"Mana Asyraf hilang?" "Kenapa lama tak update blog?!"
Soalan ini aku terima di e-mail dan di ask.fm. Dan ada beberapa orang lagi bertanyakan soalan hampir sama. Satu soalan pun tak berbalas kan? maaf! Bukan sengaja tak nak balas. Tapi memandangkan harini punya kesempatan sebentar. Sini aku ceritakan, ceritanya panjang. Tapi Asyraf ringkaskan. Cepat duduk sopan-sopan, comel-comel, kita dengar cerita dari Inche' Asyraf! Haha Kemain..
***
Al-Kisah! Dua minggu yang lalu, sebelum raya Qurban. Aku kembali bercuti di Kedah. Sebelum ni bertenggek di Shah Alam sana. Abah jemput aku di Terminal bas Shahab Perdana Alor Setar. Mak dan adik-adik semua ikut. Happy! Alhamdulillah. Walaupun letih dengan perjalanan panjang 8 jam dari Shah Alam. Aku tak henti tersengih. Excited jumpa mak abah.
Bila aku masuk saja kereta, abah terus memandu untuk pulang ke rumah, dan dalam perjalanan abah batuk-batuk. Semuanya diam. Macam sembunyi sesuatu dari aku. Tapi aku tak fikir sangat. Sebab masing-masing mungkin penat sebab dah tengah malam. Jadi, disebabkan nak hilangkan rasa sunyi. Aku bercerita dari awal perjalanan sampailah tiba di rumah. Adik-adik lah yang banyak ketawa. Adik bongsu yang kebiasaannya kuat tidur dalam kereta bertenaga je dia.
"Angah dah makan? Balik nanti makan laksa, mak dah masak tu"
Tiba-tiba abah bersuara.
"Dak lagi, yesss! ada laksa! Mekasih mak, mekasih abah!"
Aku yang tengah bercerita panjang dekat adik-adik tiba-tiba berhenti bercerita sebab dengar perkataan laksa! Feveret Inche' Asyraf lah!
Dan bila sampai saja di rumah, aku terus berlari ke dapur. Beg dalam kereta pun lupa nak angkat. Alhamdulillah, malam tu dapat makan masakan mak. Heaven sangat lah. Sekembali aku di ruang tamu, abah dah pun tertidur di sofa. Kesiannn.. Hanya tinggal mak disebelah abah masih menjahit beberapa helaian baju kurung. Rajin mak ambil upah menjahit baju raya. Cari duit lebih katanya.
"Abah dah tidur mak?" Aku tanya soalan klise
"dah tidoq dah tu, abah hang tak sihat" Jawab mak ringkas
Aku hampiri sofa yang abah tidur. Aku letak telapak tangan di dahi abah. "Hmm.. Panas badan abah. Demam teruk ni, nafas abah macam tersekat-sekat waktu tidur". Inche' Asyraf berbisik sendiri.
"Abah demam, tak pergi klinik ka mak, nampak macam sesak nafas ni?"
Soalan klise lagi aku tanya mak. Penuh serba salah sebenarnya! Mak angguk beberapa kali...
"Dah bawa dah, 3 kali asyik ulang pi klinik. Doktor cakap demam besa ja. Tapi demam abah dok macam tu. Risau mak pun"
"Kalau macam tu, esok kita ajak along bawa abah pi hospital naa.. Mak pun rehatlah, satgi mak sakit sama. Angah lagi risau"
Itu je yang mampu aku cadangkan time tu. Tapi mak setuju. Keesokan harinya, aku, kakak dan mak bawa abah ke hospital. Waktu abah dalam kereta, abah dah mula sesak nafas dan muntah-muntah. Panik jugak aku. Nasib ada inhaler asthma. So, abah nampak okay sikit. Tiba di wad kecemasan, jururawat dan staf hospital terus sambut abah di pintu kereta. Alhamdulillah layanan agak baik.
Dua jam abah dalam bilik rawatan kecemasan. Aku, mak dengan akak resah di luar. Beberapa kali aku tengok mata mak berair. Mak nangis! tapi sembunyi dari aku.
"Assalamualaikum, mohon keluarga pesakit bernama Khalib Zakaria masuk ke bilik nombor 3 segera"
Pengumuman di wad kecemasan. Itu panggilan untuk kami. Ketiga-tiganya sekali bergegas masuk.
"Paru-paru suami puan rosak, dan ada banyak air dalam paru-paru suami puan. Kami terpaksa tahan suami puan di wad. Harap banyak bersabar ya."
Ada doktor explain benda tu kat mak. Aku terdiam tengok abah. Abah nampak letih. Pucat muka dia. Dugaan apa ini wahai Allah? Tiba-tiba soalan itu muncul di fikiran. Aku usap dada, aku kesat air mata. Teringat peristiwa tahun lalu, tatkala 8 bulan abah terlantar di hospital akibat menderita penyakit usus. Abah kurus sangat! Tapi tahun ini abah terima lagi sakit. Ya paru-paru.
