The Hearabouts

Hi hello, i'm Asyraf. This blog is where i pour my ideas, my thoughts. i scribble, i write and i express. Sorry in advance if there's any hiccups here and there. Enjoy reading. May peace be upon you, upon me, upon us all. Tabarakallah, Keep calm and rock on.
| I'M BACK! |
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَظْهَرَ الجَمِيْلَ وَسَتَرَ القَبِيْحَ
"Segala puji bagi Allah yang menampakkan yang baik dan menutupi yang buruk."

Wednesday, 23 July 2014

Tersungkur mengejar Maghfirah

14 Komen
the_door_by_machiavellicro-d606f1w
“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”
Surah Al-An’am ayat 32.
 
Ramadhan berlalu pergi dengan begitu pantas. Meninggalkan peluang-peluang besar yang sepatutnya digunakan sehabis baik oleh kita untuk mengejar keampunan daripada Allah SWT selama lebih kurang satu bulan. Ya, sedar atau tidak Ramadhan hanya berbaki berapa hari sahaja lagi sebelum menjelangnya Aidilfitri yakni hari kemenangan bagi seluruh umat Islam. Tentunya kita semua sedar dan sedia maklum akan kelebihan yang ada sepanjang Ramadhan terutamanya bila melangkahnya kita ke fasa ketiga iaitu 10 malam terakhir Ramadhan. Saya yakin, rakan pembaca antara golongan yang sama-sama berusaha keras mencari Lailatul Qadar iaitu malam yang dijanjikan oleh Allah Taa'la dengan seribu satu macam kelebihan dan pada malam itu juga adanya Maghfirah yang unggul yakni keampunan daripada Allah SWT. Sungguh beruntung siapa yang menemui malam yang tersebut. Saya sentiasa mendoakan agar rakan pembaca semua beroleh keampunan, keberkatan dan redha daripadaNya . Semoga segala amal kita diterima baik di sisi Allah SWT, sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala daripada ALLAH, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim) 

Namun, dalam artikel kali ini saya tidaklah mahu bercerita tentang kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan secara khusus kerana saya yakin terlalu ramai penulis lain yang sudah membincangkan dan menjelaskan dengan panjang lebarnya tentang fadhilat Ramadhan dalam penulisan mereka. Justeru itu, artikel kali ini hanya sekadar coretan biasa yang barangkali boleh mengundang rasa yang berbeza pada hati kita (In shaa Allah), dengan harapan terbukalah hati kita untuk meluangkan seminit dua waktu bagi muhasabah diri. Memandangkan sepanjang Ramadhan ini, negara kita Malaysia telah menerima pelbagai cerita, berita dan peristiwa hebat yang pasti menggetarkan jiwa, maka izinkan saya untuk melanjutkan artikel ini dengan mengaitkan kita melalui beberapa peristiwa yang berlaku sebelum ini. Mudah-mudahan kita terasa lebih dekat dan moga mendapat iktibar. 

Secara peribadi, Ramadhan kali ini saya kira ia sebenarnya bulan teguran untuk kita. Teguran daripada Allah SWT buat kita yang selalu rasa diri kita betul. Anggaplah Ramadhan tahun ini hadiah daripada Allah Taa'la buat kita yang selalu lupa. Isu pertama yang saya ingin sentuh ialah tentang sebuah video yang menjadi viral di laman sosial dan video tersebut menerima kritikan pedas daripada kita semua. Walaupun sudah beberapa hari berlalu. Saya masih terkesan dengan apa yang terjadi.

Kisahnya, seorang wanita berbangsa Melayu mengamuk dengan seorang lelaki warga emas berbangsa cina dek kerana kemalangan kecil yang tidak disengajakan. Sejak tersebarnya video tersebut, hashtag #CDM25 iaitu nombor pendaftaran kereta wanita terbabit menjadi sebutan. Ya, saya menonton juga video tersebut kerana ia disiarkan di televisyen. Setelah menonton, pandangan pertama saya sebagai manusia biasa, terkejut jugalah dengan situasi yang berlaku. Namun, sebenarnya saya lagi terkejut dengan repons balas kita rakyat Malaysia. Tidak tahu siapa yang mula-mula menyebarkan video tersebut, tetapi 'si penyebar' haruslah sedar dan berasa takut kerana sahamnya sebagai pembuka aib cukup berat azab di akhirat kelak. Begitu juga kita yang rajin tangan 'share' dan berkongsi video itu di media sosial. Tak kurang ada yang sanggup edit gambar dengan tujuan yang tiada manfaat iaitu untuk troll wanita terbabit. Tidak kisah apa niat sebenar kita, sama ada mahu memberi pengajaran kepada wanita tersebut atau masyarakat lain, tetap itu bukan caranya. Sebab itu ada 'kuot' yang berbunyi,

"Niat tidak menghalalkan cara."

Cuba kita renung semula, kini kita telah menjadi umat yang kurang pemaaf dan suka mendedahkan aib orang lain hanya kerana satu kesilapan. Lebih teruk yang mempelopori perbuatan melondehkan identiti peribadi serta segala info pelaku dosa adalah mereka yang mengaku Muslim. Apakah akan tiba satu hari nanti di mana hanya kerana satu kesilapan, maka info nenek moyang serta anak-anak cucu cicit kita akan dibongkarkan? 

Ya, seribu satu alasan kita boleh beri bagi menjustifikasi tindakan melondehkan orang lain tetapi apakah kita yang melakukannya juga akan bersetuju dilondehkan segala maklumat peribadi kita andai suatu hari kita pula yang melakukan kesilapan? 

Si pelaku dosa dalam video tersebut bersalah pada 'uncle' itu seorang, tetapi ramai pula yang bersalah pada si pelaku dosa tadi dek cacian, hinaan dan perbuatan membuka aib dia yang kita lakukan. Nanti di akhirat, sedang orang lain sibuk bertempiaran memikirkan nasib diri, kita pula terpaksa merangkak-rangkak cari kakak itu untuk memohon ampun dan pembebasan. Ingat, orang yang buka aib orang ini saham dosanya tinggi. Takut tak tertebus dengan amal yang dibuat. Takutlah kita dengan janji Allah Taa'la.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud,
"Sesiapa yang menghina seseorang kerana dosa yang pernah dilakukannya, maka ia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut".
(Riwayat al-Tirmizi).

Kesempatan ini, saya ingin berkongsi secara ringkas sebuah kisah teladan Nabi Isa a.s. Diceritakan bahawa suatu ketika nabi Isa a.s. sedang berjalan bersama seorang muridnya. Tiba-tiba seorang lelaki yang terkenal suka melakukan maksiat mengikuti mereka dari belakang. Murid Nabi Isa itu menoleh ke arah orang itu dengan penuh kebencian. 

