitu dengan jalan pernikahan.
Didalam surah ar- Rum, ayat ke 21, Allah menyatakan “ dan diantara tanda- tanda kekuasaan-Nya adalah, Dia menciptakan untukmu isteri- isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya diantaramu rasa kasih dan sayang”.
Justeru, apa lagi yang membenarkan persahabatan diantara lelaki dan perempuan jika bukan didasari hal-hak ketaatan kepada Allah, jika ia jauh dari tujuan kebaikan, adakah masih ia dibenarkan. Jika sekiranya ia masih diruang lingkup yang dibenarkan syarak seperti terlibat dalam persatuan islam, perbincangan yang tidak mengundang syahwat, pandangan yang sentiasa dijaga, dan mengikut garis-garis syariat, maka dalam keadaan bantu- membantu menjalankan kebaikan, ianya dibenarkan.
Saya sendiri sebelum ini lebih rapat dengan rakan-rakan perempuan di universiti kerana pada saya pelajar-pelajar perempuan ini lebih teliti dalam tugasan-tugasan akademik dan banyak membantu saya dalam pelajaran. Kami selalu makan bersama, berbual kosong malah beriadah bersama. Pun begitu setelah menyedari ikhtilat antara kami lebih perlu diutamakan. Saya mula meletakkan rasa hormat yang lebih pada rakan-rakan perempuan. Saya cuba memperbanyakkan waktu untuk bergaul dengan rakan-rakan serumah (lelaki) dan akan berjumpa dengan rakan-rakan perempuan jika punya keperluan penting sahaja seperti bila mahu menyelesaikan tugasan berkumpulan, terlibat dengan penggambaran filem pendek pelajar dan sebagainya. Itupun saya pastikan supaya tidak berlaku lagi adegan berdua-duaan, bertepuk bertampar sewaktu menyelesaikan kerja.
Memang pada awal perubahan saya dulu, bermacam-macam soalan yang saya terima dari rakan-rakan. Tak kurang ada rakan-rakan sekuliah yang perempuan mula merajuk dan menjauhkan diri. Barangkali terasa hati dengan saya. Sedih saya masa tu. Tetapi doa yang tidak putus kepada Pencipta dimakbulkan jua. Akhirnya, mereka menerima penjelasan dari saya dengan baik dan Alhamdulillah hingga kini walaupun sudah tamat belajar, semuanya senang hati dan tidak langsung berlaku perselisihan faham. Malah jika punya kesempatan, kami tetap berhubung tetapi dalam keadaan yang lebih baik dan terbuka. Walaupun begitu, saya masih dalam proses memperbaiki diri. Apa yang kurang, sama-samalah kita muhasabah diri.
Haa... sebelum tu, ramai juga yang tanya saya kenapa tak mahu berbual di wechat? Kalau tak mahu berbual kenapa bagi ID Wechat? Gituu.. Sebenarnya saya berbual lah, tetapi lebihnya kepada akhi-akhi, tidak ukhti-ukhti. Yang ukhti-ukhti pun saya balas, tetapi saya cuma balas bila ada pertanyaan tentang hal-hal agama atau ada yang nak tegur salah saya sahaja. Jadi saya ambil sedikit waktu untuk terima teguran. Betul kan? Yang perempuan kalau ajak berbual kosong saya selalu tolak. Kan kan? Janganlah meluat dan rasa macam nak tampar-tampar saya ya. In Shaa Allah anda akan faham kenapa saya berbuat demikian suatu masa nanti. Gadis free hair saya minta maaf awal-awal, memang tak dapat nak approve request anda di wechat sebab risau gambar-gambar anda barangkali terselit di moment maka takut tak terlepas dari mata jahat saya T.T Kalau anda letak gambar hello kitty semua tu tak ada masalah. Saya pun bukan baik mana.
Okay berbalik fasal persahabatan antara lelaki dan perempuan, jangan risaulah sangat ya, masih boleh berkawan, tidaklah sampai terputus hubungan. Cuma macam yang saya sebutkan kat atas tadi. Biarlah perhubungan kita dengan yang bukan mahram itu didasari hal-hal ketaatan kepada Allah Taa'la, hal-hal yang baik dan mengikut garis-garis syariat. Semoga kita selalu beringat dan terus berada dalam perhatianNya.