Abah genggam tangan aku, dia angguk macam minta aku sabar. Abah tak senyum langsung, tapi still handsome! macam aku ahh. haha. Abah tak senyum sebab sakit sangat agaknya. Ada darah kat tangan abah, mungkin kesan suntikan tadi. Aku pusing cari along, dia dah terduduk tepi dinding menangis. Sabar, sabar, sabar.
"Kan angah dah kata, Allah sayang kita!"
Aku bergurau dengan mak, mak kesat air mata. Dia angguk dari tadi.
***
Hari berganti hari, abah masih belum ada sebarang perubahan. Doktor kata take time! Doktor asyik suntik abah dengan pelbagai ubat. Aku tak rajin untuk bertanya. Hanya duduk teman abah dan bacakan yassin. Harap-harap abah rasa selesa. Hari ketiga di hospital, mak pula demam panas. Mungkin tak cukup rehat. Jadi mak terima rawatan sama di hospital.
Allah... keduanya sakit serentak. Semoga cepat sembuh! Itu harapan aku setiap hari. Aku bergilir dengan akak untuk jaga keduanya. Aku jaga mak, dan akak jaga abah. Ada waktu aku akan pulang ke rumah jenguk adik-adik kat rumah. Kena masak (jadi chef!), cuci baju dan hantar budak-budak tu ke sekolah. Nasiblah adik-adik dah besar. Keduanya faham.
Hari kelima di hospital, akak muntah-muntah, dia minta izin nak balik rehat. Aku angguk faham. Kesian akak, tak cukup rehat. Dan kemudian aku dapat panggilan dari adik bongsu. Dia cakap akak pun demam panas di rumah.
Aku tak bagitahu mak abah, aku nak keduanya tenang dan cepat pulih. Aku pura-pura bertenaga walaupun dah penat sangat. Aku tak habis dengan buat benda kelakar supaya mak abah happy. Petang tu aku balik dan bawa ubat untuk akak kat rumah. Amanahkan pada adik-adik jaga akak sebab aku tak akan sempat balik. Adik-adik ponteng sekolah. Sedih! sumpah sedih. Aku nak semuanya ke sekolah. Tapi tak mampu aku nak urus semuanya. Maafkan angah!
Di hospital, doktor cakap mak dah makin sembuh dari demam. Terima Kasih encik doktor. Alhamdulillah, syukur pada Allah. Muka mak nampak pucat lagi. Aku nak mak balik rehat kat rumah. Tapi mak berkeras nak jaga abah. Isteri yang baik. Aku izinkan tapi aku tetap membantu. Mak tak mungkin larat nak beli makanan sendiri. Jadi aku ada!
Tak lama lagi Raya Qurban. Abah nampak sedih. Bila aku tanya kenapa, abah cakap dia nak balik. Abah minta izin dengan doktor untuk balik berehat di rumah. Doktor izinkan. Abah nampak happy. Tapi dia tak boleh berjalan sendiri. Wheelchair membantu. Sehari sebelum raya Qurban. Aku tengok semua jiran buat persediaan untuk raya. Selalunya harini mak akan buat ketupat. Tapi mak belum sihat sepenuhnya. Jadi aku tak bagi mak masak apa-apa.
Aku dan adik-adik kemas rumah ala-kadar. Tak semangat nak raya. Abah terbaring di tilam. Hanya mampu pandang kami bertiga mengangkat itu dan ini. Abah dah banyak hari tak jamah apa-apa makanan. Kurus badan abah. Adik bongsu aku (Alia) cakap "abah tinggal tulang!". Tapi betullah, abah nampak lain. Sedih tengok abah macam tu.
Malam raya tu, aku tengok mak bangun ke dapur. Mak rebus nasi himpit dan masak kuah kacang.
"Esok kita makan ini cukuplah.. nanti mak sihat, mak masak banyak lagi"
Mak pujuk adik-adik yang muram di dapur.
Kebetulan malam raya tu akak pun dah sihat sikit, dia keluar belikan kuih raya. Dia tahu adik-adik sedih raya kali ni tak best.
"Nasi himpit dengan kuah kacanglah sedap, bukan selalu kita dapat makan tau, syukur rezeki Allah bagi, banyak mak masak tu"
Aku menyibuk di dapur. Aku pujuk adik-adik, sesekali aku kenyit mata sebagai tanda isyarat supaya masing-masing jaga hati mak. Kesian mak. Mujur adik-adik faham.
HARI RAYA QURBAN TIBA!
Esoknya mak bangun awal sangat, pagi raya! Mak gagahkan goreng bihun untuk kami. Alhamdulillah sedap. Yang mana sihat ke masjid untuk solat sunat hari raya. Mak jaga abah di rumah. Selesai solat, kami semua balik dan makan bersama. Mak menangis pagi tu. Barangkali ini kali pertama raya tak semeriah selalu. Abah beberapa kali kesat air mata. Tapi dia sembunyi dari kami semua. Sakit-sakit pun hero keluarga tu.
Sampai harini abah masih belum sembuh dan masih terlantar di katil, esok atau lusa abah akan kami hantar ke hospital semula untuk dapatkan rawatan seperti biasa. Terima Kasih Allah. Mudah-mudahan ujian ini gugurkan dosa. Hari raya pertama tu, adik yang bongsu pula demam. Kesian tak dapat beraya. Agak ramai tetamu datang beraya di rumah. Minta maaf makanan tak seberapa. Hanya itu mampu kami sediakan. Alhamdulillah ada juga yang datang sedekah daging Qurban. Rezeki Allah bagi tak henti.