Lalu dia berdoa di dalam hati, "Ya Allah, Janganlah Engkau himpunkan diriku bersama orang ini".

Nabi Isa a.s. tiba-tiba menoleh kepada muridnya dan berkata, "Doamu telah dikabulkan. Allah menerima taubat orang itu dan mengusir kamu. Pergilah engkau dari sisiku".

Kita sememangnya membenci perbuatan maksiat. Namun kebencian kita kepada maksiat tidak bererti membenci dan menghina orang yang melakukannya. Sering kali sikap negatif sebegini membuatkan orang semakin jauh daripada agama. Sebaiknya, kita harus membuka hati kita untuk mengasihi lalu memberi nasihat yang tulus kepadanya. Kelembutan selalunya lebih berkesan dalam mengubah orang lain daripada kekerasan atau penghinaan.

Ya, memang tidak dapat dinafikan dalam kehidupan ini kita akan bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Setiap individu membawa pelbagai perwatakan. Kadang-kadang kita keliru dalam membuat penilaian. Keliru dalam menentu watak baik dan buruk. Ini disebabkan pada diri seseorang itu boleh terkumpul kedua unsur tersebut; unsur baik dan unsur buruk.

Jika kita melihat kepada seseorang insan pada unsur baik semata, tentu kita akan menilainya sebagai insan yang baik. Jika kita pula melihat di sudut yang buruk semata, maka pasti kita akan menilai sebagai insan yang buruk. Namun, jika kita melihat kedua unsur itu secara seimbang dan adil, pasti kita akan dapat membuat kesimpulan yang betul.

Insan apabila berbalah, atau bertelingkah mereka sering menonjolkan unsur buruk mengenai musuh mereka. Enggan mereka menyebut kebaikan yang ada, sekalipun itu terang dan jelas. Kita boleh lihat akhlak orang-orang politik hari ini apabila mereka bertelingkah. Enggan mengiktiraf sumbangan pihak lain hanya kerana perbezaan politik yang ada.

Demikian juga dalam kehidupan, ramai yang enggan mengiktiraf kebaikan pihak yang dibenci sekalipun nyata kebaikannya. Ini adalah sifat yang tidak munsif atau kita sebut tidak insaf. Perkataan insaf di sini bukan seperti yang kita faham iaitu menyesal. Sebaliknya bermaksud sesuatu yang berada di tengah; tidak melampau dan tidak terkurang. Inilah arahan Allah kepada kita.

Dalam urusan jual beli, kita diharamkan mengurangkan hak orang lain, apatah lagi dalam urusan nilai dan harga diri orang lain yang lebih bermakna dari timbangan makanan dan barang, lebih utamalah untuk kita memastikan hak orang lain tidak dikurangkan. Firman Allah: (maksudnya):


“Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya" 
(Surah Hud: 85).

Terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan selama Ramadhan ini untuk kita perbaiki diri. Jika ada berita yang kurang menyenangkan tentang pelaku dosa hingga melibatkan maruah dia dan keluarga, cukuplah sekadar kita mengambil tahu dan memuhasabahkan diri. Kongsi dengan diri sendiri sebagai pesan supaya tidak terjadi pada kita atau keluarga kita. Si pelaku salah berhak dimaafkan dan tidak diaibkan agar virus dosa pula tidak menjadi viral. Kita bukanlah mulia sangat. Lantas apa tiket untuk mahu mengkritik sedemikian rupa?

Kita sebagai hamba, harus sedar bahawa setiap orang melakukan dosa. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, maksudnya:


“Semua anak Adam itu melakukan kesalahan. Sebaik-baik pelaku kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat” 
(Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Majah/ dihasankan oleh al-Albani).

Justeru, setiap kita tidak sunyi dari kesalahan. Tiada siapa pun dalam kalangan kita yang boleh mendakwa bahawa dirinya suci dari dosa dan noda. Cuma beza antara orang baik dan yang buruk, seorang baik itu memohon keampunan dari Allah dan berusaha membaiki diri. Sementara orang yang buruk keras kepala dengan dosanya, tidak kesal dan tidak memohon keampunan.

Menyedari hakikat ini, maka jangan kita hina manusia disebabkan sesuatu dosa, tetapi lihat bagaimana sikap dirinya terhadap dosa tersebut. Allah tidak pernah menjadikan orang yang berdosa kecewa, sebaliknya sentiasa membuka pintu untuk mereka kembali kepadaNya. Firman Allah: (maksudnya):


“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar: 53).

Bermula hari ini, jika kita nampak orang lakukan kesalahan, anggaplah ia suatu pantulan pada diri. Bila nampak salah orang tu, pesan pada hati. "Allah tegur aku supaya aku tak buat perkara sama". Bukannya kita gunakan peluang yang ada untuk menjatuhkan orang tersebut. Islam memang indah, sejak kita sekolah rendah dilaung-laungkan ayat sama. Tetapi yang jadi tak indahnya sebab kita sendiri. Banyak lagi peristiwa lain sepanjang Ramadhan tahun ini benar-benar menggetarkan jiwa. MH17 ditembak jatuh, peristiwa berdarah di Palestin, semuanya ada pengajaran sendiri. Semua ini samalah juga dengan situasi di mana jikalau ada sahabat atau rakan sekelas/sekuliah kita buat salah dengan kita. Usah hina dan sindir dia di laman sosial. Tiada keperluan penting pun kerana sahamnya pasti mengundang kemurkaan Allah.

Oleh sebab itu tajuk artikel ini saya beri judul "Tersungkur mengejar Maghfirah" kerana saya yakin semua orang mahukan keampunan Allah dari dosa masing-masing, tetapi dalam sibuk kita mengejar keampunan tersebut, kita telah menggali lopak-lopak dosa yang akhirnya buat kita sendiri tersungkur sebelum tiba ke penghujung. Maka, adakah kita umat yang benar-benar menang?

Mari kita lihat makna di sebalik Aidilfitri, iaitu hari yang disambut Muslim selepas habis Ramadhan, ia bermakna Hari Raya Fitrah.  Iaitu meraikan kejayaan atau kemenangan muslimin dalam menjalani ibadah pada bulan Ramadhan dan yang paling penting ialah mendapat pengampunan dan kembali kepada keadaan fitrah manusia iaitu tanpa dosa.  Itulah sebenar-benar perayaan Aidilfitri dan sebenar-benar pencapaian Ramadhan, untuk menjadi manusia yang bertaqwa dan penghapusan dosa-dosa.