Jikalau ada yang bertanya tentang perubahan anda, katakan saja "kerana engkau perempuan dan aku lelaki" dan begitulah sebaliknya. Eh, itu contoh saja lah, kalau tak menarik sila fikirkan jawapan lain yang lebih bernas! hehe.
Sebarang komen atau pendapat, tinggalkan dalam ruangan komen di bawah untuk rujukan Asyraf. Terima Kasih banyak.
Sekian, Wallahualam Bissawab.
Kredit ilmu : Nessa Syahira
 |
Good friends are like stars. You don't always see them, but you know they're always there. |
Anda juga mungkin meminati artikel berikut :
1. Kalau tak couple macam mana nak kenal hati budi dia?
2. Couple itu Cinta?
3. Kenapa Couple Haram?
AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
Read More...
 |
| "Hai kaumku, berbuatlah sepenuh kemampuanmu,sesungguhnya akupun berbuat (pula). Kelak kamu akan mengetahui, siapakah (diantara kita) yang akan memperoleh hasil yang baik dari dunia ini." (Q.S. Al-An’am : 135) |
Bismillahirrahmanirrahim...
Kini sudah menjadi suatu kebiasaan bagi kita anak-anak muda terutama bagi adik-adik lepasan SPM untuk cuba mendapatkan pengalaman bekerja sambilan dipasaraya atau kedai-kedai. Selain mendapat wang poket untuk perbelanjaan harian, sekurangnya waktu cuti tidak terbuang begitu sahaja. Apa pun tahniah sebab rajin! hehe.
Secara umumnya juga, Allah SWT telah memerintahkan kita manusia untuk bekerja dan mencari nafkah. Perkara ini adalah suatu amanah kepada manusia untuk mencari rezeki. Namun, ada kalanya kita gagal memahami syariat yang Allah SWT aturkan.
Sebelum itu, mari kita rujuk dalil daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, terdapat 10 golongan yang dilaknat oleh Allah SWT:
- orang yang memerah arak
- orang yang diminta arak diperah untuknya
- orang yang meminumnya
- orang yang membawanya(arak)
- orang yang meminta dibawa arak kepadanya
- orang yang memberi minum arak kepada orang lain
- orang yang menjual arak
- orang yang mendapat hasil daripada arak
- orang yang membeli arak
- orang yang meminta dibelikan arak untuknya.
(Hadis riwayat Ibnu Majjah dan At-Tirmizi)
Berdasarkan hadis yang Asyraf letak di atas, cukup nyata dan jelas bahawa hadis ini memberitahu 10 golongan yang dilaknat Allah hanya disebabkan Arak. Jadi apa lagi yang kita mahu bahaskan?
Saya tidak mahu meletakkan fokus pada kedai 7 Eleven semata-mata. Tapi realitinya, hampir di semua cawangan 7 Eleven ada menjual arak, dan kebanyakan pekerjanya adalah Islam dan yang lebih malang pemiliknya juga beragama Islam. Apa yang lebih memalukan pembeli arak itu juga beragama Islam.
Saya belajar di Shah Alam selama hampir tiga tahun, dan Alhamdulillah setakat ini 7 Eleven yang saya pergi tidak ada menjual arak. Dan pada saya ini adalah suatu perkara yang bagus dan sangat sukar untuk ditemui. Jadi adakah bekerja di 7 Eleven ini memang haram hukumnya? Sebenarnya tidak kalau pengisian didalamnya tidak ada yang haram.
Jadi sekarang, saya bercakap soal majoriti dan realiti. Lihat sahaja di negeri saya, Kedah sebuah negeri yang baru mula membangun, persoalan halal haram kerja di 7 Eleven masih belum boleh di selesaikan. Hampir di semua kedai adalah pekerja Melayu, dan rata-ratanya menjual arak. Pun begitu saya tidak nafikan ada juga kedai 7 Eleven di Kedah ini tidak menjual arak.
Apa pula hukum bekerja di stesyen minyak yang jual arak?
