"Kita ini nak masuk syurga sebenarnya dengan rahmat Allah. Dengan kasih sayang Allah. Kalau diikutkan, amalan kita tidak akan pernah cukup untuk masuk syurga. Tetapi melalui amalan kitalah kita beroleh rahmat Allah."
Bismillahirrahmanirrahim...
Artikel kali ini Asyraf akan kembali fokus kepada isu Solat. Topik yang akan dibincangkan ialah berkenaan dengan Qada' Solat atau Ganti Solat.
Qada' menurut bahasa ialah menunaikan dan membayar. Menurut istilah pula ialah menunaikan ibadat di luar waktunya atau masih di dalam waktunya.
Bagi anda yang tidak pernah tinggal solat, Alhamdulillah, anda sangat hebat. Mungkin ada antara kita yang akan tanya.
"Macam mana kau boleh tinggal solat? Kan wajib tu.."
Biasalah manusia, ada masa lalu yang masing-masing sendiri malu untuk difikirkan. Zaman jahiliyah yang hitam. Bagi Asyraf, masalah tinggal solat ini merupakan masalah yang sangat-sangat besar dan perlu diambil berat oleh semua orang. Sementara masih di peringkat awal ini. Ada baiknya lekas kita kembali pada Allah Taa'la.
"Hukuman bagi mereka yang meninggalkan solat?"
Meninggalkan solat itu satu dosa besar. Kalau dalam hudud, orang yang meninggalkan solat secara sengaja adalah satu jenayah yang berat. Apakah hukuman bagi orang tinggal solat dalam hukum hudud? Kalau nak tahu, hukumannya ialah hukum BUNUH. Hukum bunuh dijatuhkan kepada orang yang ingkar dan lalai dalam solatnya.
Kalau ikut Imam Ahmad, hukuman mati terus dijatuhkan kerana kufur.
Tetapi, mengikut Fuqaha' Mazhab Maliki dan Syafie menetapkan, orang yang meninggalkan solat diberi peluang untuk bertaubat selama 3 hari. Sekiranya tidak mahu, hendaklah dihukum bunuh (potong kepala). Hukum bunuh ini sebagai hukuman had (hudud) bukan disebabkan kafir.
Manakala menurut Fuqaha' Mazhab Hanafi, orang yang meninggalkan solat perlu dipenjara dan disebat dengan kuat sehingga dia menunaikan solat dan bertaubat. Jika tidak, dia perlu dipenjarakan hingga mati.
Jadi jelas disini bahawa orang-orang yang meninggalkan solat fardhu telah melakukan jenayah besar pada diri dan agamanya. Kalau jenayah mencuri pun hanya dipotong tangan. Tetapi solat hukumnya berat, dipotong kepala (bunuh).
"Adakah wajib Qada/ganti solat yang telah ditinggalkan?"
Ya, mereka yang meninggalkan solat sama ada sengaja atau tidak, diwajibkan mengqada'kan solat itu di luar waktunya. Meninggalkan solat tanpa uzur yang syarie' dianggap berdosa. Uzur yang dibenarkan ialah dua perkara iaitu terlupa dan tertidur.
Mereka yang meninggalkannya sama ada terlupa atau tertidur atau sengaja, wajib bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat yang bersungguh-sungguh. Taubat tidak akan diterima selagi tidak memenuhi syarat-syarat taubat iaitu, tidak lagi meninggalkan solat dalam keadaan bagaimana sekalipun, menyesal di atas segala perbuatan maksiat khususnya solat yang ditinggalkan dan berazam tidak akan mengulangi semua keburukan pada masa akan datang. Wajib ke atasnya mengqada' semula solat-solat yang telah ditinggalkan.
Solat yang ditinggalkan bermula kita akil baligh sehingga sekarang dikira sebagai hutang kita kepada Allah Taa'la. Maka wajib dibayar semula hutang-hutang tersebut sebelum menemui ajal.
"Saya sudah lama tinggal solat, saya tak ingat berapa banyak solat yang saya tinggal sebelum ini. Adakah wajib ganti semuanya dan macam mana nak ganti semua solat itu?"
Jawapannya, wajib qada' solat yang telah tertinggal itu walaupun sudah lama. Kalau anda tinggal solat selama 40 tahun sekalipun, maka wajib qada' semua solat yang ditinggalkan dalam tempoh 40 tahun tersebut.
