Filem : Tanda Putera | The Hearabouts

Hi hello, i'm Asyraf. This blog is where i pour my ideas, my thoughts. i scribble, i write and i express. Sorry in advance if there's any hiccups here and there. Enjoy reading. May peace be upon you, upon me, upon us all. Tabarakallah, Keep calm and rock on.
| I'M BACK! |
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَظْهَرَ الجَمِيْلَ وَسَتَرَ القَبِيْحَ
"Segala puji bagi Allah yang menampakkan yang baik dan menutupi yang buruk."

Tuesday 3 September 2013

Filem : Tanda Putera

2 Komen

Tanda Putera

Kesudahannya, sebuah filem yang menjadi kontroversi hebat setahun lalu kini ditayangkan juga di Malaysia. Filem terbitan Pesona Pictures dengan kerjasama FINAS memaparkan kisah perjuangan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman untuk memulihkan negara, susulan peristiwa 13 mei 1969. Filem yang diterbitkan pada 2011 dan dilulus tayangannya oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) sepatutnya menemui penonton mulai 15 November tahun lalu. Namun begitu, atas desakan daripada beberapa pihak terutamanya dari pihak pembangkang, akhirnya jemaah menteri telah  membuat keputusan untuk menangguhkan filem itu berikutan ada perdebatan kononnya terdapat babak yang tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik dalam masyarakat.

29 Ogos 2013, tarikh yang dinanti-nanti dan kiranya cukup mendebarkan buat rakyat Malaysia. Filem yang sudah berkali-kali ditangguhkan tayangannya sebelum ini bakal muncul di pawagam seluruh Malaysia. Berikutan kuliah di universiti terlalu padat, saya tidak berpeluang untuk menonton filem tersebut pada hari pertama tayangan. Agak kecewa sebab pada hari pertama tayangan, ada pelbagai aktiviti dijalankan sekitar Mid Valley, Kuala Lumpur antaranya ialah kempen Pakai Songkok. 

Alhamdulillah, 1 September 2013, saya berkesempatan untuk menonton filem tersebut buat kali pertama bersama sepupu saya di GSC Alamanda, Putrajaya. Hebat filemnya, memang agak sedih apabila ada babak-babak yang mengisahkan tentang pemergian Allahyarham Tun Dr. Ismail dan juga Tun Abdul Razak. Dewan pawagam yang penuh dengan penonton tiba-tiba bertukar suram dan sebak, tak kurang ramai yang menangis termasuk saya sendiri. Tak tipu. Bagi yang belum menonton silakan ke pawagam.

2 September 2013, saya menonton filem tersebut buat kali kedua di MBO, Space U8, Shah Alam. Kali ini ditemani rakan-rakan sekuliah di Universiti. Tamat sahaja kuliah pagi, kami berempat terus ke sana. Alhamdulillah, maklum balas rakan-rakan saya juga hampir sama dengan pendapat saya. 

Walaupun begitu, ada babak-babak dalam filem ini dilihat agak tergantung ceritanya, contohnya babak Dr. Mahathir menghantar surat kepada Tunku Abdul Rahman supaya meletakkan jawatan, babak tersebut tergantung begitu sahaja tanpa penjelasan kenapa Dr. Mahathir berbuat demikian. Selepas itu Dr. Mahathir terus dipecat daripada UMNO, kemudian tiba-tiba sahaja muncul pula babak baru yang terus menunjukkan Dr. Mahathir sudah berbaik-baik dengan Tun Abdul Razak walaupun sebelum ini Tun Abdul Razak sendiri turut tidak bersetuju dengan tindakan Dr. Mahathir menghantar surat kepada Tunku Abdul Rahman. Jadi babak itu masih lagi menjadi tanda tanya kepada saya dan rakan-rakan.

Tetapi sebagai pelajar filem, kami faham bahawa filem-filem sejarah tidak selalu penuh dan padat ceritanya. Lagi pula filem ini hanya fokus kepada perjuangan dua tokoh hebat negara dan bukannya filem sejarah Malaysia yang secara umum membincangkan keseluruhan isu-isu negara. Babak-babak dalam filem ini hanya diselitkan berdasarkan isu yang berlaku pada ketika itu. Bagaimana ianya bermula dan apa peristiwa-peristiwa penting yang berkait dengan perjuangan dua tokoh negara ini.



Apa pun Tahniah saya ucapkan kepada Datin Paduka Shuhaimi Baba, Pesona Pictures, dan pihak FINAS sendiri yang berjaya menghasilkan filem ini. Sudah hampir seminggu tayangan, desas desus sebelum ini yang mengatakan kononnya filem ini akan menyebabkan rosak perpaduan, rusuhan dan sebagainya tidak langsung terjadi. Saya sendiri sudah dua kali menonton, tiada pun kandungan dalam filem tersebut yang menggugat perpaduan negara. Filem Tanda Putera mengkritik kedua-dua belah pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang, atau masyarakat negara ini sendiri. Pemimpin harusnya menenangkan rakyat, bukannya saling menyalahkan pihak lawan dan mengapi-apikan rakyat dengan menggunakan isu-isu perkauman sebagai modal. 

Ya, Rakyat Malaysia memang matang, tetapi pengaruh daripada pemimpin sangat besar. Bila mana akhlak kedua-dua belah pihak dan pemimpin terjaga, InsyaAllah rakyat yang dibawah tidaklah melatah sebegini rupa. Filem Tanda Putera jelas menceritakan tentang perjuangan pemimpin negara untuk menjadikan Malaysia harini. 

Menyentuh soal perkauman yang selalu dipersoalkan beberapa pihak, saya rasa filem itu tidak pun menyalahkan kaum Cina sepenuhnya. Dalam peristiwa 13 Mei itu sendiri, tidak semua orang cina mahukan rusuhan tersebut. Cuma ketegangan yang berlaku ketika itu menyebabkan pergaduhan dan akhirnya kaum Melayu dan Kaum Cina bertelagah dan bermandi darah. Ada banyak babak yang menunjukkan keburukan kaum Melayu sendiri yang sama juga bersikap kurang baik terhadap kaum Cina. Filem ini mengkritik kedua-dua kaum, jadi usahlah bertelagah. Ambil sebagai muhasabah, sejarah lalu mematangkan kita. Filem ini pun ada masukkan babak dimana orang Melayu dan Cina kembali bersatu padu dan berbaik-baik. Ambil pengajaran, jangan kita ulang peristiwa pahit itu. Dalam hal ini, peranan pemimpin sangat penting, kalau ada pemimpin yang cuba mengapi-apikan rakyat dengan modal perkauman. Abaikan sahaja.

Usahlah menghina, jangan takut dengan bayang-bayang kita. Kalaupun ada peristiwa hitam dulu, itu tidak melambangkan kita harini. Jaga akhlak kita, moga Allah terus berkati Malaysia. 

Tabarakallah, Keep Calm and Love Malaysia
Copyright Muslim Writer © All Rights Reserved by Mohammad Asyraf 2012- indexs12

2 comments:

Jangan lupa tinggalkan sebarang komen atau pendapat anda untuk rujukan penulis. Dahulukan akhlak. Terima Kasih.