Jawapannya, tidak kira di mana jua tempat yang anda nyatakan, asalkan ianya melibatkan suatu transaksi arak, maka ianya adalah haram. Walaupun di tempat anda bekerja ada dua cashier, anda beragama Islam dan seorang lagi bukan beragama Islam. Lalu seorang pelanggan datang membeli arak, dan urusan jual beli dilakukan oleh cashier yang bukan beragama Islam. Anda langsung tidak terlibat dengan urusan jual beli itu. Tetapi adakah itu beerti anda selamat daripada 10 golongan yang dinyatakan dalam hadis di atas? Adakah anda terlepas daripada golongan yang ke 8? Kalau ada dalil menyatakan anda terlepas dari golongan-golongan yang tersebut. Sila nyatakan pada saya. Saya juga mahu belajar. Sesugguhnya ini bukan perkara yang syubhah (kesamaran) tetapi telah jelas haramnya. Bertaubatlah dan tinggalkanlah pekerjaan-pekerjaan seperti ini. Allah itu Maha Pemurah dan Maha Kaya, terlalu banyak punca-punca rezeki halal yang Allah berikan, tetapi kenapa mesti kita mencari rezeki yang haram dan banyak keraguannya? Banyak lagi stesen minyak yang tidak menjual arak, jadi apa lagi alasan anda untuk terus berada disitu.
Sekarang, kita beralih pula kepada hukum bekerja di Pasaraya Besar, seperti Tesco misalnya. Baru sekejap tadi saya terima mesej melalui wechat dari seorang saudari ini yang mana lepasan SPM. Dia bertanyakan tentang hukum bekerja di Tesco kerana ada menjual arak.
Di sini saya harap para pembaca dapat faham betul-betul apa yang cuba saya sampaikan. Secara umumnya, di mana-mana cawangan Tesco dan pasaraya besar ada menjual arak. Walaubagaimanapun, dalam konteks 10 golongan yang disebutkan dalam hadis di atas, ada kelepasan kepada mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, juru teknik, promoter baju, makanan halal dan alatan-alatan permainan serta lain-lain pekerjaan selain daripada yang terlibat dalam pembelian dan penjualan arak.
Kebiasaannya di mana-mana pasaraya besar, mereka menyediakan suatu ruangan khas bagi menempatkan minuman-minuman tidak halal ini pada suatu gerai, bilik atau sudut yang lain. Memang di kawasan itu adalah hanya untuk pembelian arak semata-mata dan sejenis dengannya. Di situ juga terdapat cashier (juruwang) serta ruangan khas untuk transaksi jual beli minuman-minuman keras ini. Jadi di pasaraya besar, mereka memisahkan ruang transaksi makanan halal dan haram. Dalam konteks ini, sesiapa yang bekerja sebagai cashier di ruang transaksi makanan halal adalah HALAL pekerjaannya. Namun, bagi orang Islam yang bekerja sebagai cashier di ruang jualan minuman dan makanan haram dalah HARAM hukumnya. Jelas?
Baiklah, di pasaraya besar, jenis pekerjaan dan keperluannya terlalu banyak, maka, kita tidak boleh terus menghukum mereka yang bekerja sebagai promoter adalah makan gaji haram, kita juga tidak boleh menghukum dan terus melabel mereka yang bekerja sebagai juru teknik elektrik adalah haram. Kerana pekerjaan ini melibatkan suatu kepentingan yang lebih besar untuk perkara yang baik dan bukannya untuk jualan arak tersebut. Mereka juga tidak mendapat hasil daripada arak. Maka, mereka tidak tergolong dalam golongan yang dilaknat Allah. Kecuali pengawal keselamatan yang menjaga keluar dan masuk arak ke dalam pasaraya, maka pekerjaan ini adalah tergolong dalam golongan yang membantu dalam pejualan arak dan menanggung dosa yang sama seperti si peminum arak. Pun begitu ada juga pendapat yang menyatakan kalau bekerja dalam pasaraya besar yang ada menjual arak, walaupun kita tidak terlibat secara langsung dalam penjualan tersebut, gaji yang diperoleh tetap termasuk dalam bab syubah (kesamaran) antara halal dan haram sebabnya barangkali wang jualan arak itu sendiri telah dipusing menjadi duit gaji pekerja.
Dan pembaca juga harus ingat, sekiranya di pasaraya tersebut, tidak memisahkan ruang transaksi jual beli arak dengan ruang transaksi jual beli barangan lain di suatu gerai yang lain, maka hukumnya sama seperti bekerja di 7 Eleven dan Stesen minyak yang ada menjual arak. Hukumnya tetap haram.