Minta maaf, entri berterabur ini sebagai penjelasan kenapa saya menghilang. Jam 3 pagi saya taip entri ini lepas dah tidurkan abah. Maaf kalau ada typo, ayat salah dan berbelit. Mata dan otak letih! Kenapa berjaga sampai jam 3 pagi? Erm.. Bila malam abah susah tidur. Dia batuk sampai sesak nafas. Jadi terpaksa berjaga sebab risau. Bergilir dengan mak dan kakak. Sebenarnya cerita ni panjang sangat. Banyak lagi peristiwa pahit saya tidak ceritakan. Cukuplah ini jadi penjelasan sementara.
Kesempatan ini saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua. Doakan yang terbaik untuk abah dan keluarga saya. Hanya Allah dapat balas budi baik semua. Mungkin ada yang bertanya, kenapa Asyraf macam tak sedih? Bukan tak sedih, tapi cuba tenang. Kalau tak dengan saya sekali kalah. Dugaan Allah hebat. Tapi syukur, yakin ada hikmah. Twitter dan facebook tetap saya update untuk hilangkan rasa tak tenang dan sunyi saya. Minta maaf atas segala kekurangan.
Mudah-mudahan raya Qurban ini kita sama-sama dapat perbaiki diri dan menghayati erti pengorbanan.
Sekian dari saya dan keluarga.
AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
Read More...
"Pentingkan yang lebih penting kerana yang lebih penting itu lebih penting dari yang penting" -Ustaz Shamsul Faizal
Faham tak 'kuot' kat atas ni yang Ustaz Shamsul pesan? Kalau agak tak berapa nak faham, jom baca entri yang Inche' Asyraf tulis ni! Rekaan semata-mata tau!
***
"Ana kena berdakwah habis-habisan!" Jerit Ali.
Serban dikepala Ali diikat kemas, semangat nak berdakwah di laman sosial membuak-buak. Setiap daripada tweet dakwah miliknya mendapat retweet dari ratusan followers. Tersenyum gembira Ali bila melihat ramai yang suka dengan kata-katanya. Jubah hadiah daripada ibu tetap dipakainya walaupun cuma berbaring di katil dan seharian menghadap komputer riba. Bila ditanya, pakaian sunnah jawabnya.
*Azan berkumandang*
"Allahuakhbar, Allahuakhbar!"
"Hoi Ali! dah azan, jom turun surau!"
Aiman, rakan sebilik Ali lekas mengajaknya ke surau. Ali masih lagi dengan komputer riba miliknya. Sesekali kedengaran bibir Ali menngucapkan Alhamdulillah apabila akaun Twitternya itu bertambah pengikut. Ajakan Aiman tidak diendahkan.
"Kau turun dulu okeh!, ana nak kena berdakwah ni. Ada ayat baik untuk ditulis dan perlu dihabiskan! penting sangat! demi Ummah!"
Balas Ali dengan begitu semangat.
Kerana tidak mahu terlewat dan terlepas solat berjemaah, Aiman terus keluar sambil mengelengkan kepala memikirkan rakannya Ali.
Selesai sahaja solat Zohor, Aiman kembali ke bilik untuk menyambung tugasannya yang masih belum selesai. Kelihatan Ali masih lagi meniarap di katil dengan posisi sama. Satu persatu laman sosial berganti-ganti dibukanya. Facebook, Twitter dan Blog menjadi medium untuk menyampaikan dakwah. Bagus!
"Kau dah solat Zohor Ali?"
Soal Aiman.
"Belum lagi, kejap lagi aku solatlah. Awal lagi... Aku nak mengajak orang lain yang asyik online ni untuk solat bersama dan saling mendoakan. Baru bertambah pahala amalan!"
Jawab Ali dengan panjang lebar.
"Tapi Ali... kan solat tu..."
Belum sempat Aiman menghabiskan ayatnya..
"Eh kau ni, membebel je lah, cuba berlapang dada sikit. Jangan buruk sangka dengan aku!. Kau tahu apa itu husnudzon? Tak tahu kan??? Itulah, lain kali kau kena ikut aku pergi usrah!"
Balas Ali dengan penuh yakin.
Aiman tunduk mendiamkan diri. Dia sedar dirinya kurang pengetahuan tentang hal-hal dakwah berbanding Ali yang setiap minggu akan mengikuti kumpulan usrah. Aiman lebih banyak duduk dibilik dan menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarahnya. Belum berkesempatan untuk turut serta bersama Ali dalam usrah. Sesekali bangga dengan perubahan Ali dalam mendekati agama. Cuma akhir-akhir ini Ali berkelakuan aneh.
Aiman mengelamun panjang, teringat pula akan kertas kajiannya yang masih bertangguh. Aiman mengatur langkah dan memilih untuk duduk di meja belajar. Sesekali matanya mencuri pandang Ali.
"Astaghfirullahal adzim, Tidur pula mahkluk ni."
