Terima Kasih Cik Nurris | The Hearabouts

Friday, 20 June 2014

Terima Kasih Cik Nurris

“,….kesenangan dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa, dan kamu tidak akan di aniaya sedikitpun” An Nisaa':77
         "Sebenarnya saya ada benda nak bagi pada Asyraf." 

Cik Nurris bersuara sambil tangannya sibuk mencari sesuatu di dalam beg. Aku dan rakan yang lain saling berpandangan. Pelik.

Sangkaan buruk aku tentang pertemuan kami pagi itu di fakulti bersama Cik Nurris nyata berbeza. Ceritanya, semalam. Selepas aku terima SMS daripada rakan sekelas yang maklumkan tentang hasrat Cik Nurris mahu bertemu aku di fakulti pagi keesokannya sedikit sebanyak telah membuatkan aku resah. Tidak lena jugalah memikirkan apa salah aku sehinggakan Cik Nurris mahu berjumpa. Pelbagai teori aku cuba cipta semata mahu mendapat jawapan. Namun sedikit pun tidak berhasil untuk tenangkan hati. Doa tu tak tahu nak cakaplah, setiap minit minta dipermudahkan segala. Siap telefon mak lagi. haha.

Namun, setibanya di fakulti pagi itu. Aku nampak wajah Cik Nurris sangat menenangkan. Ada satu rasa yang lain. Tidak seperti selalu. 
       "Ramadhan pun sudah dekat, saya faham kamu."
       "Nah... ambil ni.."

Perlahan tangan Cik Nurris menghulurkan satu bungkusan tebal dalam sampul UiTM. Entah apa isinya. Ya. tebal, macam buku. 

      "Erm... Ada apa ini cik?" Perlahan aku bersuara sambil membelek-belek bungkusan tersebut. Nyata tidak faham.

Cik Nurris menarik nafas panjang. Aku dan lain-lain hanya memerhati. Menanti penjelasan. Mahu buka bungkusan tersebut terus pun nampak kurang beradab pula. Memang berdebar-debar. 

      "Duit ya cik Nurris???" Hurraini tiba-tiba mencelah.

Situasi ketika itu gamat seketika dengan gurau senda. Cik Nurris sendiri pun tidak dapat menahan tawa. Hurraini sentiasa menceriakan keadaan.

     "Saya bukan orang kaya nak bagi duit. hehe. Tapi adalah sikit." Balas Cik Nurris ringkas sambil ketawa. 

     "Asyraf... kamu baru kehilangan ayah kan? maaf saya tak sempat luangkan masa untuk berbual dengan kamu sebelum ini. Saya dapat rasa apa yang kamu rasa sekarang ni. Saya faham." Sambung Cik Nurris.

    "...dalam bungkusan itu ada sedikit hadiah daripada saya. Ambillah. Tak banyak saya boleh bagi. Anggap ini hadiah ikhlas sempena Ramadhan yang akan datang tak lama lagi."

Saat itu aku hanya mampu tunduk mendengar penjelasan Cik Nurris satu persatu. Nyata sejak pemergian arwah abah, aku tidak pernah keseorangan. Setiap hari Allah hantar orang yang baik-baik bersamaku. Alhamdulillah.

     "Saya doakan kamu jadi anak lelaki yang baik. Anak yang soleh. Ingat, Asyraf. Tanggungjawab kamu besar. Mana-mana anak yang berkeinginan untuk masuk ke Syurga, mestilah anak yang mendoakan ibu bapanya masuk Syurga juga." Suara Cik Nurris makin perlahan. Sebak.

Suasana ceria tadi bertukar lain. Sedih. Intan, Hurraini, Syahira turut diam. Tujuan utama mereka ikut serta untuk bertemu Cik Nurris adalah semata mahu bertanya tentang tugasan berkumpulan. Namun, pertemuan itu beri makna yang berbeza buat kami.

       "Saya tahu kamu sedih, jadikan semua ini semangat untuk kamu lebih berjaya. Sentiasa doakan arwah tenang di sana. Doakan kedua ibu ayah kamu ditempatkan ke Syurga."