Amatlah malang sekiranya hari raya Aidilfitri dicemari dengan dosa dan maksiat, walhal hikmah utama Aidilfitri ialah untuk meraikan keampunan dosa manusia hasil dari kebaikan Ramadhan yang telah dilalui selama sebulan lamanya. Dengan syarat dilalui Ramadhan itu dengan ‘imaanan wahtisaaban’… iaitu dengan penuh keimanan dan mengharapkan sungguh-sungguh pahala dari Allah.

Ingatlah, rugi besar jika tidak diampuni Allah SWT pada bulan Ramadhan. Di dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad, ada diceritakan tentang perbuatan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang sedang menaiki mimbar, lalu Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam menyebut “Aamiin” sebanyak 3 kali. Setelah selesai memberi khutbah, para sahabat bertanya kenapa tadi disebut “Aamiin” sebanyak 3 kali?

Lalu, Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam menjawab bahawa Jibril telah datang ketika itu dan berdoa bahawa sangat kecewa dan rugilah bagi (1) orang yang apabila disebut nama Muhammmad, tidak dibaca selawat ke atas Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam, (2) orang yang sempat hidup bersama orang tuanya, tetapi mereka tidak membuatkan dia dapat masuk Syurga, dan (3) orang yang sempat hidup di dalam bulan Ramadhan, tetapi tidak terampun dosa-dosanya.

Lalu Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam meng'Aamiin'kannya.

Akhir kalam, mudah-mudahan tulisan ini dapat menimbulkan rasa keinsafan buat diri saya dan kalian semua dalam berusaha untuk kembali kepada Allah. Kembali kepada Allah dengan makna untuk 100% beriman kepadaNYA melalui hati, lisan dan amal.  Kembali mengamalkan sunnah-sunnah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam setiap cara hidup kita.

Semoga kita semua beroleh Taqwa dan diampuni Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan akhir nanti kembali bertemuNya dalam keadaan tidak berdosa.  Allah redha dengan kita, kita redha dengan Allah… Aamiin. 

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.”
(Surah Ar-Ra’d : Ayat 11).

Segala yang kurang, maafkanlah.
Wallahualam Bissawab.




 
"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...

Friday, 20 June 2014

Terima Kasih Cik Nurris

4 Komen
“,….kesenangan dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa, dan kamu tidak akan di aniaya sedikitpun” An Nisaa':77
         "Sebenarnya saya ada benda nak bagi pada Asyraf." 

Cik Nurris bersuara sambil tangannya sibuk mencari sesuatu di dalam beg. Aku dan rakan yang lain saling berpandangan. Pelik.

Sangkaan buruk aku tentang pertemuan kami pagi itu di fakulti bersama Cik Nurris nyata berbeza. Ceritanya, semalam. Selepas aku terima SMS daripada rakan sekelas yang maklumkan tentang hasrat Cik Nurris mahu bertemu aku di fakulti pagi keesokannya sedikit sebanyak telah membuatkan aku resah. Tidak lena jugalah memikirkan apa salah aku sehinggakan Cik Nurris mahu berjumpa. Pelbagai teori aku cuba cipta semata mahu mendapat jawapan. Namun sedikit pun tidak berhasil untuk tenangkan hati. Doa tu tak tahu nak cakaplah, setiap minit minta dipermudahkan segala. Siap telefon mak lagi. haha.

Namun, setibanya di fakulti pagi itu. Aku nampak wajah Cik Nurris sangat menenangkan. Ada satu rasa yang lain. Tidak seperti selalu. 
       "Ramadhan pun sudah dekat, saya faham kamu."
       "Nah... ambil ni.."

Perlahan tangan Cik Nurris menghulurkan satu bungkusan tebal dalam sampul UiTM. Entah apa isinya. Ya. tebal, macam buku. 

      "Erm... Ada apa ini cik?" Perlahan aku bersuara sambil membelek-belek bungkusan tersebut. Nyata tidak faham.

Cik Nurris menarik nafas panjang. Aku dan lain-lain hanya memerhati. Menanti penjelasan. Mahu buka bungkusan tersebut terus pun nampak kurang beradab pula. Memang berdebar-debar. 

      "Duit ya cik Nurris???" Hurraini tiba-tiba mencelah.

Situasi ketika itu gamat seketika dengan gurau senda. Cik Nurris sendiri pun tidak dapat menahan tawa. Hurraini sentiasa menceriakan keadaan.

     "Saya bukan orang kaya nak bagi duit. hehe. Tapi adalah sikit." Balas Cik Nurris ringkas sambil ketawa. 

     "Asyraf... kamu baru kehilangan ayah kan? maaf saya tak sempat luangkan masa untuk berbual dengan kamu sebelum ini. Saya dapat rasa apa yang kamu rasa sekarang ni. Saya faham." Sambung Cik Nurris.

    "...dalam bungkusan itu ada sedikit hadiah daripada saya. Ambillah. Tak banyak saya boleh bagi. Anggap ini hadiah ikhlas sempena Ramadhan yang akan datang tak lama lagi."

Saat itu aku hanya mampu tunduk mendengar penjelasan Cik Nurris satu persatu. Nyata sejak pemergian arwah abah, aku tidak pernah keseorangan. Setiap hari Allah hantar orang yang baik-baik bersamaku. Alhamdulillah.

     "Saya doakan kamu jadi anak lelaki yang baik. Anak yang soleh. Ingat, Asyraf. Tanggungjawab kamu besar. Mana-mana anak yang berkeinginan untuk masuk ke Syurga, mestilah anak yang mendoakan ibu bapanya masuk Syurga juga." Suara Cik Nurris makin perlahan. Sebak.

Suasana ceria tadi bertukar lain. Sedih. Intan, Hurraini, Syahira turut diam. Tujuan utama mereka ikut serta untuk bertemu Cik Nurris adalah semata mahu bertanya tentang tugasan berkumpulan. Namun, pertemuan itu beri makna yang berbeza buat kami.

       "Saya tahu kamu sedih, jadikan semua ini semangat untuk kamu lebih berjaya. Sentiasa doakan arwah tenang di sana. Doakan kedua ibu ayah kamu ditempatkan ke Syurga."

"Ya Allah, dengan rahmatMu, Engkau izinkanlah, Engkau tempatkanlah ayahku, dan ibuku di SyurgaMu. Mudah-mudahan kami semua dapat bersama kelak di sana." Cik Nurris mengajarkan doa ringkas.

Bagai diragut jantung, air mata tiba-tiba sahaja bergenang di kelopak mata. Wajah Cik Nurris aku pandang penuh penghargaan. Mulianya dia. Terima kasih Allah. Hari Jumaat yang sangat indah. Pasti aku hargai dan kenang pemberian ini sampai bila-bila pun.