Kelihatan Ali tertidur di katil dengan komputer ribanya masih lagi terpasang. Aiman serba salah untuk kejutkan Ali. Nampak benar Ali letih. Banyak betul kerja dakwahnya sehinggakan tidak cukup tidur. Aiman membiarkan Ali rehat, sungguhpun hatinya tergerak untuk cuba mengejutkan Ali solat, tetapi niatnya terbatal apabila risau dia akan dimarahi Ali lagi seperti tadi.
Waktu berlalu pantas, waktu solat Asar sudahpun tiba. Aiman turun ke surau seperti biasa. Ali masih lagi nyenyak dibuai mimpi. Aiman rasa bersalah bila terfikirkan Ali yang terlepas waktu solat.
"Menyesal pulak tak kejutkan Ali tadi! Hmm.. Tapi kalau kejut nanti..."
Aiman banyak mendiamkan diri haritu. Barangkali memikirkan cara terbaik untuk kembali menyedarkan Ali. Usaha dakwah Ali itu memang bagus, tetapi sudah jadi tak bagus bila diri sendiri tidak tunaikan tanggungjawab pada Allah. Ada waktu usaha dakwah harus dipantulkan pada diri. Supaya adil ditarbiyah.
"Ali kau dah banyak kali tinggal solat kan? kau okay tak?"
Aiman cuba bertanyakan Ali tentang masalahnya.
"Hmm.. aku sibuk dakwah, sebab haritu rakan usrah aku cakap kita kena jadikan laman sosial sebagai medium untuk sebarkan agama. Laman sosial adalah medium terbaik. Itu kadang-kadang aku sampai terlepas solat."
Jawab Ali.
"Tapi Ali.. kau dah fikir yang mana penting dan yang mana lebih penting? Kau dapat beza tak dengan yang mana satu wajib dan yang mana satu sunat?"
Soal Aiman tidak berpuas hati.
"Aku faham Ali, kau hebat dengan bab dakwah, tapi itu bukan alasan untuk kau tinggal solat. Dalam kubur nanti amal yang disoal dulu Solat kan? Aku rasa kau dah arif tentang tu. Aku pun follow twitter kau, kau selalu pesan tentang solat. Tapi aku hairan kau sendiri tak buat. Tak sampai amal dakwah kau kat atas sana weyh. Ingat solat tiang agama"
Sambung Aiman dengan panjang lebar. Sayang benar dia dengan Ali. Penuh harapan Aiman agar Ali faham dengan kata-katanya.
"Minta maaf Aiman, aku tahu aku salah. Aku banyak lebihkan waktu aku dengan kerja dakwah. Even usrah aku tak pernah tinggal. Tapi salah besar aku tinggal solat. Berdosa aku Man. Minta maaf sebab tadi aku rendah-rendahkan kau."
Ali mula menyesal dengan perbuatannya. Berulang kali kata maaf diberi pada Aiman. Aiman menepuk bahu Ali sambil menganggukkan kepalanya tanda memaafkan.
"Ali, lepasni kalau kau nak pergi usrah, ajak aku. Aku nak ikut. Tapi ingat, bahagikan waktu terbaik untuk laman sosial. Pentingkan yang lebih penting kerana yang lebih penting itu lebih penting dari yang penting. Faham? haha"
Aiman bergurau supaya Ali kembali bersemangat.
"Faham bro Aiman, kau hebatlah. Yang 'penting' itu dakwah, dan yang 'lebih penting' tu pulak solat fardhu kan? Heh, aku janji lepasni tak buat lagi dah. Menyesal." Balas Ali
"Alhamdulillah, baguslah kalau macam tu. Lepasni kalau kau buat lagi, aku kurung kau dalam toilet! Dah pergi solat cepat, nanti habis waktu lagi. Jangan lupa ganti yang terlepas. Hutang dengan Allah tuuuu!"
Tegas Aiman.
TAMMAT gituhhh Bosan en?
So, dah faham sikit dengan 'kuot' atas tadi? mudah-mudahan faham la inche-inche puan-puan semuanya ya! Haha. InsyaAllah moga kita tergolong dalam kalangan mereka yang diredhaiNya. Ingat, dakwah-dakwah juga, yang wajib don't forget. Laksanakan dan utamakan yang lebih penting. Mudah-mudahan Allah sayang.
Sekian dari Inche' Asyraf. Sebarang komen, cadangan, permintaan atau idea bernas untuk entri akan datang. Jangan malu jangan segan. Maklumkan pada saya. Maaf entri kali ni tak best, jangan marah saya ! :/
Tabarakallah, and rock on.
AutoTagged "Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
Read More...
Bismillahirrahmanirrahim,
“Maka datanglah sesudah mereka, pengganti yang mensia-siakan solat dan mengikut hawa nafsu. Mereka akan menemui al-ghoyya (Neraka Jahannam), kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh.” (Maryam : 59-60)
Mukadimah, leteran, bebelan!
Hai Hello, Entri kali ini tentang masalah solat. Aku yakin, mesti ada antara kita yang dah besar panjang ni, masih ada masalah suka tinggal solat kan? Sebenarnya itu bukan masalah, tapi itu penyakit. Masalah boleh selesai dengan pelbagai cara, tapi penyakit ni kena cari ubat.