"Ya Allah, dengan rahmatMu, Engkau izinkanlah, Engkau tempatkanlah ayahku, dan ibuku di SyurgaMu. Mudah-mudahan kami semua dapat bersama kelak di sana." Cik Nurris mengajarkan doa ringkas.

Bagai diragut jantung, air mata tiba-tiba sahaja bergenang di kelopak mata. Wajah Cik Nurris aku pandang penuh penghargaan. Mulianya dia. Terima kasih Allah. Hari Jumaat yang sangat indah. Pasti aku hargai dan kenang pemberian ini sampai bila-bila pun.

Lama kami berbual. Cik Nurris terus memberi kata semangat. Timbul rasa terharu. Benar kata arwah abah,

"Angah... kalau angah susah macam mana pun. Angah mesti sabar dan tenang. Jangan aniaya orang. Jadi hamba Allah yang baik. Pasti satu hari nanti, dalam tak sedar, Allah akan gerakkan hati-hati manusia di sekeliling angah, untuk gembirakan angah dan ada juga yang akan mudahkan urusan angah. Yakin." 

Aku berpegang pada pesan arwah sehingga sekarang. Terlalu banyak bukti kasih sayang Allah. Mak sendiri ada berpesan,

"Siapa pun kita, ingat Allah itu selalu ada. Kadang-kadang kita rasa kita tak mampu untuk hadapi satu-satu waktu yang penuh dengan dugaan berat daripadaNya. Tapi Allah Maha Mengetahui. Dia hantar ujian, sebab Dia tahu kita mampu."

Selesai berbual, Cik Nurris mohon izin untuk berlalu pergi. Katanya banyak lagi urusan yang perlu diselesaikan. Saat dia bangun meninggalkan aku dan rakan-rakan di kerusi. Hanya doa dan rasa syukur pada Allah mampu dibisikkan dalam hati. Mudah-mudahan Cik Nurris berada di bawah perlindunganNya sentiasa. Aamiin.

Aku buka bungkusan hadiah daripada cik Nurris. Isinya sebuah Al-Quran baru dan wang kertas RM100 diselitkan bersama. Ya Allah, hadiah berharga untuk Ramadhan ini. Terima Kasih Cik Nurris. Tak terbalas jasa. Semoga dimurahkan rezeki dan diberkati Allah hendakNya.


Terima Kasih Cik Nurris


Abah...
Walaupun Allah sudah jemput abah pulang,
Tinggalkan anak-anak dan isteri,
Tapi.. abah jangan risau ya,
Allah hantar ramai orang untuk jaga anak-anak abah,
Angah tak lupa untuk kirimkan abah hadiah.
Ramadhan ini pasti berbeza.
Angah sudah redha dengan ketentuanNya.
Tapi masih perlu waktu untuk belajar biasakan diri.

Al-Fatihah buat abah.

Semoga tenang di sana.
 
Al-Fatihah
Khalib Zakaria
(1964-2014)
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah di sempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan kedalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan” (Ali Imraan:185)




"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you

4 comments:

  1. whoa.. subhanallah.. Allah hantar Cik Nurris utk ubati kedukaan acap.. tabahkan hati awk acap... manfaatkan sebaiknya hadiah tu tau =D

    ReplyDelete
  2. Slm dari CFSIIUM, PJ :)
    Blog Brother Asyraf sllu buat sy sedih.. insaf.. thanks a lot and keep on.
    Sy doakan Brother Asyraf terus bjya dlm khdupn, terus bhgia.. smoga Allah mmpmudahkn sgala urusan Brother..

    ReplyDelete
  3. I really want to know you closer.

    ReplyDelete
  4. abah dengan mak awak mesti bangga dengan anak mcm awak kan ? as a son, you should make them proud too . jangan lupa doakan diorg setiap habis solat, insha Allah, tenang dan sejuk hati parents awak. setiap yg datang pasti akan pergi, dan yg pergi Allah akan ganti yg lain so awak x kan rasa sunyi. okay ? jadi anak yg soleh dan pelajar cemerlang. itu ayat ayah saya setiap kali saya pergi sekolah, masuk asrama dan masuk university. thanks for sharing your life story, it's really help me a lot :)

    ReplyDelete

Jangan lupa tinggalkan sebarang komen atau pendapat anda untuk rujukan penulis. Dahulukan akhlak. Terima Kasih.