Lama kami berbual. Cik Nurris terus memberi kata semangat. Timbul rasa terharu. Benar kata arwah abah,

"Angah... kalau angah susah macam mana pun. Angah mesti sabar dan tenang. Jangan aniaya orang. Jadi hamba Allah yang baik. Pasti satu hari nanti, dalam tak sedar, Allah akan gerakkan hati-hati manusia di sekeliling angah, untuk gembirakan angah dan ada juga yang akan mudahkan urusan angah. Yakin." 

Aku berpegang pada pesan arwah sehingga sekarang. Terlalu banyak bukti kasih sayang Allah. Mak sendiri ada berpesan,

"Siapa pun kita, ingat Allah itu selalu ada. Kadang-kadang kita rasa kita tak mampu untuk hadapi satu-satu waktu yang penuh dengan dugaan berat daripadaNya. Tapi Allah Maha Mengetahui. Dia hantar ujian, sebab Dia tahu kita mampu."

Selesai berbual, Cik Nurris mohon izin untuk berlalu pergi. Katanya banyak lagi urusan yang perlu diselesaikan. Saat dia bangun meninggalkan aku dan rakan-rakan di kerusi. Hanya doa dan rasa syukur pada Allah mampu dibisikkan dalam hati. Mudah-mudahan Cik Nurris berada di bawah perlindunganNya sentiasa. Aamiin.

Aku buka bungkusan hadiah daripada cik Nurris. Isinya sebuah Al-Quran baru dan wang kertas RM100 diselitkan bersama. Ya Allah, hadiah berharga untuk Ramadhan ini. Terima Kasih Cik Nurris. Tak terbalas jasa. Semoga dimurahkan rezeki dan diberkati Allah hendakNya.


Terima Kasih Cik Nurris


Abah...
Walaupun Allah sudah jemput abah pulang,
Tinggalkan anak-anak dan isteri,
Tapi.. abah jangan risau ya,
Allah hantar ramai orang untuk jaga anak-anak abah,
Angah tak lupa untuk kirimkan abah hadiah.
Ramadhan ini pasti berbeza.
Angah sudah redha dengan ketentuanNya.
Tapi masih perlu waktu untuk belajar biasakan diri.

Al-Fatihah buat abah.

Semoga tenang di sana.
 
Al-Fatihah
Khalib Zakaria
(1964-2014)
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah di sempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan kedalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan” (Ali Imraan:185)




"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...

Sunday, 15 June 2014

Ya, Selamat Hari Bapa

5 Komen

"...dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya" (53:39) 


Abah,
Selamat Hari Bapa, 
Mungkin tahun ini, sedikit berbeza.
Sebabnya, abah dah kembali terlebih dahulu menghadap Pencipta.

Bagi angah, pemergian abah tahun ini peristiwa luka,
Tak pernah pun angah duga seawal ini angah akan hilang seorang bapa,
Namun sebagai anak yang dibesarkan dengan didikan agama,
Angah redha dengan janji dan ketentuanNya.

Tiada lagi hadiah berbentuk material dunia,
Hanya doa kami anak-anak kirimkan bersama,
Moga lapang abah di sana.

Sebagaimana sabda Nabi SAW, 
"Apabila mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Muslim) 

Abah,
Ramadhan pun kian hampir,
Setiap hari angah terima panggilan dari kampung,

"Baliklah segera, mak sunyi puasa ni, kita boleh tarawikh sama-sama.."

Nampaknya isteri kesayangan abah antara yang paling terasa hilangnya,
Yalah, kalau dulu makan bersuap penuh mesra,
Solat berjemaah bersama,
Tapi tahun ini ceritanya pasti berbeza.
Hiba...

Namun, angah yakin dengan cinta yang ada,
Mak antara wanita yang setia hadiahkan abah doa,
Sehingga tidur pun butiran tasbih masih kemas di jarinya.
Semoga dipertemukan jua di Syurga sana.

Abah,
Rasa rindu ini memang tak akan hilang,
Angah doakan abah tenang,
Jangan khuatir, kami selalu sayang.



"Wahai Tuhan kami! berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan" (14:41)

Bagi yang masih punya ayah, hargailah. Saat ini mungkin hati masih degil. Berkata tidak. Dek kerana ada kelemahan ayah yang tidak dapat diterima. Namun, itulah manusia. Pasti ada kurang. Maafkanlah ayah. 

Jangan bila hilang, baru sibuk mencari. Cerita-cerita di blog ini tentang pemergian ayahanda akan Asyraf lanjutkan. Tidak sekali artikel-artikel ini untuk raih simpati. Berlapang dadalah, anggap ia sebagai medan untuk beri teladan. Yang baik ambil, yang buruk buang jauh.

Semoga hari bapa ini didik kita anak-anak untuk lebih menghargai. Artikel-artikel ilmiah seperti sebelum ini In shaa Allah akan kembali ditulis apabila bermulanya Ramadhan nanti. Sekarang tak sempat sebab sudah hampir final exam. Doakan yang terbaik. Terima Kasih.


Al-Fatihah
Khalib Zakaria
(1964-2014)


"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...

Thursday, 8 May 2014

Abah, angah dah nak konvo.

22 Komen

Abah,
Ini anak abah, angah...

Abah tahu tak, angah dah ambil jubah konvokesyen,
Ingat lagi kan 26 April 2014 haritu, abah berulang kali cakap dalam panggilan telefon,

"Nanti angah pakaikan abah jubah konvo angah tu ya, mesti segak."

Lama kita berbual malam tu, abah happy sangat. 
Tak macam selalu.

Tapi... maafkan angah abah, 
Abah tak sempat pun nak pakai jubah yang angah pegang sekarang ni.
Sebab tu, angah tetap tunaikan hasrat abah. Angah pakaikan abah baju. 
Angah yang mandikan abah, angah yang kafankan abah, dan angah juga yang masuk bersama ke liang lahad untuk kebumikan abah. 
Angah harap abah suka.

Sumpah abah hensem masa dalam 'selimut putih' tu. 
Ya. Angah rindu abah.
Waktu angah dijemput hadir untuk raptai dan dapatkan jubah konvokesyen 4 Mei hari tu.
Angah termenung lama di tangga dewan.
Angah biar kawan-kawan masuk dulu. 
Kalau boleh angah tak nak masuk ambil pun.

Pertamanya sebab abah dah tak ada,
keduanya sebab malu. Angah nangis abah.
Ya. Jujur, angah rindu abah.