Tak kisah apa alasan kita tinggal solat, sengaja atau tidak sengaja, kalau tak solat fardhu 5 waktu jawabnya tetap berdosa besar (Nauzubillah). Rasanya, semua dah tahu, terang-terang dalam rukun Islam ada tersenarai "Solat Fardhu 5 Waktu". Ada yang bertanya dengan bengis,
"Kalau dah sedar Islam, habis kenapa still tinggal solat?!"
Soalan ni kalau tanya dekat aku! suatu ketika dulu (heh..). Pun sama jugak, aku akan diam dan diam. Sebab itu kesalahan aku dulu. Allahu, hitam memori lama.
Ehemmm..jap, cuba ingat semula, mungkin pernah dulu ada suatu ketika, waktu kita kecik (tadika lagi mungkin), kita rajin sangat solat. Menangis minta mak belikan kopiah, telekung hanya semata-mata sebab nak solat. Kenapa jadi macam tu dulu? Ada kajian dan beberapa perbincangan hebat oleh pemikir Islam yang menyatakan bahawa kita jadi macam tu sebab anak kecil memang ditakdirkan Allah taa'la lahir je terus jadi macam "span"! Ya, span, letak dalam air apa pun dia serap air tu. Kotor atau bersih air, span tetap serap. Macam tu jugak anak kecil, apa yang orang buat, dia nak ikut sama. Kalau baik yang ditunjukkan orang dewasa, baik jugaklah untuk dia, dan begitu jugak sebaliknya.... Tapi kenapa waktu kecik jeee.. bila besar kita dah tak buat semua tu? Dimanakah silapnya? Bukan salah ibu mengandung. haha
SEKARANG kita dah berakal waras, dah baligh, besar panjang, boleh online facebook, boleh update twitter, dapat masuk universiti, tapi masih ada satu perkara yang Allah nak sangat kita laksanakan tapi kita tinggal. yakni SOLAT!
Baiklah, aku rasa semua sedar salah tinggal solat tu, jadi tak perlu stress dan cari salah sampai buat kita rasa hina tahap nak bunuh diri ennn.. Aku rasa dalam entri ni kita lepak-lepak, minum kopi. Sembang dan bincang macam mana nak settle kan semua ni?
Kalau ikut pengalaman aku, masa sekolah lagi. Dulu aku pun problem dengan solat fardhu. Kejap buat, kejap tak buat. Kadang-kadang full, kadang-kadang tak ada langsung! hmm..
Jadi harini rasanya ada tips mudah untuk kekal istiqamah. I mean bukan istiqamah dalam semua hal, tapi sekurangnya untuk permulaan ni, solat fardhu paling utama. Semua tips kat bawah ni aku pernah buat untuk ubah diri sendiri. Nak tunggu orang ubah kita mana mampu kan. Sampai bila pun tak berubah kalau kita asyik tunggu nak dengar cakap orang. Jadi bagi yang ada masalah sama, rasanya jangan tangguh. Boleh cuba cara kat bawah ni, usaha yang aku pernah buat dulu.
TIPS ELAK TINGGAL SOLAT

1. LETAK SEJADAH DI TEMPAT TIDUR
Benda ni aku mula buat sejak darjah 6. Macam kita semua tahu, sejadah sememangnya jadi alas dan tempat sujud kita sewaktu solat. Bagi aku sejadah ni benda suci yang kita kena jaga. Bila tengok sejadah, mesti dalam hati tiba-tiba terdetik
"Eh aku tak sembahyang lagi ni!".
So caranya, aku ambil sejadah kesayangan aku, aku lipat dengan kemas dan letak atas katil atau kat meja belajar aku. Actually apa yang aku nak maksudkan letak sejadah tu dekat tempat yang kita suka duduk dan lepak buang masa (kecuali tempat kotor, itu jangan). Jadi aku ni dulu balik sekolah selalunya akan terus tidur. Solat zohor sah terlepas! Dan tempat kedua aku suka duduk kat meja belajar, aku bukan belajar sangat. Tapi aku suka habiskan baca buku yang tak ada kaitan sangat pun dengan pelajaran. Punya leka baca buku, solat aku entah kemana.
Bila aku ternampak je sejadah kat depan mata, hati anak Islam ni satu yang best! Kita confirm ada rasa serba salah kat hati, dan aku rasa effect rasa bersalah tu wujud kat bahagian paling dalam sekali, haha!. Dan waktu rasa bersalah tu muncul. PLEASE cepat pergi ambil whuduk dan solat. Lawan jugak bisikan yang asyik nak beralasan tak nak solat tu. Dengan cara ni, sedikit demi sedikit, kita latih diri untuk biasakan diri dengan solat. Sekurang-kurangnya iman kita yang selalu menangis ni tenang juga. Dan InsyaAllah lama kelamaan, FULL 5 WAKTU SEHARI SEMALAM. Alhamdulillah berkesan pada aku, sebulan amalkan benda ni, aku punya solat better lah dan sekarang full tak pernah tinggal lagi dah.
P/s : Mak abah pun senang hati dan siap hadiahkan aku jubah baru!

