Menyentuh anjing yang kering mendapat sepakat ulama bahawa ia tidak najis. Namun, perlu diingat bahawa kering itu dalam konteks yang bagaimana. Yakinkah kita tangan kita tanpa butiran peluh-peluh kecil? atau yakinkah kita bulu anjing kering tanpa liurnya?
Memang wujud khilaf dalam kalangan ulama mazhab-mazhab dalam bab tubuh anjing itu najis mughallazah atau tidak. Secara ringkasnya, dalam mazhab syafie menyatakan seluruh tubuh anjing adalah najis mughallazah yakni najis berat (Imam nawawi, Mughni Al-Muhtaj, Khatib Syarbini), selain mazhab syafie (yakni mazhab hanbali, maliki, hanafi) menyatakan hanya air liurnya sahaja najis. Ini berdasarkan hadis:
“Sucinya bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.”
[Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad]
Jadi, hukum menyentuh anjing memang ada khilaf. Yang pasti, adalah haram jika dengan SENGAJA menyentuh sesuatu yang akan menyebabkan perpindahan najis ke atas tubuh kita. Maka, menyentuh anjing dalam keadaan anjing itu atau tubuh kita sendiri yang basah/lembap/berair, maka haramlah menurut mazhab Syafie kerana najis boleh berpindah.
Kenapa seluruh tubuhnya dianggap najis berat menurut mazhab syafie? Kerana pastinya anjing membersihkan dirinya dengan menjilat. Maka kemungkinan besar air liurnya ada di tubuhnya.
Dalam program kempen menyentuh anjing yang tersebut, adakah peserta dan trainer yakin sepenuh jiwa anjing tersebut tidak menjilat tubuhnya? Dan adakah semua mereka yakin benar anjing atau tangan mereka dalam keadaan kering? Jika terlalu yakin, maaf saya cakap, kurang cerdik namanya. Jika berpegang pada "alaaa.. lepas pegang boleh sertu (samak ikut sesetengah pemahaman orang)", ikut hukum fiqh, sengaja meletakkan diri dalam keadaan menyusahkan juga dibenci agama.
Imam Al-Ramli menyatakan (maksudnya): "Meletakkan (atau menyentuh) najis pada anggota badan adalah ianya haram."
Hukum Memelihara Anjing?