Rasanya dah 3 tahun angah tak sempat puasa dengan abah.
Semuanya sebab angah belajar jauh di Shah Alam.
Raya baru angah sempat balik.

Bila angah dah sambung ijazah, abah happy kan?
Sebab cuti puasa tahun ni angah janji nak balik,
abah cakap nak buka puasa sama-sama dengan angah.
Abah bertambah selera kalau semua anak-anak ada.
Tapi tak sempat juga.

Ya. Angah rindu abah.
Waktu abah tenat hari tu, angah balik tau abah.
Angah tinggal semua kuliah.
Angah jenguk dan jaga abah.
Tapi abah dah tak sedar masa tu.
Abah tak tahu anak abah ni balik.

Waktu doktor cakap abah kritikal, 
angah duduk tepi katil abah,
angah merayu dengan Allah, 

"Wahai Allah, aku belum bersedia"

Ya. Angah rindu abah.
Angah tak pernah bersedia.
Angah rasa terlalu awal.

Tapi angah tahu, Allah sayang abah.
Abah sangat baik. Abah baik dengan semua orang.
Allah sayang abah, Dia nak abah rehat.
Angah redha abah pergi.

Walaupun abah dah kembali dulu,
angah yakin abah dengar angah sekarang.
Selalu dalam doa angah kirim hadiah,
mudah-mudahan abah dengar anak abah ni.

Abah...
Angah rindu abah.
15 Mei nanti konvokesyen angah.
Abah janji nak datang, 
tapi abah ada temu janji yang lebih utama dengan Allah Taa'la

Angah nak abah rehat,
Jumpa kat sana nanti ya,
Angah akan teruskan belajar.
Penuhi hasrat abah.
Jangan risau. Angah akan jaga mak dan adik-adik.

Ya. Angah rindu abah.
Sangat rindu.
Semoga tenang di sana.

Al-Fatihah buat arwah abah


Khalib Zakaria (1964-2014)
Kembali ke rahmatullah pada 28 April 2014.

"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...

Sunday, 27 April 2014

Doa angah buat abah.

11 Komen
Mudah-mudahan semua rakan pembaca sihat dan gembira dengan izinNya. Kesempatan ini Asyraf luangkan masa untuk menulis artikel buat ayahanda tercinta yang kini sedang bertarung nyawa melawan penyakitnya di Unit Rawatan Rapi (ICU), Putra Medical Centre (PMC), Alor Setar. Mudah-mudahan mana-mana rakan pembaca yang berkunjung ke sini, sudi luangkan sedikit masa untuk sedekahkan doa buat abah.

Memandangkan sepanjang minggu ini, Asyraf pula berhadapan dengan ujian pertengahan semester, jadi mak Asyraf tidak izinkan Asyraf pulang lagi. Katanya dalam panggilan telefon tadi,  

"Tunggu panggilan dari mak, In Shaa Allah abah kuat. Dia nak sangat angah berjaya, berusahalah."

Ceritanya begini, beberapa hari yang lalu abah sendiri minta keluarga hantarnya ke hospital kerana badannya rasa sangat lemah. Tujuan pada mulanya hanya mahu memeriksa keadaan kesihatannya. Mak tidak pernah membantah, permintaan abah diturutkan. Memang sebelum ini berulang kali abah keluar masuk hospital. Tapi syukur Allah beri kesembuhan demi kesembuhan. Masih mampu menagih senyum anak-anak sebagai ubat. 

Selepas sesi pemeriksaan, doktor sahkan penyakit abah semakin memburuk, jangkitan kuman pada paru-paru menular teruk, gula darah dalam darah naik mendadak dan sel darah putih mula merebak teruk membunuh sel darah merah. Abah ditahan di wad biasa untuk menerima rawatan susulan. 

Doa dari anak-anak tidak henti dikirim, mudah-mudahan abah sihat seperti sedia kala. Abah yang dahulunya berat badannya lebih 80 kilogram (sangat sihat), tetapi kini kurus melampau. Aku dimaklumkan berat badan abah yang terkini ialah 42 kilogram. Kalau tengok keadaan abah, memang jatuh air mata.

Abah sangat hebat, seorang ayah yang tegas dan ceria. Sebagai seorang guru, perkhimatannya sentiasa dipuji. Sehinggakan lekas sahaja dinaikkan pangkat bergelar Penolong Kanan. Tapi apakan daya, nikmat dunia Allah tidak izinkan sepenuhnya. Abah sudah hampir setahun tidak makan. Hanya harapkan susu untuk alas perut. 

Semalam di hospital, aku sempat berbual sekejap dengan abah melalui panggilan telefon. Suara abah lemah, tetapi jelas kedengaran dia gembira untuk berbual. Katanya dia makin sihat, sudah mula makan. Syukur pada Allah. Lega aku mendengarnya. Katanya lagi, tak sabar mahu tunggu 15 Mei. Tarikh konvokesyen aku. Apa yang menarik, abah siap minta aku booking homestay untuk keluarga yang datang dari Kedah untuk menginap di Shah Alam. Ya, pasti aku turutkan!

Semalam juga lena aku tidak seperti biasa, asyik terjaga. Mungkin terlalu gembira. Memandangkan hari ini di Fakulti APB ada aktiviti bersama pensyarah, aku paksa tidur untuk dapatkan rehat yang cukup. 

Hari baru sudah tiba, azan Subuh kedengaran jelas dari Pusat Islam UiTM. Selesai solat, aku bersiap dan turun dari asrama untuk ke lokasi yang dimaklumkan akan berlangsungnya aktiviti. Langit masih gelap, aku terima panggilan telefon. Panggilan dari bonda tercinta. Aku jawab panggilan dengan tenang. Terdengar suara mak teresak-esak menangis. Aku faham, jadi biarkan mak nangis seketika. Setelah mak tenang, mak mula berbicara

"Angah, mak nak bagitau ni. Janganlah sedih ya, belajar rajin-rajin. Abah harini tak sedar dah. Mak kejut solat Subuh pagi tadi abah senyap. Mak panggil nurse, doktor pun masuk sekali. Masing-masing kata abah kena tukar ke ICU. Dia tenat"

Suara mak kemudian tenggelam dalam esak tangis. Aku tersedu-sedu menanti sambungan. Lama menanti, mak masih lagi menangis. Aku minta mak tenangkan diri dan cerita peristiwa malam sebelum abah tidak sedarkan diri.

Katanya, semalam abah tiba-tiba minta mahu makan bihun goreng, mak minta kakak belikan. Selepas makan sesuap dua. Abah cakap dia sudah kenyang. Mak cakap mimpi indah bila tengok abah jamah sesuap dua bihun goreng sebab sebelum ni memang abah tak makan langsung. 