Kesimpulannya, selaku orang yang beragama Islam, kita tidak boleh sama sekali memandang remeh perkara halal dan haram ini. Dalam hati manusia ini ada seketul daging, kalau baik dagingnya, maka baiklah jiwanya, kalau buruk dagingnya, maka rosaklah jiwanya. Saya sendiri sebelum ini pernah memohon pekerjaan sambilan di pasaraya besar. Hampir sebulan bekerja dengan baik di ruangan alat tulis, akhirnya terpaksa menolak perkerjaan tersebut selepas majikan mengarahkan saya untuk dipindahkan ke ruangan yang lain dan gaji saya dinaikkan dua kali ganda. Rupa-rupanya saya perlu mengangkat kotak berisi arak ke ruangan minuman keras. Walaupun cuma kerja mengangkat kotak, tak tenang hati ini. Terpaksa menolak sepenuhnya pekerjaan tersebut dan tidak mengambil apa-apa upah kerana khuatir membawa pulang wang haram.
Nasihat saya kepada yang ingin mendapatkan kerja, pertamanya cubalah sehabis daya mencari kerja di tempat yang langsung tiada hubung kait dengan arak atau penjualan produk yang tidak halal. Bila tidak diterima bekerja atau memang tiada sangat kerja di tempat yang tersebut. Barulah beralih ke pasaraya seperti Tesco. Itupun pastikan kerja di ruangan yang halal dan anda tidak terlibat langsung dengan aktiviti di bahagian minuman keras. Walaupun kerjanya cuma perlu sapu sampah di bilik minuman keras. Sila elakkan.
Sahabat pembaca, Islam ini agamanya sangat suci dan murni, janganlah kita mensia siakan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita sebagai insan yang bergelar Islam. Mudah-mudahan, rezeki yang baik mengalir dalam tubuh kita, keluarga dan anak2 kita insyaAllah.
Yang halal itu sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas; dan di antara keduanya ada hal-hal yang musytabihat (syubhat, samar-samar, tidak jelas halal haramnya), kebanyakan manusia tidak mengetahui hukumnya. Barangsiapa hati-hati dari perkara syubhat, sungguh ia telah menyelamatkan agama dan harga dirinya (H.R. Muslim)
Tinggalkan sebarang komen untuk rujukan saya.
Sekian.
Wallahualam Bissawab
AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
Read More...
 |
| Allah sebaik-baik penghibur |
Bismillahirrahmanirrahim...
Sudah masuk tahun baru, dua kosong satu empat. Geng geng bulatan gembira mesti tertanya-tanya apa kes inche' Asyraf tiba-tiba buang tebiat update artikel di tahun baru dengan tajuk yang mencemaskan sebegini. Yalah, sakit-sakit hati bagai. Dah macam orang putus cinta!
Sebenarnya, artikel ini ditulis pun untuk memenuhi beberapa permintaan rakan pembaca yang berkali-kali e-mail Asyraf sebelum ini minta tips bagaimana untuk tenangkan hati mereka yang sakit dan kecewa. Bermacam sebablah sakit hati tu kan, ada yang kecewa sebab keputusan exam tak bagus, ada yang sakit hati dengan sikap kawan dan banyaknya sakit hati sebab masalah cinta. Betul?
Baiklah, dalam dunia ini, tiada siapa pun yang mahu merasa kecewa dan terluka. Apatah lagi menjadi lemah akibat daripada permainan perasaan. Rasa lemah dan tidak tenang ini akan membuatkan air mata seolah mahu menitis setiap waktu. Bila mata kita asyik bocor, kita dengan automatiknya jadi hilang keyakinan diri. Tak mahu bersemuka dengan orang. Terasa seolah diri tak berguna sangat. Rasa macam tak siapa pun mahu hargai kita lagi. Kan?
Pendek kata banyak perkara yang membuatkan hati kita menjadi remuk rendam dan membuatkan kita merasa lemah.