2. DENDA : JANGAN MAKAN KALAU TAK SOLAT
Mungkin bagi yang baca ni, macam kejam pulak kan. Tapi aku pernah buat. Sebenarnya bila dah besar ni, mak ayah tak pukul kita dah. Diorang tahu kita malu. Tak kan besar pun nak kena pukul lagi. Waktu macam ni lah kita kena fikir dan usaha sendiri. Macam mana nak ubah diri jadi lebih baik? Aku rasa kalau besar ni, mak ayah pukul pun tak ada guna. Kau, aku dan yang lain akan lebih memberontak. Kesian mak ayah, tak larat dah nak tegur kita hari-hari sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :
“Perintahkanlah anak untuk solat ketika telah mencapai usia tujuh tahun. Dan bila telah berusia sepuluh tahun, pukullah dia bila dia enggan menunaikannya.” (HR. Abu Dawud)
Jadi aku ambil inisiatif untuk ajar diri sendiri, bila aku terlepas Subuh. Maksudnya aku sengaja atau malas nak bangun solat Subuh. Tiada makanan tengahari untuk aku. Menjadi tak? ya menjadi. Mak pernah tanya kenapa tak makan, alasan aku cuma "Sekejap lagi". Tapi untuk buat benda ni kena kuatlah, kata nak hukum diri kan. Janganlah kau pegi lahap jugak makanan bila dah lapar.
Bagi aku cara denda diri ni, bagus jugaklah sebab lepasni kita akan takut kalau tinggal solat sebab tak dapat makan. Mungkin akan ada orang cakap,
"Nanti kau solat sebab makanan, bukan ikhlas kerana Allah!"
Eh! aku rasa better solat macam ni dari kau tak solat langsung. Aku tak cakap solat sebab makanan, cuma ini salah satu latihan untuk ubah diri. Lama-lama ikhlas lah. Lagipun apa-apa urusan InsyaAllah bergantung dan ditentukan dengan niat. Cuma nak pesan, kalau gastrik, jangan cuba tips ni. Tapi apalah sangat setakat tahan lapar kan, salah sendiri tak solat. Solat tak nak, tapi makan nak, tak adil lah kan.

3. LEKATKAN NOTA "SILA TUNAIKAN SOLAT" PADA DINDING BILIK
Benda ni dari sekolah sampai Universiti aku buat, roommate aku pun suka. Aku akan print out atau tulis dengan tangan je besar-besar ayat yang ingatkan aku untuk solat. Jadi setiap kali ternampak sign tersebut kat dinding. Confirm aku malu dan cepat-cepat selesaikan solat yang bertangguh. Kadang-kadang kita kena cuba untuk malukan diri sendiri dengan nota besar di dinding!
Gambar Hiasan
4. PEKAKKAN TELINGA DAN BUTAKAN MATA UNTUK PERKARA TIDAK PERLU (POSITIF DALAM SETIAP URUSAN)
Selalu orang yang nak berubah ni penghijrahan dia tak menjadi. Berubah seminggu, minggu depan jadi balik. Salah satu punca adalah orang sekeliling kita. Bila nak berubah ada yang akan ejek kita (Kemudian kita malu!). Kadang-kadang ada jugak yang memuji tetapi sebenarnya nak menyindir (Dan kemudian kita PUTUS ASA). Ini kebiasaan yang aku rasa selalu berlaku. Aku dulu pun pernah alami situasi sama. Macam mana nak atasi?
Berbalik pada diri sendiri, tanya diri hidup dan ibadat yang kita nak lakukan ini untuk siapa? Perubahan ini kerana apa? Bila kita tahu matlamat kita, perkara yang tidak perlu akan kita belakangkan. Letak Allah yang paling utama.
Jadi sepanjang proses nak berhijrah, endahkan saja apa orang kata. Mulut orang mana kita boleh tutup. Kedua yang penting adalah mata kita, jaga pandangan sehabis mungkin. Apa yang mata pandang, akan turut mempengaruhi diri dan iman kita yang memang lemah kat dalam ni. Jadi pandang yang baik-baik. Ubah dan set fikiran untuk selalu positif. Orang kutuk, orang hina, orang sindir, anggap itu satu teguran. Ambil yang baik, yang buruk buang jauh. InsyaAllah lama-lama kebiasaan kita endahkan orang yang dengki dengan kita akan turut ubah orang tersebut. Mana tahu akan ada yang menyesal dan kembali mohon maaf. Aku pernah orang datang cakap,
"Aku tak boleh la nak tahan telinga dengar tomahan orang, aku down!"
Situasi macam ni aku faham, sebab aku pun lebih kurang jeee.. Kadang-kadang aku akan bertekak balik dengan orang tu. Cuma bila lama-lama berlalu, aku fikir semua tu tak mendatangkan apa-apa. Bila aku bertekak dengan diorang, tu cuma buat semuanya jadi tegang. Tak best. Aku tak suka ada jeling-jeling masam muka. Bagi aku untuk jadi penyabar kena banyak tegur diri sendiri. Lebihkan memandang salah yang ada pada diri kita. Ingat..