Beberapa jam kemudian, abah asyik minta air dan dalam masa yang sama mengadu sejuk pada badan. Mak selimut abah dengan selimut tebal. Tapi masih sejuk. Berulang kali abah minta ke tandas. Kali ketiga ke tandas, abah mula tunjuk perubahan aneh. Waktu tu, mak cakap sudah hampir waktu Subuh, abah minta air lagi dan lagi. Abah gigit straw tetapi tak sedut air seperti selalu. Abah kemudiannya minta nak rehat. Mak izinkan. Saat azan Subuh berkumandang, mak kejutkan abah.

"Bangunlah, dah subuh. Air whuduk sudah siap."

Mak seperti kebiasaannya, setiap kali masuk waktu solat. Mak akan bantu abah berwhuduk di katil. Tapi pagi itu abah kaku. Mak kejut berulang kali, mak sentuh nadi. Masih ada denyut-denyut perlahan. Mak lekas panggil nurse dan doktor. Ya, abah tidak sedarkan diri. Hingga saat ini aku masih menanti panggilan. Mahu pulang, melawat ayahanda tercinta.

Mohon doa dari semua buat abah. Moga abah Asyraf kembali sedar seperti sedia kala dan kuat melawan penyakitnya. Hanya Allah dapat balas jasa anda semua. 

Doa angah buat abah. 
27 April 2014

Sahabat semua : 
Abah Asyraf sudah dijemput kembali ke rahmatullah pada 28 April 2014.
Sedekahkan doa buat arwah
Al-Fatihah
KHALIB ZAKARIA
1964-2014



"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...

Tuesday, 1 April 2014

Mereka telah mendahului kita.

4 Komen
"Mereka telah mendahului kalian!"
Masa kita semakin suntuk. Sedang manusia masih lagi sibuk dengan urusan keduniaan mereka. Kisahnya sudah lama, kita semua digemparkan dengan berita-berita tentang tragedi berdarah di Mesir. Baru-baru ini, hukuman gantung pula dijatuhkan ke atas 529 Ikhwanul Muslimin. Apa dosa mereka? Hmm... sekarang ni Asyraf masuk kuliah pun tidak tenang. Ligat saja otak berfikir. Banyak perkara yang membuatkan Asyraf terfikir tentang kejadian-kejadian sebegini. Kadang pernah tertanya sendiri,

'Wahai Allah, peringatan apakah ini?'

Kejadian-kejadian ini sebenarnya secara tidak langsung membuatkan setiap dari kita sedih. Ya, sedih. Melihatkan saudara-saudara kita di sana menahan keperitan dibunuh oleh tentera-tentera jahiliyyah. Err.. Kalau tak sedih tu tipu lah kan. Tak pun kena cek iman semula. Something wrong mungkin?

Namun, pada Asyraf secara peribadi, segala kesedihan kita itu tidak akan menjadikan penjahat As-Sisi itu menyerah kalah bukan? Sedikitpun tidak. Kita hanya bersedih, merintih, tanpa melakukan apa-apa, hanya angin yang mampu berlalu. Bawa khabar duka, lagi dan lagi. Sampai bila?

Jadi, sebalik semua ini, Asyraf tertarik untuk berkongsi antara perkara yang kita boleh dapat dari kejadian yang telah ditetapkan oleh Allah ini. Yakin, setiap kejadian di atas muka bumi ini ada ibrahnya. Mesti ada perkara yang Allah ingin kita pelajari dari setiap perkara yang telah ditetapkan olehNya. Indah bukan?. Bak kata satu kuot ini,

"Carilah hikmah disebalik setiap ujian, pasti Allah tunjukkan jalan"

Maka dengan itu, mari kita cari! Weekend yang lalu, Asyraf pun lebihkan ruang waktu untuk selak tafsir al-Quran, helaian demi helaian diteliti. Bacaan akhirnya terhenti pada satu nota cinta dari Allah Taa'la yang bermaksud,

"Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tak ada yang dapat menolak kurniaNya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (10:107)

Sedih atau tidak, marah atau suka, nak atau tak nak, kita kena terima hakikat bahawa yang memberikan segalanya untuk kita adalah Dia. Dia yang telah menentukan segalanya. Ya, mungkin, kejadian berdarah di Mesir ini boleh dikira sebagai musibah untuk kita sebagai umat islam terutamanya. Kerana, ia begitu menyedarkan kita bahawa mungkin juga disebabkan kelalaian serta kejahilan kita sendiri, mereka diuji sebegitu rupa. Sila nanges. 

Kita kena yakin, bahawa isu Mesir ini sudah tertulis di sisiNya. 

Jom kita lihat nota cinta lagi.

"Ingatlah, sesungguhnya kepunyaan Allah semua yang ada di langit dan semua yang ada di bumi. Dan orang-orang yang menyeru sekutu-sekutu selain Allah, tidaklah mengikuti (suatu keyakinan). Mereka tidak mengikuti kecuali prasangka belaka, dan mereka hanyalah menduga-duga." (10:66)

Dan tidak boleh dinafikan lagi lah, apa yang ada di muka bumi ini segalanya milik Dia. Walaupun mereka ni kejam tahap yang paling maksima sekalipun, mereka tetap milik Allah jua. Mereka ini adalah jenis manusia yang suka menduga-duga, mereka tidak yakin akan agama ini. Jadi, berlakulah pertumpahan darah dan kerosakan di atas muka bumi ini.

Untuk kita, insan yang bergelar muslim, sepatutnya kita cemburu dengan mereka, yang telah pergi di jalan yang diredhaiNya. Allah sudah bayar cash atas usaha mereka mempertahankan agamaNya ni. Best bukan? Nanges lagi.

Mereka ini sebenarnya hanya diseksa sementara sahaja. Mungkin seminit dua sahaja yang mereka perlu pertahankan untuk menghadapi mati itu. Namun, kehidupan selepas mati itulah yang menjadi motivasi mereka, para mujahideen. 

Syurga.

Ya. Itulah satu perkataan yang sentiasa menjadi pegangan mereka. Syurga Allah. Sepatutnya rasa cemburu itu kita terjemahkan melalui amal kita la. Ye dak? Ye lah, dah kita cemburu dengan kemenangan mereka di dunia ni, sepatutnya kita juga mempersiapkan diri kita untuk menghadapi saat itu jua.

