September 2014 | The Hearabouts

Friday, 5 September 2014

Sebab Freshie Benci Minggu Haluan Siswa


Bismillahirrahmanirrahim

Minggu haluan siswa atau minggu orientasi atau nama program lain yang berkenaan adalah salah satu minggu di mana pelajar baru yang melangkah masuk ke universiti diwajibkan mengikuti program dikendalikan oleh pelajar senior dengan tujuan memberi pendedahan kepada pelajar baru (freshie) akan kehidupan yang lebih osem dan sedikit berbeza di kampus berbanding sekolah.

Namun, sejauh mana program yang diberi nama "Minggu Haluan Siswa" ini memberi pulangan baik kepada pelajar baru tersebut? Itu yang harus sama-sama kita fikirkan. Ini kerana, akhir ini pelajar lebih mudah untuk menyuarakan pendapat mereka melalui laman sosial. Dan nampaknya lebih banyak respons balas yang negatif diterima. Maka, kemungkinan besar Minggu Haluan Siswa tersebut sudah boleh dikategorikan sebagai program yang GAGAL.

Justeru itu, artikel kali ini akan membincangkan serba sedikit tentang punca utama freshie benci snagat dengan penganjuran Minggu Haluan Siswa. Berdasarkan pengalaman saya sebagai mahasiswa di Universiti selama lebih kurang 3 tahun, berikut adalah beberapa sebab yang dapat saya senaraikan.

1. Tidak Islamik

Bagi pelajar Muslim, pasti alasan ini antara sebab utama mereka tidak selesa malah tidak berpuas hati dengan penganjuran Minggu Haluan Siswa. Pelajar lelaki dan wanita bukan mahram diarahkan berada dalam satu kumpulan tanpa mengenal batas pergaulan. Malah ada aktiviti berkumpulan yang memerlukan mereka bersentuhan dengan alasan klise wonder pets "kerjasama". Justeru itu, saranan 20 sen daripada saya, program ini haruslah dikaji semula oleh pihak universiti khususnya supaya aktiviti yang dicadangkan dalam Minggu Haluan Siswa memberi faedah baik di universiti dunia, juga di universiti akhirat kelak. Ingat, kalau Allah tak redha dengan apa kita buat, pasti hasilnya tidak baik.

2. Terlalu ramai fasilitator berleter/bertempik/menjerit/melolong bagai kena sampuk. Ini bukan kem Tentera.

Apa pun alasannya, saya pasti pelajar yang diterima masuk ke Universiti adalah antara yang terpilih. Fasi/senior yang bertanggungjawab menguruskan program sebaiknya belajar berkomunikasi dengan lebih baik. Kadang ada perkara yang saya rasa tak perlu menjerit pun, disampaikan dalam nada yang tinggi. Tindakan sebegini pastinya mengundang sedikit sebanyak pandangan negatif pada pelajar baru tentang akhlak senior. Mungkin di mulut masing-masing berkata suka. Namun, di hati siapa yang tahu. 
Saya tidak bermaksud untuk mengatakan cara menjerit/melolong itu beri kesan buruk yang melampau kepada si penerima maklumat. Saya akui, ada baiknya juga. Namun, ia dilihat kurang sesuai. Malahan, bila ada fasi perempuan yang menjerit-jerit, bukankah ia sesuatu yang memalukan dan tidak masuk akal. 

3. Ceramah/slot/pengisian motivasi dalam satu-satu program membosankan. 

Selama mengikuti Minggu Haluan Siswa, saya dapati terlalu banyak ceramah yang tidak membina jiwa pun. Bukan semua, tetapi beberapa sahaja. Pengisian itu ada, namun hasilnya kosong. Pelajar yang keletihan selepas mengikuti aktiviti lain sebelum ini pastinya akan bertambah mengantuk. Bagai disorong bantal. Dengar ceramah pun sudah ibarat dengar lagu yang mendayu-dayu. Bukankah sepatutnya masa yang ada dengan berhimpunnya pelajar baru dalam satu majlis ilmu itu digunakan sebaiknya? Membazir kalau ceramah 2,3 jam tapi pelajar tak dapat apa. Rugi. Pilihlah topik yang dekat dengan pelajar, kemudian baru selitkan dengan pendekatan agama. Misalnya ajak mahasiswa berbincang tentang isu couple haram, kaedah belajar berkumpulan yang betul dan isu kahwin! haha (itu contoh). Banyak lagi sebenarnya, kreatiflah sikit. Risau motivasi bertukar menjadi roti basi.

