Bila nak berubah? - I | The Hearabouts

Tuesday, 10 December 2013

Bila nak berubah? - I

"...And even if we feel like we don't have anyone in this world to lean on,
there is always Allah s.w.t; who would never leave us alone."
Bismillahirrahmanirrahim...

***
Malam itu Aiman duduk menghadap komputer riba. Tingkap bilik sengaja di buka luas. Angin malam menderu masuk menghembus muka. Selesa. Sejuk angin malam ini. Yalah, petang tadi hujan lebat. Laman sosial miliknya di log masuk. Facebook, Twitter, blog semua diperiksa. Mana tahu kalau-kalau ada berita baru. 'Huh, bosan.' Dalam hati, Aiman merungut sendiri.

Teringat pesan Izwan siang tadi,

"Bila nak berubah? Cepatlah, nanti takut tak sempat..."

"Tak sempat apa kau ni? Bagi aku masa.. aku perlukan masa." Jawab Aiman malas.

Izwan seolah akur. Dia diam. Terus tunduk memandang meja. Sesekali ada juga dia mencuri pandang wajah Aiman. Izwan tahu Aiman tidak suka kalau dia ditegur. Izwan menyambung bicara.

"Tapi Man... aku senang hati kalau dapat tengok kau berubah. Dua bulan lepas kau janji dengan aku kau nak berubah. Tapi sampai sekarang....."

Belum sempat Izwan menghabiskan bicaranya, Aiman terus memotong dengan nada suara yang agak tinggi.

"Sampai sekarang apa??? Sekarang aku munafik? Depan baik, belakang macam Syaitan? Sudahlah Wan. Aku pun dah naik rimas dengan kau. Aku dah tak tahu nak berubah macam mana lagi!" 

Dengus nafas Aiman kuat kedengaran. Menahan marah. Nyata dia benar-benar tidak selesa dengan teguran itu. Rasa seolah diperkecilkan oleh Izwan. Bukan dia tidak berusaha. Selalu sahaja berusaha. Tetapi belum ada hasil. 'Mana boleh berubah begitu cepat. Takkan itupun Izwan tidak tahu!' Rungut Aiman sendiri.

"Aiman, aku minta maaf. Tak ada niat pun nak kecilkan hati kau. Aku sayang kau Man.. Kalau boleh aku nak kita sama-sama berjaya. Lagipun aku yakin kau kuat. Kau sebenarnya lebih baik dari aku. Aku tak pandai berdakwah. Tapi kau ada bakat Man..." Izwan cuba memujuk. 

Aiman hanya mendiamkan diri. Marahnya pada Izwan belum hilang. Tidak sangka Izwan mengungkit lagi hal lama. Biarlah dia dengan caranya. Kenapa Izwan perlu sibuk. Izwan sendiri pun tidak baik mana. Menyampah!

Aiman tahu, keluarga Izwan memang terdidik dengan hal-hal keagamaan. Sangat hebat. Tidak seperti keluarganya yang masih huru-hara. Ibu Izwan, Puan Fatimah. Dia ustazah di sekolah rendah. Ayah Izwan iaitu Encik Mazlan pula orang kuat di masjid. Tidak sah kalau solat berjemaah tidak nampak Encik Mazlan di saf paling hadapan. Tetapi Aiman kenal Izwan, dia sendiri pun bukanlah baik mana. Sudah lama berkawan. Sejak sekolah rendah lagi. Cuma akhir-akhir ini Izwan jauh berubah. Barangkali pengaruh rakan lain di universiti.

"Dulu kau pun nakal juga Wan, tapi sejak kau masuk universiti, kau dah macam pendakwah tak berdaftar pula. Kenapa kau berubah? Takkan sebab girlfriend kot!" Soalan ini terpacul keluar tatkala marah Aiman mulai reda.

Kali ini Izwan pula yang terdiam. Dia mula menarik nafas panjang berulang kali. Entah apa yang difikirkannya. Aiman sabar menanti jawapan balas dari Izwan. Aiman harap Izwan lebih bersikap terbuka.

"Entahlah... Aku.. Aku takut tak sempat..." Ayat Izwan terhenti. 

Suaranya seolah tersekat di kerongkong. Tangan kanan lekas mengusap dada. Sebak. Ada sesuatu yang tidak dapat dilepaskan. Aiman hanya memerhati gelagat Izwan. 

'Drama sangat...' Dalam hati, Aiman membuat kesimpulan sendiri.

Nyata dia bosan dengan Izwan. Langsung tidak dihiraukan kata-kata Izwan tadi. Mahu sahaja dia bangun tinggalkan Izwan di kafe sendiri. Tetapi tidak sanggup pula untuk memperlakukan Izwan sedemikian rupa. Yalah, kawan.

"Kau dari tadi asyik, tak sempat... tak sempat... Apa yang tak sempat? Kau dah nak mati? Baru umur 20 tahun. Panjang lagi masa! Lepaklah dulu." Aiman mula membidas.

Izwan terus diam. Entah bagaimana mahu dijelaskan pada Aiman supaya dia faham. Izwan hanya mahu yang terbaik untuk Aiman. Lagi pula sebelum ini dia pernah berjanji untuk lindungi Aiman. Aiman seolah adik kandungnya sendiri. Tahun ini umur Aiman sudah masuk 18 tahun. Masih muda. Tetapi sudah matang, malah boleh berfikir sendiri. Izwan lebih selesa menggunakan panggilan 'aku' dan 'kau' ketika berbual dengan Aiman. Pastinya itu membuatkan mereka berdua tambah akrab.  