Asyraf tertarik dengan satu dialog antara akak Heliza Helmi dengan seorang wanita Mesir tatkala beliau berkunjung ke sana dalam misi menghantar bantuan. Dialognya begini,

"Saya bersimpati dengan anda atas semua kejadian ini." kata Heliza

"Janganlah begitu, sebenarnya saya yang patut bersimpati dengan saudari dan rakyat Malaysia. Anda semua diuji dengan keamanan dan hiburan. Berat, sungguh berat. Tetapi kami disini diuji dengan peperangan. Ganjarannya syahid dan Syurga. Itu pasti." Balas wanita Mesir itu.

Pedih. Kan?

Baiklah, walau bagaimanapun jika dilihat dari perspektif lain, seperti yang telah ditafsirkan dalam surah Yusuf, ada menceritakan tentang keegoan Firaun dalam menentang dakwah Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS. Tetapi akhirnya Allah memberikan kemenangan juga ke atas Nabi Musa apabila tongkatnya itu memusnahkan Firaun dan bala tenteranya. Senyum.

Apa-apa pun, janji Allah itu pasti akan tiba. Kemenangan akan muncul jua.

Yang hanya menjadi persoalan di sini adalah adakah kita akan menyertai kemenangan islam kelak atau hanya berpeluk tubuh di rumah sahaja tanpa berbuat apa-apa? Tepuk dada, tanya iman. Erm.

Apa yang pasti, mereka telah mendahului kita. Mereka ini sudah terlepas dari ujian dunia yang fana ini. Walaupun diseksa buat sementara waktu. Yang tinggal hanyalah kita. Dan usaha serta amal kita jua yang akan menjadi penentuannya.

Buat mereka yang sedang berjuang di bumi Mesir sana, ini adalah ketetapan yang terbaik buat kalian. Bagi kita, teruskan berdoa buat mereka. In shaa Allah.

Sebelum Asyraf tamatkan artikel kali ini. Ini nota cinta terakhir daripada Allah Ta'aala yang barangkali akan menjadi motivasi hebat buat saya dan anda. Mudah-mudahan kita sama-sama kuat untuk terus tegak berdiri di atas jalanNya.

"Dan janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, tetapi mereka itu hidup di sisi Tuhannya mendapat rezeki." (3:169)

Jaga diri, jaga Iman
Sekian


"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...

Wednesday, 19 February 2014

Mari Perbaiki Bacaan Al-Fatihah

20 Komen
le owner



Bismillahirrahmanirrahim..

Pernah atau tidak anda terfikir dan berasa pelik kenapa bila anda dah solat, tapi masih rasa solat tak sempurna (ada macam tak kena), anda sudah solat cukup 5 waktu tapi masih lagi melakukan dosa yang berterusan, dan ada waktu hati anda masih rasa tidak tenang? Sedangkan solat itu mencegah kita dari melakukan dosa dan sentiasa membuat hati kita tenang. Dimana silapnya? Mungkin topik dalam artikel kali ini antara sebabnya mengapa semua perkara tadi masih lagi berlaku.

Tahukah anda, semasa solat, wajib kita membaca Al-Fatihah dengan sebutan makhraj yang betul, tajwid yang betul, tartil yang betul, agar solat itu sah. Jika tidak, solat itu tidak sah. Selain rukun qauli yang wajib dipenuhi, iaitu wajib membaca Al-Fatihah secara berlafaz, tidak sah solat jika dibaca berbisik, suara angin, atau dalam hati, sekurang-kurangnya bacaan itu didengari oleh telinga sendiri, baru sah solat.

Haa... selama ini ada yang ambil berat tak soal kesempurnaan solat seperti kesalahan-kesalahan bacaan Al-Fatihah yang mengundang kepada tidak sah solat? Jadi kali ini mari sama-sama kita rujuk semula samada bacaan Al-Fatihah kita betul atau salah. 


Baiklah, antara kebiasaan kesalahan yang dilakukan orang ramai:

1. Huruf Ba ﺐ pada Bismillah tidak berbunyi. Nak sebut slow punya pasal,  sehingga disebut "...Ismillah hirrohma nirrohim". Sebutan ini salah.

2. Huruf Hha pedas ح pada "rahman" dan "rahim" tidak disebut Hha pedas, hanya sebut haa biasa (haa simpul) (ه).

3. Tertukar sebutan pada BismilLAH, "LAH" itu dibaca Lam bertemu Hha pedas (ح), sedangkan Lam bertemu Haa simpul (ـه). 

* Ingat tau.. eja Allah ialah "alif lam lam ha"

4. Salah menyebut huruf Ro baris atas dengan sebutan Raa yang sangat jelas "aaaa" nya. Sedangkan sebutannya "Rohman", bukan rahman, rahman ini cuma ejaan rumi sahaja sebagai tanda ro tu baris di atas.

5. Huruf Alif tidak disebut semasa membaca ayat kedua. Sebab nak cepat, ada yang salah menyebut "...Lhamdulillah...". Pastikan sebut dengan jelas "Al ham du lillah.."

6. Sebutan "Alhamdulillah..." pada ayat kedua juga selalu ada yang salah sebut begini "ALLE HAM DU LILLAH". Sebutan "Alle.." itu salah. Berhati-hati yaa.. Matikan huruf Lam tersebut. Sebutan betulnya "AL ham du lillah"

7. Huruf Hha pedas ح pada "al HAM du" hanya dibaca "haa" biasa/simpul (ه).

8. Sebutan "..duLILLAH", tidak disabdukan "LIL" dengan "LAH", hanya baca "Li-lah" sedangkan patutnya sabdu.

9. Sebutan "robbil 'AAlamin", huruf ain ( ع ) disitu ada yang salah sebut dibaca dengan huruf alif, 'aa jadi aa ( ا ). Ingat, disitu huruf ain bukannya alif.

10. Huruf ro tidak disabdukan pada sebutan "aRRohmaaniRRohim". Ramai orang baca "...a-rohmaani-rohim.." ini salah sangat-sangat, sebab itu nama-nama Allah. Sepatutnya ia dibaca ARROHman dan ARROHim. Dan ramai tak baca huruf Hha pedas (ح) tu betul2 pada Ro mati bertemu Hha, cuma baca macam Haa biasa/simpul. ROHH tu macam Ro pedas. Rohhhhhh, pekatkan "hhhh" tu.

11. Huruf mim pada sebutan "MAAlikiyau" tidak dibaca dua harakat, ramai yg baca 1 harakat "...malikiyau...". Ini salah.

12.Tidak mensabdukan huruf Dal pada sebutan "miDDiin", sedangkan ia sepatutnya bersabdu.