Sebenarnya ada dua cara untuk qada' solat, pertama jika anda tahu sebanyak mana bilangan solat yang telah ditinggalkan sebelum ini, maka qadakanlah mengikut bilangan yang telah ditinggalkan itu.
Cara kedua adalah bagi mereka yang tidak tahu dan tidak ingat lagi berapa banyak solat yang telah ditinggalkannya, yakni semenjak akil baligh, maka buatlah anggaran berapa banyak solat yang perlu diqada. Kemudian qadakanlah solat itu selagi boleh dan berhentilah jika anda sudah yakin solat itu sudah selesai diqada kesemuanya. Cara yang terbaik adalah selepas setiap kali selesai solat fardhu, maka lakukan solat qada, buatlah berterusan begitu dan berdoa moga-moga diterima Allah.
Selain itu anda boleh kira guna kalkulator atau aplikasi di telefon bimbit. Setahu saya ada apps Android (advanced tally counter). Ia memudahkan anda untuk mengira kembali waktu solat yang perlu diqadha.
Saya beri contoh solat yang ditinggalkan selama hampir 21 tahun. Ini bermakna ada 38000 waktu solat untuk diqadhakan. Ini mengambil kira 5 waktu solat x 21 tahun x 365hari.
"Bagaimana cara untuk niat Solat Qada?"
1. Solat Maghrib:
"Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala"
2. Solat Isyak:
"Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala"
3. Solat Subuh:
"Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta'ala"
4. Solat Zuhur:
"Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta'ala"
5. Solat Asar:
"Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta'ala"
"Bilakah waktu yang sesuai untuk Qada solat?"
Sebaik sahaja seseorang itu tersedar daripada lupa atau tidur, maka hendaklah dia tunaikan solat tersebut dengan segera. Begitu juga mengikut jumhur ulama yang mengatakan wajib bagi Muslim mengqada solat yang ditinggalkan dengan sengaja, maka perlu disegerakan qadanya sebaik sahaja dia sedar dan bertaubat.
Waktu solat Qada ini tidak terbatas. Boleh dilakukan bila-bila masa walaupun diluar waktu solat tersebut. Contohnya anda tinggal solat Asar, boleh Qada solat Asar tersebut dalam waktu solat Isyak atau waktu-waktu yang lain.
"Andai kata saya meninggal dunia dan belum sempat habis Qada Solat-solat yang ditinggalkan bagaimana?"
Dalam hal ini, semuanya berbalik kepada Allah Taa'la. Sekiranya kita dijemput kembali lebih awal tetapi kita sudahpun bertaubat. Kita sudah cuba sehabis daya untuk menggantikan solat-solat yang ditinggalkan, InsyaAllah dosa-dosa kita diampunkan Allah. Sebab itu perlunya taubat yang bersungguh-sungguh. Perlunya kerap berdoa memohon keampunan Allah Taa'la dan berdoa agar diterima taubat juga segala amal ibadat kita selama mana hidup di dunia.
Kesimpulannya, adalah wajib bagi saya, bagi anda, dan bagi kita semua untuk qada' atau menggantikan semula solat-solat yang telah ditinggalkan oleh kita sebelum ini. Tiada alasan untuk tidak ambil tahu. Suka saya ingatkan sekali lagi bahawa qada solat fardhu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja tiada waktu larangan padanya. Maka segera ganti solat bila ada kelapangan. Jangan tangguh. Masih ada kesempatan.
Tinggalkan sebarang komen, pendapat, cadangan atau perkongsian tambahan di ruangan komen untuk rujukan saya. Kesudian anda berkunjung ke sini saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. Semoga ilmu ini Allah redha dan diberkatiNya.
http://www.sinarharian.com.my/rencana/tiada-istilah-qada-solat-1.38081
http://soalsolatumum.blogspot.com/2009/01/hadis-azab-meninggalkan-solat.html
http://masjidwilayah.gov.my/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=308:balasan-meninggalkan-solat-lima-waktu&catid=55:ilmiah&Itemid=132
http://insafislam.blogspot.com/2012/03/niat-dan-cara-qadakan-solat-fardhu-5.html
http://jomfaham.blogspot.com/2009/02/hukum-qadha-solat-bacaan-tambahan.html
http://www.slideshare.net/zanshah08/panduan-solatbagipesakitdarijakim
http://www.panduanmalaysia.com/2015/04/hukum-meninggalkan-solat-kerana-malas.html#axzz3j36qFqHJ
AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.