Selalu juga saya jumpa nasihat-nasihat di laman sosial yang mengatakan jikalau sedih kita mesti berpura-pura gembira! Kononnya itu membuatkan kita dapat mengelak daripada kelihatan lemah. Kita perlu berpura–pura kuat. Kita mesti tersenyum, tetapi dalam hati siapa yang tahu betapa peritnya hati kita. Dan sampai bila kita harus berpura–pura? Saya rasa kalau kita terus berpura-pura, lagi bertambah sakit hati adalah kan sebab tak ada langsung usaha untuk ubatkan hati tersebut. Orang sekeliling kita pun akan buat tak tahu dengan kita sebab tengok kita okay je. Eh, apa pun hipokritnya rasa kalau nak kena senyum time sakit hati dan kecewa! Tak gitu?
Apa ubat untuk hilangkan rasa sakit hati, kecewa dan tidak tenang?

Saya juga manusia seperti anda, pernah lalui beberapa pengalaman pahit dan mana tahu barangkali pengalaman kita pun hampir sama. Tatkala hati pedih terluka, kecewa, dihina, tidak tenang dan sebagainya, saya cuba ubatkan diri dengan amalan-amalan yang saya kongsikan di bawah. Besar harapan saya agar tips ini sedikit sebanyak membantu mengembalikan rasa tenang, lega dan buat anda kembali bersemangat semula untuk teruskan hidup.
1. Membaca Surah Yassin
Kebiasaan bagi kita bila putus cinta (ehem..), sedih, kecewa atau berhadapan dengan apa jua masalah, laman sosial jadi tempat bercerita dan mengadu nasib. Kita seolah rasa puas hanya dengan membaca maklum balas dan mendapat kata simpati dari komen rakan di facebook dan Twitter. Tetapi rasa puas hati itu hilang sebaik sahaja anda log keluar laman sosial tadi. Maka bermulalah adegan duduk sendirian di bilik, menangis atau mula mengutuk diri sendiri.
"Aku ni tak guna, tak guna!" Fiuhh..
Sebenarnya perlu kita akui, mungkin selama ini saya dan anda kurang membaca Al–Quran atau jarang sekali membuka kitab suci ini. Al-Quran dan surah Yassin tersusun rapi di rak-rak tanpa disentuh. Adapun pernah kita ambil untuk baca sebulan sekali atau tidak pernah baca langsung. Hmm... Barangkali ini menjadi salah satu sebab utama kenapa kita mudah untuk terganggu dan merasa tidak tenang. Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk kita kembali hidupkan amalan ini.
Sewaktu saya sedang mengalami “keserabutan” dulu pun, saya amalkan membaca surah Yassin setiap kali selesai solat. Eh, maksud saya tidaklah setiap waktu solat fardhu mahu dibaca. Ikutlah kemampuan anda. Mungkin setiap kali selepas solat Maghrib anda luangkan sedikit waktu untuk membacanya.
Alhamdulillah, setiap kali usai membaca Yassin, saya akan merasa lebih tenang dan sangat tenang. Entahlah. Time baca surah Yassin, serious ada waktu kita akan jadi sebak dengan tiba-tiba. Yalah, barangkali komunikasi kita dengan Allah waktu kita ada masalah ni lebih fokus. Rasa tempat kita sebagai hamba tu lebih jelas. Apa pun memang surah ini mempunyai aura yang mampu menenangkan hati.
Setelah selesai membaca Surah Yassin, anda bolehlah beransur menambah bacaan dengan membaca surah–surah yang lain. Sangat menenangkan hati. In Shaa Allah.
Bagaimana bagi wanita yang sedang haid? Tiada halangan untuk anda menenangkan hati dengan bantuan Al-Quran. Dengarlah bacaan surah ini melalui mp3, etc.. okay? Kalau susah sangat buka Surah.my Asyraf selalu dengar bacaan Al-Quran kat laman web ni. Memang best.
2. Solat Sunat Tahajjud
Bangunlah melakukan solat malam iaitu solat sunat Tahajjud. Tujuan solat Tahajjud adalah untuk menguatkan jiwa dan mendapatkan ketenangan dalam menghadapi dugaan hidup. Amalan ini adalah antara amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah dan para sahabat.
"Usolli Sunnatal Tahajjud Rak’ataini Lilaahi Ta’ala, Allahu Akbar"
Maksudnya : Sahaja aku Solat Sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta’ala
Pada rakaat pertama bacalah Al-Fatihah Selepas itu surah Al-Kafirun & rakaat kedua bacalah Al-Fatihah, selepas itu diikuti surah Al-Ikhlas. Solat Tahajjud dilakukan tiada had rakaatnya, mengikut kesanggupan dan kemampuan, dengan setiap dua rakaat satu salam.