13. Haa... yang ini pun ramai selalu sangat salah, tidak mensabdukan huruf Yaa pada "iYYAkanaq buduwaiYYaa". Sebutan yang betul ialah IY-YA, bukan "I-YA" atau "EE-YA". Kena tekan sikit kat IY dan panjangnya dua harakat, bukan satu harakat.

14. Huruf ain pada "iyyakanAQ" hanya disebut KANAK. Ini pun salah. Disitu nun mati bertemu ain ya, bukan bertemu kaf.

15. Selalu salah baca huruf dal dan wau pada "buDUWA" dengan 2 harakat, sedangkan ia mesti dibaca dengan 1 harakat sahaja. Sebutan yang betul ialah "...buduwaiyyaa...", bukan "...buDUU waiyya..." atau "....budu WAA iyya..."

16. Huruf ain tak disebut dengan betul masa "kanasta'IN". Ramai yang sebut sebagai alif, "ka nas ta in", ini salah. Tekankan sedikit sehingga sebutan itu betul huruf ain.

17. Pada "IHdinaussiro..." ada yang terlebih-lebih tekankan huruf Hha sehingga sebutan melampau menjadi "EHhhh.." "Eiih.." dan sebagainya. Sebutan yang betul ialah sebut Hha biasa sahaja. "Ihdinaussiro."

18. Pada "Ihdinaussiro..." juga, ramai baca nun mati bertemu sin, padahal disitu nun mati bertemu sod. "auss" pada sebutan "NAUS" tu kena tekan sikit. Kalau kitab rumi lama, pengarang eja ia sebagai "Ihdinaush-shiro". Bukan suruh baca "naush" mati dengan syin, tapi supaya ditekankan sod tu. Faham tak? Maksud Asyraf, muncungkan mulut anda bila menyebut "Nauss".

19. "Sirootolmustaqim.." ramai baca huruf Ro tu hanya satu harakat, sepatutnya dua harakat.

20. "...Mustaqim", sebutan patutnya QIM, bukan KIM, sebab huruf tu huruf Qof bukan Kaf.

21. "Sirootollazi..." ramai sebut "SI" itu sebagai huruf sin, bukan huruf sod, padahal "SSI" tu patut ditekankan sikit sebab ia huruf sod. Huruf "Ro" pula patut panjang 2 harakat, tapi ramai yang baca dengan 1 harakat. "laZI", huruf tu huruf dzai, bukan zzai, huruf dzai lembut bunyinya, di hujung lidah kita di belakang gigi.

22. "Na-an'am..." ramai sebut AN tu dengan sebutan huruf AIN, padahal ianya huruf alif, manakala ada juga sebut 'AM tu pula dengan huruf alif, padahal ianya huruf ain. Tak kurang, ada juga yang sebut "ANA'AM". Sebutan begini salah. Jika hadapi kesulitan, dah usaha betulkan masih tak dapat juga, jangan begitu jelas sangat bunyinya.

23. Kesalah seterusnya ialah, suka berhenti pada "Ghairilmaghduu bi'alaihim". Tak boleh berhenti situ. Kalau nak berhenti, henti pada sebutan "Na an'am ta'alaihim". Kemudian sambung nafas baru pada "Ghairil maghdu...". Okay?

24. Pada sebutan yang sama tadi, kita tak sebut huruf "Gha" tau, apabila mim mati bertemu Gha, sepatutnya maghdu, disebut "makdu" atau "maqdu" sahaja.

25. "bi'A laihim", ain disebut alif sedangkan disitu huruf ain.

26. "Waladdoollin". Pada sebutan "Ladd" itu ada yang selalu sebut Lam mati bertemu dal, sedangkan ia bertemu dod. Kena tekan dalam sikit pada dod tu. Lebih kurang begini ruminya, "Walaudd" (lidah melekat pada depan rahang/lelangit). Kemudian, sebutan "DOOOLlin" selalu ramai yang baca tak sampai 6 harakat, sedangkan ia wajib dibaca dengan 6 harakat pada huruf dal bertemu sabdu Lam.

27. Kesalahan seterusnya ialah pada setiap hujung-hujung ayat, harakatnya mestilah dibaca sama dari permulaan hingga habis. Boleh pilih ikut keselesaan anda, ia boleh dibaca pada dua, empat atau enam harakat. Sebagai contoh ia dibaca 4 harakat, "BismillahirrohmanirroHIIMMMM..", Alhamdulillahhirrobbil 'alaMIINNNN" "ArrohmanirroHIIMMMM". Faham tak? Ini macam syair atau pantun lah, rima akhir kena sama panjang dan sebagainya. Tak boleh baca ikut sedap saja, ayat pertama dua harakat di penghujung, ayat kedua enam harakat di penghujung. Ini salah. Nak sempurnakan bacaan. Pastikan penghujung ayat itu habis dengan harakat yang sama, teratur dan berirama.

Semua ini kesalahan-kesalahan biasa yang selalu berlaku dalam bacaan Al-Fatihah. Sebenarnya banyak lagi kesalahan lain. Boleh rujuk dengan yang lebih arif. Nak belajar Al-Quran sebenarnya ada adab, kita kena duduk berhadapan dengan guru. Supaya apa yang kita sebut, dan apa yang diajar oleh guru lebih jelas. Bukan belajar di internet semata. 

Buat sementara waktu, anda boleh rujuk video yang lebih jelas diterangkan oleh Ustaz Don Daniyal di sini. Sangat bagus, sebab dapat lihat pergerakan mulut dan dapat dengar sebutan sebenar yang perlu kita baiki.

Apa pun, harap anda dan saya, kita sama-sama ambil iktibar, perbaiki bacaan Al-fatihah agar betul dan agar solat sah. Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Jika tak dapat mencegah kita dari melakukan semua itu, there must be something wrong dengan solat kita. Kan? Lagi satu, kalau lelaki nak kahwin nanti pun, tak boleh failed tajwid Al-Fatihah ni tau. Nak jadi Imam nanti. Jadi, bolehlah perbaiki mulai sekarang. In Shaa Allah, masih belum terlambat.

Jika artikel ini bermanfaat untuk anda, tinggalkan komen untuk rujukan saya dan sila kongsi dengan rakan-rakan yang lain. Boleh klik button share di bahagian kiri bawah artikel ini. Moga Allah ganjarkan pahala kebaikan buat kita semua. Mudah-mudahan Allah redha dengan ilmu yang dikongsi ini. 

Jaga diri, jaga iman. 
Sekian, Wallahualam Bissawab

Kredit Ilmu : 

1. Ustaz Azhar Idrus
2. Ustaz Don Daniyal
3. Ustaz Ahmad Adnan Fadzil
4. Fatih Seferagic

"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you
Read More...