Aiman merenung tajam ke arah Izwan. Dia masih menanti jawapan. Sebenarnya tidak mahu pun mendengar jawapan balas dari Aiman, bosan dengan bebelan sebegini. Tetapi apakan daya perlu juga pasang telinga. Nanti lain pula yang Izwan fikirkan. 

"Aiman, kau tahu apa yang aku maksudkan dengan tak sempat tadi?"

Tiba-tiba sahaja Izwan kembali bersuara. Renungan tajam Aiman tadi lekas dilemparkan ke suatu sudut lain. Malas benar untuk berinteraksi dengan Izwan. Aiman hanya menggeleng perlahan tanda tidak tahu. Ditariknya gelas Teh O' yang sudah cair aisnya. Straw disua perlahan ke bibir. Air teh disedut naik. 'Tawar dah air ni, macam muka kau Izwan!' dalam hati Aiman mengutuk.

"Tak sempat itu kadang-kadang bukan sebab kita yang nak mati, tetapi besar kemungkinan orang yang tegur dan nasihat kita yang akan pergi dulu." Izwan menyambung.

Aiman terkejut dengan kata-kata Izwan. Dia tidak dapat meneka apa yang Aiman cuba maksudkan. Ayatnya terlalu ringkas. Tidak jelas. Nama sahaja pelajar universiti. Tetapi satu ayat pun masih tergagap-gagap untuk dihabiskan. 

"Maksud kau apa, Wan?" Aiman nyata tidak sabar.

"Yalah, pernah kau fikir selama ini siapa yang sayang kau? Mak, ayah, kakak, adik dan abang kau. Kau yakin selamanya mereka akan ada bersama kau? Kau dah puas bahagiakan mak ayah? Mungkin kita boleh tipu mak ayah sekarang. Depan mereka kita jadi baik. Belakang mereka kita buat benda lain. Tapi nanti kalau mak ayah pergi. Tak sempat kau nak jelaskan semuanya. Kau sanggup?"

Bertubi-tubi soalan dilepaskan pada Aiman. Aiman terus tunduk. Pertanyaan Izwan bagai busur yang melepaskan anak panah tepat ke dadanya. Pedih!

Izwan lekas menyambung,

"Kau tanya aku tadi, kenapa aku berubah kan? Inilah jawapannya. Aku pernah disoal perkara yang sama. Sampai sekarang aku ingat soalan maut ni Man. Sakitnya bila fikir orang yang kita sayang selama ini tak sempat tengok kita berubah. Sakitnya hati aku Man, kalau mak ayah aku pergi tanpa sempat dengar penjelasan tentang segala penipuan yang aku sembunyikan selama ini. Sakitnya hati aku bila tak sempat buat mak ayah aku bahagia sebab aku. Kalau atas dunia mak ayah aku percaya aku baik. Akhirat nanti tak sanggup aku didakwa depan mak ayah semata ingin dilihat baik."

Aiman mengangguk perlahan. Dia masih tunduk dan mendiamkan diri. Hanya mampu memasang telinga mendengar penjelasan dari Izwan. Rasa berdosa mula timbul.

"Entahlah Man, aku cuma takut tak sempat. Hari ini mungkin kau boleh dengar teguran membosankan aku ini. Esok belum tentu. Hari ini mungkin kau boleh dengar bebelan mak di rumah, esok belum pasti. Mana tahu Allah jemput balik lebih awal. Sekejap lagi pun aku boleh mati. Sebab tu aku cakap, kadang-kadang tak sempat itu bukan sebab kita nak mati, tapi boleh jadi orang yang tegur kita yang akan pergi."

Izwan menghabiskan ayatnya. Wang kertas RM10 diselitkan rapi di bawah gelas minuman. Aiman hanya diam. Menyesal pun ada. Tetapi lidahnya kelu. Tidak dapat bersuara sepatah pun. Tiba-tiba sahaja Izwan bangun dari tempat duduk. Dihampirinya Aiman. Bahu Aiman ditepuk perlahan.

"Bila nak berubah?" Soalan itu sekali lagi ditanya. 

Namun kali ini nadanya lebih perlahan. Izwan nampak tenang. Dia berlalu meninggalkan Aiman sendiri di kafe. Sempat Aiman berpaling melihat Izwan pergi. Sahabatnya itu menghadiahkan senyuman manis. Aiman terdiam sendiri. Ternyata apa yang diperkatakan Izwan ada benarnya. 

"Abang Eman! Ustazah sekolah Ain suruh Ain beli buku Iqra'. Minggu depan Ain ada kelas mengaji! Macam best je, macam tak sabar je!" Lamunan panjang Aiman mati.

Terkejut dengan jeritan adik bongsunya, Ain. Lemah semangat Aiman. Memang suara Ain yang membuatkan rumahnya tidak pernah sunyi. 

'Nama aku Aiman, nama abang sendiri pun Ain sebut pun tak betul. Hish... Eman pula jadinya.' Aiman ketawa sendiri.

"Tak apa sayang, nanti besok kita ajak Ummi beli Iqra' ya. Nama abang Aimanlah, bukan Eman tahuuu! haha..." Pipi lembut adiknya dicubit perlahan.

Jari kecil Ain tangkas menepis tangan Aiman dan segera berlari keluar dari bilik tidur abangnya itu. Gembira. Dia nampak tidak sabar untuk belajar Iqra'. Terlompat-lompat girang. Baru empat tahun. Usia muda yang perlukan didikan sempurna. 

"Terima Kasih Izwan..." Aiman tersenyum sendiri.


Bersambung....

the One who gave us the brains, the profits, and the titles,
are actually the One who is always able to take them all back.








AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.

4 comments:

Jangan lupa tinggalkan sebarang komen atau pendapat anda untuk rujukan penulis. Dahulukan akhlak. Terima Kasih.