Jika dirasakan berat memadailah sekadar dua rakaat.
Selepas itu berdoalah. Berdoalah apa sahaja. Adukan masalah kita direct kepada Allah. Mintalah ketenangan hati. Solat tengah malam ni bagi saya sangat kool dan orang yang tengah sakit hati, sedih, semua ni patut dan perlu buat.
Eh, apa pun suka saya ingatkan yang solat sunat Tahajjud ni sebaiknya kena tidur dulu. Alah, tidur dalam sejam atau dua jam. Pukul satu atau dua pagi bangunlah. Ambil whuduk dan solat.
Err.. susah nak bangun dah kalau tidur? Okay ni sedikit tips supaya mudah nak bangun.
- Berwudhuk sebelum tidur
- Baca surah Al Mulk atleast 10 ayat (paling malas la tu..)
- Baca doa sebelum tidur dan niat dalam hati “Ya Allah, aku memohon kepada Mu supaya bangunkan aku pada waktu paling afdhal untuk berdoa pada Mu"
- Kunci jam (actually kalau dah buat 3 benda kat atas ni, anda tak kunci jam pun selalunya automatik terjaga. Magic uollssss.. Tapi kalau nak selamat kunci jam. hehe..)
3. Banyakkan Istighfar Dan Berzikir
- La haula wala quwwata illa billah
Tiada daya upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah
- Hasbunallaah wa ni’mal wakiil
Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baiknya Pelindung.
Harus diingat, zikir bukan sahaja di mulut tetapi harus sampai masuk ke hati. Cemana nak buat bagi masuk dalam hati? Kena buat selalu, belajar ikhlas. Kalau zikir pun macam terpaksa. Confirm tak effect hati.
4. Elakkan Mendengar Lagu Bertema Kecewa – Kekecewaan
Ini penting kepada mereka yang baru sahaja mengalami putus cinta atau tunang, sila hindari dari suasana yang boleh membuatkan anda sebak. Elakkan mendengar lagu yang bertemakan putus cinta & kecewa. Lagu-lagu jiwang semua tu tak bagus time macam ni. Tambahan pula kalau lagu tu macam ada kaitan dengan kisah cinta anda tuu... ia sangatlah tak bagus.
Kita ingin menenangkan hati, bukan ingin menyesakkan hati kan? Jangan menabur garam diatas luka kerana ianya pedih. Biarlah dahulu luka itu sembuh. Elakkan duduk sendirian di bilik. Sibukkan diri dengan kerja lain yang buat kita lupa seketika masalah yang menyakitkan hati.
5. Sentiasalah mengingati Allah
Ini yang paling penting sekali. Sentiasa mengingati Allah. Yakinlah dengan sepenuh hati bahawa Allah maha mengetahui dan sentiasa bersama kita walaupun apa pun.
Apa yang membuat kita sedih, Allah lebih Maha Kuasa Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kita. Yakinlah kesedihan dan rasa tidak tenang yang Allah beri itu adalah agar kita kembali mengingatiNya. Kadang-kadang mungkin selama ini kita jauh menyimpang. Anggap rasa sakit hati dan kecewa ini teguran Allah Taa'la untuk kita supaya selalu dekat denganNya.
He loves you no matter what.
“Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.” ( QS Ar Ra’d : 28 )
“Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” ( QS.At -Taubah : 40 )
Apa pun yang penting dalam diri kita ialah sentiasa ingat tujuan utama hidup adalah untuk mencari redha Allah SWT. Esok-esok kita nak balik ke tempat asal kembali. Apa-apa dugaan yang buat kita sedih sekarang ini boleh jadi peneman kita.
"Hidup ni kalau happy setiap masa pun bosan jugak, sekali-sekali kena ada sedih duka."
Tinggalkan sebarang komen, perkongsian tambahan tips ubatkan hati dalam ruangan komen di bawah untuk rujukan semua pembaca termasuk saya sendiri. Mudah-mudahan kita terus menjadi hamba Allah yang hebat. In Shaa Allah.
Wallahualam Bissawab
AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
Read More...