Mungkin Bukan Doa Kita Yang Makbul Sebenarnya... | The Hearabouts

Thursday, 21 November 2013

Mungkin Bukan Doa Kita Yang Makbul Sebenarnya...


Ting... ting... ting... ~
(Ketuk Botol)

Bismillahirrahmanirrahim.

Hai... anda sihat? Alhamdulillah... Artikel kali ni saya nak sembang dengan anda pasal Doa. Sebut je pasal doa, saya teringat satu kisah yang sangat-sangat memberikan kesan dalam kehidupan saya. Dulu cikgu-cikgu saya di sekolah, semenjak sekolah rendah sampai la sekolah menengah, sangat menerapkan doa dan saya rasa anda pun sama. Jadi, kita sudah dibiasakan dengan Solat Hajat, Solat Dhuha, Qiamullail, waktu-waktu doa yang mustajab seperti ketika hujan dan sebagainya agar kita rajin berdoa, dan agar doa kita makbul kan? Jadi, bila Allah anugerahkan kita satu-satu kejayaan, kita sentiasa rasa, itu sebab kita doa dengan bersungguh-sungguh! Namun satu hari saya terbaca sebuah cerita yang dikongsi Abang Hilal Asyraf dan cerita itu mengubah persepsi saya. Harini saya kongsi dengan anda pula.



***
 
Ceritanya begini, ada seorang abang dan seorang adik lelaki. Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba Allah yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan Allah SWT.
 
Si abang, saban hari berdoa agar Allah mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada Allah agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia juga meminta kepada Allah agar dirinya kaya raya.
 
Si Adik pula, seorang yang buta huruf. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.
 
Akhirnya, Allah mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengannya. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.
 
Si Abang akhirnya kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa dengan Allah, melewat-lewatkan solat, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada Allah. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada Allah tanpa henti. Dan ajaibnya, Allah beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia istimewa!
 
Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hanya mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik, juga rajin berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah. Lantas satu hari, ketika Si Abang menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong:
 
"Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je Allah makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat."
 
Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna. Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang.
 
Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-ngemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas usang penuh debu. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa.
 
Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.
 
 
Kertas usang itu tertulis doa ringkas: 

"Ya Allah, makbulkanlah segala doa abang aku"
 
MasyaAllah…
 
Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat kepada Allah dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan Allah SWT. Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada Allah, malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si Adik.
 
Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul. Tetapi doa adiknya telah diterima oleh Allah SWT, lantas segala doanya menjadi makbul.
 
 ***


Cerita ini meruntun hati saya, dan buat saya sentiasa berfikir panjang. Kadang-kadang kita, bila Allah realisasikan hajat kita, kita suka mengimbau usaha-usaha kita.

"Aku buat beginilah yang jadi begini."

"Doa aku makbul seh!"

"Aku ni memang Allah sayang. Tengok, semua benda Allah bagi. 
Aku minta je pun."

Tanpa sedar kita bongkak. Takabbur. Astaghfirullah.
 
Sedangkan, kita tak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa kita.
 
Sekali lagi saya cakap, cerita itu sangat menyentuh hati saya.
 
Membuatkan setiap kali saya berdoa, saya tidak lupa mendoakan ibu bapa saya, guru-guru saya, keluarga saya, adik beradik saya, sahabat-sahabat karib saya, yang teramat akrab saya sebutkan namanya agar lebih merasai bahawa saya memerlukan mereka mendoakan saya juga. Kita ini banyak dosa. Banyak hijab.
 
Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya yang makbul, menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Sebab itu jangan berlagak. Jangan tinggi diri. Jangan rasa doa kitalah yang makbul. Pulangkan semuanya kepada Allah. Doa itu sebahagian daripada usaha sahaja sebenarnya.
 
Dan jangan rasa segan nak minta orang lain doakan kita.

Mudahan-mudahan artikel kali ini mengingatkan saya dan rakan pembaca untuk saling mendoakan. Terima kasih sudi luangkan masa disini. Semoga Allah redha dengan tulisan ini.

Saya harap ada yang sudi tinggalkan sebarang komen, pendapat, atau perkongsian tambahan anda di bawah. InsyaAllah saya sentiasa jadikan rujukan. Terima Kasih banyak.

Sekian, Wallahualam Bissawab.




AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.

11 comments:

  1. tulisan allah bukan ke tidak boleh dijadikan lembaga??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih tegur, saya kurang periksa. Dengan segera saya keluarkan gambar tulisan khat bentuk manusia dari artikel ini. Jazakallah.

      Delete
  2. Saya Suka~ Suka cerita ni.. X pernah dengar pon!! Thanks sbb kongsi cerita ni..

    ReplyDelete
  3. Allah.Menarik cerita ni.thanks atas perkongsiannya. :)

    ReplyDelete
  4. sangat tersentuh.. tapi dalam doa kita, kita juga perlu doa untuk sahabat2 Rasulullah kan??

    ReplyDelete

Jangan lupa tinggalkan sebarang komen atau pendapat anda untuk rujukan penulis. Dahulukan akhlak. Terima Kasih.