"Orang baik, tak akan cakap dia baik"

5. BUAT PENILAIAN HARIAN
Apa itu Penilaian Harian? Penilaian harian yang aku maksudkan ala-ala survey lah. Maksud aku lepas Isyak, sebelum tidur, kau ambil satu kertas kosong, catat solat apa tinggal, dan solat apa yang kau dah laksanakan. Tulis tarikh dan hari pada tiap kertas.
Jadi bila ada catatan, kau akan nampak hutang kau dengan pencipta makin hari makin banyak. Tu tak masuk lagi dosa lain yang kita tak sedar kita buat. Nauzubillah, tapi itu yang aku maksudkan. Kita kena tegur diri sendiri tentang solat! solat tiang agama, tak solat akan mempengaruhi hidup dan kelakuan kita seharian.

6. KURANGKAN HIBURAN LEBIHKAN AL-QURAN
Kurangkan hiburan tu bukan bermakna aku tak layan dah lagu-lagu baru. Aku tetap layan. Maksud aku kurangkan menonton dan dengar lagu yang buat kau leka dengan dunia sekejap. Dengar lagu sikit asyik nak berangan boyfriend/girlfriend je (sedih-sedih kesat air mata.. grrrr), semua tu susah nak buat kita ingat Tuhan. Otak lemah.
Running Man? roommate aku pun tengok, tapi ada waktu lah, time solat, kena tegas lah. Bangun solat, tak hilang lah running man tu.
Macam aku sebut kat atas tadi tentang mata dan telinga, kedua ni pengaruh besar pada kita. Kita menonton filem contohnya, kalau kerap tengok adegan yang tak bagus, dalam otak akan terfikir-fikirlah nanti. Rasanya tak baik untuk diri. Sebab aku pernah dengar Ustaz Shamsul Faizal cakap. Ustaz Shamsul ni banyak beri inspirasi untuk aku. Katanya,
"Kita akan hilang kusyhuk dalam solat kerana terlalu banyak perkara melalaikan dilakukan di luar solat, dalam solat pun kita dok berangan"
Bagi aku benda tu betul, sebab waktu solat, even tengah baca surah, kepala otak ni kadang-kadang imagine benda lain. Situasi ni sangatlah bahaya sebab solat tu komunikasi kita dengan Allah Taa'la.
Lebihkan Al-Quran? Untuk elak tinggal solat, penting jugak untuk kita selalu dekatkan diri dengan Al-Quran. Selalu baca Al-Quran sekurangnya satu halaman sehari. Kalau tak sempat, seminggu sekali baca time hujung minggu pun dah cukup baik (InsyaAllah entri lain nanti aku bincang pasal problem kita dengan bacaan Al-Quran pula).

7. MINUM AIR MASAK DENGAN BANYAK
Siapa kata air masak tak penting? Apa kaitan air masak dengan masalah tinggal solat ni aeh? Sebenarnya air masak bantu kita untuk selalu segar berbanding air yang ada perasa tambahan lain. Amalan minum air masak setiap hari InsyaAllah kurangkan sikit rasa malas untuk solat tu. Oksigen kat otak lebih! Nampak macam benda simple, tapi aku pernah try benda ni untuk ubah diri aku. Tu pun atas nasihat beberapa orang guru dan pensyarah juga pakar motivasi. Sampai sekarang amalkan. Botol besar weyh air.

8. JAGA MULUT (LIDAH)
Dalam tempoh nak berhijrah, latih diri untuk jaga mulut. Jangan keluarkan perkataan yang tak baik, elakkan penipuan dan berterus terang dalam segala urusan. Bila Allah redha, doa kita untuk berubah InsyaAllah lekas dimakbulkan. Mudah-mudahan kita jadi hambaNya yang bersabar dan istiqamah.

9. JANGAN IKUT KAWAN
Jangan ikut kawan? Maksudnya, kalau nak solat, silakan buat. Bila hati terdetik kata nak tunaikan solat dulu, tapi kawan cakap "sekejap lagi", pilih keputusan yang diri sendiri buat. Nanti terlupa, rugi kita. Dah berdosa lagi. Ikut kawan untuk perkara yang mendatangkan faedah, kawan tinggal solat ni sebenarnya musuh yang bahaya. Syaitan paling hampir dengan mereka. Kadang-kadang mereka digunakan oleh Syaitan untuk turut mempengaruhi dan memperbodohkan kita supaya ikut dan tinggal solat. Tapi ingat, kawan anda bukan syaitan, cuma perlu berhati-hati. Pengaruh rakan sangat hebat, sekali kita tinggal solat. Susah nak ubah, kita akan jadi seronok dan malas.

10. SET ALARM REMINDER (AZAN) PADA TELEFON BIMBIT
Telefon bimbit mahal apa guna kalau tak install aplikasi yang ada ingatkan tentang waktu solat. Kalau malas sangat, set alarm. Boleh guna "azan" sebagai nada dering. Jangan malu, nak berubah. Kita kena bersungguh-sungguh. Iman kita lemah, kita kena lawan nafsu. IsyaAllah Allah sayang.