4. Aktiviti riadah yang bercampur lelaki perempuan.

Sudahlah pakaian sukan tu jarang, dicampur pula lelaki perempuan. Senior pula ikut sama. Langgar sana sini, gesel-gesel. Awal-awal masuk universiti pun sudah dapat pendedahan yang buruk. Lepastu nanti baru nak sibuk complain junior berdating lah apa.

5. Fasilitator bercakap macam nak bertanding pilihan raya.

Bagai pemimpin politik di pentas, penuh bangga fasilitator/senior mula bicara. Minggu haluan siswa tujuan utamanya nak tunjukkan haluan yang betul tentang kehidupan di kampus kepada pelajar baru. Maka, janganlah rosakkannya, kadang ada perkara yang tak perlu dibicarakan pun dipanjang-panjang. 

6. Buli/Lagak Gangster

Dulu waktu zaman diploma saya dulu, ada lah sekumpulan senior spesis ini. Pernah diterajang perut sewaktu minggu orientasi. Tapi sekarang saya rasa tak ada. Namun jika ada, ini antara satu sebab pelajar benci orientasi.

7. Senior ambil kesempatan mengorat junior comel

Agak memalukan jika mahu jadi fasilitator sebab nak cuci mata atau nak cari jodoh dengan adik-adik muda remaja. Banyak sebenarnya senior yang sebegini rupa, kalau depan pelajar wanita, fuh bergaya tunjuk kehebatannya. Bukan nak jeles atau apa. Awak tu senior universiti, bukan senior di wad pesakit jiwa. Maaf cakap, kadang biro kerohanian pun 2 x 5 gatalnya. Dia dulu lah yang sibuk nak cari tulang rusuk kiri, tulang pinggul, bakal imam, zauj zaujah. Ini bukan masa yang sesuai. Betulkan niat. Jaga akhlak.

8. Waktu Solat Selalu Dilewatkan, Kadang tu..  Harussss terlepas.

Jadual program memang diedarkan awal kepada pelajar, bangun pagi bukan main nak 4 pagi dah kena terpacak. Pagi buta itu jugalah ada ceramah, ada aktiviti burung hantu dan sebagainya. Waktu solat sering dilengah-lengahkan. Kadang punya bijak buat jadual, waktu makan tu jugalah pelajar kena solat. Kadang ada yang tak sempat makan pun, terpaksa berlari tunaikan solat. Bukan apa, takut ditengking biro disiplin, adik-adik ini pun turut arahan. Sayangnya senior pun tak masuk berjemaah bersama. Malu bukan? Bila dipersoalkan tentang pengurusan masa, waktu solat dan sebagainya. Jenis senior pantang tegur nak melenting. Dia sahaja betul, tapi inilah haikat yang kita kena terima.

Kalau hanya dengan alasan dulu waktu kita jadi junior pun kena lalui perkara sama, maka bila jadi senior, ini terus bermakna kita kena buat benda sama? Jika jawapannya, ya. Memang sampai kiamat pun tiada perubahan dan penambahbaikan dalam program ini. Ada waktu kita kena mula buat perubahan dan akui kesalahan. Kaji semula apa yang dirancang. Gelaran zaman jahiliyah moden bukan suatu gelaran biasa. Zaman kian berubah, biar kita pun perlu berubah ke arah yang sepatutnya.

Takutlah dengan Allah. Memang, Minggu Haluan Siswa akan memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pelajar baru. Ya, memang. Tapi pengalaman itu isi baiknya kurang, yang busuknya banyak. Sebagai senior, gunakanlah peluang ini untuk raih redha Allah. Walaupun nama universiti tak Islamik, biarlah sekecil-kecil program di dalamnya penuh pengisian yang mendekatkan kita dengan Allah. Ingat, sudah lengkap tanda-tanda Kiamat Kecil. Maka, peliharalah apa yang sepatutnya.

Jangan seksa jiwa orang yang beriman, ketahuilah dalam kalangan junior baru itu pasti ada yang datang dari keluarga yang didikan agamanya baik. Maka, jangan rosakkannya. Jiwa orang beriman jika diusik dengan perkara yang tidak elok walau sedikit. Dia pasti tidak tenang.

Akhir kalam, saya menyokong terus Minggu Haluan Siswa dilanjutkan sehingga bila-bila, namun lebih tenang jika program ini benar-benar mencapai matlamatnya, bukan habis begitu sahaja.

Wallahualam Bissawab. Maaf segala salah.

"Copyright Blog Asyraf Khalib © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012 - 2014"

No part of this article may be reproduce without Asyraf's express consent.
The author is not liable for any loss or damage incurred while using the information from this blog. Thank you