11. RAJIN WHUDUK
Amalan selalu berwhuduk ini baru jugak aku amalkan, boleh dikatakan setiap kali selesai kuliah dan punya waktu lapang untuk balik rehat di rumah, aku akan cuba untuk whuduk. Amalan ni sangat berkesan untuk bantu kita kekal bersih dan tak tinggal solat. Orang yang selalu berada dalam whuduk, ustaz cakap malaikat selalu menghampiri dan syaitan takut nak dekat. Tambahan pula dengan bibir dan lidah yang tak henti berzikir. Subhanallah. hebat nanti. Aku tak adalah macam tu, tapi kita cuba sama-sama.
Dari amalan whuduk, kita tambah pula dengan zikir, InsyaAllah bukan saja solat terjaga, tapi kebaikan yang lain pasti menyusul. Tak kisah kalau berwhuduk bukan waktu solat pun. Diri lebih bersih dan yang pasti akan selalu tenang.

12. SEGERAKAN SOLAT
"Allahu Akhbar, Allahu Akhbar"
Dengar sahaja azan berkumandang, cepat-cepatlah bangun dan pergi ambil whuduk, waktu azan berkumandang, syaitan juga iblis berlari bertempiaran. Jadi hasutan dari makhluk tersebut kurang pada waktu sebegini malah hati akan rasa lapang. Bila kita segera ambil whuduk, saat selesai sahaja laungan azan, syaitan akan kembali pada kita. Tapi malang bagi Syaitan kita sudah pun terlindung dengan whuduk. Jadi waktu itu tunaikanlah solat dengan segera. InsyaAllah solat awal waktu keberkatannya berganda. Jangan nanti dan nanti dan nanti. Kalau asyik tangguh kita akan malas. Kadang-kadang pura-pura lupa dan menipu diri sendiri. Biar Syaitan menangis, Jangan Iman menangis.
DAH HABIS? Sebenarnya ada lagi beberapa cara yang lagi best aku pernah buat untuk hijrah dan ubah diri supaya terus solat 5 waktu. Orang tinggal solat ni lama-lama Allah lupa kita. Kita nampak kita kaya, pandai dalam pelajaran, orang suka kita, selalu berjaya tapi tak solat. Jangan bangga, itu Istidraj iaitu pemberian yang tidak diredhai Allah Taa'la. Nauzubillah, moga dijauhkan.
Bukan tak nak masukkan semua tips elak tinggal solat dalam entri ni, tapi kalau entri panjang sangat nanti bosan nak membaca. Ni pun dah bosan kan??
Nantikan entri akan datang "Tips Elak Tinggal Solat (2)" InsyaAllah.
Sebelum aku habiskan entri ni, mari ambil tahu sedikit hukum meninggalkan solat.
Apakah Hukum Meninggalkan Solat Fardhu 5 Waktu?
Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:
Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, maka hendaklah ia mengerjakan solat itu jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya: Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku. (Hadis Riwayat Al Bukhari)
Huraian Hadith:
1. Solat merupakan tanda pertalian terus seorang hamba dengan Allah. Islam memfardhukan ke atas umatnya melaksanakan solat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam.
2. Solat merupakan tiang agama.Oleh itu sesiapa yang mengerjakannya bermakna ia telah menegakkan agamanya. Manakala orang yang meninggalkannya bermakna ia telah meruntuhkan agamanya.
3. Bagi orang yang meninggalkan solat disebabkan malas atau sengaja hukumnya adalah fasik dan telah melakukan dosa besar iaitu mengabaikan salah satu daripada Rukun Islam.
4. Sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam bahawa solat wajib mesti dilakukan dalam apa keadaan sekalipun, maka solat wajib yang ditinggalkan dianggap sebagai hutang yang mesti dilangsaikan sebagaimana resminya setiap hutang itu wajib dibayar. Maka apabila sedar tentang kesilapan masa lalu, seorang muslim itu hendaklah segera bertaubat dan mengqadha' solatnya yang tertinggal itu.
(JAKIM, Ogos, 2008)
Kesimpulannya, mari ubah dan mari berubah. Jaga solat kita.
Mudah-mudahan entri biasa ini sedikit sebanyak membantu kita dalam hijrah. Maaf andai terkasar cara menyampaikan entri ini. Abang kakak, atau adik yang tak selesa dengan panggilan "AKU" yang Asyraf guna dalam entri ini, boleh tinggalkan pesan pada Asyraf melalui E-mail (asyrafkhalib.blogspot.com). Komen pun tak kisah. Andai nasihat membina apa salahnya. Sebenarnya baru pertama kali guna panggilan "Aku" atas permintaan beberapa rakan yang inginkan panggilan sedemikian untuk nampak lebih santai. Maaf, tak mampu nak menjaga hati semua orang.
Terima Kasih membaca,
Tinggalkan pesan, pendapat serta cadangan di ruangan
komen atau di Shoutbox untuk rujukan saya.
Assalamualaikum.
Sekian, Encik Penulis :
"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 | 2013" : Copyright Malaysia Linked
Segala masalah yang dihadapi hasil pembacaan mana-mana entri yang terdapat dalam blog ini adalah dibawah tanggungjawab pihak pembaca sendiri, Terima Kasih.
Read More...